Tuesday, 7 January 2020

Pembuatan Alat Muzik Gambus Di Batu Pahat, Johor

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,


Hai korang semua... Selamat Tahun Baru 2020...Semoga tahun nii korang lebih berjaya lagi untuk mencapai apa jua impian yang korang impikan selama nii. Dan aku harap semuanya berada dalm keadaan yang sihat walafiat. Hari nii ada kelainan sikit dalam entri aku. aku nak citer pasal pembuatan alat muzik tradisional Gambus yang aku fokuskan di Daerah Batu Pahat, Johor. Aku pun baru saja mengenali alat muzik ini secara lebih dekat. Kagum sungguh aku kepada tukang pembuat gambus nii..dapat menghasilkan bunyi yang sedap didengar dek telinga.... Tanpa membuang masa...jom aku mulakan...



Alat muzik tradisional bernama gambus sangat terkenal di negara Malaysia, lebih-lebih lagi di negeri Johor Darul Takzim. Gambus dipercayai berasal daripada alat muzik di negara Arab atau Timur Tengah yang diberi nama sebagai Oud, yang membawa maksud kayu, ranting atau tangkai mudah luntur atau juga disebut sebagai sebongkah kayu. Nama gambus atau Oud bukan sahaja terdapat di Gagasan Asia yang terdiri daripada negara Malaysia, Brunei, Indonesia dan juga Singapura. Kesenian ini dipercayai berasal dari satu kesenian tradisi masyarakat Arab yang dibawa dari Hadhramaut melalui perhubungan para pedagang Arab kemudiannya mula berkembang ke Singapura dan juga negeri Johor pada abad ke-19 menerusi Kepulauan Indonesia seperti Surabaya dan Betawi, seterusnya mula berkembang ke Singapura dan negeri Johor pada awal abad ke-20.



Pada sekitar tahun 1920-an, terdapat beberapa tokoh yang bertanggungjawab memperkenalkan dan mengembangkan seni ini di Singapura dan juga Johor. Antara tokoh-tokoh yang mengambil inisiatif untuk mengembangkan kesenian Gambus Johor atau Gambus Arab ini kepada masyarakat berketurunan Arab di Johor khususnya di Johor Bahru, Muar dan Batu Pahat iaitu Tuan Syed Abdullah Al-Habsyi, Tuan Syed Ali Abdul Rahman Al-Syagof dan Husin bin Omar Bakshir. Dua orang tokoh bagi Gambus Johor atau Gambus Arab tempatan yang pernah aktif suatu ketika dahulu dan sehingga ke penghujung tahun 1990-an ialah Syed Bakar bin Abdul Rahman dan Syed Hasan bin Al-Marugah. Di Johor juga terdapat dua bentuk persembahan gambus. Pertama, adalah persembahan gambus pada majlis perkahwinan orang-orang Melayu dan kedua adalah untuk persembahan untuk tarian zapin.
          
  
Gambus berbentuk seperti buah pear yang dibelah dua dan ia merupakan sejenis alat muzik tradisional bertali di Malaysia. Gambus mencetuskan genrenya tersendiri dan dimainkan dalam tarian Zapin sebuah tarian tradisional di negara-negara Asia Tenggara Islam. Gambus terdapat dalam pelbagai jenis iaitu dari gambus tiga tali sehingga gambus yang mempunyai 12 tali.


Gambus Melayu umumnya memiliki  empat penyiput, 5 senar (tali) ganda dan 1 senar  tunggal.



Encik Halidan bin Ithnin adalah satu-satunya pembuat gambus di negeri Johor dengan menggabungkan corak bunga Malaysia bagi menghiasi alat muzik gambus, selaras dengan tradisi, budaya dan identiti Melayu. Beliau dipilih untuk penyelidikan ini kerana mahir dalam pembuatan alat muzik gambus dan juga persembahan. 



Encik Halidan mula meminati gambus apabila sering mengikuti pakciknya membuat persembahan di sekitar negeri Johor dan mula bergiat aktif pada tahun 1996. Pakciknya mula bermain gambus sejak tahun 1963. Pada tahun 2010, barulah beliau memberi fokus yang mendalam di dalam pembuatan alat muzik gambus ini. Encik Halidan memperolehi Bengkel Industri Budaya hasil sumbangan dari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dibawah Program Pembangunan Keusahawanan Senibudaya Dasar Industri Kreatif Negara disebabkan usaha dan minat beliau yang tinggi dalam seni gambus ini.



