Sunday, 7 July 2019

Seni Pembuatan Kuda Kepang Yang Hampir Pupus.

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Hai korang semua....Apa khabar korang hari nii. Sihat-sihat selalu yea hendaknya. Hari nii aku nak cerita kat korang pasal satu kesenian yang sangat terkenal ketika dahulu di Johor. Tetapi sayangnya pada masa kini kesenian ini sudah jarang-jarang ditemui kecuali pada majlis keraian seperti kenduri kahwin atau pun pada acara-acara kebudayaan. Ok laa..tanpa berlengah dan berceloteh panjang...entri aku kali nii berkenaan dengan kuda kepang tetapi lebih fokus kepada seni pembuatan kuda kepang tuu....
                 
Sebenarnya dah tak ramai pelapis yang mewarisi seni pembuatan kuda kepang nii...salah satunya mungkin kurang berminat dan mungkin disebabkan seni persembahan kuda kepang ini diharamkan oleh fatwa Johor pada tahun 2009. 


Sebelum ke part seni pembuatan...aku story dulu pasal sejarahnya.... Tarian Kuda Kepang sungguh sinonim di kalangan rakyat negeri Johor. Namun asal usul kuda kepang ini tidak dapat diketahui. Hanya terdapat beberapa teori yang menyatakan bahawa ia berasal dari Jawa Timur. Ia dibawa masuk oleh masyarakat Jawa yang berhijrah ke negeri Johor dan kekal hingga sekarang tanpa banyak pengubahsuaian.



Selain itu, ada yang berpendapat asal usul tarian ini ada kaitan dengan Saidina Ali. Ada pula berpendapat yang mengaitkan asal usulnya dengan Wali Songo atau Wali Sembilan yang hidup di Tanah Jawa pada abad ke-15. Dalam usaha mengembangkan Islam di kawasan pedalaman di Jawa, Wali Songo menghadapi kesulitan untuk mendekati orang-orang di sana. Beliau mendapat idea untuk menari-nari sambil menunggang kuda. Penyampaian syariah Islam akan dilakukan sebelum atau selepas persembahan dilakukan. Pendapat lain pula seperti menghubungkan asal usulnya dengan alam kayangan. Kuda kayangan  bernama Kuda Sembrani kononnya dikatakan turun di Jawa untuk mencari kawannya yang hilang. Setelah berjumpa mereka menari-nari keseronokan. Jelaslah asul-usul kuda kepang ini tidak dapat disahkan tahun kewujudannya yang sebenar.


 Persembahan kuda kepang kini hanya diadakan di majlis keramaian seperti kenduri kahwin dan di acara kebudayaan.


Reponden aku berkaitan seni pembuatan kuda kepang ini ialah Encik Naim bin Marjani. Encik Naim bin Marjani@Hj Ridzuan berusia 78 tahun merupakan pengarah dan juga ketua di dalam Kumpulan Kuda Kepang Sinar Warisan, Sungai Nibong, Batu Pahat, Johor. Menurut Encik Naim persembahan kuda kepang mula bertapak di Batu Pahat, Johor sekitar tahun 1940-an. 


Kumpulan Kuda Kepang Sinar Warisan ini telah ditubuhkan pada tahun 1959 oleh sekumpulan 15 orang pemuda yang diketuai oleh allahyarham Encik Abdul Ghani Bin Marsidi. Perubahan kepimpinan dalam kumpulan ini, apabila berlakunya penghijrahan ke tanah rancangan FELDA pada awal tahun 70an. Encik Naim bin Marjan telah dipilih bagi mengetuai Kumpulan Kuda Kepang Sinar Warisan Sungai Nibong ini sehinggalah sekarang.




Menurut  pandangan Encik Naim bin Marjani, kuda kepang itu mendapat namanya daripada anyaman kuda yang disebut “kepang” yang bermaksud jalinan atau anyaman. Pada awalnya, kuda kepang ini dianyam menggunakan daun pandan tetapi kini telah diubahsuai, ada yang diperbuat daripada papan lapis atau kulit lembu.


