Tuesday, 31 March 2020

Jom Buat Minum Petang Roti Jala dan Kari Ayam

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Hai korang semua… Apa khabar hari nii? Dah seminggu lebih terkurung kat rumah disebabkan PKP….mesti bosan kan! Aku pun macam tuu… Dah naik cemuih. Kalau ikutkan hati, macam-macam aku nak buat sebab aku nii banyak sangat hobi. Ada masa terluang jer memang aku tak buang masa…melukis laa…mengait laa…menjahit laa…memasak dan macam-macam lagi.


Hari nii aku nak kongsi dengan korang resepi untuk buat roti jala dan kuah kari ayam untuk minum petang. Tak susah sangat pun nak buatnya. Aku pun 1st time buat pundah menjadi. Disebabkan aku takde kuali leper so aku guna jer kuali biasa yang tidak melekat buatan Korea.

Jom kita mulakan dengan membuat roti jala dahulu…

Bahan-Bahan:
3 Cawan Tepung Gandum
3 Cawan Air
1 Biji Telur
1/2 Sudu Teh Serbuk Kunyit
1/2 Sudu Teh Garam


Cara-Cara:
1. Masukkan semua bahan ke dalam bekas dan kacau sebati.
2. Tapiskan adunan menggunakan penapis santan supaya tidak berketul dan halus.
3. Cuba dahulu sama ada adunan mudah keluar dari acuan botol atau tidak.
4. Jika susah keluar, tambahkan lagi sedikit air dan kacau sebati.
5. Bakar adunan di atas kuali leper hingga garing dibawahnya dan nampak tidak melekat.
6. Bila dah masak angkat dan letakkan di atas pinggan.
7. Kemudian lipat atau gulung roti jala tu mengikut kesukaan korang...nak gulung atau lipat jadi tiga segi.


Tak susah pun buat roti jala nii kan!!…Cuma korang kena rajin sikit laa. Aku pun baru pertama kali cuba...dan jadi pun roti jalanya. Untuk bancuhan ini korang akan dapat dalam 12 hingga 15 biji roti jala (boleh makan untuk 2 hingga 3 orang). Sekiranya korang mempunyai famili yang ramai...pandai-pandai laa korang ejuz yea.


Semasa korang nak menjala roti ini di atas kuali....buat dengan perlahan supaya corak jalanya dapat dibentuk cantik. Kalau korang buat laju-laju akan nampak jalanya putus-putus. Saiz roti jala ini ikut pada korang punya kehendak dan juga saiz kuali. Oh yaa...nak lipat roti jala nii kena waktu panas-panas untuk nampak lipatannya cantik dan kemas. Kalau korang lipat waktunya sejuk...lipatannya jadi tak cantik dan mungkin terkoyak.


Cara untuk melipat roti jala nii ialah...mula-mula korang lipat dahulu kiri dan kanannya...kemudian dari bahagian bawah korang gulung ke atas hingga penghujungnya. Mudah jer kan! kan! Ada juga yang buat bentuk tiga segi... dan sekarang viral roti jala bentuk bunga ros. Bagi aku yang paling mudah adalah bentuk gulung.


Untuk bahan-bahan bagi membuat Kuah Kari Ayamnya pula ialah...

Bahan-Bahan 
1/2 ekor ayam dipotong kecil
2 biji kentang potong dadu atau belah kepada dua atau 4 bahagian pun boleh
3 ulas bawang merah dihiris
3 ulas bawang putih ditumbuk halus/ kisar
4 ulas bawang merah ditumbuk halus/kisar
1 cm halia ditumbuk halus/kisar
4 sudu besar rempah kari ayam
2 sudu kecil cili kering blend
3 sudu makan serbuk ketumbar/ tumbuk ketumbar
sikit saja air asam jawa/ 1 keping kecil asam keping
1 kotak santan kara atau sebarang jenama/santan sebenar
air secukupnya untuk kuah
sikit minyak
garam & perasa secukupnya
bunga lawang, kayu manis dan biji pelaga
daun kari 3 tangkai

 

Cara-Cara 
1. Panaskan minyak, masukkan hirisan bawang merah, daun kari dan tiga sekawan kayu manis. Biarkan sehingga terbit bau.

