Monday, 29 July 2019

Masjid Peringgit Unik Kerana Menggunakan Batu Bata Era Belanda Dan Terdapatnya Jam Matahari

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,


Hai korang apa khabar semuanya....Aku sentiasa doakan korang semua berada dalam keadaan sihat walafiat. Don't worry..just be happy ok!! Seperti biasa...hari nii aku nak citer tentang sebuah lagi masjid yang pupular di Negeri Melaka. Masjid ini diberi nama Masjid An Nur Peringgit kerana terletak di Bukit Peringgit.


















Peringgit mendapat namanya apabila Pemerintah Portugis di Melaka (1511 - 1641) membina pos kawalan dipuncak bukit itu. Ianya bertujuan mengawal pergerakan serangan orang-orang Naning, daerah kecil yang merdeka. Lantas bukit ini disebut sebagai Bukit Peringgit dan kemudiannya disebut Peringgit kekal hingga hari ini. (Peringgi adalah gelaran orang-orang Melaka terhadap orang Portugis).




Masjid asal Peringgit yang dibina pada tahun 1726 telah pun musnah. Tetapi aku tak pasti...masjid ini musnah sebab terbakar atau sebab dirobohkan. Masjid Peringgit yang ada sekarang...telah dibina pada tahun 1868. Berbentuk empat segi, bahan binaan terdiri daripada batu laterite dan batu bata era Belanda sebagai asas dan dinding. 


Lantai masjid diperbuat daripada susunan terracotta. Loteng, perabung, kekisi tingkap dan pintu dibuat dari kayu. Tiga lapisan bumbung adalah ciri utama masjid di Melaka. Gentingnya terdiri daripada genting china pada bahagian verandah dan genting Belanda pada bumbung tengah dan bumbung utama. Bahagian kubah / puncak dibuat dari batu karang berukir seperti yang dapat dilihat. 


Pada tahun 1978/1979 kerajaan Negeri Melaka telah menambah besar bahagian belakang masjid ini dengan binaan konkrit yang melenyapkan tangga utama, perigi, kolah, susunan terracotta dan batu bata era Belanda di bahagian lantai terracotta di verandah ditukar kepada jubin moden. Di bahagian sisi sebelah kanan telah dibina binaan tambahan yang digunakan sebagai kelas Fardu Ain untuk kanak-kanak setempat. 



Apabila Masjid Negeri siap dibina pada tahun 1988, Masjid Peringgit tidak lagi digunakan untuk solat Jumaat kerana kedudukannya yang berhampiran dan kariah masjid berpindah ke Masjid Negeri. Masjid Peringgit digunakan oleh penduduk setempat untuk solat harian sahaja. Lama kelamaan banyak dari kerja kayunya yang rosak disebabkan anai-anai dan air hujan sehingga ianya tidak lagi selamat untuk digunakan.


Pada tahun 2002, Jabatan Muzium dan Antikuiti telah melaksanakan kerja-kerja konservasi dengan mengembalikan bentuk asal Masjid Peringgit.

Setelah meningkatnya bilangan ahli jemaah, masjid ini telah diubahsuai lagi dengan tiada perancangan yang betul menyebabkan rekabentuk masjid ini hilang dari pandangan kerana terlalu banyak penambahan di bahagian hadapannya. Kalau korang ambik gambar...korang dah tak nampak senibina yang asli masjid ini. Kecantikkan masjid ini telah terhalang. Aku rasa sangat sedih kerana tidak dapat merakam gambar senibina yang cantik pada masjid ini untuk dijadikan simpanan koleksi peribadi aku.


Banyak ahli masjid sekarang yang terlalu ghairah untuk melakukan kerja-kerja mengubahsuai tanpa memikirkan keaslian dan kecantikkan bangunan tersebut. Ada juga yang suka meniru (copy paste) ciri-ciri masjid lain untuk dibina di masjid mereka. Sayang seribu kali sayang sebab orang dahulu sangat kreatif dan pandai dalam ilmu pertukangan tetapi telah dirosakkan di tangan generasi zaman sekarang.


Bagi aku masjid-masjid di Negeri Melaka ini yang paling cantik senibinanya (tradisional) dan masih banyak yang teguh berdiri jika dibandingkan dengan negeri-negeri yang lain. Masjid di Negeri Melaka ini banyak menerima pengaruh dari luar menyebabkan ianya bertambah unik terutama pada bahagian tangga dan juga bumbung. Aku harap masjid ini akan terus kekal berdiri dengan semoga rekabentuknya yang asli tidak terus dirosakkan hingga hilang identitinya yang sebenar.



