Wednesday, 26 June 2019

Masjid Kampung Kling Melaka Menggabungkan Seni Bina Sumatera, China Dan Melayu

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Hai korang....Apa khabar? Kali nii aku nak bawa korang untuk mengenali sebuah masjid yang sangat cantik seni binanya di Melaka iaitu Masjid Kampung Kling. Nak pergi ke masjid ini agak mencabar sikit laluannya kerana ia terletak di daerah Melaka Tengah...iaitu di tengah-tengah bandar Melaka berhampiran dengan Jonker Street...laluannya pulak memang sempit...



Tetapi apabila aku masuk ke dalam masjid ini....aku rasa sungguh terpegun dengan keindahan seni binanya...walau pun dari luar masjid nii nampak cam buruk giler....sebab warna catnya yang telah pudar serta luntur disebabkan hujan dan panas tetapi di dalamnya memang cantik sesangat dengan pelbagai gabungan seni ukiran.



Masjid Kampung Kling adalah antara masjid paling tua di Malaysia. Dibina pada tahun 1748, masjid ini terletak di Jalan Hang Lekiu, di persimpangan Jalan Tanjong. Kawasan ini dipenuhi dengan kedai-kedai perniagaan orang CinaSejarah Kampung Kling berdasarkan cerita penduduk tempatan mengatakan bermula dari sebuah penempatan awal yang berketurunan peranakan Arsaily. Mereka berasal daripada pedagang-pedagang  dari Gujerat yang telah berkahwin dengan penduduk tempatan dan menetap di kawasan tersebut. Oleh kerana majoriti penduduk yang tinggal di kampung ini adalah peranakan keling.



Kawasan sekitar masjid ini didiami oleh penduduk daripada kawasan selatan negeri India dan penduduk-penduduk ini dipanggilkan “Keling” (daripada perkataan Kalinga). Dari situlah ia mula mendapat namanya...



Masjid ini dikatakan sebagai  tapak sebenar pedagang-pedagang India Muslim datang ke Melaka untuk berdagang pada abad ke-14 dan 15 dan mereka menunaikan solat sejurus tiba ke Melaka. Kaum India peranakan yang lebih dikenali sebagai kaum Chetti dipercayai adalah keturunan India yang telah tiba ke Melaka sejak zaman kesultanan Melayu Melaka. Golongan masyarakat India pada zaman tersebut ketika itu mempunyai banyak kuasa dan terpengaruh di Melaka seperti Raja Kassim yang berketurunan India Muslim. Pekerjaan peranakan ini adalah sebagai saudagar yang terkenal dengan saudagar emas Aceh yang juga sebagai tukang emas dan petani. 



Pada zaman Portugis dan Belanda pula, mereka masih lagi menjalankan perdagangan dan dianggap sebagai golongan berada. Ada antara mereka yang berjaya membeli tanah di kawasan Melaka. Apabila Melaka mula merosot sebagai pusat perdagangan antarabangsa sejak zaman Belanda, ekonomi masyarakat peranakan Kling turut terjejas. Kebanyakan mereka mula mengalihkan perhatian untuk tinggal di kampung-kampung. Oleh kerana  harga sewa tanah dan rumah terlalu tinggi di kenakan, keadaan ini telah memaksa mereka menjual rumah dan tanah kepada kaum China yang lebih kaya (Salim Ahmad). Apabila mereka menetap di Kampung Keling mereka telah membina masjid sebagai tempat ibadat dan kemasyarakatan ketika itu dan kemudiannya diserahkan kepada masyarakat Melayu. 



Sejarah asalnya, Masjid Kampung Kling telah dibina oleh Che Mat Hj. Kecut. Tapak tanahnya dikatakan milik Belanda yang telah dihadiahkan kepada Dato’ Aroon dan kemudiannya diwariskan kepada Dato’ Shamsuddin bin Dato’ Aroon iaitu Kapitan Melayu ke-2. Pada tahun 1782, bangunan kayu ini telah digantikan  dengan batu-bata dan diubahsuai sekali lagi pada tahun 1808. Keadaan masjid yang ada sekarang adalah hasil pengubahsuaian antara tahun 1938-1940.  Masjid ini juga dikenali sebagai masjid Kampung Pali atau Kampung Balik Pali atau juga dikenali Masjid Kampung Kapar. Namun demikian, nama kampung ini lenyap apabila proses perbandaran berlaku di Melaka. 



Pembinaan masjid ini bertujuan untuk menggantikan Masjid Kampung Hulu yang dikatakan hendak dilelong oleh pemilik tanahnya iaitu Haji Aminah bte Dato’ Shamsuddin iaitu waris Dato’ Shamsuddin yang dikatakan gila harta. Manakala Che Mat Hj. Kecut merupakan seorang hartawan yang kaya pada zaman tersebut. Beliau  dibantu oleh menantunya Hj. Yahya untuk memungut cukai sewa tanah di sekitar Kampung Hulu. Hasil daripada pungutan cukai inilah yang digunakan untuk membina beberapa masjid disekitar bandar Melaka termasuklah Masjid Kampung Kling. 





