2. Masukkan bahan yang ditumbuk dan bahan campuran rempah. Kacau dan biar hingga wangi.

3. Masukkan isi ayam dan sedikit air. Biar mendidih dan  ayam hampir masak.

4. Masukkan bahan-bahan lain spt ubi kentang, santan, garam & perasa dan masak hingga kentang empuk. 

5. Renihkan kuah dengan api yang kecil sehingga terbit minyak.

6. Biarkan secukup rasa.

7. Sedia untuk dihidangkan bersama roti jala.


Selain Kuah kari ayam...roti jala nii juga boleh dimakan dengan serawa durian dan juga kuah sardin. Ikut pada kesukaan korang. Aku lebih suka makan dengan kuah sardin.


Korang boleh la cuba resepi yang aku bagi nii kalau korang teringin nak makan roti jala. Yea laa musim PKP nii asyik rasa lapar nak makan jer kan sebab bosan dok terkurung kat dalam rumah. Husband aku pun sama jer...asyik lapar dan tiap-tiap hari suruh buat minum petang. Selamat mencuba yea..

Sekian.

Monday, 23 March 2020

Masjid Teluk Kampung Memali... Masjid Tertua Di Daerah Perak Tengah

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Hai korang semua...Apa khabar hari nii? Aku doakan semoga korang semua berada dalam keadaan sihat walafiat hendaknya. Hari nii aku nak story pasal sebuah bangunan bersejarah yang sangat cantik bagi sudut pandangan aku. Bangunan bersejarah yang aku nak citer nii ialah Masjid Lama Teluk Kampung Memali yang terletak di Kampung Gajah, Perak. Ceritanya bermula semasa... aku sedang melakukan kerja-kerja pemantauan tapak dan juga inventori makam-makam bersejarah di sekitar Negeri Perak pada tahun 2013. 



Setiap bulan team aku akan buat pemantauan ke atas tapak Kubur JWW Birch. (Birch dilantik sebagai Residen British yang pertama di Perak pada November 1874. Tugasnya ialah mengutip cukai dan mentadbir Perak. Birch telah dibunuh dengan kerjasama Dato Maharaja Lela dan rakan-rakannya iaitu Datuk SagorSiputumPandak EndutLaksamana Mohamad AminNgah IbrahimNgah Jabor dan lain-lain. Beliau dibunuh di Pasir Salak pada 2 November 1875).



Setelah selesai kerja di kubur JWW Birch...kami ingin mencari Makam Sultan Perak ke 19 iaitu Makam Paduka Seri Sultan Abdul Malik Mansur Shah dan Makam Sultan Abdul Malik. Di sebabkan laluan di sebelah kubur JWW Birch bersemak samun...kami cuba pula untuk melalui di sebelah kampung Teluk Memali ini. Ketika sibuk mencari makam-makam inilah kami terjumpa dengan Masjid Lama Teluk Kampung Memali ini. Pada ketika itu....keadaan masjid ini masih lagi baik tetapi lalang telah tumbuh melebihi 1 meter yang membuatkan niat kami untuk memasuki masjid ini terbantut. Pemantauan bulan hadapannya pula....kami berusaha untuk memasuki masjid ini dan usaha kami berjaya iaitu pada April 2013.



Pada penghujung tahun 2013... Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara ada datang untuk melihat masjid ini....dan bercadangan untuk memindahkan masjid ini ke Muzium Taiping untuk kegunaan pengunjung yang datang melawat. Pelbagai usaha bersama penduduk setempat telah cuba dilakukan tetapi kengkangan kewangan pada masa itu menyebabkan masjid ini kekal di tempat asalnya. 


Masjid Lama Kampung Teluk Memali yang terletak di Kampung Gajah berkemungkinan merupakan sebuah rumah ibadah tertua di daerah Perak Tengah.