Cara pembuatan gambus tidak jauh berbeza dengan pembuatan kompang. Perbezaannya adalah terletak dari segi bentuknya saja. Gambus mempunyai penyiput bagi menegangkan senar, sementara kompang hanya dibuat bulat. Terdapat tiga komponen utama pada rekaan bentuk gambus iaitu kepala, leher dan badan gambus.



Pada masa dahulu, gambus dibuat menggunakan batang pokok itu sendiri. Maksudnya, batang kayu itu ditebuk di bahagian tengahnya dan seterusnya dibentuk mengikut bentuk gambus. Tetapi sekarang, disebabkan bekalan kayu semakin berkurangan, maka seni pembuatan gambus diubahsuai menjadi lebih mudah. Proses pembuatan alat muzik gambus ini ada beberapa peringkat. Proses pembuatan gambus memerlukan ketelitian, di mana setiap bahagian memerlukan sentuhan tangan dan setiap langkah adalah penting dalam menghasilkan gambus yang berkualiti tinggi.     

      
Langkah pertama adalah mencari bahan mentah iaitu kayu. Gambus dibuat dari batang pokok dari jenis yang ringan seperti kayu angsana atau nibung, kayu nangka, kayu jati merah dan kayu  maruas. Respondan suka menggunakan kayu nangka (Artocarpus heterophyllus) sebab ringan dan mudah dibentuk. Bahan mentah ini akan dicari sekitar kampung atau pun di kampung berhampiran. Selain itu batang pokok angsana (pterocarpus indicus),  cempedak (Artocarpus integer), cengal (Neobalanocarpus heimii)  dan nibung (oncosperma tigillaria) juga boleh digunakan untuk membuat gambus. Kayu pokok ini dipilih sebagai bahan gambus kerana tekstur kayunya yang lebih lunak, mudah dipahat, kuat, ringan dan tidak berubah bentuk atau retak ketika kering. Kayu keras tidak sesuai untuk dijadikan gambus kerana boleh mempengaruhi kelunakkan bunyi. Sekiranya bahagian badan gambus tebal, bunyi gambus akan agak tajam, manakala kayu yang lembut boleh mengeluarkan bunyi yang lebih besar serta terkawal.



Langkah ke dua adalah memotong kayu menjadi kepingan nipis. Batang pokok yang sudah ditebang, kemudian dipotong mengikut ukuran yang dikehendaki. Kemudian kayu tersebut dipotong nipis seperti papan lapis mengikut ukiran tertentu iaitu lebih kurang 30 cm X 8 cm untuk dijadikan badan gambus. Setelah direndam, kerja-kerja melayur kepingan kayu dilakukan bagi tujuan membengkokkan kepingan tersebut.



Langkah ke tiga adalah membentuk badan gambus. Kepingan kayu yang telah dibengkokkan akan dipasang pada acuan kerangka besi bagi membentuk badan gambus. Kepingan kayu dua warna dicantum secara berselang-seli bagi menambahkan kecantikan rupa bentuk gambus dan kemudian digamkan. Gambus yang separuh siap ini akan dibiarkan untuk beberapa hari supaya ianya kemas terbentuk dan kukuh. Badan gambus yang telah siap dibentuk ini kemudiannya dihaluskan dengan menggunakan kertas pasir.



Langkah ke empat adalah membuat papan pemuka gambus. Kayu nangka dipotong nipis membentuk seakan buah pear dan dilubangkan dibahagian tengahnya. Kepingan kayu ini dipasang pada badan gambus yang telah dibentuk terlebih dahulu. Gambus Melayu Malaysia umumnya memiliki satu buah lobang bunyi kecil dibahagian papan pemukanya, juga ada lubang suara di bahagian belakang gambus yang biasanya ditempatkan sedikit bawah bahagian perut gambus.


  

Langkah ke lima adalah mengukir 'bakal’. Lubang bahagian tengah ini akan dibuat ‘bakal’. Bakal diukir dengan pelbagai motif corak antaranya flora, fauna dan juga tulisan jawi. Setelah siap diukir Bakal diperhaluskan dengan menggunakan kertas pasir sehingga bersih. Setelah itu, bakal tersebut disapu dengan minyak kelapa agar berkilat. Kemudian dijemur sehingga kering dan proses ini dilakukan berulang-ulang kali sehingga benar-benar kering dan kilat seperti yang diinginkan oleh seorang pembuat gambus. Akhir sekali barulah ianya ditampalkan pada lubang papan pemuka gambus tadi.