Sebelum aku menutup citer aku nii...aku nak bagitau kat korang akan keistimewaan Masjid Peringgit nii yang mungkin ramai tak tahu... Di perkarangan masjid ini terdapat alat pengukur masa. Meskipun zaman sudah moden dan tidak sukar untuk mengetahui masa, jam matahari tetap menjadi pilihan terutama dalam menentukan waktu solat penduduk di sini. Jam itu memudahkan penduduk yang mengukur pergerakan masa berdasarkan bayang yang terhasil pada permukaan. Usia jam matahari ini telah melebihi 100 tahun kalau korang nak tahu. Kalau korang nak tengok akan kebenaran jam matahari ini....datanglah ke Masjid Peringgit ni....


Sekian.

Wednesday, 24 July 2019

Kampung Kacang Putih Di Buntong, Ipoh Menjadi Lubok Kacang Putih Terbesar Di Malaysia

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Hai korang semua...tengah buat apa tuu. Aku doakan korang semua sihat walafiat hendaknya. Sekarang nii tengah banyak musim durian dan rambutan...jangan terlebih makan, nanti demam pulak!

Hari nii entri aku berkisahkan makanan lagi...tapi makanan ringan atau jajan... Makanan nii memang sangat popular di Perak terutama sekali di Ipoh area Buntong. Kalau korang datang ke Ipoh jangan lupa untuk singgah kat sini. Tak lengkap tau kunjungan korang kalau tak datang kat tempat nii.




Orang Ipoh gelar makanan ringan nii 'kacang putih'...tapi bukanlah bermaksud kacang tu berwarna putih. Kacang putih nii merangkumi semua jenis kacang termasuklah pelbagai jenis dan bentuk muruku, kacang tanah, kacang pea, seperti pakoda, sivel, kadalai, dhall, Aulu, poori, srilanka, omom, pakoda dan sebagainya.  Kacang putih ini bukan sahaja digemari oleh masyarakat India, malah ia turut menjadi kegemaran masyarakat Melayu dan Cina. Boleh dikatakan ia merupakan makanan ringan ‘1 Malaysia’.



Sejak aku kecik lagi dah ada kacang putih nii...Dulu kacang putih nii banyak dijual di hentian bas Ipoh. Sekarang jumlahnya dah semakin kurang kerana mereka nii sudah ada industri kecil mereka sendiri yang dibuat secara besar-besaran dan ada yang dieksport ke luar negara. Pusat perusahaan ini terletak di Buntong dan telah diberikan nama Kampung Kacang Putih sebab semakin banyaknya industri kacang putih ini di sini.


Industri kacang putih ini telah lama wujud di perak iaitu pada penghujung tahun 1940 apabila enam keluarga telah berhijrah dari India Selatan untuk menetap di Ipoh.


Ia bermula secara menjaja kecil-kecilan menggunakan bakul...kemudian basikal...dan motosikal kini telah ada industri kecil dengan wujud kedai-kedai dan kilang memproses kacang putih di Buntong. Kebayakan perniaga kacang putih ini merupakan perniagaan keluarga yang dilakukan secara turun-temurun dan setiap peniaga mempunyai rahsia resepi keluarga mereka yang tersendiri.



Kalau aku balik ke Ipoh... aku akan cuba singgah ke Perkampungan Kacang Putih ini dan pergi ke kedai D.N.S Kacang Putih Sdn. Bhd...kerana aku suka kacang putih yang dijual di sini. Walau pun banyak kedai kacang putih di kawasan ini tetapi bagi aku kacang putih di kedai ini lebih enak rasanya kerana terasa akan adunan rempahnya. Kedainya turut menjual manisan tradisional masyarakat Indian seperti laddu, athirasam, jalebi dan mysore pagu.




Harga kacang putih yang terdapat di kedai ini pun sangat murah bermula dari RM 2 sebungkus. Susun atur kacang putih di dalam kedai ini pun sangat kemas dan bersih....sangat mudah untuk korang memilih dengan paparan tanda harga. Tokey kedai nii pun sangat peramah orangnya dan pandai berbahasa Mandarin walau pun beliau seorang yang berbangsa India.