Aku difahamkan... Kawasan tempat masjid ini dibina dahulunya dikenali sebagai Bandar Baru yang menjadi pusat pemerintahan Sultan Abdul Malik Mansur Shah. Kawasan ini kemudiannya diambil alih serta dijadikan sebagai pusat pentadbiran pihak British selepas perjanjian Pangkor ditandatangani. Rumah residen dan kubu pertahanan British pernah berdiri di sini sebelum hilang ditelan masa. 



Masjid Lama Kampung Teluk Memali ini dipercayai dibina pada tahun 1910 di atas tapak sebuah surau yang telah didirikan pada tahun 1900 sebelum itu. Surau asal dibina di tebing Sungai Perak mengalami masalah dengan hakisan tebing dan bangunan surau tersebut kemudiannya dipindahkan ke lokasi yang lebih selamat oleh penduduk kampung.
Masjid Lama Kampung Teluk Memali ini mempunyai seni bina dan reka bentuk yang menggambarkan ciri-ciri rumah Melayu tradisional yang indah. Masjid ini mempunyai nilai seni dan tahap pertukangan yang tinggi yang dapat dilihat pada mimbar, selusur tangan dan ukiran panel dinding yang diukir dengan motif bunga yang rumit dan halus yang memiliki pengaruh dari Sumatera, Belanda dan British selain Asia Barat. Seni bina pada bumbungnya berbentuk piramid serta ‘papan cantik’ pada cucur bumbung pula menggunakan reka bentuk dan seni ukiran dari Sumatera. Mimbarnya pula bercirikan seni bina Acheh, terdapat dua tiang berbentuk roman di ruang tangga serta beberapa ayat pada mimbar dan pintu masuk dengan corak khat ‘thuluth'




Masjid ini turut menggunakan pelbagai motif lama seperti sulur bayur pada mahkota atap mimbar dan kepala cicak pada sudut bumbung seperti yang terdapat di kebanyakan rumah tradisional Melayu lain di negeri ini. Pada belakang kerangka mimbar pula tercatat nama pengukir Megat Ja’afar keturunan Megat Terawis yang juga pengukir terkenal ketika itu dan tahun pembuatannya iaitu pada 1339. Notis pengumuman kuliah pada pintu, catatan senarai nama imam yang bertugas bagi tempoh selama bertahun-tahun di bawah mimbar masjid, serta beberapa buku agama dan naskhah al-Quran lama juga turut dijumpai semasa kerja-kerja pemindahan ingin dilakukan. Kebanyakan strukturnya menggunakan kayu cengal dan tualang.

Ketika aku memasuki ke dalam masjid ini...aku sudah terpukau dengan seni pertukangan pada mimbarnya yang sangat halus dan cantik....dengan warna kuning dan biru yang menonjolkan lagi seni ukiran tersebut. Terasa macam nak bawa balik ke rumah jer...haaa...haaa...haaa....

Rekabentuk masjid ini dibina sebagai tindak balas kepada keadaan iklim Malaysia yang panas dan lembap; bumbung cerun untuk membolehkan air hujan untuk bergerak cepat, tiang untuk menaikkan masjid di atas paras tanah untuk mengelakkan dari banjir, banyak tingkap kecil dan ukiran panel untuk membolehkan pengudaraan silang secara semula jadi.

Sebenarnya... kawasan penempatan sekitar Masjid Lama Kampung Teluk Memali mula ditinggalkan akibat sering mengalami banjir dari limpahan air Sungai Perak terutama di musim hujan yang menyebabkan penduduk berpindah kira-kira 2 kilometer ke penempatan Kampung Teluk Memali sekarang ini. Sebab tu korang boleh nampak kesan-kesan tanah akibat banjir dan juga kesan kelembapan pada dinding. Kalau musim hujan... aku terpaksa menapak (berjalan kaki) ke sini untuk melakukan kerja-kerja pemantauan kerana jambatan akan dilimpahi dengan air sungai...so kenderaan tak boleh nak lalu.

