Friday, 6 March 2020

Kota Kuala Linggi Menjadi Pusat Jajahan Dan Kota Persinggahan Bugis Pada Masa Dahulu

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,


Hai korang semua.... Apa khabar hari ni? Semoga semuanya berada dalam keadaan sihat walafiat yea. Yang mana tak sihat tuu...jangan lupa makan ubat dan berehat. Hari nii aku nak menulis tentang sebuah kota bersejarah...iaitu Kota Kuala Linggi atau pun juga dikenali dengan nama Kota Supai.


Kota Kuala Linggi terletak di puncak Bukit Supai, Mukim Kuala Linggi, berdekatan Kampung Nelayan itu merupakan penghujung Negeri Melaka kerana lokasi bersejarah ini berhampiran sempadan antara Melaka dan Negeri Sembilan. Lokasi yang dikenali sebagai Kota Lama itu berada di atas puncak bukit menghadap Selat Melaka telah dibina ratusan tahun dahulu oleh pahlawan Bugis yang punyai kuasa taklukan di Linggi suatu ketika dulu. Pada awalnya, kota itu merupakan kubu kuat tentera Bugis di bawah naungan Daeng Lima Bersaudara yang mula menguasai Linggi dengan membina empayar mereka.



Malah, menjadikan kawasan itu sebagai pusat jajahan dan kota persinggahan ketika meluaskan takhta mereka hingga ke Johor, Riau dan Lingga. Kota itu kemudiannya telah diserahkan kepada Belanda setelah tentera Bugis kalah menentang kuasa jajahan mereka menjadikan Belanda mengambil alih kuasa pentadbiran serta menguasai kegiatan bijih timah di sekitar Sungai Linggi dan Sungai Rembau. 


Kehadiran askar Belanda dari Sepoy, India pada ketika itu telah menjaga kawasan tersebut sehinggakan perkataan ‘Sepoy’ itu telah menjadikan nama kawasan tinggalan sejarah ini kekal hingga hari ini sebagai ‘Fort Supai’ atau Kota Bukit Supai.


Kota ini pada pandangan mata kasar adalah berbentuk empat segi bujur...lengkap dengan landasan dan rawang meriam di sekelilingnya. Terdapat dua pintu yang berkemungkinan untuk tujuan masuk dan keluar dari kota ini. Kesan dari runtuhan yang terdapat di bahagian dalamnya, jelas menunjukkan bahawa ada binaan bangunan pada masa dahulu. Berkemungkinan bangunan tersebut dijadikan sebagai tempat untuk mengawasi keluar masuk kapal dari Kuala Sungai Linggi.


Kisahnya bermula..... Sebelum pihak Belanda menguasai Rumah Api Tanjung Tuan (Cape Rachado Lighthouse), Belanda mahu mempunyai akses kepada perdagangan bijih timah di lembangan Sungai Linggi. Sungai Linggi merupakan sempadan semulajadi yang memisahkan Melaka - Negeri Sembilan. 


Namun, ini mengundang rasa tidak puas hati kebanyakan penduduk Bugis yang mengusahakan aktiviti tersebut. Ini menyebabkan tercetusnya peperangan antara Belanda - Bugis pada tahun 1756. Namun begitu, peperangan tersebut hanya berlarutan kurang 2 tahun. Pada 1 Januari 1758, perjanjian damai telah ditandatangani antara keduanya iaitu Belanda dan juga Bugis, yang mana dari hasil perjanjian itu telah membolehkan Belanda menguasai kota ini dan juga penghasilan bijih timah yang dilombong di Pendalaman Sungai Linggi dan Rembau. Namun begitu, kota ini telah ditinggalkan setelah penghasilan bijih timah semakin berkurangan.


Persekitarannya kini telah menghadapi ancaman kemusnahan nilai-nilai sejarahnya kerana di makan usia. Ia dibina berasaskan batu merah/laterit. Namun, disebabkan ia 'tenggelam' berpuluh tahun selepas perang, maka ia dilupakan sehingga hampir keseluruhan dindingnya runtuh dan rosak. Namun begitu, pada tahun 1974, Jabatan Muzium dan Antikuiti mengambil alih kota ini dan menyelamatkan runtuhan kota ini daripada terus berlaku. Kini kerja-kerja penyelenggaraan dan kebersihan kota ini adalah dibawah Majlis Daerah Alor Gajah.




Kota ini terbiar mungkin kerana kurangnya promosi pelancongan di sini, malah mungkin pelancong tak datang ke sini kerana kurangnya kemudahan infrastruktur seperti laluan masuk, medan selera serta kemudahan lain untuk pelancong. Peninggalan warisan negara ini perlu dikekalkan, malah ia turut menjadi aset negara lebih -lebih lagi Melaka.

Sekian.

1 comment:

  1. Visit this site

    ===============================
    https://alado52.blogspot.com
    ===============================

    ReplyDelete