Friday, 16 August 2019

Taman Negara Johor Tanjung Piai Merupakan Titik Paling Akhir Benua Asia

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Hai korang...apa khabar semua hari nii. Cuaca yang serba tak menentu nii....semoga semua sihat-sihat belaka yea. Agak stress sikit aku dengan kerja yang terlampau banyak kebelakangan nii.. So aku cuba la nak menulis blog bagi mengurangkan tahap stress aku nii. Ok kali nii aku nak bawa korang ke negeri Johor. Siapa orang Johor....sila angkat tangan... Sebenarnya aku jarang dapat peluang ke negeri Johor...tetapi apabila peluang datang kat depan mata memang aku tak kan lepas punya. Dah lama aku simpan hajat untuk datang ke sini...iaitu ke Tanjung Piai. Sebabnya adalah kerana aku dengar cerita dari kengkawan.


Sampai jer kat Tanjung Piai aku dah rasa sangat teruja. Untuk sampai ke sini agak mencabar jugak laa kerana ianya terletak kira-kira 75 kilometer dari Bandar Raya Johor Bahru dan pada masa itu aku memandu dalam keadaan cuaca hujan yang sangat lebat. Jika korang melalui Lebuh Raya Utara-Selatan, susur keluarnya adalah ke Simpang Renggam menuju ke Benut. Kemudaian teruskan perjalanan korang ke Pontian sehingga sampai di Kukup. Setelah itu korang ikut jer arah papan tanda yang menunjukkan jalan ke Tanjung Piai. 


Bagi yang ingin menaiki pengangkutan awam pula...Korang boleh dapatkan perkhidmatan teksi dari stesen bas Pontian kerana tiada perkhidmatan bas ekspres yang disediakan untuk ke Taman Negara Tanjung Piai nii.

Titik paling akhir Benua Asia terletak di Tanjung Piai, dalam daerah Pontian, Johor, pada latitud 01.16° Utara dan longitude 103.30.46° Timur .

Kenapa dinamakan Tanjung Piai??? Tanjung Piai dinamakan sempena pokok bijirin tempatan yang dikenali sebagai Pokok Paku Piai. 


Keseluruhan kawasan Taman Negara Tanjung Piai meliputi 526 hektar kawasan bakau dan 400 hektar kawasan tanah lembut dan berlumpur. Terdapat hampir 30 spesis tumbuhan bakau di sini...serta dikatakan terdapat lima spesies burung air dan tujuh spesies burung pantai. Hutan bakau ini membentuk koridor paya bakau yang menyambungkan Pulau Kukup dengan tanah lembap Sungai Pulai.

Hutan bakau yang luas di sini digazetkan sebagai Hutan Simpan Paya Bakau oleh Jabatan Perhutanan Negeri Johor.


Pokok bakau ini fungsinya melindungi pesisiran pantai daripada hakisan dan menghindari banjir di samping memberikan perlindungan dan pembiakan ikan, ketam, udang, pelbagai jenis molaska dan binatang-binatang lain. Burung-burung hijrah akan singgah di hutan bakau ini untuk berehat dan mendapatkan makanan sebelum terbang semula ke kawasan yang lain.


Kalau korang nak tahu korang dah tiba atau tak kat Tanjung Piai nii... korang akan nampak mercu tanda berukuran 20 meter tinggi dan 10 meter lebar yang dibina oleh kerajaan negeri Johor pada tahun 2001 terletak bersebelahan pintu masuk ke Taman Negara Tanjung Piai di mana di bahagian hadapannya ada juga di sediakan kawasan parking kenderaan. Bahan binaan mercu tanda ini ialah dari jenis gentian konkrit mesra alam yang berwarna kelabu. Warna kelabu dipilih bagi menggambarkan kekayaan hutan paya pakau dan dataran lumpur yang terdapat di penghujung Benua Asia ini.




Pada permukaan mercu tanda diukir dua pelepah pokok piai raya (acrostichum aureum sp.) bagi mengabadikan sejarah nama Tanjung Piai. Pokok  piai raya didapati tumbuh dengan banyaknya bersama-sama pokok bakau di kawasan sini. 

Tanjung pula bermaksud tanah atau tanah tinggi yang menganjur ke laut. Peta dunia yang terpapar menjelaskan kedudukan sebenar “Tanah Paling Selatan Benua Asia”  supaya dapat dihayati dan dihargai oleh para pelawat yang datang ke sini.


Sebelum masuk ke kawasan paya bakau ini, korang perlu membeli tiket di kaunter yea... Harga tiket adalah RM5 bagi dewasa dan RM3 bagi pengunjung yang berumur bawah 18 tahun. Untuk pelancong luar negara pula...bayaran tiket yang dikenakan ialah RM10 bagi dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak. 

Kemudahan asas juga ada disediakan di sini antaranya surau, tandas, kawasan perkhemahan, kaunter penerangan dan tempat meletak kenderaan. 