Aku difahamkan juga Masjid Lama Kampung Teluk Memali dipercayai sudah tidak digunakan sejak tahun 1997 serta terbiarkan usang tanpa sebarang penjagaan yang menyebabkan beberapa barangan milik masjid ini telah hilang dan rosak.
Di atas kesedaran mengenai nilai sejarah dan kepentingan untuk memulihara bangunan bersejarah tersebut buat tatapan generasi akan datang, masjid lama yang telah berusia 110 tahun ini telah dipindahkan ke tapak baru untuk dibangunkan semula sebagai sebuah surau di kawasan seluas 0.5 ekar di Taman Seri Bougainvillea, Bandar Seri Botani, Ipoh.


orangperak.com
Usaha murni pemuliharaan warisan tersebut dilaksanakan ATSA Architects Sdn Bhd (ATSA Architects) dengan kerjasama arkitek Masjid Negara, Datuk Dr Baharuddin Abu Kassim dan Politeknik Ungku Omar.
Projek ini juga telah mendapat mendapat kelulusan dan sokongan dari Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, Jabatan Mufti Negeri Perak dan Majlis Bandaraya Ipoh dan penduduk asal Kampung Teluk Memali sebagai pemegang amanah Masjid Lama Kampung Teluk Memali.

Kerja-kerja pemuliharaan bermula pada 2016 dengan usaha...... memindahkan masjid ini ke Ipoh dengan kerja-kerja menanggalkan struktur utama dan pemindahan sebuah mimbar kayu dari dewan solat utama masjid ke balai raya yang berdekatan.
orangperak.com
Pada 22 Jun 2016, struktur kolah telah diangkat dan dibawa keluar dengan menggunakan kren dan kemudian diangkut ke tapak baru pada hari yang sama dan turut melibatkan sekumpulan tukang kayu dari Ipoh serta diselia oleh konservator berlesen dari Politeknik Ungku Omar.

Setelah semua komponen struktur kayu yang ditanggalkan akan ditandakan terlebih dahulu sebelum diangkut menggunakan lori dan kemudiannya disimpan dengan teratur.
orangperak.com
Usaha untuk merawat dan pertukangan dilakukan oleh tukang kayu tempatan iaitu Sohigh Enterprise dan semua kerja rawatan kayu telah dijalankan di bengkel mereka yang berada di Chemor, Perak sebelum hasilnya dibawa ke Taman Botani, Ipoh, Perak.


Malah untuk menjaga kualiti kayu yang digunakan dalam projek ini, pihak ATSA Architects turut mendapatkan nasihat dari Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) mengenai kayu yang sesuai untuk digunakan dan mereka mendapat kayu ganti yang terbaik dari Kemaman, Terengganu yang dibekalkan oleh Pesama Timber Corporation.
orangperak.com
Kos untuk pemuliharaan semula masjid ini dianggarkan mencecah RM600,000. Fasa pertama projek ini membabitkan urusan kerja tanah untuk tapak baru di Bandar Seri Botani, Ipoh dan kemudian diikuti dengan fasa kedua yang banyak memperincikan mengenai proses menanggalkan dan pemasangan semula komponen.

Fasa terakhir akan membabitkan proses seperti pemasangan bekalan elektrik dan air termasuk pembinaan ruang sokongan seperti bangunan tambahan untuk jemaah wanita dan aktiviti kemasyarakatan, tempat wuduk, tandas, pagar dan jalan raya. Masjid ini siap sepenuhnya pada Januari 2018.
orangperak.com
Usaha murni untuk memelihara warisan peninggalan bangsa oleh ATSA Architects ini wajar dipuji dan diberi penghargaan. Antara yang terbabit dalam usaha pemuliharaan masjid termasuk Jabatan Mufti Negeri Perak, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Pejabat Daerah dan Tanah Perak Tengah. Pemuliharaan masjid turut mendapat sumbangan daripada individu yang memiliki kepakaran berkaitan, selain kerja amal pelajar institusi di sekitar seperti PUO, Kolej Vokasional Lebuh Cator dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seri Iskandar.

