Wednesday, 4 December 2019

Seni Pembuatan Kuda Kepang yang Semakin Pupus Di Batu Pahat Johor

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,


Hai korang semua apa khabar hari nii…? Aku doakan semoga korang semua sihat-sihat ajer yea hendaknya. Aku kat sini sihat Alhamdulillah. Hari nii aku nak citer tentang seni kraftangan yang semakin pupus kerana generasi muda yang semakin kurang meminati seni kraftangan nii....tiada yang ingin mewarisinya. Seni yang aku maksudkan ini ialah seni pembuatan Kuda Kepang. Ini adalah kali pertama aku lihat secara live...kagum aku dengan hasil seni orang dulu-dulu...



Kuda kepang seperti yang korang sedia maklum, seni ini popular dalam masyarakat Jawa dan mereka ini kebanyakkannya mendiami kawasan sekitar Batu Pahat, Johor dan Selangor. Namun asal usul kuda kepang ini tidak dapat diketahui. Hanya terdapat beberapa teori yang menyatakan bahawa ia berasal dari Jawa Timur. Ia dibawa masuk oleh masyarakat Jawa yang berhijrah ke negeri Johor dan kekal hingga sekarang tanpa banyak pengubahsuaian.


Selain itu, ada yang berpendapat asal usul tarian ini mempunyai kaitan dengan Saidina Ali. dan ada pula yang berpendapat yang mengaitkan asal usulnya dengan Wali Songo atau Wali Sembilan yang hidup di Tanah Jawa pada abad ke-15. Dalam usaha mengembangkan Islam di kawasan pedalaman di Jawa, Wali Songo menghadapi kesulitan untuk mendekati orang-orang di sana. Beliau mendapat idea untuk menari-nari sambil menunggang kuda. Penyampaian syariah Islam akan dilakukan sebelum atau selepas persembahan dilakukan. Pendapat lain pula seperti menghubungkan asal usulnya dengan alam kayangan. 



Kuda kayangan  bernama Kuda Sembrani kononnya dikatakan turun di Jawa untuk mencari kawannya yang hilang. Setelah berjumpa mereka menari-nari keseronokan. Oleh yang demikian, dapat disimpulkan bahawa asal-usul kuda kepang ini tidak dapat disahkan tahun kewujudannya yang sebenar.



Persembahan kuda kepang kini hanya diadakan di majlis keramaian seperti kenduri kahwin dan di acara kebudayaan. Aku berpeluang berjumpa dengan Wak Naim, seorang pengiat seni Kuda Kepang ini. Jom kita kenali tentang wak Naim dan bagaimana beliau mula terlibat dengan seni Kuda Kepang ini....


Wak Naim bin Marjani@Hj Ridzuan berusia 78 tahun merupakan pengarah dan juga ketua di dalam Kumpulan Kuda Kepang Sinar Warisan, Sungai Nibong, Batu Pahat, Johor. Menurut Wak Naim permainan kuda kepang mula bertapak di Batu Pahat, Johor sekitar tahun 1940-an. Kumpulan Kuda Kepang Sinar Warisan ini telah ditubuhkan pada tahun 1959 oleh sekumpulan 15 orang pemuda yang diketuai oleh allahyarham Encik Abdul Ghani Bin Marsidi. Perubahan kepimpinan dalam kumpulan ini, apabila berlakunya penghijrahan ke tanah rancangan FELDA pada awal tahun 70an. Wak Naim telah dipilih bagi mengetuai Kumpulan Kuda Kepang Sinar Warisan Sungai Nibong ini sehinggalah sekarang.


Menurut  pandangan Wak Naim,  “kuda kepang” mendapat namanya daripada anyaman kuda yang disebut “kepang” yang bermaksud jalinan atau anyaman. Pada awalnya, kuda kepang ini dianyam menggunakan daun pandan tetapi kini telah diubahsuai, ada yang diperbuat daripada papan lapis atau kulit lembu.

Wak Naim, mula  bergiat dalam tarian kuda kepang ini seawal umur 18 tahun. Hubungan beliau dengan kuda kepang begitu akrab dan sudah menjadi darah dagingnya. Wak Naim dikurniakan  tujuh orang anak perempuan hasil perkahwinan dengan Puan Sidah binti Abdul. Dengan hasil pendapatan melalui persembahan kuda kepang beliau dapat membeli sebidang tanah untuk membina rumah sehinggalah dapat memiliki bengkel pembuatan kuda kepang. Beliau yang berketurunan jawa telah mewarisi bakat ayahnya yang juga seorang penari kuda kepang dan seorang pembuat  kraftangan bakul anyaman rotan seketika dahulu. Beliau bermula dengan membantu ayahnya membuat bakul rotan. Disebabkan permintaan membuat kuda kepang amat tinggi pada ketika itu, beliau diminta untuk menghasilkan kuda kepang oleh kawan-kawannya. Setelah berapa kali mencuba akhirnya beliau berjaya menghasilkan kuda kepang dengan tangannya sendiri.


Di dalam melakukan kerja-kerja membuat kraftangan, beliau amat mementingkan kekemasan dan penelitian bagi menunjukkan tingginya martabat seni orang Melayu. Walaupun banyak rintangan dan cabaran yang harus ditempuhi, namun minat yang mendalam dan semangat yang tinggi ingin menjadikan kuda kepang dikenali oleh masyarakat akhirnya membuahkan hasil.


Di akhir tahun 1980 an kumpulan ini mula melangkah lebih jauh. Pada tahun 1992 kumpulan ini telah mewakili daerah Batu Pahat dalam Pertandingan Tarian Kuda Kepang Asli di Karnival Johor dan kumpulan ini muncul sebagai Johan dalam pertandingan tersebut. Hasil kemenangan itu menyebabkan kumpulan ini lebih dikenali di segenap peringkat. Kumpulan ini juga telah dijemput membuat persembahan di peringkat yang lebih tinggi sehinggalah ke peringkat antarabangsa.



Wak Naim dapat berbangga dengan usaha hasil kuda kepangnya kerana sudah mampu memiliki bengkel, pekerja tetap dan pekerja sambilan. Selain itu, bengkelnya juga menerima kunjungan pelajar pusat pengajian tinggi bagi menjalani latihan praktikal. Kesetiaan beliau terhadap kuda kepang melayakkan beliau menerima banyak anugerah peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. Paling membanggakan bagi beliau adalah apabila dianugerahkan sebagai Tokoh Warisan Johor pada tahun  2008.


Hasil kerja pembuatan kuda kepang beliau mendapat perhatian Perbadanan Kebudayaan dan Warisan Negeri Johor yang pada ketika itu sedang mencari pembuat anyaman kuda kepang di sekitar Negeri Johor. Bengkel kuda kepang yang diusahakan oleh Wak Naim telah mendapat bantuan kewangan oleh Perbadanan Kebudayaan dan Warisan Negeri Johor sebanyak RM 5,000 bagi membina bengkel ini bagi menghasilkan kuda kepang. Wak Naim yang selama ini banyak bergantung punca pendapatan melalui hasil kampung, mengambil keputusan menjadikan pembuatan kuda kepang sebagai salah satu sumber pendapatan tetap beliau selain daripada membuat persembahan tarian kuda kepang. Bengkel Kraftangan Sinar Warisan telah ditubuhkan pada tahun 2002 oleh Encik Naim bin Marjani sebagai usaha bagi menambah pendapatan.



Pada peringkat permulaan, penghasilan kuda kepang hanyalah sekadar kerja sambilan bagi menampung keperluan keluarga. Namun berikutan permintaan penghasilannya yang semakin meningkat dan mendapat tempat dalam masyarakat, beliau berusaha sedaya upaya menjadikan kuda kepangnya dikenali ramai dengan mengikuti beberapa kursus anjuran Perbadanan Kebudayaan dan Warisan Negeri Johor. Hasil usaha beliau akhirnya mendapat perhatian kerajaan dan bukan kerajaan. Malahan, pembuatan kuda kepang mula mendapat perhatian oleh pihak media melalui program rancangan yang dikendalikan oleh TV9, 8TV dan banyak lagi. Pada tahun 2005, Bengkel Kraftangan Sinar Warisan ini mendapat peruntukan penambaikan sumbangan Perbadanan Kraftangan Negeri Johor.



Semenjak penubuhan bengkel kraftangan ini, Wak Naim hanya bekerja seorang diri sehinggalah pada tahun 2006, Wak Naim mengambil keputusan untuk mengambil seorang pekerja tetap bagi membantu urusan beliau. Selain itu, Wak Naim juga mendapat tawaran daripada Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi pelajar menjalani latihan industri di bengkelnya setiap tahun. 


Sekarang aku nak citer pulak pasal pembuatan kuda kepang nii....Bukan senang tau nak buatnyer. Proses pembuatan kuda kepang ini ada beberapa langkah yang perlu dilakukan bagi mendapatkan hasil yang terbaik.

Langkah pertama adalah mencari bahan mentah iaitu buluh. Buluh yang terbaik digunakan bagi memastikan kuda kepang yang dihasilkan nanti tidak mudah rosak. Buluh yang digunakan adalah jenis buluh Tali kerana ianya lembut dan mudah dilenturkan. Buluh ini diperolehi di sekitar kawasan Kampung Sungai Nibong ini. Wak Naim akan mengambil buluh tali ini pada sebelah petang supaya tidak merosakkan pengeluaran anak-anak buluh di waktu pagi.



Langkah ke dua ialah buluh yang diambil tadi akan dipotong 1.5 – 2 meter panjang dan direndam di dalam parit hadapan rumah Encik Naim. Buluh direndam bagi melembutkan supaya proses memotong nipis mudah dilakukan, selain itu ia juga sebagai proses pengawetan. Apabila hendak digunakan barulah buluh ini diambil. Satu ruas buluh boleh menghasilkan dua ekor kuda kepang.



Langkah yang ke tiga adalah memotong buluh tersebut kepada 16 bilah dan kemudiannya buluh tersebut diraut sehingga halus dan lembut supaya boleh dilenturkan. Buluh diraut sehingga bersih dan nipis.

Langkah ke empat pula adalah menganyam buluh tersebut. Buluh tersebut dianyam mengikut saiz yang dikehendaki. Anyaman dimulakan pada bahagian ekor dan kemudiannya ke bahagian tengah dan seterusnya ke bahagian kepala kuda kepang. Jika dahulunya, buluh ini diselisip (tindan balik) untuk melekatkan setiap buluh tetapi kini gam digunakan bagi mempercepatkan proses pembuatan kuda kepang ini.



Langkah yang ke lima adalah melukis. Setelah buluh siap dianyam mengikut saiz yang dikehendaki. Proses melukis kuda dibuat di atas buluh tersebut menggunakan pen marker. Wak Naim telah menyediakan contoh untuk dijadikan acuan (kuda contoh) kepada pembuatan kuda kepang ini supaya saiznya seragam. Acuan tersebut ditekap dan dilukiskan ke atas buluh yang telah siap dianyam. Setelah siap dilukis, anyaman buluh tadi dipotong menggunakan gunting membentuk kuda.

Langkah yang ke ke enam adalah proses pemasangan bingkai. Buluh yang dibelah halus akan dipasang di bahagian luar kuda kepang sebagai bingkai. Ini bagi memastikan kuda kepang tersebut mendapat bentuknya. Kemudian bingkai tersebut dijahit supaya lebih kemas dan kukuh. Proses membuat bingkai ini agak sukar dan memerlukan masa yang lama untuk mempelajarinya.



Langkah yang ke tujuh adalah mewarnakan. Kuda kepang yang telah siap dianyam dan dibingkai akan diwarnakan menggunakan cat minyak. Warna-warna yang digunakan adalah warna-warna terang seperti merah, putih dan hitam bagi menaikkan lagi corak yang terhasil pada badan kuda kepang ini. Setelah siap dicat, kuda kepang ini dijemur pada cahaya matahari sehingga kering.

Peringkat yang terakhir ialah hiasan. Hiasan bagi menonjolkan lagi kuda kepang ini adalah pada bahagian jambul di kepala kuda kepang ini dan di bahagian ekornya. Pada dahulunya batang pokok ijok diraut halus untuk dijadikan hiasan di bahagian ekor dan jambul kuda kepang ini tetapi kini benang renda digunakan kerana lebih mudah dicari.



Sebuah kuda kepang dapat disiapkan selama seminggu bagi kuda kepang bersaiz besar (kuda dewasa) dan empat hari bagi kuda kepang bersaiz kecil (anak kuda). Harga untuk seekor kuda kepang ialah RM 250 (saiz besar), RM 10 (saiz sederhana) dan RM 80 (saiz kecil). Wak Naim pernah menyiapkan 10 ekor kuda kepang dalam masa 6 bulan.

Selain daripada seni pembuatan  kuda kepang, Wak Naim juga melakukan persembahan. Persembahan tarian kuda kepang terbahagi kepada dua ketegori:
i. persembahan kuda kepang biasa
ii. persembahan kuda kepang mabuk



Bayaran yang dikenakan untuk persembahan kuda kepang sekitar Johor ialah RM 600 - RM1000. Manakala untuk persembahan luar negeri Johor sebanyak RM1000 dan keatas. Untuk persembahan rakaman media elektronik seperti televisyen adalah RM 600 - RM 800.

Peralatan yang sering digunakan dalam persembahan kuda kepang ialah angklung, gendang, gong, pecut dan serantai tali sepanjang 30 meter untuk dipasang di sekeliling ruang persembahan.



Seni Pembuatan kuda kepang ini semakin pupus ditelan masa kerana tiadanya pelapis baru yang berminat untuk mewarisi seni pembuatan ini. Selain kesukaran untuk mencari bahan mentah di kawasan persekitaran yang berdekatan, teknik pembuatan yang memerlukan kesabaran yang tinggi juga menjadi faktor akan kepupusan seni pembuatan kuda kepang ini. Encik Naim pun sudah semakin uzur bagi meneruskan seni ini walaupun minat dan semangatnya masih teguh. Untuk mengekalkan seni pembuatan kuda kepang ini supaya terus terpelihara, kerja-kerja pendokumentasian perlulah dilakukan supaya hasil seni ini terus dikenang oleh generasi akan datang sebagai seni warisan Negeri Johor.

Sekian.

No comments:

Post a comment