Wednesday, 26 February 2020

Melawat Ke Makam Hang Jebat Di Bandar Hilir Melaka

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Hai...semua. Apa khabar korang hari niii? Hari nii aku nak cerita tentang sebuah makam yang terletak di Jalan Gelanggang, Kampung Pali, Bandar Hilir Melaka berdekatan dengan Jonker Street.. Kedudukannya agak tersorok sedikit dan sekiranya korang tidak biasa dengan bandar Melaka...korang kena bertanya kepada penduduk sekitar untuk mencari makam ini. Makam ini dipercayai dipunyai oleh Hang Jebat iaitu salah seorang daripada 5 bersaudara.





Makam Hang Jebat terletak berdekatan dengan Makam Hang Kasturi. Dari Bangunan Stadthuys, ianya hanya mengambil masa 2 minit perjalanan yang sejauh 400 meter. Usia sebenar makam ini tidak dapat dikenal pasti tetapi rekabentuk batu nisan Acheh pada makam ini menunjukkan bahawa Hang Jebat diberi pengembumian sebagai seorang pahlawan walaupun kematiannya dianggap mengaibkan pihak istana. 

Kisah Hang Jebat menderhaka ini banyak diperdebatkan. Semasa hayatnya beliau telah dianggap menderhaka kepada sultan kerana menentang hukuman bunuh ke atas Hang Tuah. Hukuman tersebut dijatuhkan tanpa usul periksa dan siasatan tidak dilakukan. Sultan banyak mendengar hasutan daripada para pembesar yang ingin menjatuhkan Hang Tuah.




Menurut Hikayat Hang TuahHang Jebat telah dibunuh oleh Hang Tuah kerana menderhaka kepada Sultan. Hang Jebat dibunuh oleh Hang Tuah dalam satu pertarungan demi maruah yang berlangsung selama tiga hari tiga malam. Hang Jebat menggunakan Keris Taming Sari yang dianugerahkan oleh Sultan Melaka semasa melantiknya menjadi Laksamana. Keris itu dikatakan menjadikan Hang Jebat kebal. Semasa berlakunya pergelutan...Hang Tuah telah berjaya merampas semula keris Taming Sari lalu terus menikam Hang Jebat. Hang Jebat tidak terus mati, tetapi telah membalut lukanya dengan kain Cindai dan kemudiannya memasuki kampung untuk mengamuk, membunuh sesiapa sahaja yang melintas dihadapannya. Dia akhirnya menghembuskan nafas terakhir di pangkuan Hang Tuah. 















Keberanian dan ketegasan Hang Jebat untuk mencari keadilan sehingga sanggup menderhaka kepada Sultan menjadikan dia disanjung oleh sesetengah golongan sehingga ke zaman ini. Ungkapan katanya Raja Adil Raja Disembah, Raja Zalim Raja Disanggah! menjadi kata-kata hikmat setiap kali memperkatakan perjuangan untuk menuntut keadilan atau bila hendak memperkatakan kezaliman raja yang memerintah. 




Menurut sumber dari Sejarah Melayu, Hang Jebat dikatakan telah membuat perhubungan sulit dengan seorang dayang istana bernama Dang Wangi. Ada kisah yang menyebut bahawa sebenarnya Hang Jebat telah bernikah dengan Dang Wangi dan semasa Hang Jebat terbunuh, Dang Wangi sedang hamil. Hang Tuah kemudiannya menghantar Dang Wangi untuk tinggal di Singapura sehingga bersalin.




Sebaik sahaja Hang Nadim dilahirkan, beliau telah dijadikan anak angkat oleh Hang Tuah kerana Hang Jebat telah mewasiatkan kepada Hang Tuah agar menjaga anaknya sebelum beliau meninggal dunia. Sebaik sahaja meningkat dewasa, Hang Nadim dinikahkan dengan Tun Mas Jiwa atau Tun Emas Jiwa, anak perempuan kepada Hang Tuah. Hasil perkahwinan itu, pasangan ini dikurniakan seorang anak lelaki bernama Tun Mat Ali.


Hang Nadim dilantik menjadi Laksamana menggantikan Laksamana Khoja Hassan yang dipecat oleh Sultan Mahmud kerana memfitnah Bendahara Tun Mutahir. Dengan keberanian dan ketangkasan yang diwarisi dari arwah ayah dan bapa mertuanya, Laksamana Hang Nadim diberikan tanggungjawab mengetuai pasukan tentera kerajaan Melaka menentang pencerobohan Portugis pada tahun 1511. 

Ada juga kisah mengatakan kisah Singapura Dilanggar Todak.... budak bijak yang memberi pendapat supaya berkubukan batang pisang dari serangan todak dikatakan adalah Hang Nadim anak kepada Hang Jebat.

Begitulah ceritanya tentang kematian Hang Jebat yang ingin menuntut bela atas kematian Hang Tuah pada mulanya....


Sekian.

No comments:

Post a comment