Langkah ke enam adalah mengecat. Keseluruhan gambus ini akan dicat atau disapu dengan minyak kelapa dan dijemur berulang-ulang kali. Ada juga yang mengecatnya menggunakan wax berwarna kayu yang bertujuan untuk mengekalkan ketahanan dan mencantikkan gambus tersebut.


Langkah ke tujuh adalah memasang hiasan. Penyiput adalah kayu yang dipasang dibahagian pangkal atas (kiri dan kanan) gambus. Ada penyiput yang dibuat seakan bentuk tanduk. Pada sebuah gambus, kebiasaannya terdapat empat buah penyiput yang berfungsi untuk menyamakan dan menegangkan senar (tali) gambus.
       
             
Langkah terakhir ialah kerja-kerja kekemasan. Ini termasuklah pemasangan senar (tali) pada gambus serta memastikan bunyinya tidak sumbang. Senar yang digunakan ialah tali tangsi yang berukuran 60 paun kerana halus dan akan menghasilkan bunyi yang halus juga. Senar diukur mengikut panjang gambus iaitu dari kepala hingga ke kuda-kuda. Senar dipasang satu persatu sebanyak 6 helai. 1 helai dipasang secara ganda (double) dan 1 helai dipasang secara tunggal (single). Kemudian, senar dipasang dengan cara mengikat hujungnya pada bahagian pangkal atas dan menariknya ke bahagian kuda-kuda. Senar tersebut kemudiannya dipaku.



Tanduk kerbau digunakan sebagai penyendal atau lebih dikenali sebagai kuda-kuda gambus kerana ia akan menghasilkan bunyi yang lebih baik. Jarak kuda-kuda daripada bawah papan pemuka gambus ialah lebih kurang tiga inci. 

Proses membuat sebiji gambus ini mengambil masa lebih kurang 2 minggu hingga 3 minggu. Ukuran panjang keseluruhan gambus umumnya sekitar 1 meter, dengan ketebalan 10-15 cm dan lebar 20-25 cm.


Harga bagi sebiji gambus bermula dari RM 1600 hingga mencecah puluhan ribu mengikut kepada jenis kayu dan juga seni ukirannya. Ramai yang tidak mengetahui gambus dihasilkan di negara ini mendapat sambutan menggalakkan malah mampu menjadi antara perusahaan yang berdaya maju jika dilakukan dengan serius. Ketelitian dan kehalusan ukiran gambus menjadikan ia antara koleksi alat muzik tradisional yang unik dan ramai peminat terutama dari Indonesia, Brunei dan negara Barat membelinya kerana mutunya. Malah, ada pembuat gambus sudah menghasilkan lebih 2,000 unit alatan muzik tradisional itu untuk tempoh 10 tahun, malah permintaan semakin bertambah kerana ia menjadi intrumen yang turut dimainkan dalam lagu moden.



Persembahan gambus pada 1970-an hingga 1980-an dimainkan di tempat yang dibina khas dipanggil 'balai', yang diperbuat daripada kayu, berlantaikan papan dan beratapkan nipah atau zink. Persembahan gambus selalunya diadakan selepas waktu Isyak untuk menghiburkan saudara-mara, jiran tetangga dan kenalan yang banyak membantu dalam majlis perkahwinan pada siang hari sebagai tanda terima kasih daripada tuan rumah.

Gambus, kebiasaannya dipetik secara solo atau berkumpulan. Kumpulan gambus juga mempunyai penyanyi dan pada kebiasaannya penyanyi utama dalam kumpulan gambus adalah pemain gambus itu sendiri.  Persembahan gambus dikaitkan dengan lagu-lagu tradisional yang ada kalanya mempunyai moral, keagamaan dan nasihat. Dalam konteks sajian sebagai hiburan peribadi, penyajian Gambus Melayu lebih banyak bermain secara spontan, tanpa sebarang perancangan kecuali di majlis-majlis formal. Dalam perkembangannya terkini, alat muzik Gambus sering dimainkan untuk mengiringi tarian Zapin yang biasanya disertai dengan beberapa alat muzik seperti marwas, bongo, biola, akordion, marakas serta kuiben. Alat muzik Gambus tidak hanya dimainkan di atas rumah saja, tetapi juga dimainkan oleh para nelayan di atas perahu sambil memancing, atau sebagai hiburan dikala sedang menyusuri sungai. 
 Sekian.

2 comments: