Wednesday, 19 June 2019

Muzium Nelayan...Sangat Menarik Dan Teruja Untuk Diterokai

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Hai korang. Apa khabar semua..? Harap-harap semuanya sihat disamping keluarga dan teman-teman yea. Aku dah tiga minggu gak demam turun naik...Batuk dah melebihi dua bulan. Tapi alhamdulillah badan nii masih kuat mengharungi semua dugaan nii. Kita masih dalam mood raya lagi kan!! Banyak ke terima jemputan Open House ?? 




Okey lah...hari nii aku nak cerita tentang satu tempat yang sepatutnya korang pergi dan kena pergi. Aku teruja betul bila sampai kat tempat nii. Seronok giler meneroka dan mengambil gambar. Aku nak citer tentang Muzium Nelayan di Tanjung Balau.... Kebetulan masa tuu aku sedang outstation untuk kerja-kerja luar di sekitar kawasan nii. Muzium nii cantik dan penuh dengan informasi menarik. Keadaan hiasan dalamannya yang tersusun dengan rekabentuk bercirikan kapal serta aliran penyaman udara yang menyegarkan membuatkan korang rasa sangat teruja...


Muzium Nelayan nii dibina di Tanjung Balau, Kota Tinggi, Johor oleh Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) pada 20 Ogos 1990 dan siap sepenuhnya pada 8 Julai 1992 dengan jumlah kos RM 1.48 juta. Sejak dari hari itu, sudah 17 tahun Ianya beroperasi dan ia telah menerima kunjungan ribuan pelawat dari seluruh negara. 


Bangunan muzium yang agak ‘ke dalam’ daripada pintu masuk membuatkan ia kelihatan seolah-olah ditutup. Muzium ini menyimpan dan mempamerkan pelbagai khazanah para nelayan tradisional negeri Johor seperti sampan, jaring, pancing, bubu dan lain-lain. Muzium ini mempunyai 4 galeri tambahan lain iaitu Galeri Geologi, Galeri Keselamatan Laut, Galeri Kapal Karam Desaru (Shipwreck) dan Galeri Pameran Khas. 


Di dalam Galeri Geologi pendedahan lebih mendalam tentang apa itu geologi dipamerkan. Galeri Geologi mengemukakan pelbagai batuan unik yang sebahagian besarnya diperoleh di perairan Tanjung Balau. Selain itu pengunjung juga dapat melihat bagaimana terjadinya tsunami, kejadian gunung berapi, pelbagai jenis batuan, fosil batuan dan sebagainya. Korang jangan terkejut bila masuk ke dalam galeri ini.... kerana korang akan dikejutkan dengan sound effect dinasour dan replika dinasour yang besar. 


Galeri Keselamatan Laut pula menerangkan tentang panduan pelayaran di laut dan cara-cara menghadapi suasana kecemasan semasa di laut. Panduan pelayaran di kawasan  rumah api dan sebagainya. Selain itu turut dipamerkan beberapa model kapal-kapal perdagangan. 

















Apabila korang masuk pula ke dalam Galeri Kapal karam Desaru...korang akan didedahkan pula dengan artifak seramik biru putih (pinggan mangkuk).  Setiap galeri yang korang masuk memang sangat mendamaikan kerana sound effect dan juga penyaman udaranya yang segar.


Pada masa kunjungan kami ke sini... terdapat Galeri Pameran Khas yang bertajuk... Pameran Keranda Tradisi dan Mistik. Semasa kami baru sampai di dalam Muzium Nelayan...kami terdengar kecoh-kecoh kerana ada seorang mak cik menjerit ketakutan di Pameran Keranda ini. Apabila tiba waktu untuk kami melawat pameran keranda nii pula....kami dah mula rasa takut dan berpegangan tangan....kerana kami risau sekiranya terdapat sound effect dan kejutan yang menyeramkan serta memeranjatkan kami. Dah laa kami baru jer terkejut dengan kehadiran dinasour di Galeri Geologi. 

Di dalam galeri khas ini banyak dipamerkan keranda yang jarang dilihat dan semuanya adalah keranda yang asal...maksudnya keranda yang betul. Aku dah mula risau sekiranya ada benda-benda mistik yang masih terdapat dikeranda-keranda ini....mata tu nak melihat tapi hati rasa takut...dah la keadaan dalamnya yang gelap. Kami cepat-cepat lihat dan terus keluar....haahaahaa...   


Untuk pengetahuan korang Muzium Nelayan turut membincangkan mengenai kaedah dan kemahiran nelayan dahulu serta pengetahuan yang mereka perlukan untuk belayar. Antaranya adalah pengetahuan dalam melihat bintang di langit serta maksud yang dibawa oleh keadaan bintang tersebut. Selain itu, ia turut menerangkan mengenai amalan-amalan para nelayan dahulu kala sebelum mereka turun ke laut. 


