Tuesday, 28 January 2020

Air Freshener De'Xandra Memang Best!! Bau Sedap Dan Tahan Lama...

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,


Hai...hai..hai.. Apa Khabar korang semua hari nii? Sihat-sihat ajer yea hendaknya. Hari nii aku nak buat review lagi pasal produk. Tapi kali nii produk wangian untuk kereta. Sebab apa aku nak buat review...sebab aku rasa produk nii memang best giler. Jenama nii dah lama gak dipasaran...kalau tak salah aku start tahun 2015. Ok apa kata kita kenal dulu produk nii...iaitu De'Xandra.


Pengasas De'Xandra ialah Puan Ernayanee Nur Binti Julaimi dan beliau mewujudkan produk selepas 5 tahun beliau berniaga perfumes dari pelbagai jenis bermula dari Pati Perfumes sehingga ke original perfume. Beliau banyak membantu pelajar dan juga surirumah berniaga secara online menggunakan program dropship. 


Disebabkan kesukaran mendapat stock dan pengeluarannya yang agak terhad maka beliau mula merancang selama hampir setahun untuk mengeluarkan perfumes sendiri. Kajian yang beliau lakukan selama 5 tahun mendapati terdapat 3 ciri-ciri permintaan yang paling utama bagi penggemar perfumes antaranya.....

1)   Tahan Lama Dengan Harga Budget
Ciri utama yang dimahukan oleh penggemar perfumes ialah ketahanannya tetapi kadang-kadang menjadikan ianya sukar diperolehi.

Oleh itu, beliau telah membuat kajian tentang pati perfumes dan akhirnya lahirlah....DE'XANDRA yang terhasil daripada pati yang terbaik dan selamat digunakan dengan harga mampu dimiliki.

2) Boleh Bawa Solat
​Beliau mengambil inisiatif untuk mengesahkan alkohol terbaik dari ekstrak tumbuhan. Alkohol De'Xandra ialah dari Ekstrak tebu dan ianya  boleh di bawa solat.

3) Boleh Bawa Travel
Dengan kandungan 35ml, pasti ramai yang menyukainya kerana mudah dibawa travel dan juga outstation.


Tadi korang dah tahu kan bagaimana De'Xandra ini bermula. Tapi hari nii aku lebih fokuskan pada wangian kereta atau Air Freshener kerana produk ni produk baru dipasaran. Bagaimana aku boleh terbeli Air Freshener nii...? Tak pernah terlintas kat fikiran aku pun pada awalnya nak beli air freshener nii. Ianya terjadi sebab husband aku selalu merokok di dalam kereta aku dan air freshener kereta pulak dah berkurun lamanya habis. Setiap kali husband aku merokok pasti aku akan batuk. Satu hari tuu ketika sedang makan di sebuah kedai...aku ternampak kedai nii ada jual air freshener...so aku suruh husband aku belikan. Bila guna kat dalam kereta memang best giler tau... rupa-rupanya jenama De'Xandra...


Kelebihan Air Freshener De'Xandra nii...ialah ia tahan lama dan baunya sedap. Boleh cover untuk satu bilik tido yang bersaiz kecil atau pun bilik air. Kalau korang letak dalam kereta...still korang boleh tercium baunya hingga di seat belakang...(aku pakai kereta Alza). Yang aku perasan Air Freshener De'Xandra nii lebih pekat sedikit baunya berbanding dengan jenama lain yang ada dipasaran.

Rose Forest

Terdapat 8 jenis bauan...antaranya rose forest, green tea, fassion fruit, fassion fine, vanilla fresh, forest dream, coffee warm dan roasted caramel. Wangian yang aku beli ialah rose forest....bau rosenya sangat kuat tapi tak lembut. Walau pun aku suka bau rose tapi yang nii aku kurang menggemarinya sebab baunya yang terlalu kuat bagi aku. Aku letakkan air freshener nii di bilik pejabat aku.