Encik Naim bin Marjani atau lebih dikenali dengan nama Wak Naim, mula bergiat dalam tarian kuda kepang ini seawal umur 18 tahun. Hubungan beliau dengan kuda kepang begitu akrab dan sudah menjadi darah dagingnya. Encik Naim dikurniakan  tujuh orang anak perempuan hasil perkhawinan dengan Puan Sidah binti Abdul. Dengan hasil kuda kepang beliau dapat membeli sebidang tanah untuk membuat rumah sehinggalah dapat memiliki bengkel seni pembuatan kuda kepang. 


Beliau yang berketurunan jawa telah mewarisi bakat ayahnya yang juga seorang penari kuda kepang dan juga seorang pembuat kraftangan bakul anyaman rotan seketika dahulu. Beliau bermula dengan membantu ayahnya membuat bakul rotan. Disebabkan permintaan membuat kuda kepang amat tinggi pada ketika itu, beliau diminta untuk menghasilkan kuda kepang oleh kawan-kawannya. Setelah berapa kali mencuba akhirnya beliau berjaya menghasilkan kuda kepang dengan tangannya sendiri.


Di dalam melakukan kerja-kerja membuat kraftangan, beliau amat mementingkan kekemasan dan penelitian bagi menunjukkan tingginya martabat seni orang Melayu. Walaupun banyak rintangan dan cabaran yang harus ditempuhi, namun minat yang mendalam dan semangat yang tinggi ingin menjadikan kuda kepang dikenali oleh masyarakat akhirnya membuahkan hasil. 


Di akhir tahun 1980 an kumpulan ini mula melangkah lebih jauh. Pada tahun 1992 kumpulan ini telah mewakili daerah Batu Pahat dalam Pertandingan Tarian Kuda Kepang Asli di Karnival Johor dan kumpulan ini muncul sebagai Johan dalam pertandingan tersebut. Hasil kemenangan itu menyebabkan kumpulan ini lebih dikenali di segenap peringkat. Kumpulan ini juga telah dijemput membuat persembahan di peringkat yang lebih tinggi sehinggalah ke peringkat antarabangsa.




Encik Naim dapat berbangga dengan usaha hasil kuda kepangnya kerana sudah mampu memiliki bengkel, pekerja tetap dan pekerja sambilan. Selain itu, bengkelnya juga menerima kunjungan pelajar pusat pengajian tinggi. Kesetiaan beliau terhadap kuda kepang melayakkan beliau menerima banyak anugerah peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. Paling membanggakan bagi beliau adalah apabila dianugerahkan sebagai Tokoh Warisan Johor pada tahun  2008. 


Hasil kerja seni pembuatan kuda kepang beliau mendapat perhatian Perbadanan Kebudayaan dan Warisan Negeri Johor yang pada ketika itu sememangnya sedang mencari pembuat anyaman kuda kepang di sekitar negeri Johor. Bermula dari situlah bengkel kraftangan ini bermula apabila Perbadanan Kebudayaan dan Warisan Negeri Johor memperuntukkan sebanyak RM 5,000 bagi membina bengkel ini bagi menghasilkan kuda kepang. Encik Naim yang selama ini banyak bergantung punca pendapatan melalui hasil kampung, mengambil keputusan menjadikan seni pembuatan kuda kepang sebagai salah satu sumber pendapatan tetap beliau selain daripada membuat persembahan tarian kuda kepang.  



Bengkel Kraftangan Sinar Warisan telah ditubuhkan pada tahun 2002 oleh Encik Naim bin Marjani sebagai usaha bagi menambah pendapatan. Sebelum penubuhan bengkel ini, penghasilan kuda kepang hanyalah sekadar kerja sambilan bagi menampung keperluan keluarga. Semenjak daripada itu, beliau berusaha sedaya upaya menjadikan kuda kepangnya dikenali ramai dengan mengikuti beberapa kursus anjuran Perbadanan Kebudayaan dan Warisan Negeri Johor. 