Sebarang pertanyaan mengenai projek pemuliharaan dan pemindahan masjid ini, boleh hubungi Ketua Pegawai Operasi, ATSA Architects, Syed Kamal Affendi Syed Mustapha di talian 012-3292827 atau Mohamad Haziq Zulkifli di talian 018-3973535 dan e-melkan kepada masjid@memalimosque.com.my dan korang juga boleh menyumbang kepada akaun Tabung Pemindahan Masjid Teluk Memali bernombor 105280003201 (Affin Islamic Bank).
Untuk maklumat lebih lanjut mengenai usaha pemuliharaan dan perkembangan projek ini, sila layari laman web di www.memalimosque.com.my, serta laman Facebook di www.facebook.com/KgTelukMemaliOldMosque.

Sekian.

Sunday, 15 March 2020

Masjid Lama Masjid Tanah Melaka Dibina Menggunakan Tanah Liat Sungai.

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Hai korang semua... Apa khabarmu di sana hari nii? Entri aku hari nii pun masih lagi berkisahkan bangunan bersejarah. Lokasinya di Melaka Bandaraya Bersejarah. Dah lama dah pun aku menyimpan impian untuk sampai kat bangunan ini di sebabkan namanya. Akhirnya pada minggu lepas aku berjaya menjejakkan kaki aku kat sini iaitu di Masjid Lama Masjid Tanah. Yang menariknya....kawasan/mukim ini mendapat nama disebabkan masjid ini.


Masjid Lama Masjid Tanah pada asalnya dibina dengan menggunakan tanah liat yang berada di tepian sungai (sebelah kanan masjid). Tetapi kini ianya telah mengalami beberapa perubahan dan penambahan baru yang telah menenggelamkan senibina tanah tersebut. Korang boleh dapat lihat kesannya di tiga bahagian di masjid ini. Yang pertama di dalam masjid... di bahagian dinding, yang ke dua... di bahagian koridor luar sebelah kiri masjid dan yang ketiga...di bahagian pagar sebelah kanan masjid.



Selain itu... keistimewaan masjid ini kalau korang masuk di dalamnya...korang akan terpandang 4 tiang utama. Di tiang utama ini terutama dibahagian kaki terdapat ukiran flora dan kalau korang perasan kedudukkan tiang ini agak serong sedikit. Aku tidak tahu kenapa ianya dibuat begitu.



Rekabentuk masjid ini sangat simple iaitu segi empat tepat. Berbumbung tiga lapis yang mempunyai mahkota atap di puncaknyaDi bahagian kanan masjid ini terdapat kolah untuk mengambil wuduk, perigi dan juga tandas. Di bahagian kirinya pula terdapat kubur-kubur lama. Di koridor kiri terdapat tangga untuk mendaki ke ruang koridor bahagian atas di tengah-tengah ruang masjid.



Masjid Tanah ini dikatakan dibina oleh seorang Sheikh yang berasal dari Gujerat pada tahun 1800 an. Namun Haji Sulong bin Sibeng yang merupakan penduduk tempatan turut serta dalam menjayakan pembinaan Masjid Lama Masjid Tanah ini. Masjid ini pernah diubahsuai pada tahun 1951. Antara kerja-kerja yang dilakukan ialah memperbaiki tapak dan juga menggantikan atapnya. 



Masjid ini dijadikan sebagai tempat persinggahan sahaja setelah masjid baru Pekan Masjid Tanah siap dibina. Pada masa dahulu, Pekan Masjid Tanah adalah sebuah pekan hab-perdagangan yang dibawa daripada Kota Melaka ke daerah-daerah sekitar utara Negeri Melaka dan Alor Gajah atau sebaliknya. Pekan Masjid Tanah nii dihuni pelbagai lapisan masyarakat yang penduduk utamanya adalah berbangsa Melayu, Cina dan India.