Fassion Fruit

Aku juga ada membeli bauan green tea..memang sedap dan terasa fresh sangat. Aku letakkannya di dalam bilik tido. Passion fruit pulak aku letakkannya di ruang tamu rumah...memang sedap dan manis baunya. Tapi yang paling best sekali adalah passion fine...aku letak di dalam kereta. Baunya lagi manis dari passion fruit...rasa sedap jer bau dalam kereta. Yang bagusnya kalau husband aku hisap rokok...dah tak de terhidu bau rokok tu. Kotaknya pun cantik dan kiut-miut...siap ada madah-madah pujangga gitu... Harga dipasaran adalah RM 10.00 satu tetapi kalau korang beli kat Shopee...korang boleh dapat dengan harga RM 5.90 satu.

Sekian.

Thursday, 16 January 2020

Mask Muka Yang Best Dipakai Dan Murah

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,


Hai korang semua…apa khabar hari nii? Hari nii aku nak buat review pasal produk kecantikkan....itu mask muka. Aku mempunyai beberapa produk mask muka yang sentiasa menjadi feberet aku.

Mask Muka terbahagi kepada 6 jenis utama 1. Tanah liat (Clay) 2. Peel-off (boleh tanggal) 3. Krim 4. Minyak Suam (warm-oil) 5. Wap (Thermal) 6. Semulajadi (Neutral)...Mask muka yang aku guna terdiri dari dua jenis iaitu yang jenis gel dalam tiub dan yang jenis sheet. Kalau di rumah aku selalu menggunakan yang jenis gel dan sekiranya aku outstation...aku akan bawa yang jenis sheet. Tujuan mask nii adalah untuk merawat kulit, merawat parut, wajah kusam dan sebagainya. 



Yang paling banyak dan kerap aku guna adalah yang arang tuu (warna hitam). Produk nii adalah dari Korea. Yang arang nii ada dua jenis iaitu untuk mencerahkan dan untuk kurangkan minyak bagi kulit jenis berminyak. Yang bestnya bila korang pakai produk nii...muka korang akan nampak bersih kerana mask niii akan menarik keluar segala jerawat putih dan hitam pada muka korang tu. Harganya tak mahal pun lebih kurang RM 7.50 hingga RM 8.00.



Yang kedua..aku suka guna mask gold 24 K tuu...pun dari Korea. Untuk pakai mask muka nii...korang kena bubuh tebal sikit kat muka korang...supaya lebih berkesan dan mudah ditanggalkan. Aku dapat harga dalam RM 8.00...

                                                                                             
Yang ke tiga aku suka guna mask muka kopi dari jenama 
Bath And Bodyworks....aku beli time sales RM 15.00 jer. Bila pakai memang menyerlah sangat bau kopinya tuu.  Mask nii lebih cair sikit berbanding dengan yang arang dan gold. Yang nii pun korang kena pakai tebal sikit.



Yang keempat aku suka guna mask muka green tea + orange blossom dari jenama Freeman. Mask muka nii tujuannya untuk mencerahkan...sebab kulit aku senang sun burn. Baunya pun sedap. Harganya lebih kutrang RM 19.90. Aku suka guna mask yang jenis peel off sebab tak susah nak membasuh. Pakai tisu basah jer pun dah ok....

Bila time malas datang...aku guna mask sheet. Mudah dan terus boleh digunakan. Pastikan dulu kegunaan mask muka tersebut apabila korang membelinya. Macam-macam jenis fungsi mask muka antaranya...1. Refreshing (Menyegarkan) 2. Brightening (Mencerahkan) 3. Rejuvenating (Memudakan) 4. Moisturizing (Melembabkan) 5. Delicate (Melembutkan).... dan sebagainya. Aku pakai mask muka nii pada waktu malam...time rehat dan lepak tengok tv. Masa yang diperuntukan...lebih kurang 45 hingga 1 jam...bergantung kepada jenis mask. Kalau yang jenis topeng (sheet) aku pakai dalam 10 minit hingga 15 minit jer. Aku guna mask nii seminggu sekali kecuali kalau kulit muka aku kena sun burn...aku akan guna dengan lebih kerap...setiap hari atau selang sehari...


Apa pun pastikan korang baca dulu label yang terdapat di setiap produk sebelum korang membelinya bagi memastikan ianya sesuai dengan kulit korang.
 


Sekian.