Hasil usaha beliau akhirnya mendapat perhatian kerajaan, bukan kerajaan dan telah memasuki  program media tempatan seperti program rancangan yang dikendalikan oleh TV9, 8TV dan banyak lagi. Pada tahun 2005, Bengkel Kraftangan Sinar Warisan mendapat peruntukkan penambahbaikkan dari sumbangan Perbadanan Kraftangan Negeri Johor. Semenjak penubuhan bengkel kraftangan ini, Encik Naim hanya bekerja seorang diri sehinggalah pada tahun 2006 Encik Naim mengambil keputusan untuk mengambil seorang pekerja tetap bagi mempermudahkan urusan beliau. Selain itu, Encik Naim juga mendapat tawaran daripada Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi pelajar menjalani latihan industri di bengkelnya setiap tahun.


Sekarang korang dah tahu pasal sejarah kuda kepang nii.... jom kita belajar tentang teknik seni pembuatannya pulak. Bukan senang yea nak buat kalau korang tak de minat dan kesabaran yang tinggi.

Proses pembuatan kuda kepang ini ada beberapa peringkat. 


Peringkat pertama adalah mencari bahan mentah iaitu buluh. Untuk menghasilkan kuda kepang, buluh yang yang terbaik digunakan bagi memastikan kuda kepang yang dihasilkan nanti tidak mudah rosak. Buluh yang digunakan adalah jenis buluh tali kerana ianya lembut dan mudah dilenturkan. Buluh ini diperolehi di sekitar kawasan Kampung Sungai Nibong ini. 


Encik Naim nii ada pantang larang sikit bila masa yang sesuai untuk mengambil buluh nii... Beliau akan mengambil buluh Tali ini pada sebelah petang supaya tidak merosakkan pengeluaran anak-anak buluh di waktu pagi. Buluh yang diambil akan dipotong 1.5 – 2 meter panjang dan direndam di dalam parit hadapan rumahnya. Buluh direndam bagi melembutkan supaya proses memotong mudah dilakukan, selain itu ia juga sebagai proses pengawetan. Apabila hendak digunakan barulah buluh ini diambil. 

Satu ruas buluh boleh menghasilkan dua ekor kuda kepang.


Peringkat yang ke dua adalah memotong buluh tersebut kepada 16 bilah dan kemudiannya buluh tersebut diraut sehingga halus dan lembut supaya boleh dilentur. Buluh diraut sehingga bersih dan nipis.


Peringkat ke tiga pula adalah menganyam buluh tersebut. Buluh tersebut dianyam mengikut saiz yang dikehendaki. Anyaman dimulakan pada bahagian ekor dan kemudiannya ke bahagian tengah dan seterusnya ke bahagian kepala kuda kepang. Jika dahulunya, buluh ini diselisip (tindan balik) untuk melekatkan setiap buluh tetapi kini gam digunakan bagi mempercepatkan lagi proses pembuatan kuda kepang ini. Lebih mudah dan senang kan!!
          

Peringkat yang ke empat adalah melukis. Setelah buluh siap dianyam mengikut saiz yang dikehendaki. Proses melukis kuda dibuat di atas buluh tersebut menggunakan pen marker. Encik Naim telah menyediakan contoh untuk dijadikan acuan (kuda contoh) kepada pembuatan kuda kepang ini supaya saiznya seragam. Acuan tersebut ditekap dan dilukiskan ke atas buluh yang telah siap dianyam. Setelah siap dilukis, anyaman buluh tadi dipotong menggunakan gunting membentuk kuda.


Peringkat yang ke lima adalah proses pemasangan bingkai. Proses yang nii paling sukar sekali dan memerlukan kesabaran di tahap yang tinggi..hikk..hikk..hikk.. Buluh yang dibelah halus akan dipasang di bahagian luar kuda kepang sebagai bingkai. Ini bagi memastikan kuda kepang tersebut mendapat bentuknya. Kemudian bingkai tersebut dijahit supaya lebih kemas dan kukuh. Proses membuat bingkai ini agak sukar dan memerlukan masa yang lama untuk mempelajarinya.





Peringkat yang ke enam adalah mewarnakan. Kuda kepang yang telah siap dianyam dan dibingkai akan diwarnakan menggunakan cat minyak. Warna-warna yang digunakan adalah warna-warna terang seperti merah, putih dan hitam bagi menaikkan lagi corak yang terhasil pada badan kuda kepang ini. Setelah siap dicat, kuda kepang ini dijemur pada cahaya matahari sehingga kering.




Peringkat yang ke tujuh dan yang terakhir ialah hiasan. Hiasan bagi menonjolkan lagi kuda kepang ini adalah pada bahagian jambul di kepala kuda kepang ini dan di bahagian ekornya.

Sebuah kuda kepang dapat disiapkan selama seminggu bagi kuda kepang bersaiz besar (kuda dewasa) dan empat hari bagi kuda kepang bersaiz kecil (anak kuda). Harga untuk seekor kuda kepang ialah RM 250 (saiz besar), RM 10 (saiz sederhana) dan RM 80 (saiz kecil). Encik Naim nii pernah menyiapkan 10 ekor kuda kepang dalam masa 6 bulan...perrrgh lama giler nak siapkannya.



Selain daripada seni pembuatan  kuda kepang...Encik Naim juga melakukan persembahan. Persembahan tarian kuda kepang terbahagi kepada dua ketegori:
i. persembahan kuda kepang biasa
ii. persembahan kuda kepang mabuk

Bayaran yang dikenakan untuk persembahan kuda kepang sekitar Johor ialahRM 600 - RM1000. Manakala untuk persembahan luar negeri Johor sebanyak RM1000 dan keatas. Untuk persembahan rakaman media elektronik seperti television adalah RM 600 - RM 800. Kalau korang nak buat tempahan bolehlah berhubung dengan Encik Naim.

ENCIK NAIM BIN MARJANI
017-7805919
Kumpulan Kuda Kepang Sinar Warisan
94-16,Kg Sg Nibong,
83600 Semerah,
Batu Pahat,Johor.



Semenjak fatwa Johor mengharamkan seni persembahan kuda kepang ini pada tahun 2009... tempahan persembahan semakin kurang diterima. Koleksi baju dan peralatan persembahan masih lagi disimpan dengan baik oleh Encik Naim di dalam stor bengkel miliknya. Seni pembuatan kuda kepang ini juga tidak ada pelapis yang berminat untuk mewarisinya. Kalau tak salah aku tak sampai 5 kumpulan kuda kepang yang masih aktif di Johor dan hanya ada satu keluarga sahaja yang masih cuba untuk mempertahankan dan memperkembangkan seni pembuatan kuda kepang ini (sori yea..aku dah lupa nama famili nii).


Aku sangat seronok dapat mengetahui seni pembuatan kuda kepang nii. Ini merupakan pengalaman pertama aku. Mungkin selepas ini aku ingin melihat pula persembahan kuda kepang secara live. Semoga seni pembuatan kuda kepang ini dapat diwarisi oleh generasi akan datang terutama penduduk negeri Johor sendiri.

Sekian.

1 comment:

  1. Situs Penyedia Layanan Sepak Bola Terbaik Sbobet Dan Bonus Member Baru Yang Besar, Agen Sepak Bola Sbobet Maxbet Yang Memberikan Pelayanan 24 Jam Nonstop, Bandar Judi Sepak Bola Sbobet Yang Di Dukung Oleh Bank Dengan Pelayanan CS Yang Ramah dan 24 Jam Nonstop, Penyedia Jasa Pembuatan ID Sbobet Judi Sepak Bola Yang Terkenal Dan Memiliki Grafis YangBagus, dan Kemudahan Dalam Bermain Dan Keamanan Saat Bertransaksi

    Agen Sepak Bola Online

    bonus besar Sepak Bola

    Bandar judi Sepak Bola

    Agen Sbobet Judi Bola

    Judi Sepak Bola Terbaik

    Agen Judi Online

    Bandar judi ikan

    Agen sabung ayam

    judi sabung ayam

    judi tembak Ikan

    Agenjudi tembak ikan terbaik

    ReplyDelete