Wednesday, 29 May 2019

Kompleks Sejarah Kota Johor Lama Pernah Melakar Sejarah Penting Dalam Perkembangan Sejarah Negara.

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,


Hai korang....jumpa lagi kita di entri kali ini. Hari ni aku nak story pasal tempat bersejarah dan sangat sesuai untuk lawatan bagi menambah ilmu pengetahuan. Dah lama aku simpan impian untuk menjejakkan kaki ke sini. Alhamdulillah dan bersyukur sangat akhirnya impian aku terlaksana jua. Tempat yang aku nak citer nii ialah Kompleks Sejarah Kota Johor Lama. Kompleks Sejarah Kota Johor Lama terletak dibawah penyelenggaraan Jabatan Muzium Malaysia (dahulunya dikenali sebagai Jabatan Muzium dan Antikuiti) semenjak tahun 1970 lagi.



Kota Johor Lama terletak di tebing kiri Sungai Johor kira-kira 27 km dari Bandar Kota Tinggi atau kira-kira 30 km dengan jalan darat melalui Jalan Desaru ke Teluk Sengat. Kota ini terletak di kawasan ladang getah atas tebing muara Sungai Johor. Terdapat juga beberapa buah perkampungan Melayu seperti Kampung Teluk Sengat dan Kampung Johor Lama


Kompleks ini boleh aku bahagikan kepada dua bahagian...iaitu bahagian muzium dimana terdapat banyak koleksi bersejarah dipamerkan di sini dan juga bahagian kawasan kotanya yang terletak dihadapan muzium tersebut.


Muzium Kota Johor Lama merupakan sebuah muzium yang diletakkan di bawah pentadbiran Jabatan Muzium Malaysia (Wilayah Selatan). Pembinaan muzium ini bermula pada bulan Ogos 2004 dan siap sepenuhnya pada bulan Februari 2007. Muzium ini mula dibuka kepada umum pada bulan Oktober 2007. Rekabentuk bangunan muzium ini bercirikan bentuk rumah tradisional. 

Muzium ini merupakan satu-satunya muzium yang dibangunkan secara 'insitu' di suatu kawasan yang pernah melakar sejarah penting dalam perkembangan sejarah negara.


Fungsi utama penubuhan muzium ini adalah untuk memberikan maklumat dan gambaran yang lebih jelas kepada mereka yang mencintai sejarah untuk mengetahui dengan lebih mendalam peranan Kota Johor Lama yang pernah menjadi pusat pemerintahan kerajaan Melayu yang penting selepas era kejatuhan Kesultanan Melaka pada tahun 1511. Kesinambungan warisan kegemilangan Kerajaan Melayu Melaka terus bertapak di negeri Johor dan telah mewarnai sejarah tempatan ketika itu terutamanya di sepanjang Sungai Johor. Episod ini turut memainkan peranan yang penting dalam pemerintahan Johor.




Ruang pameran di dalam muzium ini terbahagi kepada lima segmen iaitu Pengenalan berkaitan sejarah Kota Johor Lama; Pemerintahan, Perdagangan dan Peperangan di Kota Johor Lama; Kota-kota Pertahanan di sepanjang Sungai Johor; Taburan Batu Nisan Acheh di daerah Kota Tinggi; serta kajian arkeologi dan temuan di Kota Johor Lama. Kesemua tajuk segmen di dalam galeri pameran ini meliputi pembukaan kota yang menjadi pusat pemerintahan, perdagangan yang unggul sehingga kejatuhannya, kaitannya dengan kota-kota pertahanan lain dan kajian-kajian yang dijalankan oleh penyelidik tempatan dan luar negara di dalam kawasan kota ini yang menumpukan kepada kepentingan kota yang masih wujud dalam bentuk fizikal dan dapat dilihat sehingga hari ini.


Kajian-kajian yang dijalankan di Kota Johor Lama adalah seperti:
1. Ekskavasi oleh G.D.G Sieveking, C.A. Gibson Hill dan Wheatley pada tahun 1954.
2. Kajian penulisan oleh I.A. Macgregor iaitu Journal Of The Malayan Branch Royal Asiatic Society pada 1954.
3. Jurnal Warisan Johor pada 1997.