Maklumat tentang nelayan yang tinggal di pantai timur menggunakan beberapa teknik lama untuk menangkap ikan juga turut dipamerkan di muzium ini. Ada yang merujuk kepada ‘bulan’ sementara yang lain melihat keadaan ‘kaki langit’ untuk menyaksikan perubahan udara. Selain dari sejarah hidup nelayan dan kehidupan masyarakat nelayan, terdapat banyak lagi artifak berkaitan nelayan dipamerkan termasuk jaring ikan dan takal dengan replika autentik yang digunakan. 

















Muzium ini dibuka setiap hari dari 9:00 pagi hingga 6:00 petang kecuali pada Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha. Tiket masuk adalah berharga RM 2.00 dewasa dan RM 1.00 bagi kanak- kanak. Muzium Nelayan Tanjung Balau ini jugak menerima tempahan mengadakan aktiviti berkumpulan seperti Explorace dan pelbagai aktiviti menarik yang lain. Muzium ini dikawalselia oleh seorang Penolong Kurator iaitu Encik Muhammed Iqbal bin Rosli bersama 4 anggota tetap muzium iaitu 2 pembantu muzium, seorang pembantu am pejabat dan seorang pekerja awam. 

















Antara waktu lawatan yang paling ramai orang berkunjung ke sini adalah semasa musim cuti sekolah dan cuti umum serta hujung minggu, memandangkan lokasinya berdekatan dengan tepi pantai. Muzium Nelayan Tanjung Balau ini dibina di tapak seluas lapan hektar mempunyai persekitaran yang sungguh menarik dengan pemandangan utamanya menghadap Laut China Selatan.



Muzium ini berkonsepkan ciri-ciri warisan nelayan yang terdapat diseluruh Malaysia.

Sejumlah lebih 250 artifak yang mengisi ruang pamerannya mampu mendekatkan pengunjung dengan kehidupan Nelayan. 


Pameran lebih 50 perahu digunakan sejak 100 tahun antaranya perahu payang, kolek Johor, kolek chiau, perahu badar besar hingga perahu diilhamkan dari barat berupaya membuka mata semua pengunjung yang datang ke sini. Banyak perahu yang cantik-cantik serta menarik dipamerkan di ruang luar Muzium Nelayan ini. Kagum giler aku dengan seni ukiran yang terdapat di badan perahu-perahu ini...kreatif sungguh orang dulu-dulu. 


Sejarah awalnya.... Tanjung Balau adalah merupakan sebuah kawasan persisiran pantai yang menjadi persingahan para nelayan zaman dahulu yang terdiri daripada kepulauan Riau, Mersing, Batam dan lain-lain. Sudah menjadi kebiasaan bagi para nelayan mereka akan berteduh di Tanjung Balau sementara menunggu musim tengkujuh yang biasanya berlaku pada September sehingga November. 


Selain itu, Tanjung Balau juga dikenali oleh masyarakat tempatan sebagai “Terumbu Emas” kerana kawasan Tanjung Balau Kaya dengan sumber laut disamping persisiran pantai dilitupi oleh hutan pantai dan paya bakau pada ketika itu. 

  
Hubungi kami di :  
Tanjung Balau Fisherman Museum
Lembaga Kemajuan Johor Tenggara,
Jalan Dato Hj. Hassan Yunus,
81930 Bandar Penawar, Johor

No. Tel            : 07-884 3100 / 07-822 1601

No. Fax           : 07-822 6787 / 07-822 1600
Email               : muziumnelayan@yahoo.com.my
Facebook        : www.facebook.com/MuziumNelayan


Waktu Operasi 

Isnin-Khamis                           : 9.00 pg – 5.00 ptg

Jumaat                                    : 9.00 pg - 12.15 tghari & 2.45 ptg – 5.00 ptg

Sabtu- Ahad & Cuti am           : 9.00 pg – 6.00 petang


Korang pasti tak menyesal untuk melawat Muzium Nelayan ini kerana banyak ilmu yang korang boleh perolehi di sini... Selain itu korang boleh juga melihat tempat-tempat menarik di sekitar kawasan ini dengan keindahan pantainya.


Sekian

2 comments:

  1. THANKS! MANY THANKS! DATANG SKALI LAGI KITA DAH RENOVATE!! LEPAS RAYA DATANG! THANKS!

    ReplyDelete
  2. Insha Allah... ada kesempatan saya akan singgah lagi...

    ReplyDelete