Tuesday, 7 January 2020

Pembuatan Alat Muzik Gambus Di Batu Pahat, Johor

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,


Hai korang semua... Selamat Tahun Baru 2020...Semoga tahun nii korang lebih berjaya lagi untuk mencapai apa jua impian yang korang impikan selama nii. Dan aku harap semuanya berada dalm keadaan yang sihat walafiat. Hari nii ada kelainan sikit dalam entri aku. aku nak citer pasal pembuatan alat muzik tradisional Gambus yang aku fokuskan di Daerah Batu Pahat, Johor. Aku pun baru saja mengenali alat muzik ini secara lebih dekat. Kagum sungguh aku kepada tukang pembuat gambus nii..dapat menghasilkan bunyi yang sedap didengar dek telinga.... Tanpa membuang masa...jom aku mulakan...



Alat muzik tradisional bernama gambus sangat terkenal di negara Malaysia, lebih-lebih lagi di negeri Johor Darul Takzim. Gambus dipercayai berasal daripada alat muzik di negara Arab atau Timur Tengah yang diberi nama sebagai Oud, yang membawa maksud kayu, ranting atau tangkai mudah luntur atau juga disebut sebagai sebongkah kayu. Nama gambus atau Oud bukan sahaja terdapat di Gagasan Asia yang terdiri daripada negara Malaysia, Brunei, Indonesia dan juga Singapura. Kesenian ini dipercayai berasal dari satu kesenian tradisi masyarakat Arab yang dibawa dari Hadhramaut melalui perhubungan para pedagang Arab kemudiannya mula berkembang ke Singapura dan juga negeri Johor pada abad ke-19 menerusi Kepulauan Indonesia seperti Surabaya dan Betawi, seterusnya mula berkembang ke Singapura dan negeri Johor pada awal abad ke-20.



Pada sekitar tahun 1920-an, terdapat beberapa tokoh yang bertanggungjawab memperkenalkan dan mengembangkan seni ini di Singapura dan juga Johor. Antara tokoh-tokoh yang mengambil inisiatif untuk mengembangkan kesenian Gambus Johor atau Gambus Arab ini kepada masyarakat berketurunan Arab di Johor khususnya di Johor Bahru, Muar dan Batu Pahat iaitu Tuan Syed Abdullah Al-Habsyi, Tuan Syed Ali Abdul Rahman Al-Syagof dan Husin bin Omar Bakshir. Dua orang tokoh bagi Gambus Johor atau Gambus Arab tempatan yang pernah aktif suatu ketika dahulu dan sehingga ke penghujung tahun 1990-an ialah Syed Bakar bin Abdul Rahman dan Syed Hasan bin Al-Marugah. Di Johor juga terdapat dua bentuk persembahan gambus. Pertama, adalah persembahan gambus pada majlis perkahwinan orang-orang Melayu dan kedua adalah untuk persembahan untuk tarian zapin.
          
  
Gambus berbentuk seperti buah pear yang dibelah dua dan ia merupakan sejenis alat muzik tradisional bertali di Malaysia. Gambus mencetuskan genrenya tersendiri dan dimainkan dalam tarian Zapin sebuah tarian tradisional di negara-negara Asia Tenggara Islam. Gambus terdapat dalam pelbagai jenis iaitu dari gambus tiga tali sehingga gambus yang mempunyai 12 tali.


Gambus Melayu umumnya memiliki  empat penyiput, 5 senar (tali) ganda dan 1 senar  tunggal.



Encik Halidan bin Ithnin adalah satu-satunya pembuat gambus di negeri Johor dengan menggabungkan corak bunga Malaysia bagi menghiasi alat muzik gambus, selaras dengan tradisi, budaya dan identiti Melayu. Beliau dipilih untuk penyelidikan ini kerana mahir dalam pembuatan alat muzik gambus dan juga persembahan. 



Encik Halidan mula meminati gambus apabila sering mengikuti pakciknya membuat persembahan di sekitar negeri Johor dan mula bergiat aktif pada tahun 1996. Pakciknya mula bermain gambus sejak tahun 1963. Pada tahun 2010, barulah beliau memberi fokus yang mendalam di dalam pembuatan alat muzik gambus ini. Encik Halidan memperolehi Bengkel Industri Budaya hasil sumbangan dari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dibawah Program Pembangunan Keusahawanan Senibudaya Dasar Industri Kreatif Negara disebabkan usaha dan minat beliau yang tinggi dalam seni gambus ini.



