Thursday, 26 December 2019

Kuih Gandus...Kuih Tradisional Yang Enak Dimakan Tetapi Sukar Dijumpai

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,


Hai korang semua apa khabar hari nii…? Aku doakan semoga korang semua sihat-sihat ajer yea hendaknya. Aku kat sini sihat Alhamdulillah. Hari nii aku nak citer lagi tentang makanan tradisional. Makanan ini femes kat Johor sebab aku jumpanya banyak kat Johor. Kuih yang aku nak citer nii namanya kuih Gandus. Aku pun baru pertama kali mencubanya.


Resipi Kuih Gandus ni nampak macam mudah jer nak membuatnya tapi aku belum mencuba untuk membuatnya. Kalau korang berminat boleh lah mencuba resepi kat bawah nii...

Bahan-bahan
600 gm tepung beras
200 gm tepung gandum
2 sudu makan tapai nasi
500 gm kelapa muda parut putih
1200 ml santan dari 1 biji kelapa putih
1 bungkus yeast kering
garam secukup rasa
gula merah (gula tanjung) secukupnya
acuan gandus


Cara Membuat
1. Tepung beras, tepung gandum, tapai nasi, separuh bahagian kelapa muda, yeast kering, garam, serta santan digaul rata dan dikisar sedikit.
2. Masukkan separuh bahagian lagi kelapa, gaul rata dan perap selama kira-kira satu jam atau hingga adunan naik berbuih.
3. Panaskan acuan diatas dapur gas dan sapu sedikit minyak, kemudian tuangkanlah adunan tadi kedalam acuan anggaran tiga suku bahagian, lalu dibakar kira-kira 10 minit atau hingga masak.
4. Keluarkan dari acuan ketika masih panas dan hidangkan dengan gula merah.



Kuih nii memang sedap dimakan...aku memang suka. Rasanya yang lembut, lemak-lemak manis. Cicah pulak dengan sambal. Peerrrggghhh terangat aku cakap. Hingga menjilat jari tau... Selain sambal korang boleh jugak cicah dengan gula pasir atau gula Melaka kalau korang tak tahan rasa pedas.

Ada dua jenis bentuk yang aku jumpa untuk kuih Gandus nii...iaitu berbentuk separuh bulat atau berbentuk bulat. Ada juga kuih gandus yang terdapat inti di bahagian dalamnya. Apa pun yang pastinya kuih tradisional memang sedap. Hanya dijumpai pada bulan puasa di bazar-bazar Ramadhan. Kuih Gandus yang paling femes dijual di pasar Keramat, Kuala Lumpur...berbentuk bulat, berintikan jem nenas buatan sendiri...dijual dengan harga RM 0.40 sen sebiji.
Sekian.

Tuesday, 17 December 2019

Bubur Harissa Makanan Timur Tengah Untuk Menambah Stamina

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,


Hai korang semua apa khabar hari nii…? Aku doakan semoga korang semua sihat-sihat ajer yea hendaknya. Positifkan diri selalu supaya aura positif sentiasa ada di sekeliling kita. hari nii aku nak citer tentang makanan lagi tetapi makanan ini agak special sikit sebab semakin pupus dan sekin sukar dijumpai. Yang bagusnya makanan ini sangat sesuai untuk korang yang hendak berdiet dan jaga pemakanan. Ia ala-ala bubur...nama makanan ini ialah Harissa...sesedap namanya begitu jugak sedap rasanya.



Bubur Harisah adalah makanan khas timur tengah yang cukup terkenal sesuai untuk menambah stamina. Pada zaman dahulu bubur ini dimasak menggunakan gandum tetapi disebabkan kat Malaysia nii gandum susah sikit nak dapat...jadi bahannya telah ditukar menggunakan oat. Memang bagus untuk kesihatan.



BAHAN-BAHAN :
2 ketul dada ayam
1/2 paket kecil Quaker Oat
1 sudu besar minyak sapi
2 labu bawang merah (besar) - belah 4
6 ulas bawang putih         
Besar ibu jari halia           
2 senduk susu cair
2 sudu kecil garam
4-5 biji buah pelaga


CARA-CARA :
1. Rebus ayam bersama bawang merah, bawang putih dan halia dalam kuali atau periuk.
2. kemudian tapis semua bahan, masuk dalam pengisar, campur dengan air rebusan dan kisar hancur. Masukkan semula semua bahan yang telah dikisar tadi ke dalam kuali dan panaskan.
3. Bila bahan dah mula mendidih…masukkan oat dan buah pelaga. Biarkan ianya sebati dan menjadi pekat. 
4. Kemudian masukkan susu cair dan garam. 
5. Akhir sekali masukkan minyak sapi. Biarkan ianya seketika dan bolehlah dihidang.



