Tuesday, 6 August 2019

Masjid Kampung Duyong Menyimpan Pelbagai Misteri Mengenai Asal Usul Namanya

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Hai korang semua apa khabar...Jumpa lagi kita di entri kali ini. Semoga korang semua sihat-sihat sahaja hendaknya. Emmm nak citer tentang apa pulak yea kali nii... Memandangkan aku masih lagi di Negeri Melaka nii... so aku nak citer tentang sebuah masjid yang tak kurang jugak popularnya di sini. Masjid ni terletak di Kampung Duyong dan sebab itu ia lebih dikenali dengan nama Masjid Kampung Duyong tetapi nama yang tertera di papan penerangan di hadapan masjid ini ialah Masjid Jamek Laksamana Hang Tuah.

Masjid ini masih lagi tersegam indah dengan warna hijau kuningnya tuu...(marah pulak orang Kedah nanti hikkk...hikk...hikk...)




Mengikut cerita orang tua-tua dahulu, masjid ini pada asalnya surau dan dinaikkan taraf sebagai sebuah masjid. Bahan-bahan binaannya terdiri daripada kayu dan batu merah (laterite), manakala bumbungnya beratapkan genting (campuran genting China dan Belanda). 

Pembinaannya dilakukan secara gotong-royong dan ianya siap untuk digunakan dalam tahun 1850. 




Pengasas masjid ini dikenali sebagai Wan Chilek. Menara di sebelah masjid ini telah dibina pada tahun 1909 sebagai tempat melaungkan azan. Pada tahun 1967, beberapa perubahan telah dilakukan di masjid ini. Bumbung yang asalnya genting telah ditukar kepada atap jenis ardex. Siling asbestos telah dipasang dan tangga masjid telah diubahsuai. 



Pada tahun berikutnya di sekeliling kolam laterite telah dipasang paip dan bumbung pelindung bagi tempat mengambil wuduk. Kekurangan ruang untuk tempat sembahyang telah menyebabkan kerja-kerja tambahan dilakukan pada tahun 1973 dan 1976 pada bahagian belakang masjid. 


Pada 11 Mei 1982 jam 2.30 pagi, kebakaran telah berlaku pada masjid ini disebabkan litar pintas. Terdapat sebahagian kerosakan di bahagian hadapan iaitu di sebelah kiri masjid, stor dan bumbung. Walau bagaimanapun struktur asal masjid tidak terjejas. Kos membaikpulih masjid ini berjumlah RM70,000.00 manakala kerajaan negeri memberi bantuan sebanyak RM5,000.00 yang selebihnya diperolehi melalui dermawan dan masyarakat tempatan. 



Kampung Duyong, Melaka, dikatakan menyimpan pelbagai misteri mengenai asal usul namanya dan dikatakan wujud sejak lebih 300 tahun lalu. Konon ceritanya, penduduk asal kampung ini pernah melihat ikan duyong terdampar di muara sungai, justeru Kampung Duyong memperoleh namanya daripada peristiwa itu.

Ada juga yang mempercayai bahawa asal-usul nama Kampung Duyong mempunyai kaitan yang rapat dengan kisah ibu dan bapa Hang Tuah. Diceritakan bahawa ibu dan bapa Hang Tuah (Tun Lela Wati dan Tun Mahmud) yang berasal dari kerajaan Bukit Si Guntang di Palembang, telah berhijrah ke Melaka bersama pengikut mereka kerana menjadi buruan kerajaan Majapahit. Bagi mengaburi mata orang Majapahit, mereka telah menukar nama mereka menjadi Hang Mahmud dan Dang Merduwati, seperti yang disebut dalam teks popular Hikayat Hang Tuah

Hang Mahmud dan isterinya telah menetap di Pulau Besar selama 40 hari sebelum berpindah ke sebuah kampung di Sungai Temu (sekarang dipanggil Padang Temu). Ketika sedang berehat di muara Sungai Temu, seekor ikan yang menyerupai seekor ikan duyong tiba-tiba muncul. Penemuan yang agak ganjil inilah yang membuatkan Hang Mahmud menamakan kampung itu dengan nama “Kampung Duyong”. 



Semenjak hari itu, mereka sekeluarga menetap di Kampung Duyong. Di situ jugalah kemudiannya tempat Hang Tuah dilahirkan, sebagaimana yang disebut sebagai tempat asal Hang Tuah dalam Hikayat Hang Tuah (Radzi Sapiee, 2012; Kampung Duyong, 2007).
Kampung Duyong kini dibangunkan menjadi Perkampungan Hang Tuah seluas 24 hektar yang dilihat sebagai destinasi pelancongan popular.




Dalam usaha untuk menampung bilangan jemaah yang bertambah, pada tahun 1991 kerajaan negeri telah memberi peruntukan berjumlah RM100,000.00 untuk membina bangunan tambahan di sebelah kanan bangunan masjid yang asal. 



Pada tahun 2002, kerja-kerja pemuliharaan (konservasi) telah dilaksanakan oleh Jabatan Muzium dan Antikuiti dalam usaha untuk mengekalkan unsur-unsur seni bina asal masjid ini.

Sekian.

No comments:

Post a comment