Monday, 23 March 2020

Masjid Teluk Kampung Memali... Masjid Tertua Di Daerah Perak Tengah

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Hai korang semua...Apa khabar hari nii? Aku doakan semoga korang semua berada dalam keadaan sihat walafiat hendaknya. Hari nii aku nak story pasal sebuah bangunan bersejarah yang sangat cantik bagi sudut pandangan aku. Bangunan bersejarah yang aku nak citer nii ialah Masjid Lama Teluk Kampung Memali yang terletak di Kampung Gajah, Perak. Ceritanya bermula semasa... aku sedang melakukan kerja-kerja pemantauan tapak dan juga inventori makam-makam bersejarah di sekitar Negeri Perak pada tahun 2013. 



Setiap bulan team aku akan buat pemantauan ke atas tapak Kubur JWW Birch. (Birch dilantik sebagai Residen British yang pertama di Perak pada November 1874. Tugasnya ialah mengutip cukai dan mentadbir Perak. Birch telah dibunuh dengan kerjasama Dato Maharaja Lela dan rakan-rakannya iaitu Datuk SagorSiputumPandak EndutLaksamana Mohamad AminNgah IbrahimNgah Jabor dan lain-lain. Beliau dibunuh di Pasir Salak pada 2 November 1875).



Setelah selesai kerja di kubur JWW Birch...kami ingin mencari Makam Sultan Perak ke 19 iaitu Makam Paduka Seri Sultan Abdul Malik Mansur Shah dan Makam Sultan Abdul Malik. Di sebabkan laluan di sebelah kubur JWW Birch bersemak samun...kami cuba pula untuk melalui di sebelah kampung Teluk Memali ini. Ketika sibuk mencari makam-makam inilah kami terjumpa dengan Masjid Lama Teluk Kampung Memali ini. Pada ketika itu....keadaan masjid ini masih lagi baik tetapi lalang telah tumbuh melebihi 1 meter yang membuatkan niat kami untuk memasuki masjid ini terbantut. Pemantauan bulan hadapannya pula....kami berusaha untuk memasuki masjid ini dan usaha kami berjaya iaitu pada April 2013.



Pada penghujung tahun 2013... Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara ada datang untuk melihat masjid ini....dan bercadangan untuk memindahkan masjid ini ke Muzium Taiping untuk kegunaan pengunjung yang datang melawat. Pelbagai usaha bersama penduduk setempat telah cuba dilakukan tetapi kengkangan kewangan pada masa itu menyebabkan masjid ini kekal di tempat asalnya. 


Masjid Lama Kampung Teluk Memali yang terletak di Kampung Gajah berkemungkinan merupakan sebuah rumah ibadah tertua di daerah Perak Tengah.

Aku difahamkan... Kawasan tempat masjid ini dibina dahulunya dikenali sebagai Bandar Baru yang menjadi pusat pemerintahan Sultan Abdul Malik Mansur Shah. Kawasan ini kemudiannya diambil alih serta dijadikan sebagai pusat pentadbiran pihak British selepas perjanjian Pangkor ditandatangani. Rumah residen dan kubu pertahanan British pernah berdiri di sini sebelum hilang ditelan masa. 



Masjid Lama Kampung Teluk Memali ini dipercayai dibina pada tahun 1910 di atas tapak sebuah surau yang telah didirikan pada tahun 1900 sebelum itu. Surau asal dibina di tebing Sungai Perak mengalami masalah dengan hakisan tebing dan bangunan surau tersebut kemudiannya dipindahkan ke lokasi yang lebih selamat oleh penduduk kampung.
Masjid Lama Kampung Teluk Memali ini mempunyai seni bina dan reka bentuk yang menggambarkan ciri-ciri rumah Melayu tradisional yang indah. Masjid ini mempunyai nilai seni dan tahap pertukangan yang tinggi yang dapat dilihat pada mimbar, selusur tangan dan ukiran panel dinding yang diukir dengan motif bunga yang rumit dan halus yang memiliki pengaruh dari Sumatera, Belanda dan British selain Asia Barat. Seni bina pada bumbungnya berbentuk piramid serta ‘papan cantik’ pada cucur bumbung pula menggunakan reka bentuk dan seni ukiran dari Sumatera. Mimbarnya pula bercirikan seni bina Acheh, terdapat dua tiang berbentuk roman di ruang tangga serta beberapa ayat pada mimbar dan pintu masuk dengan corak khat ‘thuluth'




Masjid ini turut menggunakan pelbagai motif lama seperti sulur bayur pada mahkota atap mimbar dan kepala cicak pada sudut bumbung seperti yang terdapat di kebanyakan rumah tradisional Melayu lain di negeri ini. Pada belakang kerangka mimbar pula tercatat nama pengukir Megat Ja’afar keturunan Megat Terawis yang juga pengukir terkenal ketika itu dan tahun pembuatannya iaitu pada 1339. Notis pengumuman kuliah pada pintu, catatan senarai nama imam yang bertugas bagi tempoh selama bertahun-tahun di bawah mimbar masjid, serta beberapa buku agama dan naskhah al-Quran lama juga turut dijumpai semasa kerja-kerja pemindahan ingin dilakukan. Kebanyakan strukturnya menggunakan kayu cengal dan tualang.

Ketika aku memasuki ke dalam masjid ini...aku sudah terpukau dengan seni pertukangan pada mimbarnya yang sangat halus dan cantik....dengan warna kuning dan biru yang menonjolkan lagi seni ukiran tersebut. Terasa macam nak bawa balik ke rumah jer...haaa...haaa...haaa....