Keunikan kombinasi rasa manis, pedas dan masam masakan dari Arab ini dianggap sedikit pelik bagi mereka yang tidak biasa dengannya. Hanya anak jati Johor tulen pandai menikmati juadah ini yang telah dianggap sebagai hidangan khusus negeri Johor. Bagi aku ok jer masakan nii sebab ada daging / ayam dan rempah...juga ada rasa pedas-pedas..memang syok dimakan. Kalau korang terjumpa makanan nii...jangan lepaskan peluang untuk rasa sebab memang susah nak jumpa. Kalau yang rajin nak masak tuu bolehlah mencuba resepi kat atas nii yea...
Sekian.

Thursday, 12 December 2019

Permainan Tradisional Batu Seremban Menggamit Kenangan Zaman Kanak-kanak

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,


Hai korang semua..Apa khabar hari nii..? Semoga semuanya berada di dalam keadaan yang sihat walafiaat dan ceria-ceria jer. Hari nii aku nak story sikit tentang permainan tradisional. Kanak-kanak sekarang ramai yang tidak tahu untuk bermain permainan tradisional ini iaitu Batu Seremban.

  
Batu Seremban merupakan salah satu daripada permainan tradisional yang dimainkan oleh kanak-kanak pada masa dahulu. Batu Seremban juga dikenali sebagai permainan Selambut atau Serembat. Kanak-kanak perempuan gemar memainkannya secara individu dan kebiasaannya dimainkan secara berkumpulan seramai dua hingga empat orang atau lebih. 


Permainan ini kebiasaannya dimainkan menggunakan batu dan ia dikenali sebagai 'Buah´. Namun, buah yang digunakan tidak tetap kerana ada kanak-kanak yang menggunakan guli kaca, biji getah, ketulan batu kerikil sederhana besar atau ketulan-ketulan objek lain berbentuk bulat. Biasanya jumlah buah digunakan oleh kanak-kanak dalam permainan ini sebanyak tujuh atau lima biji. Kebiasaannya, batu seremban ini dimainkan menggunakan tujuh biji objek-objek. 


Permainan ini sering dimainkan pada waktu lapang diserambi rumah, di dalam rumah atau dimana sahaja yang mereka gemari dengan memerlukan permukaan yang rata dan bersih. Para pemain hendaklah duduk di atas lantai, dengan cara begini memudahkan permainan tersebut dimainkan. Permainan batu seremban sering dimainkan oleh kanak-kanak perempuan, dan adakalanya kanak-kanak lelaki juga tidak ketinggalan bermain permainan ini. Permainan ini ada pelbagai versi...iaitu batu lima, batu tujuh dan batu sepuluh. Hari ini aku nak citer permainan versi batu tujuh.