Ada diantara kedai-kedai di sini yang korang boleh lihat sendiri hasil memproses dan memasak kacang putih ini. Kacang putih yang disediakan oleh industri kecil ini dijamin tahap kebersihannya dan pegawai kesihatan daripada Majlis Bandaraya ipoh sering kali melakukan pemeriksaan. Selain itu, Pelancongan Negeri Perak juga telah menjadikan industri kecil ini sebagai salah satu produk pelancongan




Kebanyakkan pelanggan-pelanggan yang datang adalah terdiri daripada pelanggan tetap. Walau pun banyak industri kecil kacang putih di Kampung Kacang Putih Buntong ini...mereka bersaing secara positif dan sihat. Ada yang telah memperluaskan skop perniagaan dengan mengeksport produk  ke luar negara seperti ke Australia, New Zealand dan China.



Masalah yang dihadapi oleh semua peniaga kacang putih di Buntong ialah kekurangan kakitangan ataupun pekerja. Golongan muda tempatan dilihat tidak berminat untuk bekerja dalam bidang memproses dan membekal kacang putih. Oleh itu, mereka terpaksa mengambil pekerja warga asing untuk membantu mereka menjalankan perniagaan ini.




Setiausaha Persatuan Perdagangan Masyarakat Indian, B. K. Kumar meminta agar pihak kerajaan memasukkan Kampung Kacang Putih dalam kalender pelancongan negeri agar para pelancong luar negara tahu kewujudan kampung tersebut yang terkenal dengan kacang putihnya.

Kalau korang nak tahu rasa keenakkan kacang putih nii....datanglah ke Ipoh. Tak Jauh pun dari bandar Ipoh...tak sampai 15 minit perjalanan menaiki kereta. Korang bolrh jadikan buah tangan untuk keluarga dan kawan-kawan. Bila nak raya...kat sini la aku memborong untuk dijadikan kudapan tetamu yang datang beraya...haaahaaahaa
 
Sekian.

Monday, 15 July 2019

Muzium Setem Melaka Mempamerkan Banyak Koleksi Setem Dan Sampul Surat Terawal

Assalammualaikum dan salam Sejahtera,

Hai korang... Alahamdulillah dapat lagi kita bertemu yea. Mmmm... hari ni aku nak story mory dengan korang mengenai sebuah muzium yang selama ini aku tak perasan pun akan kewujudannya. Sebenarnya aku ke sini pun secara kebetulan, membantu kawan aku dari Key Ell (Kuala Lumpur) untuk buat kerja


Perasaan aku pertama kali menjejakkan kaki kat muzium nii...agak terperanjat dan berbangga kerana aku tak sangka kat Melaka or maybe kat Malaysia nii ada Muzium Setem yang banyak sangat koleksi setemnya. Inilah pertama kali aku tengok koleksi setem yang sangat menarik...membuatkan aku jadi sangat teruja.


Pada zaman sekolah dahulu...aku rajin la jugak kumpul setem dan aku ada dua buah buku koleksi tapi aku pun dah tak tahu ke mana perginya buku koleksi aku tuu. Muzium Setem nii terletak tak jauh pun dari kota A Farmosa tuu... korang boleh jer jalan kaki. Kat muzium ini bukan sahaja ada koleksi setem tetapi ada koleksi sampul surat.



Sebelum aku bercerita tentang koleksi setem yang ada kat dalam muzium nii...apa kata korang kenal dulu akan bangunan muzium ini. Dari segi luarannya memang bangunan ini nampak buruk tapi jangan dinilai dari segi rupa yea...hikk..hikk..hikk.. 


Bangunan yang menempatkan Muzium Setem Melaka ini mempunyai sejarah lampaunya yang tersendiri. Bangunan ini dibina sejak era penjajahan Belanda yang mana ia merupakan kediaman pegawai Belanda pada masa itu. Ketika era Inggeris pula, bangunan ini masih kekal sebagai rumah kediaman tetapi untuk pegawai Inggeris


Bangunan ini ketika dahulunya sangat terkenal atau lebih dikenali dengan Sekolah Gambar atau Muzium Lama Melaka. Selepas Perang Dunia Ke dua bangunan ini telah ditinggalkan. Bangunan ini mempunyai ciri-ciri seni bina Eropah, manakala rekabentuk atap dan tingkapnya bercirikan seni bina Melayu.