Cara pembuatan gambus tidak jauh berbeza dengan pembuatan kompang. Perbezaannya adalah terletak dari segi bentuknya saja. Gambus mempunyai penyiput bagi menegangkan senar, sementara kompang hanya dibuat bulat. Terdapat tiga komponen utama pada rekaan bentuk gambus iaitu kepala, leher dan badan gambus.



Pada masa dahulu, gambus dibuat menggunakan batang pokok itu sendiri. Maksudnya, batang kayu itu ditebuk di bahagian tengahnya dan seterusnya dibentuk mengikut bentuk gambus. Tetapi sekarang, disebabkan bekalan kayu semakin berkurangan, maka seni pembuatan gambus diubahsuai menjadi lebih mudah. Proses pembuatan alat muzik gambus ini ada beberapa peringkat. Proses pembuatan gambus memerlukan ketelitian, di mana setiap bahagian memerlukan sentuhan tangan dan setiap langkah adalah penting dalam menghasilkan gambus yang berkualiti tinggi.     

      
Langkah pertama adalah mencari bahan mentah iaitu kayu. Gambus dibuat dari batang pokok dari jenis yang ringan seperti kayu angsana atau nibung, kayu nangka, kayu jati merah dan kayu  maruas. Respondan suka menggunakan kayu nangka (Artocarpus heterophyllus) sebab ringan dan mudah dibentuk. Bahan mentah ini akan dicari sekitar kampung atau pun di kampung berhampiran. Selain itu batang pokok angsana (pterocarpus indicus),  cempedak (Artocarpus integer), cengal (Neobalanocarpus heimii)  dan nibung (oncosperma tigillaria) juga boleh digunakan untuk membuat gambus. Kayu pokok ini dipilih sebagai bahan gambus kerana tekstur kayunya yang lebih lunak, mudah dipahat, kuat, ringan dan tidak berubah bentuk atau retak ketika kering. Kayu keras tidak sesuai untuk dijadikan gambus kerana boleh mempengaruhi kelunakkan bunyi. Sekiranya bahagian badan gambus tebal, bunyi gambus akan agak tajam, manakala kayu yang lembut boleh mengeluarkan bunyi yang lebih besar serta terkawal.



Langkah ke dua adalah memotong kayu menjadi kepingan nipis. Batang pokok yang sudah ditebang, kemudian dipotong mengikut ukuran yang dikehendaki. Kemudian kayu tersebut dipotong nipis seperti papan lapis mengikut ukiran tertentu iaitu lebih kurang 30 cm X 8 cm untuk dijadikan badan gambus. Setelah direndam, kerja-kerja melayur kepingan kayu dilakukan bagi tujuan membengkokkan kepingan tersebut.



Langkah ke tiga adalah membentuk badan gambus. Kepingan kayu yang telah dibengkokkan akan dipasang pada acuan kerangka besi bagi membentuk badan gambus. Kepingan kayu dua warna dicantum secara berselang-seli bagi menambahkan kecantikan rupa bentuk gambus dan kemudian digamkan. Gambus yang separuh siap ini akan dibiarkan untuk beberapa hari supaya ianya kemas terbentuk dan kukuh. Badan gambus yang telah siap dibentuk ini kemudiannya dihaluskan dengan menggunakan kertas pasir.



Langkah ke empat adalah membuat papan pemuka gambus. Kayu nangka dipotong nipis membentuk seakan buah pear dan dilubangkan dibahagian tengahnya. Kepingan kayu ini dipasang pada badan gambus yang telah dibentuk terlebih dahulu. Gambus Melayu Malaysia umumnya memiliki satu buah lobang bunyi kecil dibahagian papan pemukanya, juga ada lubang suara di bahagian belakang gambus yang biasanya ditempatkan sedikit bawah bahagian perut gambus.


  

Langkah ke lima adalah mengukir 'bakal’. Lubang bahagian tengah ini akan dibuat ‘bakal’. Bakal diukir dengan pelbagai motif corak antaranya flora, fauna dan juga tulisan jawi. Setelah siap diukir Bakal diperhaluskan dengan menggunakan kertas pasir sehingga bersih. Setelah itu, bakal tersebut disapu dengan minyak kelapa agar berkilat. Kemudian dijemur sehingga kering dan proses ini dilakukan berulang-ulang kali sehingga benar-benar kering dan kilat seperti yang diinginkan oleh seorang pembuat gambus. Akhir sekali barulah ianya ditampalkan pada lubang papan pemuka gambus tadi.