CARA BERMAIN : Terdapat beberapa peringkat atau cara sambutan buah yang berlainan. Permulaan permainan pemain akan menggunakan sebiji buah yang dinamakan Buah Satu sehinggalah ke peringkat yang lebih tinggi yang dinamakan Buah Tujuh.
  • BUAH SATU - Kesemua buah hendaklah diselerakkan dengan cara menabur di atas lantai dan tidak bersentuhan antara satu sama lain. Sebiji buah akan diambil untuk dijadikan ibu. Kemudian ibu hendaklah dilambungkan ke udara dan dalam masa yang sama sebiji lagi buah hendaklah dikutip. Seterusnya,pemain hendaklah menyambut buah ibu dan meletakkannya didalam tangan yang sebelah lagi. Perlakuan ini akan berterusan sehingga kesemua buah habis dilambung dan disambut.
  • BUAH DUA - Cara buah dua dimainkan adalah sama seperti buah satu tetepi buah yang dikutip mestilah dua biji serentak.Ini bermakna dua kali lambungan buah ibu dilakukan. 
  • BUAH TIGA - Seterusnya,buah tiga. Cara bermain buah tiga pula terdapat sedikit perbezaan. Langkah pertama adalah dengan mengutip sebiji buah dahulu,pada lambungan kali kedua pemain hendaklah mengutip tiga bbiji buah serentak.
  • BUAH EMPAT - Pada peringkat buah empat,pemain akan mengutip kesemua empat biji buah di diatas lantai dan dalam masa yang sama hendaklah menyambut buah ibu yang telah dilambungkan tadi.
  • BUAH LIMA - Peringkat ini merupakan urutan bagi peringkat buah empat. Sementara di dalam tangan tergenggam lima biji buah,sebiji daripadanya hendaklah dilambungkan dan empat biji lagi hendaklah diletakkan diatas lantai bagi menyambut buah ibu sahaja.
  • BUAH ENAM - Seterusnya,di tahap ini terdapat perbezaan. Perbezaan ini dinamakan buah tukar, dimana dua biji buah dijadikan buah ibu. Apabila sebiji daripadanya dilambungkan ke udara maka sebiji lagi buah ibu hendaklah ditukarkan dengan buah lain yang terdapat diatas lantai sehingga selesai.
  • BUAH TUJUH - Buah tujuh adalah urutan dari peringkat buah enam. Dua biji buah yang masih berada di dalam tangan hendaklah dilambungkan serentak. Sementara itu,sebiji buah hendaklah dikutip. Buah ibu hendaklah disambut dengan kedua belah tangan manakala sebiji di sebelah kanan dan sebiji lagi disebelah kiri. Pada buah ibu yang terakhir dilambungkan,hendaklah disambut.


MENIMBANG Setelah selesai kesemua peringkat, pemain hendaklah menimbang buah untuk mendapatkan mata. Pada peringkat ini terdapat dua kaedah menimbang buah. Cara pertama sama seperti permulaan menentukan pemain, mata dikira hanya mengikut bilangan biji buah yang dapat ditimbang. Tetapi jika buah yang ditimbang itu disambut dengan cara mencangkuk, maka mata dikira sekali ganda dari jumlah biji buah yang dapat disambutnya. Sekiranya pemain dapat bermain sehingga ke peringkat menimbang dengan memperolehi mata, maka pemain tersebut boleh meneruskan permainan semula,buah satu dan seterusnya sehingga mati.


PERMAINAN - Sekiranya ibu tidak dapat disambut atau semasa mengutip buah di atas lantai tangan terkena biji buah yang lain atau tidak dapat mengutip buah sehingga ibu jatuh atau semasa menimbang buah dan pemain tidak dapat walau sebiji buah ianya dikira mati (permainan tamat) dan permainan akan diserahkan kepada pemain seterusnya.


PERATURAN PERMAINAN - Pemain tidak boleh menyentuh buah yang tidak diambil. Sekiranya terkena tangan, dikira batal dan giliran bermain ditukar. Dalam langkah menjentik buah, sekiranya dua biji buah yang ditinggalkan pihak lawan terlalu dekat, pemain perlu menggunakan jari untuk memintas antara buah tersebut. Jika terkena jari, maka permainan batal. 

Sekiranya bermain secara berkumpulan atau berdua, giliran diberikan kepada ahli kumpulan lain sekiranya pemain pertama batal dan gagal meneruskanpermainan. Pemain yang mendapat giliran kembali perlu memulakan permainan dengan menyambung langkah yang gagal dilakukan sebelum itu. Ahli kumpulan juga perlu berbuat demikian. - Sekiranya pemain gagal mengingat langkah terakhir yang gagal dilakukan, mata yang dikumpul akan kembali ke angka kosong. Pemenang dikira berdasarkan jumlah mata yang dikumpul pada akhir pusingan.

Sekian.
**jangan lupa follow blog aku nii yea

Wednesday, 4 December 2019

Seni Pembuatan Kuda Kepang yang Semakin Pupus Di Batu Pahat Johor

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,


Hai korang semua apa khabar hari nii…? Aku doakan semoga korang semua sihat-sihat ajer yea hendaknya. Aku kat sini sihat Alhamdulillah. Hari nii aku nak citer tentang seni kraftangan yang semakin pupus kerana generasi muda yang semakin kurang meminati seni kraftangan nii....tiada yang ingin mewarisinya. Seni yang aku maksudkan ini ialah seni pembuatan Kuda Kepang. Ini adalah kali pertama aku lihat secara live...kagum aku dengan hasil seni orang dulu-dulu...