Semenjak 3 tahun kebelakangan ini...masjid ini mula aktif dengan pelbagai program serta aktiviti antaranya kelas mengaji, ceramah, majlis maulidul rasul, program ramadhan dan sebagainya.



Disebabkan lokasinya yang berada di dalam daerah Alor Gajah dan berdekatan dengan sempadan Negeri Sembilan, sebilangan besar dari penduduk Masjid Lama Masjid Tanah dan kampung-kampung di sekitar masjid ini bertutur dalam loghat Negeri Sembilan atau loghat Minang; atau lebih dikenali oleh orang Masjid Tanah dengan loghat 'Hulu' atau 'Cakap Hulu'. Namun akibat peredaran zaman, adat ini makin lama semakin ditinggalkan.



Pada tahun 2018...masjid ini mula mendapat perhatian dari ramai orang yang ingin memberi sumbangan bagi mencantikkannya. Sumbangan yang diterima adalah dari pihak persendirian. Bangunan kedai dibahagian hadapannya telah dirobohkan. Kehadiran kedai ini telah memberikan pemandangan yang terhad ke atas masjid ini.



Masjid Lama Masjid Tanah ini tidaklah besar saiznya...dengan penambahan yang tidak ada perancangan yang betul boleh menenggelamkan rekabentuknya yang asal. Di bahagian hadapan telah dibina pagar yang telah menutup pandangan masjid ini. Pagar asalnya rendah sahaja. Bila aku ambik gambar dari luar...gambar aku jadi tak menarik disebabkan pagarnya yang tinggi dan telah menutup pandangan fasad. Gambar aku hanya boleh nampak bumbung jer. Dah la kedudukan masjid ini agak terlindung...kalau ada pelancong datang ke pekan ini...mesti tidak perasan akan kehadiran masjid bersejarah ini.



Sebelum aku bergerak balik...barulah aku perasan bahawa di bahagian tangga masjid ini ada terdapat jubin bermotif yang sangat cantik dengan 3 rekabentuk. 

Yang aku respek kat masjid ini ialah...ahlinya pandai mencari dana bagi kerja-kerja penyelenggaraan tanpa mengharapkan bantuan daripada kerajaan. Memandangkan masjid ini telah diwartakan sebagai bangunan warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 [Akta 645]...dengan itu ia tertakluk kepada garis panduan pemuliharaan bangunan warisan. Untuk kerja-kerja penambahan atau kerja-kerja baru perlulah mendapat kelulusan/persetujuan Pesuruhjaya Warisan Jabatan Warisan Negara terlebih dahulu kerana boleh disabit kesalahan dibawah seksyen 112 Akta 645.



Bangunan yang dibina menggunakan kapur tidak boleh dibaikpulih menggunakan simen kerana ia akan menyebabkan kerosakan yang lebih teruk ke atas bangunan tersebut. Sebab itu teknik kerja yang betul perlu diperolehi daripada Jabatan Warisan Negara sebagai agensi yang memberi nasihat. Harapan aku semoga masjid ini terus terpelihara sebagai produk pelancongan bersejarah di negeri Melaka ini. 

Sekian.

Friday, 6 March 2020

Kota Kuala Linggi Menjadi Pusat Jajahan Dan Kota Persinggahan Bugis Pada Masa Dahulu

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,


Hai korang semua.... Apa khabar hari ni? Semoga semuanya berada dalam keadaan sihat walafiat yea. Yang mana tak sihat tuu...jangan lupa makan ubat dan berehat. Hari nii aku nak menulis tentang sebuah kota bersejarah...iaitu Kota Kuala Linggi atau pun juga dikenali dengan nama Kota Supai.


Kota Kuala Linggi terletak di puncak Bukit Supai, Mukim Kuala Linggi, berdekatan Kampung Nelayan itu merupakan penghujung Negeri Melaka kerana lokasi bersejarah ini berhampiran sempadan antara Melaka dan Negeri Sembilan. Lokasi yang dikenali sebagai Kota Lama itu berada di atas puncak bukit menghadap Selat Melaka telah dibina ratusan tahun dahulu oleh pahlawan Bugis yang punyai kuasa taklukan di Linggi suatu ketika dulu. Pada awalnya, kota itu merupakan kubu kuat tentera Bugis di bawah naungan Daeng Lima Bersaudara yang mula menguasai Linggi dengan membina empayar mereka.



Malah, menjadikan kawasan itu sebagai pusat jajahan dan kota persinggahan ketika meluaskan takhta mereka hingga ke Johor, Riau dan Lingga. Kota itu kemudiannya telah diserahkan kepada Belanda setelah tentera Bugis kalah menentang kuasa jajahan mereka menjadikan Belanda mengambil alih kuasa pentadbiran serta menguasai kegiatan bijih timah di sekitar Sungai Linggi dan Sungai Rembau. 


Kehadiran askar Belanda dari Sepoy, India pada ketika itu telah menjaga kawasan tersebut sehinggakan perkataan ‘Sepoy’ itu telah menjadikan nama kawasan tinggalan sejarah ini kekal hingga hari ini sebagai ‘Fort Supai’ atau Kota Bukit Supai.


Kota ini pada pandangan mata kasar adalah berbentuk empat segi bujur...lengkap dengan landasan dan rawang meriam di sekelilingnya. Terdapat dua pintu yang berkemungkinan untuk tujuan masuk dan keluar dari kota ini. Kesan dari runtuhan yang terdapat di bahagian dalamnya, jelas menunjukkan bahawa ada binaan bangunan pada masa dahulu. Berkemungkinan bangunan tersebut dijadikan sebagai tempat untuk mengawasi keluar masuk kapal dari Kuala Sungai Linggi.


Kisahnya bermula..... Sebelum pihak Belanda menguasai Rumah Api Tanjung Tuan (Cape Rachado Lighthouse), Belanda mahu mempunyai akses kepada perdagangan bijih timah di lembangan Sungai Linggi. Sungai Linggi merupakan sempadan semulajadi yang memisahkan Melaka - Negeri Sembilan. 


Namun, ini mengundang rasa tidak puas hati kebanyakan penduduk Bugis yang mengusahakan aktiviti tersebut. Ini menyebabkan tercetusnya peperangan antara Belanda - Bugis pada tahun 1756. Namun begitu, peperangan tersebut hanya berlarutan kurang 2 tahun. Pada 1 Januari 1758, perjanjian damai telah ditandatangani antara keduanya iaitu Belanda dan juga Bugis, yang mana dari hasil perjanjian itu telah membolehkan Belanda menguasai kota ini dan juga penghasilan bijih timah yang dilombong di Pendalaman Sungai Linggi dan Rembau. Namun begitu, kota ini telah ditinggalkan setelah penghasilan bijih timah semakin berkurangan.


Persekitarannya kini telah menghadapi ancaman kemusnahan nilai-nilai sejarahnya kerana di makan usia. Ia dibina berasaskan batu merah/laterit. Namun, disebabkan ia 'tenggelam' berpuluh tahun selepas perang, maka ia dilupakan sehingga hampir keseluruhan dindingnya runtuh dan rosak. Namun begitu, pada tahun 1974, Jabatan Muzium dan Antikuiti mengambil alih kota ini dan menyelamatkan runtuhan kota ini daripada terus berlaku. Kini kerja-kerja penyelenggaraan dan kebersihan kota ini adalah dibawah Majlis Daerah Alor Gajah.




Kota ini terbiar mungkin kerana kurangnya promosi pelancongan di sini, malah mungkin pelancong tak datang ke sini kerana kurangnya kemudahan infrastruktur seperti laluan masuk, medan selera serta kemudahan lain untuk pelancong. Peninggalan warisan negara ini perlu dikekalkan, malah ia turut menjadi aset negara lebih -lebih lagi Melaka.

Sekian.