Saturday, 24 August 2019

Kerajaan Johor Mengisytiharkan Muzium Di Pontian Ini Sebagai Muzium Bugis Pertama Di Malaysia

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Hai... korang semua apa khabar hari nii? Entri aku kali nii masih lagi berkaitan dengan negeri Johor. Iaitu tentang Muzium Bugis. Sebenarnya tak de pun dalam perancangan aku nak ke Muzium Bugis nii....ianya hanya satu kebetulan. Semasa aku hendak ke Tanjung Piai...aku ternampak papantanda tunjuk arah Muzium Bugis nii..dan memandangkan ianya satu laluan jer so aku bercadang untuk singgah ke sini. 



Pada pemikiran aku....muzium ini beroperasi di sebuah bangunan tradisional (bangunan lama yang telah dibaikpulih)...mungkin rumah tradisional Muar. Apabila tiba di sini aku agak terkejut kerana ianya merupakan bangunan baru yang memang dikhaskan untuk Muzium Bugis....dan tak sangka jugak bangunannya agak besar serta lengkap dengan kemudahan asas.




Muzium Bugis nii merupakan suatu tarikan yang ada di Pontian, Johor. Ia terletak di Taman Rekreasi Sungai Rambah, Pontian. Tak susah pun nak cari muzium nii sebab banyak papantanda tunjuk arah disediakan. Ia jugak terletak berhampiran dengan Taman Rekreasi Sg. Rambah. Memang cantik giler untuk bergambar kat kawasan sini.



Muzium ini dibina oleh penduduk tempatan yang berminat menyimpan pelbagai koleksi sejarah berkaitan orang Melayu terutama etnik Bugis. Orang Bugis datang ke Semenanjung Tanah Melayu setelah Makassar di Sulawesi diserang serta ditawan oleh pihak Belanda. Di mana kebanyakan penduduk Pulau Ambon di Sulawesi telah berjaya dikristiankan oleh penjajah Belanda.



Muzium ini mempunyai dua bangunan yang bercirikan rumah tradisional Melayu. Di dalam muzium ini dipamerkan pelbagai gambar hitam putih yang difotostat dengan bersaiz besar. Terdapat juga peralatan dapur (memasak) yang bersaiz besar umpama kegunaan kenduri. Muzium ini mempunyai banyak bahan pameran dan sangat sesuai untuk kegunaan para penyelidik dan pelajar bagi membuat kajian. Bayaran masuk tidak dikenakan tetapi korang boleh memberi sumbangan ikhlas di tong yang disediakan. Muzium ini dibuka setiap hari dari jam 10:00 a.m. hingga 6:00 p.m. 



Ketika mula dibuka pada tahun 1982, muzium itu dinamakan Warisan Bugis dan empat tahun kemudian Persatuan Sejarah Negeri Johor bersetuju menamakannya Yayasan Warisan Negeri Johor, Cawangan Pontian. Bagaimanapun namanya ditukar kepada Muzium Bugis Negeri Johor (MBNJ) apabila muzium ini dirasmikan oleh Menteri Kesenian, Kebudayaan dan Perlancongan, Datuk Sabbaruddin Chik pada 1994.  



Muzium ini diilhamkan oleh Encik Abdullah atas minat yang mendalam serta hasrat mahukan generasi akan datang mengetahui sejarah asal usul serta menghargai adat resam warisan bangsa Bugis masa lampau. Bermulakan modal RM17,000, sehingga hari ini...beliau telah membelanjakan lebih RM1 juta untuk mendapatkan pelbagai jenis artifak dan koleksi bahan bersejarah. Minatnya bermula dengan kegemaran mengumpul batang aiskrim dan duit syiling dan setelah umurnya meningkat ke alam dewasa, Encik Abdullah Ahmad mempunyai tarikan terhadap barangan bersejarah.

26 Julai 1994, Kerajaan Johor mengisytiharkan muzium ini sebagai muzium Bugis pertama di Malaysia dengan sokongan melalui Yayasan Warisan Johor. 


Terdapat lebih dari 2,000 artifak dipamerkan di muzium ini, antaranya peralatan senjata, pakaian, siling lama, perhiasan diri, gambar, peralatan memasak, peralatan bersawah dan lain-lain. Selain itu, terdapat juga majalah-majalah lama (mastika) berkaitan dengan artis-artis lama yang dipamerkan kat sini. Terpegun aku melihat kecantikkan artis-artis lama ini dengan pakaian tradisional.


Kalau korang datang ke sini memang korang tak kan rasa jemu sebab bahan yang dipamerkan terlampau banyak dan susah hendak dilihat di muzium lain. Susun aturnya pun menarik dan sangat selesa untuk korang berjalan dan meneroka muzium ini.


Muzium ini diselenggarakan oleh orang perseorangan iaitu Encik Abdullah Ahmad yang juga bekas pegawai pengkaji di Johor Heritage Foundation. Semasa aku tiba di muzium ini...terdapat ramai pengunjung dari Indonesia sedang mendengar taklimat yang diberikan. Muzium Bugis ini bukan sahaja menerima kunjungan dari orang awam yang datang tetapi juga sekolah-sekolah dan juga pusat pengajian tinggi.


Kesemua koleksi di dalam muzium ini sebenarnya ialah koleksi peribadi Encik Abdullah yang dikumpulkannya sejak berusia 13 tahun. Ada sebahagian daripada koleksi awal beliau telah dicuri. Koleksi ini memberi banyak makna dan kenangan kepada beliau.

Muzium Bugis ini sebenarnya bukan sahaja mempamerkan warisan Bugis tetapi warisan Melayu yang kebanyakkannya sudah tidak diketahui oleh generasi muda. Kalau korang nak tahu...sebenarnya lokasi ini ialah lokasi yang keempat menempatkan koleksi bernilai ini.




Selain itu, Muzium Bugis ini juga turut menyimpan pelbagai artifak dan koleksi bersejarah berkaitan negeri Johor yang mempunyai kaitan rapat dengan keturunan Bugis bermula sejak campur tangan Daeng Perani dalam pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah, sultan Johor ke-12 sehingga pemerintahan Temenggung Ibrahim yang membawa kepada era Kesultanan Johor dalam sejarah Johor moden.


Koleksi istimewa yang terdapat di Muzium Bugis ini termasuklah pelbagai jenis keris dan senjata yang digunakan antara sekitar tahun 1617 hingga 1836 yang dikatakan pernah digunakan sebagai senjata pahlawan Bugis menentang penjajah yang melalui jalan laut dan juga darat. Antara jenis-jenis keris tersebut adalah apit liang, langsuyar, lipa madur, berkelok terbang sari dan semar misam.


Al-Quran tulisan tangan juga turut dipamerkan di sini selain matawang serta pelbagai koleksi yang diperolehi sama ada melalui sumbangan individu dan ada juga yang dibeli sendiri dari pihak tertentu. Kebanyakkan barangan yang diperolehi mempunyai nilai sejarah dari sekitar Malaysia, kepulauan Riau Indonesia, Brunei, Thailand, India dan China.



Pada Oktober 2016, Gabenor Sulawesi Selatan, Syahrul Yasin Limpo datang berkunjung ke muzium ini dan berjumpa dengan penduduk Bugis tempatan. Beliau berharap perhubungan antara orang Bugis di negara yang lain dapat dikekalkan.

Kalau korang hendak datang ke sini untuk membuat rujukan...korang bolehlah berhubung dengan alamat di bawah nii..
Taman Rekreasi Sungai Rambah,
Rimba Terjun, Pontian
Tel : 017- 7633 244

Sekian.

No comments:

Post a comment