Kuda kepang seperti yang korang sedia maklum, seni ini popular dalam masyarakat Jawa dan mereka ini kebanyakkannya mendiami kawasan sekitar Batu Pahat, Johor dan Selangor. Namun asal usul kuda kepang ini tidak dapat diketahui. Hanya terdapat beberapa teori yang menyatakan bahawa ia berasal dari Jawa Timur. Ia dibawa masuk oleh masyarakat Jawa yang berhijrah ke negeri Johor dan kekal hingga sekarang tanpa banyak pengubahsuaian.


Selain itu, ada yang berpendapat asal usul tarian ini mempunyai kaitan dengan Saidina Ali. dan ada pula yang berpendapat yang mengaitkan asal usulnya dengan Wali Songo atau Wali Sembilan yang hidup di Tanah Jawa pada abad ke-15. Dalam usaha mengembangkan Islam di kawasan pedalaman di Jawa, Wali Songo menghadapi kesulitan untuk mendekati orang-orang di sana. Beliau mendapat idea untuk menari-nari sambil menunggang kuda. Penyampaian syariah Islam akan dilakukan sebelum atau selepas persembahan dilakukan. Pendapat lain pula seperti menghubungkan asal usulnya dengan alam kayangan. 



Kuda kayangan  bernama Kuda Sembrani kononnya dikatakan turun di Jawa untuk mencari kawannya yang hilang. Setelah berjumpa mereka menari-nari keseronokan. Oleh yang demikian, dapat disimpulkan bahawa asal-usul kuda kepang ini tidak dapat disahkan tahun kewujudannya yang sebenar.



Persembahan kuda kepang kini hanya diadakan di majlis keramaian seperti kenduri kahwin dan di acara kebudayaan. Aku berpeluang berjumpa dengan Wak Naim, seorang pengiat seni Kuda Kepang ini. Jom kita kenali tentang wak Naim dan bagaimana beliau mula terlibat dengan seni Kuda Kepang ini....


Wak Naim bin Marjani@Hj Ridzuan berusia 78 tahun merupakan pengarah dan juga ketua di dalam Kumpulan Kuda Kepang Sinar Warisan, Sungai Nibong, Batu Pahat, Johor. Menurut Wak Naim permainan kuda kepang mula bertapak di Batu Pahat, Johor sekitar tahun 1940-an. Kumpulan Kuda Kepang Sinar Warisan ini telah ditubuhkan pada tahun 1959 oleh sekumpulan 15 orang pemuda yang diketuai oleh allahyarham Encik Abdul Ghani Bin Marsidi. Perubahan kepimpinan dalam kumpulan ini, apabila berlakunya penghijrahan ke tanah rancangan FELDA pada awal tahun 70an. Wak Naim telah dipilih bagi mengetuai Kumpulan Kuda Kepang Sinar Warisan Sungai Nibong ini sehinggalah sekarang.


Menurut  pandangan Wak Naim,  “kuda kepang” mendapat namanya daripada anyaman kuda yang disebut “kepang” yang bermaksud jalinan atau anyaman. Pada awalnya, kuda kepang ini dianyam menggunakan daun pandan tetapi kini telah diubahsuai, ada yang diperbuat daripada papan lapis atau kulit lembu.

Wak Naim, mula  bergiat dalam tarian kuda kepang ini seawal umur 18 tahun. Hubungan beliau dengan kuda kepang begitu akrab dan sudah menjadi darah dagingnya. Wak Naim dikurniakan  tujuh orang anak perempuan hasil perkahwinan dengan Puan Sidah binti Abdul. Dengan hasil pendapatan melalui persembahan kuda kepang beliau dapat membeli sebidang tanah untuk membina rumah sehinggalah dapat memiliki bengkel pembuatan kuda kepang. Beliau yang berketurunan jawa telah mewarisi bakat ayahnya yang juga seorang penari kuda kepang dan seorang pembuat  kraftangan bakul anyaman rotan seketika dahulu. Beliau bermula dengan membantu ayahnya membuat bakul rotan. Disebabkan permintaan membuat kuda kepang amat tinggi pada ketika itu, beliau diminta untuk menghasilkan kuda kepang oleh kawan-kawannya. Setelah berapa kali mencuba akhirnya beliau berjaya menghasilkan kuda kepang dengan tangannya sendiri.


Di dalam melakukan kerja-kerja membuat kraftangan, beliau amat mementingkan kekemasan dan penelitian bagi menunjukkan tingginya martabat seni orang Melayu. Walaupun banyak rintangan dan cabaran yang harus ditempuhi, namun minat yang mendalam dan semangat yang tinggi ingin menjadikan kuda kepang dikenali oleh masyarakat akhirnya membuahkan hasil.


