Sunday, 15 March 2020

Masjid Lama Masjid Tanah Melaka Dibina Menggunakan Tanah Liat Sungai.

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Hai korang semua... Apa khabarmu di sana hari nii? Entri aku hari nii pun masih lagi berkisahkan bangunan bersejarah. Lokasinya di Melaka Bandaraya Bersejarah. Dah lama dah pun aku menyimpan impian untuk sampai kat bangunan ini di sebabkan namanya. Akhirnya pada minggu lepas aku berjaya menjejakkan kaki aku kat sini iaitu di Masjid Lama Masjid Tanah. Yang menariknya....kawasan/mukim ini mendapat nama disebabkan masjid ini.


Masjid Lama Masjid Tanah pada asalnya dibina dengan menggunakan tanah liat yang berada di tepian sungai (sebelah kanan masjid). Tetapi kini ianya telah mengalami beberapa perubahan dan penambahan baru yang telah menenggelamkan senibina tanah tersebut. Korang boleh dapat lihat kesannya di tiga bahagian di masjid ini. Yang pertama di dalam masjid... di bahagian dinding, yang ke dua... di bahagian koridor luar sebelah kiri masjid dan yang ketiga...di bahagian pagar sebelah kanan masjid.



Selain itu... keistimewaan masjid ini kalau korang masuk di dalamnya...korang akan terpandang 4 tiang utama. Di tiang utama ini terutama dibahagian kaki terdapat ukiran flora dan kalau korang perasan kedudukkan tiang ini agak serong sedikit. Aku tidak tahu kenapa ianya dibuat begitu.



Rekabentuk masjid ini sangat simple iaitu segi empat tepat. Berbumbung tiga lapis yang mempunyai mahkota atap di puncaknyaDi bahagian kanan masjid ini terdapat kolah untuk mengambil wuduk, perigi dan juga tandas. Di bahagian kirinya pula terdapat kubur-kubur lama. Di koridor kiri terdapat tangga untuk mendaki ke ruang koridor bahagian atas di tengah-tengah ruang masjid.



Masjid Tanah ini dikatakan dibina oleh seorang Sheikh yang berasal dari Gujerat pada tahun 1800 an. Namun Haji Sulong bin Sibeng yang merupakan penduduk tempatan turut serta dalam menjayakan pembinaan Masjid Lama Masjid Tanah ini. Masjid ini pernah diubahsuai pada tahun 1951. Antara kerja-kerja yang dilakukan ialah memperbaiki tapak dan juga menggantikan atapnya. 



Masjid ini dijadikan sebagai tempat persinggahan sahaja setelah masjid baru Pekan Masjid Tanah siap dibina. Pada masa dahulu, Pekan Masjid Tanah adalah sebuah pekan hab-perdagangan yang dibawa daripada Kota Melaka ke daerah-daerah sekitar utara Negeri Melaka dan Alor Gajah atau sebaliknya. Pekan Masjid Tanah nii dihuni pelbagai lapisan masyarakat yang penduduk utamanya adalah berbangsa Melayu, Cina dan India.

Semenjak 3 tahun kebelakangan ini...masjid ini mula aktif dengan pelbagai program serta aktiviti antaranya kelas mengaji, ceramah, majlis maulidul rasul, program ramadhan dan sebagainya.



Disebabkan lokasinya yang berada di dalam daerah Alor Gajah dan berdekatan dengan sempadan Negeri Sembilan, sebilangan besar dari penduduk Masjid Lama Masjid Tanah dan kampung-kampung di sekitar masjid ini bertutur dalam loghat Negeri Sembilan atau loghat Minang; atau lebih dikenali oleh orang Masjid Tanah dengan loghat 'Hulu' atau 'Cakap Hulu'. Namun akibat peredaran zaman, adat ini makin lama semakin ditinggalkan.



Pada tahun 2018...masjid ini mula mendapat perhatian dari ramai orang yang ingin memberi sumbangan bagi mencantikkannya. Sumbangan yang diterima adalah dari pihak persendirian. Bangunan kedai dibahagian hadapannya telah dirobohkan. Kehadiran kedai ini telah memberikan pemandangan yang terhad ke atas masjid ini.



Masjid Lama Masjid Tanah ini tidaklah besar saiznya...dengan penambahan yang tidak ada perancangan yang betul boleh menenggelamkan rekabentuknya yang asal. Di bahagian hadapan telah dibina pagar yang telah menutup pandangan masjid ini. Pagar asalnya rendah sahaja. Bila aku ambik gambar dari luar...gambar aku jadi tak menarik disebabkan pagarnya yang tinggi dan telah menutup pandangan fasad. Gambar aku hanya boleh nampak bumbung jer. Dah la kedudukan masjid ini agak terlindung...kalau ada pelancong datang ke pekan ini...mesti tidak perasan akan kehadiran masjid bersejarah ini.



Sebelum aku bergerak balik...barulah aku perasan bahawa di bahagian tangga masjid ini ada terdapat jubin bermotif yang sangat cantik dengan 3 rekabentuk. 

Yang aku respek kat masjid ini ialah...ahlinya pandai mencari dana bagi kerja-kerja penyelenggaraan tanpa mengharapkan bantuan daripada kerajaan. Memandangkan masjid ini telah diwartakan sebagai bangunan warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 [Akta 645]...dengan itu ia tertakluk kepada garis panduan pemuliharaan bangunan warisan. Untuk kerja-kerja penambahan atau kerja-kerja baru perlulah mendapat kelulusan/persetujuan Pesuruhjaya Warisan Jabatan Warisan Negara terlebih dahulu kerana boleh disabit kesalahan dibawah seksyen 112 Akta 645.



Bangunan yang dibina menggunakan kapur tidak boleh dibaikpulih menggunakan simen kerana ia akan menyebabkan kerosakan yang lebih teruk ke atas bangunan tersebut. Sebab itu teknik kerja yang betul perlu diperolehi daripada Jabatan Warisan Negara sebagai agensi yang memberi nasihat. Harapan aku semoga masjid ini terus terpelihara sebagai produk pelancongan bersejarah di negeri Melaka ini. 

Sekian.

No comments:

Post a comment