Rekabentuk masjid ini dibina sebagai tindak balas kepada keadaan iklim Malaysia yang panas dan lembap; bumbung cerun untuk membolehkan air hujan untuk bergerak cepat, tiang untuk menaikkan masjid di atas paras tanah untuk mengelakkan dari banjir, banyak tingkap kecil dan ukiran panel untuk membolehkan pengudaraan silang secara semula jadi.

Sebenarnya... kawasan penempatan sekitar Masjid Lama Kampung Teluk Memali mula ditinggalkan akibat sering mengalami banjir dari limpahan air Sungai Perak terutama di musim hujan yang menyebabkan penduduk berpindah kira-kira 2 kilometer ke penempatan Kampung Teluk Memali sekarang ini. Sebab tu korang boleh nampak kesan-kesan tanah akibat banjir dan juga kesan kelembapan pada dinding. Kalau musim hujan... aku terpaksa menapak (berjalan kaki) ke sini untuk melakukan kerja-kerja pemantauan kerana jambatan akan dilimpahi dengan air sungai...so kenderaan tak boleh nak lalu.

Aku difahamkan juga Masjid Lama Kampung Teluk Memali dipercayai sudah tidak digunakan sejak tahun 1997 serta terbiarkan usang tanpa sebarang penjagaan yang menyebabkan beberapa barangan milik masjid ini telah hilang dan rosak.
Di atas kesedaran mengenai nilai sejarah dan kepentingan untuk memulihara bangunan bersejarah tersebut buat tatapan generasi akan datang, masjid lama yang telah berusia 110 tahun ini telah dipindahkan ke tapak baru untuk dibangunkan semula sebagai sebuah surau di kawasan seluas 0.5 ekar di Taman Seri Bougainvillea, Bandar Seri Botani, Ipoh.


orangperak.com
Usaha murni pemuliharaan warisan tersebut dilaksanakan ATSA Architects Sdn Bhd (ATSA Architects) dengan kerjasama arkitek Masjid Negara, Datuk Dr Baharuddin Abu Kassim dan Politeknik Ungku Omar.
Projek ini juga telah mendapat mendapat kelulusan dan sokongan dari Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, Jabatan Mufti Negeri Perak dan Majlis Bandaraya Ipoh dan penduduk asal Kampung Teluk Memali sebagai pemegang amanah Masjid Lama Kampung Teluk Memali.

Kerja-kerja pemuliharaan bermula pada 2016 dengan usaha...... memindahkan masjid ini ke Ipoh dengan kerja-kerja menanggalkan struktur utama dan pemindahan sebuah mimbar kayu dari dewan solat utama masjid ke balai raya yang berdekatan.
orangperak.com
Pada 22 Jun 2016, struktur kolah telah diangkat dan dibawa keluar dengan menggunakan kren dan kemudian diangkut ke tapak baru pada hari yang sama dan turut melibatkan sekumpulan tukang kayu dari Ipoh serta diselia oleh konservator berlesen dari Politeknik Ungku Omar.

Setelah semua komponen struktur kayu yang ditanggalkan akan ditandakan terlebih dahulu sebelum diangkut menggunakan lori dan kemudiannya disimpan dengan teratur.
orangperak.com
Usaha untuk merawat dan pertukangan dilakukan oleh tukang kayu tempatan iaitu Sohigh Enterprise dan semua kerja rawatan kayu telah dijalankan di bengkel mereka yang berada di Chemor, Perak sebelum hasilnya dibawa ke Taman Botani, Ipoh, Perak.


Malah untuk menjaga kualiti kayu yang digunakan dalam projek ini, pihak ATSA Architects turut mendapatkan nasihat dari Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) mengenai kayu yang sesuai untuk digunakan dan mereka mendapat kayu ganti yang terbaik dari Kemaman, Terengganu yang dibekalkan oleh Pesama Timber Corporation.
orangperak.com
Kos untuk pemuliharaan semula masjid ini dianggarkan mencecah RM600,000. Fasa pertama projek ini membabitkan urusan kerja tanah untuk tapak baru di Bandar Seri Botani, Ipoh dan kemudian diikuti dengan fasa kedua yang banyak memperincikan mengenai proses menanggalkan dan pemasangan semula komponen.

Fasa terakhir akan membabitkan proses seperti pemasangan bekalan elektrik dan air termasuk pembinaan ruang sokongan seperti bangunan tambahan untuk jemaah wanita dan aktiviti kemasyarakatan, tempat wuduk, tandas, pagar dan jalan raya. Masjid ini siap sepenuhnya pada Januari 2018.
orangperak.com
Usaha murni untuk memelihara warisan peninggalan bangsa oleh ATSA Architects ini wajar dipuji dan diberi penghargaan. Antara yang terbabit dalam usaha pemuliharaan masjid termasuk Jabatan Mufti Negeri Perak, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Pejabat Daerah dan Tanah Perak Tengah. Pemuliharaan masjid turut mendapat sumbangan daripada individu yang memiliki kepakaran berkaitan, selain kerja amal pelajar institusi di sekitar seperti PUO, Kolej Vokasional Lebuh Cator dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seri Iskandar.

Sebarang pertanyaan mengenai projek pemuliharaan dan pemindahan masjid ini, boleh hubungi Ketua Pegawai Operasi, ATSA Architects, Syed Kamal Affendi Syed Mustapha di talian 012-3292827 atau Mohamad Haziq Zulkifli di talian 018-3973535 dan e-melkan kepada masjid@memalimosque.com.my dan korang juga boleh menyumbang kepada akaun Tabung Pemindahan Masjid Teluk Memali bernombor 105280003201 (Affin Islamic Bank).
Untuk maklumat lebih lanjut mengenai usaha pemuliharaan dan perkembangan projek ini, sila layari laman web di www.memalimosque.com.my, serta laman Facebook di www.facebook.com/KgTelukMemaliOldMosque.

Sekian.

No comments:

Post a comment