Di akhir tahun 1980 an kumpulan ini mula melangkah lebih jauh. Pada tahun 1992 kumpulan ini telah mewakili daerah Batu Pahat dalam Pertandingan Tarian Kuda Kepang Asli di Karnival Johor dan kumpulan ini muncul sebagai Johan dalam pertandingan tersebut. Hasil kemenangan itu menyebabkan kumpulan ini lebih dikenali di segenap peringkat. Kumpulan ini juga telah dijemput membuat persembahan di peringkat yang lebih tinggi sehinggalah ke peringkat antarabangsa.



Wak Naim dapat berbangga dengan usaha hasil kuda kepangnya kerana sudah mampu memiliki bengkel, pekerja tetap dan pekerja sambilan. Selain itu, bengkelnya juga menerima kunjungan pelajar pusat pengajian tinggi bagi menjalani latihan praktikal. Kesetiaan beliau terhadap kuda kepang melayakkan beliau menerima banyak anugerah peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. Paling membanggakan bagi beliau adalah apabila dianugerahkan sebagai Tokoh Warisan Johor pada tahun  2008.


Hasil kerja pembuatan kuda kepang beliau mendapat perhatian Perbadanan Kebudayaan dan Warisan Negeri Johor yang pada ketika itu sedang mencari pembuat anyaman kuda kepang di sekitar Negeri Johor. Bengkel kuda kepang yang diusahakan oleh Wak Naim telah mendapat bantuan kewangan oleh Perbadanan Kebudayaan dan Warisan Negeri Johor sebanyak RM 5,000 bagi membina bengkel ini bagi menghasilkan kuda kepang. Wak Naim yang selama ini banyak bergantung punca pendapatan melalui hasil kampung, mengambil keputusan menjadikan pembuatan kuda kepang sebagai salah satu sumber pendapatan tetap beliau selain daripada membuat persembahan tarian kuda kepang. Bengkel Kraftangan Sinar Warisan telah ditubuhkan pada tahun 2002 oleh Encik Naim bin Marjani sebagai usaha bagi menambah pendapatan.



Pada peringkat permulaan, penghasilan kuda kepang hanyalah sekadar kerja sambilan bagi menampung keperluan keluarga. Namun berikutan permintaan penghasilannya yang semakin meningkat dan mendapat tempat dalam masyarakat, beliau berusaha sedaya upaya menjadikan kuda kepangnya dikenali ramai dengan mengikuti beberapa kursus anjuran Perbadanan Kebudayaan dan Warisan Negeri Johor. Hasil usaha beliau akhirnya mendapat perhatian kerajaan dan bukan kerajaan. Malahan, pembuatan kuda kepang mula mendapat perhatian oleh pihak media melalui program rancangan yang dikendalikan oleh TV9, 8TV dan banyak lagi. Pada tahun 2005, Bengkel Kraftangan Sinar Warisan ini mendapat peruntukan penambaikan sumbangan Perbadanan Kraftangan Negeri Johor.



Semenjak penubuhan bengkel kraftangan ini, Wak Naim hanya bekerja seorang diri sehinggalah pada tahun 2006, Wak Naim mengambil keputusan untuk mengambil seorang pekerja tetap bagi membantu urusan beliau. Selain itu, Wak Naim juga mendapat tawaran daripada Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi pelajar menjalani latihan industri di bengkelnya setiap tahun. 


Sekarang aku nak citer pulak pasal pembuatan kuda kepang nii....Bukan senang tau nak buatnyer. Proses pembuatan kuda kepang ini ada beberapa langkah yang perlu dilakukan bagi mendapatkan hasil yang terbaik.

Langkah pertama adalah mencari bahan mentah iaitu buluh. Buluh yang terbaik digunakan bagi memastikan kuda kepang yang dihasilkan nanti tidak mudah rosak. Buluh yang digunakan adalah jenis buluh Tali kerana ianya lembut dan mudah dilenturkan. Buluh ini diperolehi di sekitar kawasan Kampung Sungai Nibong ini. Wak Naim akan mengambil buluh tali ini pada sebelah petang supaya tidak merosakkan pengeluaran anak-anak buluh di waktu pagi.