Korang dah tahu kan...tentang bangunan Muzium Setem Melaka nii.... ok sekarang aku cerita pulak tentang koleksi yang ada kat dalam muzium nii. Kerajaan Negeri Melaka dengan kerjasama Pos Malaysia Berhad telah menubuhkan Muzium Setem Melaka pada tahun 2007 di bangunan lama Muzium Melaka bagi mempamerkan setem-setem terawal di Malaysia dan luar negara sehingga yang terkini.


Idea ini bermula kerana setem dianggap aset yang sangat berharga dari segi kesenian, kewangan dan sejarah. Penggemar setem sanggup untuk membelanjakan banyak wang, tenaga dan masa bagi memastikan setem-setem yang jarang ditemui berada dalam koleksi mereka tau.... Ada jugak yang mengembara semata-mata untuk mencari setem nii..


Muzium nii tak besar mana pun... bangunan batu dua tingkat nii mungkin mengambil masa lebih kurang 10 minit jer kalau korang jalan santai-santai tetapi bagi peminat setem mungkin boleh duduk dua jam dalam muzium nii. Sebaik melangkah masuk ke dalam muzium setem ini, korang akan lihat kaunter tiket dihadapan korang dan di sebelah kiri korang pula ada kedai setem. Di sini korang boleh dapat banyak informasi dan infografik yang menceritakan bagaimana dunia surat menyurat dan setem ini bermula dan di mana ianya berasal.


Muzium Setem Melaka ini ada 5 jenis pameran...antaranya Sejarah Muzium Setem MelakaKoleksi Setem dan Sampul Surat TerawalDiorama Tiga Zaman Cara Pos SuratKoleksi Setem Lama Tahun 1955 - 2003 dan terakhir Setem Negeri-negeri Tanah Melayu. Bilangan koleksi setem lama sehinggalah yang terkini mencecah sehingga ribuan. Antara  yang paling menarik korang boleh lihat ialah pelbagai koleksi sampul surat dan setem asal yang pernah digunakan di Tanah Melayu.


Selain informasi terdapat juga diorama yang menceritakan era-era perjalanan cara surat dipos pada zaman dahulu yang terletak diruang pameran bahagian belakang bangunan tetapi kini ditutup untuk pengunjung kerana memerlukan kerja-kerja pemuliharaan. Ruang pameran ini telah usang tetapi koleksi didalamnya sangatlah berharga.


Selain itu, ada juga dipamerkan beberapa peralatan lama yang menjadi sebahagian daripada fungsi sistem pos Tanah Melayu suatu ketika dahulu seperti alat penimbang, peti besi, basikal, uniform lama dan lain-lain lagi. Walau pun bilangan koleksi ini tidak banyak tetapi sangat menarik dan unik untuk dilihat.

Setem pertama di dunia (Penny Black, 1840), setem pertama di Malaysia, setem yang tidak sempat digunakan (setem Malayan Union) serta koleksi setem tahun 1955 sehingga 2003 ada dipamerkan di Muzium Setem Melaka ini. 


Kalau korang seorang pengumpul setem lama... ada satu ruang di tingkat atas...di mana terdapatnya rak fail simpanan yang menempatkan koleksi setem-setem lama dari tahun 1955 sehingga 2003. Nak tarik keluar rak fail simpanan nii korang perlukan tenaga yang kuat kerana ketat dan ada bahagian pemegangnya yang telah rosak. Tetapi sangat berbaloi untuk dilihat. Yang paling penting koleksi setem ini adalah yang asli dan bukannya dicetak semula tau...


Walau pun, muzium nii dikhususkan untuk setem negeri Melaka... tetapi ada juga satu ruang yang menempatkan puluhan setem lama yang diguna pakai di negeri-negeri lain di Tanah Melayu termasuklah di Sabah dan juga Sarawak.


Selain itu, terdapat juga ruang yang menempatkan informasi tentang sistem dari luar negara seperti Penny Black yang lengkap dengan informasi sejarahnya untuk rujukan pengunjung. Penny Black ialah setem pertama dunia yang dikeluarkan di Britain pada 1840. Setem berimejkan Ratu Victoria ini merupakan setem tersohor yang telah merubah sistem komunikasi dunia serta ketamadunan manusia. Penggunaan sistem ini  merevolusasikan sistem pos kepada sistem komunikasi awam moden yang diwarisi sehingga ke hari ini.

Penny Black ialah setem pertama dunia yang dikeluarkan di Britain pada 1840.