Apabila masuk jer ke kawasan paya bakau nii.... terdapat laluan kayu (boardwalk) seperti jambatan yang dibina merentasi hutan paya bakau ke beberapa checkpoint. Antaranya laluan untuk ke pelantar yang sering menjadi tumpuan kaki pancing dan pelantar untuk pelancong menikmati keindahan Selat Melaka dengan melihat kapal-kapal yang melalui selat ini. Selain itu terdapat juga pelantar paya bakau...dan korang boleh lihat dengan lebih dekat species bakau serta hidupan yang dihidup di paya bakau ini. Pada waktu cuaca cerah.... korang juga boleh lihat Pulau Kerimon, Indonesia. 


Aktiviti yang boleh dilakukan di sini ialah memancing, berkhemah, melihat kunang-kunang dan melihat pemandangan serta keindahan Selat Teberau. Pelancong dan juga para pelajar boleh mendapatkan maklumat tentang hutan bakau di papan penerangan dan galeri yang disediakan di kawasan ini. Setiap maklumat berkaitan disertakan bersama gambar  supaya mudah difahami.


Tanjung Piai kini telah diisytiharkan sebagai Taman Negara memandangkan di sini terdapat banyak kekayaan serta khazanah alam semula jadi seperti hutan paya bakau serta pelbagai jenis spesies flora dan juga fauna. Taman ini juga menjadi tempat kediaman pelbagai jenis unggas dan hidupan paya bakau yang lain seperti ketam nipah, ikan tembakul serta kera pemangsa ketam.


Sebelum  Tanjung Piai ini diisytiharkan sebagai sebuah Taman Negara, ianya adalah merupakan sebahagian daripada Hutan Simpan Bakau Sungai Pulai di bawah pengawasan Jabatan Perhutanan. Kaji selidik ekologi telah dijalankan oleh Wetlands International-Malaysia pada tahun 2001. Tanjung Piai telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri Johor sebagai Taman Negara Johor pada tahun 1997. 

Pada tahun 2002, taman ini telah dibuka kepada orang ramai dan digazetkan sebagai Taman Negara Johor pada 26 Februari 2004.


Tanjung Piai ini juga telah diisytiharkan sebagai tapak Ramsar pada 31 Januari 2003. Ramsar adalah nama sebuah bandar di Iran yang menjadi tuan rumah Konvensyen Tanah Lembap Berkepentingan Antarabangsa yang pertama pada tahun 1971. Tujuan utama konvensyen ini adalah untuk memulihara tanah lembap yang merupakan tempat berehat dan mencari makanan bagi burung-burung hijrah. 




Malaysia menganggotai Konvensyen Tanah Lembap Berkepentingan Antarabangsa atau Ramsar pada tahun 1994. Tasek Bera di Negeri Pahang telah diisytiharkan sebagai tapak Ramsar pertama negara ini pada tahun yang sama juga. Sehingga kini, kawasan yang telah diisytiharkan sebagai Tapak Ramsar ialah Sungai Pulai, Tanjung Piai dan Pulau Kukup di Johor dan Kuching Wetland National Park di Sarawak. Terdapat 26 kawasan lain di seluruh Malaysia turut dikenal pasti sebagai kawasan tanah lembap yang mempunyai kepentingan antarabangsa.


Oh yaa...hampir terlupa aku nak bagi tahu...kalau korang datang ke sini jangan lupa untuk pergi ke bahagian paling selatan. Kalau korang tak sampai ke bahagian nii dan tak bergambar kat sini..bermakna kunjungan korang nii tak lengkap tau. Rugi kalau korang tak bergambar kat kawasan nii...sebab tempatnya cantik....iaitu pelantar yang dibina menganjur ke laut Selat Melaka. Di pelantar ini terdapat sebuah mercu tanda berbentuk bulat seperti bumi bagi menggambarkan bahawa di sinilah titik paling hujung di Benua Asia ini. Tetapi jangan sesekali korang pergi seorang diri ke kawasan nii...kerana kedudukannya agak tersorok dan kalau ada apa-apa berlaku kat korang...tak de sesiapa yang dapat nak tolong.


Bagi yang ingin datang secara berkumpulan atau study trip...korang boleh lah menulis surat kepada...
Perbadanan Taman Negara Johor
Mukim Serkat,
82030 Pontian
Tel           : 07-6969 712/ 6969 796
Faks        : 07-6969 786 / 07-6961 029
Website : www.johorparks.com.my


Untuk pengertahuan korang juga....Tanjung Piai ini sangat terkenal dengan restoran makanan laut dan bolehlah korang mencuba makanan yang enak-enak kat sini. Dari sini juga, korang dapat melihat bangunan pencakar langit Singapura yang dipisahkan oleh Selat Johor.

Sekian.

No comments:

Post a comment