Langkah ke dua ialah buluh yang diambil tadi akan dipotong 1.5 – 2 meter panjang dan direndam di dalam parit hadapan rumah Encik Naim. Buluh direndam bagi melembutkan supaya proses memotong nipis mudah dilakukan, selain itu ia juga sebagai proses pengawetan. Apabila hendak digunakan barulah buluh ini diambil. Satu ruas buluh boleh menghasilkan dua ekor kuda kepang.



Langkah yang ke tiga adalah memotong buluh tersebut kepada 16 bilah dan kemudiannya buluh tersebut diraut sehingga halus dan lembut supaya boleh dilenturkan. Buluh diraut sehingga bersih dan nipis.

Langkah ke empat pula adalah menganyam buluh tersebut. Buluh tersebut dianyam mengikut saiz yang dikehendaki. Anyaman dimulakan pada bahagian ekor dan kemudiannya ke bahagian tengah dan seterusnya ke bahagian kepala kuda kepang. Jika dahulunya, buluh ini diselisip (tindan balik) untuk melekatkan setiap buluh tetapi kini gam digunakan bagi mempercepatkan proses pembuatan kuda kepang ini.



Langkah yang ke lima adalah melukis. Setelah buluh siap dianyam mengikut saiz yang dikehendaki. Proses melukis kuda dibuat di atas buluh tersebut menggunakan pen marker. Wak Naim telah menyediakan contoh untuk dijadikan acuan (kuda contoh) kepada pembuatan kuda kepang ini supaya saiznya seragam. Acuan tersebut ditekap dan dilukiskan ke atas buluh yang telah siap dianyam. Setelah siap dilukis, anyaman buluh tadi dipotong menggunakan gunting membentuk kuda.

Langkah yang ke ke enam adalah proses pemasangan bingkai. Buluh yang dibelah halus akan dipasang di bahagian luar kuda kepang sebagai bingkai. Ini bagi memastikan kuda kepang tersebut mendapat bentuknya. Kemudian bingkai tersebut dijahit supaya lebih kemas dan kukuh. Proses membuat bingkai ini agak sukar dan memerlukan masa yang lama untuk mempelajarinya.



Langkah yang ke tujuh adalah mewarnakan. Kuda kepang yang telah siap dianyam dan dibingkai akan diwarnakan menggunakan cat minyak. Warna-warna yang digunakan adalah warna-warna terang seperti merah, putih dan hitam bagi menaikkan lagi corak yang terhasil pada badan kuda kepang ini. Setelah siap dicat, kuda kepang ini dijemur pada cahaya matahari sehingga kering.

Peringkat yang terakhir ialah hiasan. Hiasan bagi menonjolkan lagi kuda kepang ini adalah pada bahagian jambul di kepala kuda kepang ini dan di bahagian ekornya. Pada dahulunya batang pokok ijok diraut halus untuk dijadikan hiasan di bahagian ekor dan jambul kuda kepang ini tetapi kini benang renda digunakan kerana lebih mudah dicari.



Sebuah kuda kepang dapat disiapkan selama seminggu bagi kuda kepang bersaiz besar (kuda dewasa) dan empat hari bagi kuda kepang bersaiz kecil (anak kuda). Harga untuk seekor kuda kepang ialah RM 250 (saiz besar), RM 10 (saiz sederhana) dan RM 80 (saiz kecil). Wak Naim pernah menyiapkan 10 ekor kuda kepang dalam masa 6 bulan.

Selain daripada seni pembuatan  kuda kepang, Wak Naim juga melakukan persembahan. Persembahan tarian kuda kepang terbahagi kepada dua ketegori:
i. persembahan kuda kepang biasa
ii. persembahan kuda kepang mabuk



Bayaran yang dikenakan untuk persembahan kuda kepang sekitar Johor ialah RM 600 - RM1000. Manakala untuk persembahan luar negeri Johor sebanyak RM1000 dan keatas. Untuk persembahan rakaman media elektronik seperti televisyen adalah RM 600 - RM 800.

Peralatan yang sering digunakan dalam persembahan kuda kepang ialah angklung, gendang, gong, pecut dan serantai tali sepanjang 30 meter untuk dipasang di sekeliling ruang persembahan.