4. Iesnordin bin Hj. Malan - Tapak-tapak Sejarah Johor. Unpublish Report 1994


Pada mulanya, tapak sejarah ini telah di kaji dan dicari gali sebanyak 2 kali. Pertama pada tahun 1960 oleh warga inggeris dan kali kedua pada tahun 2004 sekali gus telah bina Pusat Informasi atau dikenali sebagai Muzium Kota Johor Lama sekarang. Namun begitu, selepas beberapa dekad berlalu, tanah bekas tapak pusat perdagangan terbabit kemudiannya telah dijadikan kebun buah-buahan oleh penduduk kampung di situ. 


Seterusnya, ahli sejarah kemudiannya pada tahun 2004 telah mengambil inisiatif untuk mengkaji semula Kota Johor Lama dan mencari balik arkeologi dan artifak yang masih tersembunyi di bawah tanaman mereka. Apa yang dijumpai hasil daripada galian tersebut ialah bekas pinggan mangkuk berwarna biru dan putih yang dipercayai daripada Dinasti Ming dan telah di pamerkan di muzium itu sehingga ke hari ini, termasuklah makam dan nisan yang turut dipercayai daripada Acheh. 


Kawasan galian itu kemudiannya telah dibeli oleh pihak muzium negara (sejarah) daripada penduduk kampung dan dibangunkan dengan pembinaan Pusat Informasi pada tahun 2006 dan siap pada tahun 2007. Struktur binaan muzium itu adalah bentuk rumah tradisional melayu iaitu Rumah Tradisional Melaka dan dibina tanpa paku hanyalah menggunakan tanggam. Dan dibelakang muzium itu terdapat makam lama yang dipercayai MAKAM ALMARHUM SULTAN ALAUDDIN RIAYAT SHAH II.


Sejarah Kota Johor Lama bermula pada tahun 1540 apabila Sultan Alauddin Riayat Shah II (Raja Johor kedua 1528-1564) berpindah ke Tanjung Batu yang terletak di tepi Sungai Johor. Baginda mendirikan sebuah kota yang dibina daripada susunan batu dan kemudian ditambak dengan terbinanya kota ini, kerajaan Johor menjadi sebuah kerajaan yang kuat sehingga dapat mematahkan serangan Acheh beberapa kali. 


Paulo de Lima Pareira melaporkan bahawa dalam peperangan tersebut, Portugis memusnahkan langsung pusat pemerintahan Kota Johor Lama lalu dibakar dan Kota Batunya dimusnahkan. Beliau telah merampas 800 pucuk meriam gangsa, emas, perak, 1,200 buah perahu besar dan kecil dan sebagainya. Menurutnya kapal yang membawa rampasan perang ini telah karam di perairan Indonesia. Sejak dari tarikh itu pusat pemerintahan di Tanjung Batu dengan Kota Batunya yang gagah tidak lagi dijadikan ibu negeri oleh sultan-sultan Johor yang berikutnya.


Kota Johor Lama terbiar buat seketika hinggalah zaman pemerintahan Sultan Ibrahim (1677-1685). Pada tahun 1678, Laksamana Tun Abdul Jamil Paduka Raja (bapa mertua Sultan Ibrahim) telah datang ke Johor Lama dari Siak dan membunuh Temenggong. Sultan Ibrahim telah cuba membina semula Johor Lama dan memindahkan pusat pemerintahan ke sana tetapi tidak tercapai kerana mangkat di Riau pada 16 Februari 1685. Kota Batu Johor Lama menjadi tempat bersemayan sementara Sultan Mahmud Shah II (1685-1699). Pada ketika itu pusat pemerintahan baginda terletak di Pasir Raja, Kota Tinggi (Kampung Makam sekarang). Selepas baginda mangkat Kota Johor Lama tidak digunakan lagi.


Kegemilangan Kota Johor Lama di dalam sejarah pemerintahan kesultanan Melayu Johor tidak boleh dipandang ringan. Ia pernah menjadi ibu negeri sebanyak dua kali iaitu pada zaman pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Shah selama 24 tahun (1540-1564), dan pada zaman kemuncak kegemilangan Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II selama 13 tahun (1574-1587). Pada ketika ini yang wujud hanyalah tinggalan kota yang dipulihara berterusan. Kemakmuran dan kemegahan dan kemegahan kesultanan Melayu di Kota Batu (Johor Lama) musnah ditelan zaman. Apa yang tinggal hanyalah sebuah perkampungan yang sunyi, tenang dan damai.