Pada 1 Mei 2015, Melaka telah terpilih menjadi hos Pameran Setem Antarabangsa Empat  Negara yang melibatkan Singapura, Thailand, Indonesia dan Malaysia di Muzium Setem ini. Pada tahun sebelumnya hanya tiga negara sahaja yang terlibat.


Muzium Setem Melaka ini beroperasi setiap hari Selasa hingga Ahad bermula jam 9.00 pagi hingga 5.30 petang. Muzium ini tutup pada setiap hari Isnin dan Hari Raya Aidilfitri yang pertama. Harga tiket masuk adalah RM 3.00 seorang bagi dewasa dan RM 2.00 untuk kanak-kanak.


Terus terang aku katakan...aku akan datang lagi sekali ke Muzium Setem Melaka ini kerana aku tidak puas melihatnya kali pertama hari tu. Aku bangga giler dengan muzium nii disebabkan koleksi yang mereka ada. Cuma pada pandangan aku...muzium ini perlu dilakukan kerja-kerja pemuliharaan kerana bangunannya dah semakin usang dan ini boleh menyebabkan Malaysia kehilangan koleksi yang sangat berharga ini. Bumbungnya yang bocor boleh mengakibatkan kerosakkan kepada koleksi setem ini.


Muzium Setem Melaka ini merupakan satu-satunya muzium setem di Malaysia. Ia menjadi sumber rujukan kepada pecinta setem dan para penyelidik. Ramai generasi sekarang yang tidak tahu akan kepayahan yang perlu dilalui oleh seorang posmen pada masa dahulu  untuk menghantar surat samada melalui darat dan juga udara.


Aku paling suka melihat diorama yang terdapat di ruang belakang aras bawah muzium ini. Lukisan yang dilukis pada dinding bangunan nii sangat cantik dan menarik. Warna terang yang digunakan memberi kesan yang sangat dramatik.


Semoga Muzium Setem Melaka ini terus kekal terpelihara dan dapat memberi kesedaran kepada orang ramai terutama sekali generasi baru mengenai sejarah perkembangan setem di Malaysia dan di seluruh dunia. Semoga ia juga dapat memberi pendedahan dan penyebaran pengetahuan mengenai kebudayaan, pembangunan, pelancongan, pelajaran, tempat bersejarah, sukan, flora dan fauna kepada semua. Secara tidak langsung setem adalah sebagai media menyebarkan maklumat kepada orang ramai mengenai pelbagai peristiwa yang berlaku.


Maka tidak hairanlah, semakin tua usia sekeping setem, nilainya juga bertambah tinggi.

Sekian.

**jangan lupa follow blog aku nii yea

Sunday, 7 July 2019

Seni Pembuatan Kuda Kepang Yang Hampir Pupus.

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Hai korang semua....Apa khabar korang hari nii. Sihat-sihat selalu yea hendaknya. Hari nii aku nak cerita kat korang pasal satu kesenian yang sangat terkenal ketika dahulu di Johor. Tetapi sayangnya pada masa kini kesenian ini sudah jarang-jarang ditemui kecuali pada majlis keraian seperti kenduri kahwin atau pun pada acara-acara kebudayaan. Ok laa..tanpa berlengah dan berceloteh panjang...entri aku kali nii berkenaan dengan kuda kepang tetapi lebih fokus kepada seni pembuatan kuda kepang tuu....
                 
Sebenarnya dah tak ramai pelapis yang mewarisi seni pembuatan kuda kepang nii...salah satunya mungkin kurang berminat dan mungkin disebabkan seni persembahan kuda kepang ini diharamkan oleh fatwa Johor pada tahun 2009. 


Sebelum ke part seni pembuatan...aku story dulu pasal sejarahnya.... Tarian Kuda Kepang sungguh sinonim di kalangan rakyat negeri Johor. Namun asal usul kuda kepang ini tidak dapat diketahui. Hanya terdapat beberapa teori yang menyatakan bahawa ia berasal dari Jawa Timur. Ia dibawa masuk oleh masyarakat Jawa yang berhijrah ke negeri Johor dan kekal hingga sekarang tanpa banyak pengubahsuaian.