Seni Pembuatan kuda kepang ini semakin pupus ditelan masa kerana tiadanya pelapis baru yang berminat untuk mewarisi seni pembuatan ini. Selain kesukaran untuk mencari bahan mentah di kawasan persekitaran yang berdekatan, teknik pembuatan yang memerlukan kesabaran yang tinggi juga menjadi faktor akan kepupusan seni pembuatan kuda kepang ini. Encik Naim pun sudah semakin uzur bagi meneruskan seni ini walaupun minat dan semangatnya masih teguh. Untuk mengekalkan seni pembuatan kuda kepang ini supaya terus terpelihara, kerja-kerja pendokumentasian perlulah dilakukan supaya hasil seni ini terus dikenang oleh generasi akan datang sebagai seni warisan Negeri Johor.

Sekian.

Friday, 22 November 2019

Kacang Pool Makanan Femes Kat Johor

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Hai korang semua. Apa Khabar hari ni? Di harap semuanya sihat-sihat ajer yea. Jom ikut aku ke negeri Johor....jalan-jalan cari makan! Aku nak citer tentang satu makanan nii yang sangat femes kat Negeri Johor. Kat Johor jer yang ada jual makanan nii....iaitu Kacang Pool.

Sebenarnya dah lama hinggakan bertahun-tahun aku teringin nak makan Kacang Pool nii...tetapi selalu tak berkesempatan. Alhamdulillah pada tahun nii aku berjaya juga merasanya di kedai yang paling femes menjual Kacang Pool nii di negeri Johor.




Kedai Pak Haji ni terletak di No 3, Medan Selera Larkin Bomba, Susur 5, Jalan Tun Abdul Razak, JB. Resepi nii adalah ilham dari Pak Haji sendiri. Kacang pool ni dihidangkan dengan satu set lengkap roti bakar yang lembut, telur mata lembu dan kuah kacang pool.


Sebelum aku bagi resepi Kacang Pool nii...korang tahu tak macam mana wujudnya nama kacang pool nii? kacang pool nii...bukan maksudnya kacang kolam yea....atau swimming pool... Kacang pool nii wujud adalah dari nama kacang Foul. Ejaan sebenarnya adalah Foul...bukannya Pool. Tetapi bila disebut...dah jadi macam Pool.




Resepi Kacang Pool
Bahan-bahan

1 tin kacang pool - kacang parang dalam tin Medammas Foul kimball
1 kg daging - dikisar
1 kg bawang merah - dikisar
2 labu bawang putih
1 sudu teh jintan manis - di goreng tampa minyak dan dikisar
1 sudu kecil jintan putih - di goreng tampa minyak dan dikisar
1 sudu kecil ketumbar - di goreng tampa minyak dan dikisar
1 inc halia - dikisar
1 cawan air
Sedikit minyak atau planta untuk menumis
garam dan gula secukup rasa



Cara Membuat

1. Tumiskan bahan yang dikisar hingga naik bau.
2. Kemudian masukkan daging dan kacau hingga masak dan empuk. Bila daging dah empuk, masukkan semua kacang foul
3. Tambahkan sedikit air dan masak hingga kuah sedikit pekat.
4. Rasakan garam dan gula secukup rasa




Bahan Dimakan Bersama
Lada hijau - dihiris
Bawang besar - di hiris dadu
Roti - di bakar dengan sedikit planta
Telur mata lembu
Limau nipis

Kacang Pool nii…merupakan makanan ringan yang simple tetapi mengenyangkan. Sesuai dimakan diwaktu pagi dan juga petang.

Sekian.

Monday, 18 November 2019

Barongko Kuih Tradisional Masyarakat Bugis, Johor

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Hai korang semua. Ceria-ceriakan diri hari nii yea. Hari nii aku nak citer bab-bab makanan lagi. Iaitu kuih tradisional masyarakat Bugis, Johor. Kuih nii agak sukar jugak nak jumpa kalau hari biasa. Kalau di bulan puasa...memang boleh dijumpai di bazar-bazar Ramadhan. Kuih ini selalunya akan disimpan dalam peti sejuk agar ia lebih menyelerakan apabila dimakan. 


Bagi masyarakat Bugis, memang sudah tahu akan kelazatan kuih ini. Selalunya kuih ini disajikan pada majlis-majis tertentu untuk dihidangkan kepada para tetamu yang datang. Aku 1 st time tahu pasal kuih nii. Yang menariknya kuih nii menggunakan pisang...lebih kurang macam lepat pisang....Kuih nii diberi nama Kuih Barongko. Sapa-sapa yang ingin cuba membuatnya boleh laa try resepi kat bawah nii...