Sultan Alauddin Riayat Shah II akhirnya tewas juga ditangan Acheh di bawah Sultan Alauddin Riayat Shah Al-Qahhar dalam satu peperangan yang sengit. Sultan Alauddin Riayat Shah II telah dibawa ke Acheh lalu dihukum bunuh pada tahun 1564. Pada tahun 1564 dengan perkenan Sultan Acheh, anak almarhum Sultan Alauddin Riayat Shah II iaitu Radin Badar telah ditabalkan menjadi Sultan Johor yang ketiga bergelar Sultan Muzafar Shah. 



Selepas setahun bersemayan di Kota Johor Lama, Baginda memindahkan pusat pemerintahan ke Seluyut sehingga baginda mangkat pada 1570. Baginda telah digantikan oleh Sultan Abdul Jalil Shah I. Semasa ditabalkan baginda berusia lapan tahun dan segala urusan pentadbiran kerajaan dijalankan oleh Bendahara Seri Maharaja Tun Hisap Misai. Sultan Abdul Jalil I, Sultan Johor keempat mangkat selepas setahun ditabalkan iaitu pada tahun 1571.


Raja Umar telah ditabalkan menjadi Sultan Johor yang kelima dengan gelaran Sultan Ali Jalla Shah II. Baginda memerintah dari tahun 1571-1597. Pada tahun 1573 baginda bersemanyan semula di Kota Johor Lama dan membaikpulih kota pertahanan yang telah ditinggalkan selama sembilan tahun (1564-1573). Semasa pemerintahan baginda, Johor telah bersahabat semula dengan Acheh. Perhubungan ini tidak disenangi oleh Portugis di Melaka lalu Portugis menyerang Kota Johor Lama pada tahun 1576 dan 1578.


Kedua-dua serangan ini telah dapat ditumpaskan oleh tentera-tentera Johor. Semasa pemerintahan Sultan Ali Jalla Abdul Jalil, Baginda beberapa menyerang Portugis di Melaka. Jika bukan kerana sokongan tambahan orang-orang Portugis dari Goa India, besar kemungkinan Melaka dapat ditakluk semula. 



Johor yang dianggap sebagai ancaman kepada Portugis di Melaka akhirnya telah diserang dan ditewaskan oleh Portugis pada 15 Ogos 1587. Johor Lama telah dikepung selama hampir satu bulan oleh angkatan Portugis yang besar di bawah pimpinan Siamo de Abreu da Antonio de Noroha. Sultan Ali Jalla Abdul Jalil berundur dan membina pusat pemerintahan baru di Batu Sawar sehingga baginda mangkat pada tahun 1597.

Kalau korang yang ingin tahu akan sejarah Kota Johor Lama nii boleh laa datang ke sini... Bayaran masuk adalah percuma. Perjalanannya agak mengambil masa yang panjang jugak sebab aku bertolak dari Kota Tinggi. Kedudukannya jauh ke dalam dan berhampiran dengan laut...korang boleh lihat view laut yang sangat cantik kat kawasan nii. Tapi awas...monyet pun banyak jugak kat sini. Walau pun jauh ke kawasan pendalaman tetapi jalannya sangat la ok...bertar. Kemudahan asas pun ada kat sini...tandas awam dan kawasan parking yang sederhana luas.


Alamat                                                   
Kompleks Sejarah Kota Johor Lama
Lot 1468, Kg. Johor Lama
81940 Kota Tinggi
Johor

Tel: +607 883 1498
Fax: +607 895 2082


Jangan lupa untuk memulakan pengembaraan korang kat sini yea... kerana Muzium Kota Johor Lama ini mempamerkan sebanyak 84 koleksi yang terdiri daripada porselin, senjata, barangan tembaga, tembikar tanah, alat permainan dan anyaman yang mempunyai pertalian rapat dengan sejarah Kota Johor Lama. Koleksi menarik yang dipamerkan di sini ialah pinggan tembaga yang ditemui di jalan masuk Kota Johor Lama dan peluru meriam yang digunakan semasa serangan terhadap Kota Johor Lama.

Sekian.

3 comments: