Monday, 4 November 2019

Masjid Alaeddin, Selangor Pernah Menjadi Masjid Negeri Pada Suatu Ketika Dahulu

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,


Hai korang semua apa khabar hari nii...? Aku doakan semoga korang semua berada dalam keadaan yang sihat ajer hendaknya. Hari nii aku nak ajak korang pergi melihat bangunan bersejarah yang terdapat di negeri selangor. Nama bangunan ini ialah Masjid AlaeddinMasjid Diraja Sultan Alaeddin atau juga dikenali sebagai Masjid Bandar merupakan satu lagi daya tarikan menarik di daerah Kuala Langat. Terletak kira-kira 550 meter dari Istana Bandar.


Masjid Diraja Sultan Alaeddin merupakan antara masjid tertua di negeri Selangor dan masih kukuh hingga ke saat ini. Masjid ini juga pernah menjadi Masjid Negeri bagi negeri Selangor suatu ketika dahulu. Kalau korang tengok gambar kat entri aku nii.... yang warna kuning tuu adalah yang lama sebelum kerja-kerja pemuliharaan dilakukan. Semasa kerja-kerja pemuliharaan dan menambahan dilakukan, masjid ini dicat dengan warna putih.
  

Masjid ini dibina pada tahun 1905, nama masjid ini diambil bersempena dengan nama Almarhum Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa, yakni Sultan Selangor yang kelima. Pembinaan masjid ini merupakan hasil ilham dan dibiayai sepenuhnya oleh almarhum baginda. Masjid ini dikatakan mampu menampung seramai 500 jemaah dalam satu masa. Masjid Diraja Sultan Aleddin ini telah dirasmikan pada tanggal 18 Jun 1924 dalam upacara yang gilang gemilang.



Dari segi reka bentuk, Masjid Bandar mempunyai seni bina campuran antara India-Muslim dan Islam dari Timur Tengah. Ianya dikatakan mempunyai pengaruh senibina pemerintahan Deli di Medan, Sumatera Utara. Bangunan utama masjid yang berkubah ini dikelilingi dinding tinggi dan bertingkap jeriji. Tiang seri dan seni ukir dinding serta mimbarnya yang unik diperbuat daripada kayu yang bermutu tinggi dan tahan lama. Mimbar yang terdapat di Masjid ini sering digunakan oleh Sultan Alaeddin semasa baginda membaca khutbah Jumaat, khutbah Hari Raya Aidilfitri dan khutbah Hari Raya Aidil adha. Selepas kemangkatan baginda, masjid ini hanya digunakan oleh penduduk setempat.


Masjid ini telah diwartakan sebagai Monumen Lama dan Tapak Tanah Bersejarah di bawah Akta Bendapurba pada 24 Julai 1980. Akta ini melarang perbuatan-perbuatan pencerobohan seperti merobohkan sesuatu monumen lama, mengganggu, menghalang, mengubahsuai, menandakan, meruntuh atau memindahkan sesuatu monumen itu atau mana-mana bahagian daripadanya, atau membuat perubahan, tambahan atau pembaikan kepada sesuatu monumen lama, atau  mendirikan bangunan-bangunan atau dinding-dinding bersempadankan sesuatu monumen lama.



Walau bagaimanapun, pada 16 April 2002, Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syara' (Fatwa) Negeri Selangor telah bersidang dan sebulat suara memutuskan bahawa Masjid Alaeddin adalah wakaf oleh Almarhum Sultan Alaeddin Suleiman Shah. Menurut Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 1989, Pentadbir harta wakaf adalah Majlis Agama Islam Selangor. Oleh yang demikian, 'Akta Benda Purba' dalam hal ini tidak terpakai.



Semenjak keputusan Fatwa Negeri Selangor ini dikeluarkan, kerja-kerja membaik pulih serta menaik taraf Masjid Sultan Alaeddin giat dilakukan. Banyak pengubahsuaian dan  tambahan telah dijalankan, terutama sekali pada bahagian dalamannya. Keseluruhan dinding dalaman telah disolek dengan penyudah kayu beralur, manakala sebelah dalam kubah telah dilitupi dengan siling kayu dekoratif, dihiasi dengan motif Kalimah Shahadah & nama-nama Khulafa' Arrasyidin. Bentuk asal kubah dari dalam sudah tidak kelihatan lagi. 



Kawasan lapang tidak berbumbung yang pada asalnya merupakan laman terbuka tanpa lantai telah diratakan dan disudahi dengan lantai jubin sebagai ruang solat tambahan. Bangunan utama masjid yang berkubah dikelilingi oleh dinding tinggi bertingkap jeriji. Di setiap sudut terdapat menara yang sederhana tingginya. Di tengah dinding bahagian hadapan masjid pula dibina menara azan bersegi delapan yang mempunyai dua aras tinjauan, berkubah keemasan di puncaknya. Keseluruhannya ibarat kubu kota pertahanan yang mengelilingi sebuah istana raja.



Masjid ini juga telah diwartakan sebagai bangunan warisan Kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 [Akta 645] oleh Jabatan Warisan Negara pada tahun 2008. kalau korang datang ke sini... korang dapat juga melihat banyak lagi bangunan yang bersejarah antaranya Istana Banda, Muzium Insitu, Pejabat daerah Kuala Langat yang lama, stor peluru dan lain-lain lagi.

Sekian.

No comments:

Post a comment