Bahan-bahan:
500 gram pisang
7 biji telur
250 gram gula pasir
1000 liter Santan



















Cara membuat:

1. Buangkan bahagian tengah pisang. Kemudian blender pisang, telur, gula pasir dan santan hingga hancur.
2. Tuang adunan tadi ke dalam bungkusan daun pisang dan kemaskan menggunakan lidi atau stepler. (lihat gambar)
3. Kemudian kukus lebih kurang 30 minit dengan api perlahan.
4. Bila dah masak..biarkan ianya seketika untuk sejuk dan kemudian barulah dihidangkan.



Rasanya memang sangat enak… tetapi korang kena tunggu kuih nii sejuk dulu baru boleh dimakan. Kuih nii...bila panas atau baru masak, ianya lembik (cair). Bila dah sejuk...kuih ini menjadi seperti lepat pisang (berbentuk)...dan mudah untuk dimakan. Kuih nii nampak macam mudah dibuat tetapi yang sebenarnya cara melipat bungkusan daun pisang tuu kena betul supaya aduanan kuih tadi tidak melimpah keluar ketika mengukus.

Semoga kuih tradisional yang enak ini terus diwarisi generasi seterusnya...

Sekian.

Wednesday, 13 November 2019

Wajik Sirat Makanan Tradisional Yang Semakin Dilupai

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,


Hai korang semua apa khabar hari nii…? Aku doakan semoga korang semua sihat-sihat ajer yea hendaknya. Aku kat sini sihat Alhamdulillah. Lama gak aku tak menulis tentang makanan…so hari nii aku rasa nak citer tentang satu makanan tradisional yang aku jumpa kat negeri Melaka.....iaitu wajik sirat. Di negeri Johor ianya dikenali dengan nama Wajik Kasirat. Mungkin ada yang dah biasa dengan makanan nii... Bagi aku... nii merupakan kali pertama mendengarnya. Aku biasa dengan wajik, pulut manis, pulut kacau dan juga nasi manis. Sebenarnya ianya adalah benda yang sama cuma ada perbezaan olahan sedikit.


Wajik Sirat ini juga diperbuat menggunakan beras pulut.... tetapi beras pulut nii terlebih dahulu ditumbuk dan disangai. Kalau wajik biasa atau pulut manis.... beras pulut ini tidak ditumbuk dan disangai. Itu kelainannya wajik sirat ini.... bahan untuk membuatnya pun tak banyak...5 jenis jer...


Resepi Wajik Sirat 
Bahan-bahan
280 g Beras Pulut

115 g Gula Caster / Gula Pasir
100 g Gula Merah
55 g Gula Melaka
500 ml Santan Pekat 
125 ml Air
Sedikit Garam 
1 - 2 helai Daun Pandan 



Cara Membuatnya
1) Cuci beras pulut dan toskan. Biarkan seketika lebih kurang dalam 10 minit.
2) Sangai beras pulut tanpa minyak sehingga keperangan dan garing, lebih kurang 20 minit - 30 minit diatas api yang kecil.
3) Setelah disejukkan lebih kurang 30 minit ke 1 jam, kisar halus beras pulut tersebut.
4) Panaskan air dalam kuali, masukkan gula merah , gula melaka dan gula caster, kacau rata hingga semuanya larut dan mendidih. * letak daun pandan
5) Masukkan santan pekat dan kacau pelahan-lahan. Tambahkan sedikit garam.
6) Kacau sehingga gula dan santan menjadi pekat dan likat lebih kurang 20 minit - 30 minit. Siap untuk dituang ke dalam loyang dan dibiarkan sejuk.
 


Mudah jer kan nak buat Wajik Sirat nii.... Rasanya sangat sedap...lebih kurang manis dodol. Kalau korang rasa malas nak membuatnya...yealah nak makan sorang jer kan! jangan risau... kat Melaka nii memang mudah untuk mencarinya kerana banyak kedai yang menjual Wajik Sirat nii terutama di Bandar Hilir.


Orang muda mungkin tidak berapa suka makanan yang manis macam nii...tetapi orang lama-lama memang suka. Kalau di Perak...wajik ini hanya akan dijumpai pada majlis perkahwinan untuk dijadikan hantaran pada zaman dahulu. Yang menariknya ianya akan digubah menarik berbentuk bunga dan sebagainya... kerana aku pernah melihat mak saudara aku membuatnya semasa aku kanak-kanak....tetapi sekarang tiada lagi gubahan seperti itu.

Sekian.