Langkah ke enam adalah mengecat. Keseluruhan gambus ini akan dicat atau disapu dengan minyak kelapa dan dijemur berulang-ulang kali. Ada juga yang mengecatnya menggunakan wax berwarna kayu yang bertujuan untuk mengekalkan ketahanan dan mencantikkan gambus tersebut.


Langkah ke tujuh adalah memasang hiasan. Penyiput adalah kayu yang dipasang dibahagian pangkal atas (kiri dan kanan) gambus. Ada penyiput yang dibuat seakan bentuk tanduk. Pada sebuah gambus, kebiasaannya terdapat empat buah penyiput yang berfungsi untuk menyamakan dan menegangkan senar (tali) gambus.
       
             
Langkah terakhir ialah kerja-kerja kekemasan. Ini termasuklah pemasangan senar (tali) pada gambus serta memastikan bunyinya tidak sumbang. Senar yang digunakan ialah tali tangsi yang berukuran 60 paun kerana halus dan akan menghasilkan bunyi yang halus juga. Senar diukur mengikut panjang gambus iaitu dari kepala hingga ke kuda-kuda. Senar dipasang satu persatu sebanyak 6 helai. 1 helai dipasang secara ganda (double) dan 1 helai dipasang secara tunggal (single). Kemudian, senar dipasang dengan cara mengikat hujungnya pada bahagian pangkal atas dan menariknya ke bahagian kuda-kuda. Senar tersebut kemudiannya dipaku.



Tanduk kerbau digunakan sebagai penyendal atau lebih dikenali sebagai kuda-kuda gambus kerana ia akan menghasilkan bunyi yang lebih baik. Jarak kuda-kuda daripada bawah papan pemuka gambus ialah lebih kurang tiga inci. 

Proses membuat sebiji gambus ini mengambil masa lebih kurang 2 minggu hingga 3 minggu. Ukuran panjang keseluruhan gambus umumnya sekitar 1 meter, dengan ketebalan 10-15 cm dan lebar 20-25 cm.


Harga bagi sebiji gambus bermula dari RM 1600 hingga mencecah puluhan ribu mengikut kepada jenis kayu dan juga seni ukirannya. Ramai yang tidak mengetahui gambus dihasilkan di negara ini mendapat sambutan menggalakkan malah mampu menjadi antara perusahaan yang berdaya maju jika dilakukan dengan serius. Ketelitian dan kehalusan ukiran gambus menjadikan ia antara koleksi alat muzik tradisional yang unik dan ramai peminat terutama dari Indonesia, Brunei dan negara Barat membelinya kerana mutunya. Malah, ada pembuat gambus sudah menghasilkan lebih 2,000 unit alatan muzik tradisional itu untuk tempoh 10 tahun, malah permintaan semakin bertambah kerana ia menjadi intrumen yang turut dimainkan dalam lagu moden.



Persembahan gambus pada 1970-an hingga 1980-an dimainkan di tempat yang dibina khas dipanggil 'balai', yang diperbuat daripada kayu, berlantaikan papan dan beratapkan nipah atau zink. Persembahan gambus selalunya diadakan selepas waktu Isyak untuk menghiburkan saudara-mara, jiran tetangga dan kenalan yang banyak membantu dalam majlis perkahwinan pada siang hari sebagai tanda terima kasih daripada tuan rumah.

Gambus, kebiasaannya dipetik secara solo atau berkumpulan. Kumpulan gambus juga mempunyai penyanyi dan pada kebiasaannya penyanyi utama dalam kumpulan gambus adalah pemain gambus itu sendiri.  Persembahan gambus dikaitkan dengan lagu-lagu tradisional yang ada kalanya mempunyai moral, keagamaan dan nasihat. Dalam konteks sajian sebagai hiburan peribadi, penyajian Gambus Melayu lebih banyak bermain secara spontan, tanpa sebarang perancangan kecuali di majlis-majlis formal. Dalam perkembangannya terkini, alat muzik Gambus sering dimainkan untuk mengiringi tarian Zapin yang biasanya disertai dengan beberapa alat muzik seperti marwas, bongo, biola, akordion, marakas serta kuiben. Alat muzik Gambus tidak hanya dimainkan di atas rumah saja, tetapi juga dimainkan oleh para nelayan di atas perahu sambil memancing, atau sebagai hiburan dikala sedang menyusuri sungai. 
 Sekian.