Selain itu, ada yang berpendapat asal usul tarian ini ada kaitan dengan Saidina Ali. Ada pula berpendapat yang mengaitkan asal usulnya dengan Wali Songo atau Wali Sembilan yang hidup di Tanah Jawa pada abad ke-15. Dalam usaha mengembangkan Islam di kawasan pedalaman di Jawa, Wali Songo menghadapi kesulitan untuk mendekati orang-orang di sana. Beliau mendapat idea untuk menari-nari sambil menunggang kuda. Penyampaian syariah Islam akan dilakukan sebelum atau selepas persembahan dilakukan. Pendapat lain pula seperti menghubungkan asal usulnya dengan alam kayangan. Kuda kayangan  bernama Kuda Sembrani kononnya dikatakan turun di Jawa untuk mencari kawannya yang hilang. Setelah berjumpa mereka menari-nari keseronokan. Jelaslah asul-usul kuda kepang ini tidak dapat disahkan tahun kewujudannya yang sebenar.


 Persembahan kuda kepang kini hanya diadakan di majlis keramaian seperti kenduri kahwin dan di acara kebudayaan.


Reponden aku berkaitan seni pembuatan kuda kepang ini ialah Encik Naim bin Marjani. Encik Naim bin Marjani@Hj Ridzuan berusia 78 tahun merupakan pengarah dan juga ketua di dalam Kumpulan Kuda Kepang Sinar Warisan, Sungai Nibong, Batu Pahat, Johor. Menurut Encik Naim persembahan kuda kepang mula bertapak di Batu Pahat, Johor sekitar tahun 1940-an. 


Kumpulan Kuda Kepang Sinar Warisan ini telah ditubuhkan pada tahun 1959 oleh sekumpulan 15 orang pemuda yang diketuai oleh allahyarham Encik Abdul Ghani Bin Marsidi. Perubahan kepimpinan dalam kumpulan ini, apabila berlakunya penghijrahan ke tanah rancangan FELDA pada awal tahun 70an. Encik Naim bin Marjan telah dipilih bagi mengetuai Kumpulan Kuda Kepang Sinar Warisan Sungai Nibong ini sehinggalah sekarang.




Menurut  pandangan Encik Naim bin Marjani, kuda kepang itu mendapat namanya daripada anyaman kuda yang disebut “kepang” yang bermaksud jalinan atau anyaman. Pada awalnya, kuda kepang ini dianyam menggunakan daun pandan tetapi kini telah diubahsuai, ada yang diperbuat daripada papan lapis atau kulit lembu.


Encik Naim bin Marjani atau lebih dikenali dengan nama Wak Naim, mula bergiat dalam tarian kuda kepang ini seawal umur 18 tahun. Hubungan beliau dengan kuda kepang begitu akrab dan sudah menjadi darah dagingnya. Encik Naim dikurniakan  tujuh orang anak perempuan hasil perkhawinan dengan Puan Sidah binti Abdul. Dengan hasil kuda kepang beliau dapat membeli sebidang tanah untuk membuat rumah sehinggalah dapat memiliki bengkel seni pembuatan kuda kepang. 


Beliau yang berketurunan jawa telah mewarisi bakat ayahnya yang juga seorang penari kuda kepang dan juga seorang pembuat kraftangan bakul anyaman rotan seketika dahulu. Beliau bermula dengan membantu ayahnya membuat bakul rotan. Disebabkan permintaan membuat kuda kepang amat tinggi pada ketika itu, beliau diminta untuk menghasilkan kuda kepang oleh kawan-kawannya. Setelah berapa kali mencuba akhirnya beliau berjaya menghasilkan kuda kepang dengan tangannya sendiri.


Di dalam melakukan kerja-kerja membuat kraftangan, beliau amat mementingkan kekemasan dan penelitian bagi menunjukkan tingginya martabat seni orang Melayu. Walaupun banyak rintangan dan cabaran yang harus ditempuhi, namun minat yang mendalam dan semangat yang tinggi ingin menjadikan kuda kepang dikenali oleh masyarakat akhirnya membuahkan hasil. 


Di akhir tahun 1980 an kumpulan ini mula melangkah lebih jauh. Pada tahun 1992 kumpulan ini telah mewakili daerah Batu Pahat dalam Pertandingan Tarian Kuda Kepang Asli di Karnival Johor dan kumpulan ini muncul sebagai Johan dalam pertandingan tersebut. Hasil kemenangan itu menyebabkan kumpulan ini lebih dikenali di segenap peringkat. Kumpulan ini juga telah dijemput membuat persembahan di peringkat yang lebih tinggi sehinggalah ke peringkat antarabangsa.