Masjid Kampung Kling dibina menggunakan tapak segi empat sama, dan bukan di atas tapak segi empat tepat ataupun heksagon seperti yang diamalkan di negara-negara Timur TengahIa mempunyai keunikan seni bina yang cantik dan menerima pengaruh dari beberapa negara. Fungsinya sebagai tempat ibadah masih dikekalkan dan terus menjadi bukti kepada perkembangan sejarah Islam di negara ini. Tapak masjid ini dikatakan tapak sebenar di mana pedagang India Muslim yang datang ke Melaka untuk berdagang pada abad ke-14 dan 15 menunaikan solat sejurus setelah tiba di Melaka. 



Bahagian menara dan mimbarnya mempunyai pengaruh Hindu manakala tiang lampu dan tempat wuduknya menerima pengaruh seni bina Arab. Jubin lantai adalah buatan Portugis dan Inggeris. Kawasan beranda dihiaskan dengan tiang Corinthian dan mengelilingi kawasan dewan solat. Tiang Corinthian juga menadakan pemisah di antara ruang minbar daripada dewan solat. Reka bentuk seperti ini banyak dikatakan terdapat di Sumatera dan mengimport bahan binaan asal  daripada kayu belian yang datang dari Sumatera (Zarinah Hj. Sarifan 2000 : 2). 



Ada setengah pendapat mengatakan kayu tan bahan tersebut berasal dari Kalimantan. Tidak kurang pula mengatakan  bahan binaan kayu itu datang dari negeri Melaka sendiri. Kerja-kerja Konservasi yang dilaksanakan oleh Jabatan Muzium dan Antikuiti dilakukan secara berperingkat. 



Dalam pembinaan masjid tersebut, jurubina yang membina masjid tersebut adalah gabungan daripada semua bangsa yang tinggal di kawasan tersebut. Menurut Hj. Salim, belanja pembinaan dan bahan binaan adalah hasil derma daripada penduduk tempatan. Beliau ada menyebut pembinaan masjid ini adalah khairat tiap-tiap pemuda dimestikan membayar khairat kepada Masjid Kampung Kling.



Masjid ini diperbaharui dalam tahun 1872 dengan bangunan batu. Dalam tahun 1908, atap bumbung ini ditinggikan mengikut Kampung Hulu. Keseluruhan pembinaan masjid ini adalah derma daripada hartawan-hartawan dan orang ramai. Menara konkrit masjid ini terletak berasingan daripada bangunan utama di sayap barat manakala tempat berwuduk terletak di sayap selatan. 




















Seni bina Masjid ini memang unik terdapat gabungan seni bina SumateraChina dan Melayu. Di masjid tersebut terdapat sebuah menara berbentuk pagoda dan bumbung bertingkat 3. Kebanyakkan marmar dan jubin di Masjid ini di bawa dari negara China. Segala ukiran-ukiran yang ada dalam masjid dibuat oleh orang Melayu. Terdapat sebuah kolah di bahagian kiri Masjid Kampung Keling ini dan ditengah-tengahnya terdapat pancutan air.



Tiang yang menyokong bumbung kolah ini terdiri dari besi padat berbentuk lukisan Arab. Bumbungnya masih berkeadaan asal. Terdapat juga perigi lama yang masih digunakan lagi berhampiran kolah ini.


Gaya berganda dalam senireka masjid melambangkan perkembangan pesat ilmu senibina di Melaka pada masa itu, dengan kedatangan pengaruh-pengaruh binaan yang dibawa oleh orang Belanda dari Eropah.



Bumbung tiga lapisan digunakan dalam senibina Masjid Kampung Keling ini, seperti mana bumbung di Masjid Kampung Hulu. Bumbung tiga lapisan ini mencirikan masjid-masjid di Melaka. Bumbung disokong oleh 4 tiang seri di tengah-tengah masjid. 4 tiang seri ini dilengkapkan dengan 8 tiang yang lebih kecil yang digunakan untuk menyokong struktur lapisan kedua dan lapisan ketiga bumbung berlapis tiga itu. Jubin seramik diimport dari negara China untuk menghiasi bumbung, lantai dan dinding-dinding masjid ini.



 Menara masjid dibina daripada batu, dan mempunyai bentuk seperti sebuah pagoda, juga satu ciri masjid di Melaka. Pengaruh lain digunakan kerana sebelum pembinaan Masjid Kampung Hulu dan Masjid Kampung Kling, masjid-masjid binaan orang Melayu tidak menggunakan menara. 



Pada tahun 1868, masjid dan menara dilindungi oleh tembok tinggi sebagai pemisah dengan jalan raya.  Motif hiasan yang menghiasi pintu, tingkap dan juga hiasan pada tepi tebing bumbung juga dipengaruhi hiasan China. Pengaruh seni bina Eropah dimasukkan dalam pembinaan masjid ini, khususnya dengan lepaan yang digunakan untuk dinding bahagian dalam masjid ini.



Pelawat yang datang ke masjid ini dikehendaki memakai pakaian yang sesuai dengan cara pakaian orang-orang Islam iaitu seluar yang menutupi lutut untuk lelaki dan memakai tudung atau skaf untuk wanita. Walau bagaimanapun, masjid ini ada menyediakan jubah untuk mereka yang tidak memakai pakaian yang bersesuaian. Pelawat yang bukan Islam hanya dihadkan di bahagian pintu masuk sahaja...ruang solat tidak dibenarkan untuk masuk.

Semoga Masjid Kampung Kling ini terus kekal terpelihara seni bina keasliaannya.

Sekian.

No comments:

Post a comment