Wednesday, 1 January 2020

Burasak Makanan Tradisional Masyarakat Bugis

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,


Hai korang semua..... Ceria-ceriakan diri hari nii yea. Entri aku hari ini...masih lagi berkaitan dengan makanan tradisional Johor  dari masyarakat Bugis. Sekali lihat macam nasi impit yang dibalut dengan daun pisang... Tengok kali ke dua...barulah tahu sebenarnya ianya dikenali dengan nama Burasak. Lazimnya Burasak lebih enak dimakan bersama ikan parang. Lebih istimewa sekiranya ia dimakan bersama Asam Pedas Ikan Parang


Kali pertama aku makan Burasak ni...semasa program masakan anjuran Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM). Burasak nii kalau korang nak tahu...hanya dibuat semasa hari-hari perayaan seperti Hari Raya. Burasak mudah ditemui di kawasan-kawasan yang mempunyai komuniti masyarakat Bugis seperti di Johor.




Buras atau juga dikenali dengan nama burasak merupakan hidangan tradisi suku kaum Bugis. Ia merupakan nasi yang dikukus bersama santan dan dibaluti dengan daun pisang nipahBentuk burasak ini adalah leper seperti lepat pisang namun ia agak lebar dan agak besar. Beberapa keping Burasak ini akan diikat menggunakan tali agar ia tidak terbuka semasa proses mengukusnya. Proses penyediaan burasak yang agak lama menyebabkan burasak ini boleh disimpan lebih lama.


Cara penyediaan Burasak nii mudah jer....iaitu masak beras dengan santan. Beras yang sudah masak tadi tu kemudiannya dibungkus dengan daun pisang lalu diikat sebelum direbus selama empat hingga lapan jam. Jom kita lihat resepi.. bagaimana nak buat Burasak ni.

Bahan-bahan (untuk 10 orang)
Beras Wangi 1kg
Kelapa 1 biji diparut dan ambil santannya,
garam secukup rasa.
Daun pucuk pisang berukuran A4 beberapa keping utk bungkus.
Daun pisang tua panjang lebih kurang 3 jengkal.


Cara-cara membuat
1. Beras dibasuh 2 hingga 3 kali sehingga bersih. 
2. Panaskan santan hingga mendidih. Setelah mendidih api dikecilkan. 
3. Masukkan garam seukup rasa. Bila santan sudah berubah warna, padamkan api. 
4. Tuang santan panas ke dalam beras sambil gaulkan - masak seperti nasi lemak. Biarkan beras lembab sedikit, tapi agak merata. 
5. Setelah beras masak menjadi nasi, lipat daun pisang muda macam lipat kuih lepat pisang, urut-urutkan atas bungkusan menjadi leper dan padat tetapi jangan terlalu nipis atau terlalu tebal.


Cara membungkus
Sediakan daun pucuk pisang yang dipotong berukuran A4. Daun pisang juga dipotong bentuk segi empat. (Petua memastikan daun pisang tahan dan tidak koyak: jemur atau salai daun pisang itu terlebih dahulu)


Cara mengikat Burasak
Susun bungkusan berlima dengan tali rafiah. Mulakan balutan dari satu hujung ke hujung yang satu lagi. Simpulkan di tempat permulaan. Buatlah sehingga semua beras siap dibungkus. Burasak hampir siap.


Cara Memasak
Rebus burasak selama 1-3 jam. Untuk jadi lebih enak sebaiknya direbus dalam periuk besar dengan kayu api yang marak. Setelah masak, angkat dan tos seperti merebus ketupat. Buka tali dan buangkan daun pisang tua. Selepas direbus ia dibiarkan sejuk dan sedia untuk dihidang bersama asam pedas ikan parang, rendang ayam atau rendang daging.

Rasanya seakan-akan nasi impit dan lemang. Memang enak dan baunya juga harum menambahkan selera. Burasak nii tidak sukar untuk membuatnya tetapi agak rumit cara penyediaannya terutama dari segi balutan dan ikatan yang kena betul dengan caranya supaya Burasak masak dengan sekata semasa proses mengukus.

Sekian.