Encik Naim dapat berbangga dengan usaha hasil kuda kepangnya kerana sudah mampu memiliki bengkel, pekerja tetap dan pekerja sambilan. Selain itu, bengkelnya juga menerima kunjungan pelajar pusat pengajian tinggi. Kesetiaan beliau terhadap kuda kepang melayakkan beliau menerima banyak anugerah peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. Paling membanggakan bagi beliau adalah apabila dianugerahkan sebagai Tokoh Warisan Johor pada tahun  2008. 


Hasil kerja seni pembuatan kuda kepang beliau mendapat perhatian Perbadanan Kebudayaan dan Warisan Negeri Johor yang pada ketika itu sememangnya sedang mencari pembuat anyaman kuda kepang di sekitar negeri Johor. Bermula dari situlah bengkel kraftangan ini bermula apabila Perbadanan Kebudayaan dan Warisan Negeri Johor memperuntukkan sebanyak RM 5,000 bagi membina bengkel ini bagi menghasilkan kuda kepang. Encik Naim yang selama ini banyak bergantung punca pendapatan melalui hasil kampung, mengambil keputusan menjadikan seni pembuatan kuda kepang sebagai salah satu sumber pendapatan tetap beliau selain daripada membuat persembahan tarian kuda kepang.  



Bengkel Kraftangan Sinar Warisan telah ditubuhkan pada tahun 2002 oleh Encik Naim bin Marjani sebagai usaha bagi menambah pendapatan. Sebelum penubuhan bengkel ini, penghasilan kuda kepang hanyalah sekadar kerja sambilan bagi menampung keperluan keluarga. Semenjak daripada itu, beliau berusaha sedaya upaya menjadikan kuda kepangnya dikenali ramai dengan mengikuti beberapa kursus anjuran Perbadanan Kebudayaan dan Warisan Negeri Johor. 



Hasil usaha beliau akhirnya mendapat perhatian kerajaan, bukan kerajaan dan telah memasuki  program media tempatan seperti program rancangan yang dikendalikan oleh TV9, 8TV dan banyak lagi. Pada tahun 2005, Bengkel Kraftangan Sinar Warisan mendapat peruntukkan penambahbaikkan dari sumbangan Perbadanan Kraftangan Negeri Johor. Semenjak penubuhan bengkel kraftangan ini, Encik Naim hanya bekerja seorang diri sehinggalah pada tahun 2006 Encik Naim mengambil keputusan untuk mengambil seorang pekerja tetap bagi mempermudahkan urusan beliau. Selain itu, Encik Naim juga mendapat tawaran daripada Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi pelajar menjalani latihan industri di bengkelnya setiap tahun.


Sekarang korang dah tahu pasal sejarah kuda kepang nii.... jom kita belajar tentang teknik seni pembuatannya pulak. Bukan senang yea nak buat kalau korang tak de minat dan kesabaran yang tinggi.

Proses pembuatan kuda kepang ini ada beberapa peringkat. 


Peringkat pertama adalah mencari bahan mentah iaitu buluh. Untuk menghasilkan kuda kepang, buluh yang yang terbaik digunakan bagi memastikan kuda kepang yang dihasilkan nanti tidak mudah rosak. Buluh yang digunakan adalah jenis buluh tali kerana ianya lembut dan mudah dilenturkan. Buluh ini diperolehi di sekitar kawasan Kampung Sungai Nibong ini. 


Encik Naim nii ada pantang larang sikit bila masa yang sesuai untuk mengambil buluh nii... Beliau akan mengambil buluh Tali ini pada sebelah petang supaya tidak merosakkan pengeluaran anak-anak buluh di waktu pagi. Buluh yang diambil akan dipotong 1.5 – 2 meter panjang dan direndam di dalam parit hadapan rumahnya. Buluh direndam bagi melembutkan supaya proses memotong mudah dilakukan, selain itu ia juga sebagai proses pengawetan. Apabila hendak digunakan barulah buluh ini diambil. 

Satu ruas buluh boleh menghasilkan dua ekor kuda kepang.


Peringkat yang ke dua adalah memotong buluh tersebut kepada 16 bilah dan kemudiannya buluh tersebut diraut sehingga halus dan lembut supaya boleh dilentur. Buluh diraut sehingga bersih dan nipis.


Peringkat ke tiga pula adalah menganyam buluh tersebut. Buluh tersebut dianyam mengikut saiz yang dikehendaki. Anyaman dimulakan pada bahagian ekor dan kemudiannya ke bahagian tengah dan seterusnya ke bahagian kepala kuda kepang. Jika dahulunya, buluh ini diselisip (tindan balik) untuk melekatkan setiap buluh tetapi kini gam digunakan bagi mempercepatkan lagi proses pembuatan kuda kepang ini. Lebih mudah dan senang kan!!
          

Peringkat yang ke empat adalah melukis. Setelah buluh siap dianyam mengikut saiz yang dikehendaki. Proses melukis kuda dibuat di atas buluh tersebut menggunakan pen marker. Encik Naim telah menyediakan contoh untuk dijadikan acuan (kuda contoh) kepada pembuatan kuda kepang ini supaya saiznya seragam. Acuan tersebut ditekap dan dilukiskan ke atas buluh yang telah siap dianyam. Setelah siap dilukis, anyaman buluh tadi dipotong menggunakan gunting membentuk kuda.


Peringkat yang ke lima adalah proses pemasangan bingkai. Proses yang nii paling sukar sekali dan memerlukan kesabaran di tahap yang tinggi..hikk..hikk..hikk.. Buluh yang dibelah halus akan dipasang di bahagian luar kuda kepang sebagai bingkai. Ini bagi memastikan kuda kepang tersebut mendapat bentuknya. Kemudian bingkai tersebut dijahit supaya lebih kemas dan kukuh. Proses membuat bingkai ini agak sukar dan memerlukan masa yang lama untuk mempelajarinya.





Peringkat yang ke enam adalah mewarnakan. Kuda kepang yang telah siap dianyam dan dibingkai akan diwarnakan menggunakan cat minyak. Warna-warna yang digunakan adalah warna-warna terang seperti merah, putih dan hitam bagi menaikkan lagi corak yang terhasil pada badan kuda kepang ini. Setelah siap dicat, kuda kepang ini dijemur pada cahaya matahari sehingga kering.




Peringkat yang ke tujuh dan yang terakhir ialah hiasan. Hiasan bagi menonjolkan lagi kuda kepang ini adalah pada bahagian jambul di kepala kuda kepang ini dan di bahagian ekornya.

Sebuah kuda kepang dapat disiapkan selama seminggu bagi kuda kepang bersaiz besar (kuda dewasa) dan empat hari bagi kuda kepang bersaiz kecil (anak kuda). Harga untuk seekor kuda kepang ialah RM 250 (saiz besar), RM 10 (saiz sederhana) dan RM 80 (saiz kecil). Encik Naim nii pernah menyiapkan 10 ekor kuda kepang dalam masa 6 bulan...perrrgh lama giler nak siapkannya.



Selain daripada seni pembuatan  kuda kepang...Encik Naim juga melakukan persembahan. Persembahan tarian kuda kepang terbahagi kepada dua ketegori:
i. persembahan kuda kepang biasa
ii. persembahan kuda kepang mabuk

Bayaran yang dikenakan untuk persembahan kuda kepang sekitar Johor ialahRM 600 - RM1000. Manakala untuk persembahan luar negeri Johor sebanyak RM1000 dan keatas. Untuk persembahan rakaman media elektronik seperti television adalah RM 600 - RM 800. Kalau korang nak buat tempahan bolehlah berhubung dengan Encik Naim.

ENCIK NAIM BIN MARJANI
017-7805919
Kumpulan Kuda Kepang Sinar Warisan
94-16,Kg Sg Nibong,
83600 Semerah,
Batu Pahat,Johor.



Semenjak fatwa Johor mengharamkan seni persembahan kuda kepang ini pada tahun 2009... tempahan persembahan semakin kurang diterima. Koleksi baju dan peralatan persembahan masih lagi disimpan dengan baik oleh Encik Naim di dalam stor bengkel miliknya. Seni pembuatan kuda kepang ini juga tidak ada pelapis yang berminat untuk mewarisinya. Kalau tak salah aku tak sampai 5 kumpulan kuda kepang yang masih aktif di Johor dan hanya ada satu keluarga sahaja yang masih cuba untuk mempertahankan dan memperkembangkan seni pembuatan kuda kepang ini (sori yea..aku dah lupa nama famili nii).


Aku sangat seronok dapat mengetahui seni pembuatan kuda kepang nii. Ini merupakan pengalaman pertama aku. Mungkin selepas ini aku ingin melihat pula persembahan kuda kepang secara live. Semoga seni pembuatan kuda kepang ini dapat diwarisi oleh generasi akan datang terutama penduduk negeri Johor sendiri.

Sekian.