Monday, 3 December 2018

Kota Malawati Melambangkan Kemahiran Seni Pertukangan Melayu Di Kurun Ke 18

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Hai semua.... lama jugak aku tak menulis... sori la yea sebab kengkangan kerja yang tak putus-putus...hampir setahun jugak aku tak berapa nak aktif menulis. Hari nii aku nak mulakan citer aku tentang sebuah kota Melayu nii yang tidak kurang menarik jugak sejarahnya.

Oh yaa...sebelum aku meneruskan citer aku nii, perlu aku aku maklumkan terlebih dahulu....bagi yang menaiki kenderaan sendiri agak mudah untuk meneroka Kota Malawati ini tetapi bagi yang menaiki pengangkutan awam agak mencabar jugak laa kerana korang perlu berjalan kaki dan mendaki bukit. Jika di hari cuti sekolah dan juga cuti hujung minggu...Tram ada disediakan dan korang perlulah membeli tiket di pintu masuk utama Kota malawati ini. Kalau tak salah aku harga tiketnya RM 4 seorang.



Kota Malawati terletak di atas bukit di belakang Pekan Kuala Selangor berhampiran dengan Rumah Rehat Kuala Selangor dan dikenali sebagai “Bukit Selangor“. Ia dibina oleh orang-orang tempatan semasa pemerintahan Sultan Selangor ke II, Sultan Ibrahim (1778–1826). Kedudukan yang tinggi di atas bukit menjadikan ia amat strategik sebagai sebuah kota pertahanan dan juga sebagai tapak istana sultan. 

"Binaannya yang baik melambangkan kemahiran seni pertukangan Melayu di kurun ke 18." 


Pembinaannya ada hubungan dengan kuasa barat yang mula menjalar di Tanah Melayu, bentuknya dibina mengikut bentuk barat dengan dilengkapi meriam-meriam.Kota Malawati berbentuk segi empat, dibuat dari timbunan dan ketul-ketul batu yang pejal yang disusun oleh tukang-tukang batu yang mahir. 

Luas kota tersebut adalah kira-kiara 74 m x 30 m. Benteng kota ditambah dengan tanah kira-kira dua meter tingginya dari aras lantai dalam kota dan pada sebelah timur bahagian luarnya disusun dengan ketul-ketul batu pejal yang diambil dari lereng-lereng bukit tersebut. Di sebelah timur yang menghala ke arah Sungai Selangor terdapat pintu kota yang terbuka dan dari arah itulah dibuat jalan berturap dengan ketul-ketul batu yang menghala ke kaki bukit lantas ke arah sungai dan Pekan Selangor. Kota Malawati dibentuk mengikut reka bentuk kota-kota dari barat dan dibuat ketelum-ketelum di setiap penjuru kota bersejarah untuk diletakkan beberapa pucuk meriam besi buatan Belanda. 


Kota Malawati terletak di atas Bukit Selangor bukanlah kota atau kubu yang pertama berdiri di atas Bukit tersebut. Sebelum terbina Kota Malawati, sudah ada tapak-tapak kubu atau kota berdiri di atas Bukit itu. Seperti yang disebut dalam Sejarah Melayu karangan Tun Seri Lanang, bahawa pada kurun ke -15 ada beberapa tempat di Selangor yang ketika itu di bawah pengaruh kerajaan Melayu Melaka ialah Jeram, Kelang, Langat, Jugra dan Selangor. 



Kota ini dibina dengan batu pejal yang tersusun rapat dan diletakkan beberapa pucuk Meriam. Pokok Jati dan Sena yang ditanam selang 10 kaki bagi mengelakkannya runtuh. Semasa Belanda menduduki Kuala Selangor kota ini diubahsuai dengan menambah beberapa pucuk meriam dan dinamakan Fort Altingburg. Mempunyai keluasan kira-kira 500 x 300 ela persegi. Mengandungi 3 tingkat iaitu: Paling tinggi merupakan tapak istana (sekarang Rumah kediaman Pegawai Daerah) Tingkat kedua merupakan Balai Diraja (semasa penjajahan British dijadikan gelanggang tenis) Tanah lapang dan rata sebagai tempat perhimpunan tentera. 


Menurut Sejarah Melayu, pada masa Sultan Muhammad Syah berkerajaan di Riau iaitu setelah Melaka dikalahkan oleh Portugis pada tahun 1511, Sultan Mahmud telah menitahkan orang besarnya Paduka Tuan (Tun Isap Barakah yang kemudian menjadi Bendahara Johor) pergi ke Beruas bersama anaknya Tun Mahmud. Semasa pulang ke Melaka, Tun Mahmud telah ditinggalkan di Selangor dan menjadi pemerintah di sana. Sebagai pemerintah, Tun Mahmud mendirikan pusat pentadbiran dan pusat pertahanan di tempat yang sesuai dan di atas Bukit Selangor itulah Tun Mahmud mendirikan kota yang lengkap dengan bangunan rumah kediaman dan sebagainya. 


Bukit tersebut dipilih untuk membina kota kerana kedudukanya yang sangat strategik, dari atas bukit tersebut dapat dilihat dengan jelas ke arah Sungai Selangor yang  menjadi laluan terpenting pada masa itu.

 
Pada awal kurun ke -18, Selangor (Kuala Selangor) terdapat seorang pemerintah bergelar Yamtuan Selangor, barangkali Yamtuan Selangor ini tinggal di atas Bukit Selangor iaitu mengambil tempat yang dahulunya di duduki oleh Tun Mahmud. Menurut Sejarah Melayu , Tok Engku Kelang telah menghadiahkan sebuah cop mohor kepada Yamtuan Selangor tanda berkuasa di Selangor iaitu dimaksudkan Kuala Selangor. Pada awal kurun Masihi ke-18, anak-anak Raja Bugis lima bersaudara iaitu Daeng Perani, Daeng Menambun, Daeng Merewah, Daeng Chelak dan Daeng Kemasi telah datang ke Kota di atas Bukit Selangor dan kedatangan mereka ialah untuk berjumpa dengan Yamtuan Selangor dan orang-orang Bugis yang banyak mendiami Kuala Selangor. Tidak lama selepas itu pada tahun 1722, Daeng Perani datang lagi ke Kuala Selangor untuk berkahwin dengan puteri Yamtuan. 


Pada tahun 1756, seorang putera Daeng Chelak bernama Raja Lumu yang juga kakanda Taja Haji (Marhum Teluk Ketapang) telah menjadi pemerintah di Selangor dan baginda tinggal di Kota Bukit Selangor. Ada ahli sejarah berpendapat Raja Lumu itulah yang kemudianya bergelar Sultan Salehuddin iaitu Sultan Selangor yang pertama (1756-1778). Pada masa Sultan Salehuddin memerintah Selangor, kota di atas bukit itu telah diperbaiki, benteng-benteng tanah ditambak dengan ketul-ketul batu dan meriam-meriam di pasang di sekeliling tembok kota tersebut. Tujuanya untuk dijadikan sebuah kota pertahanan yang kukuh di samping dapat digunakan untuk mengawal sebarang serangan yang datang secara mengejut, sama ada dari darat ataupun dari arah Sungai Selangor. 


Pada bulan Januari 1758, Sultan Salehuddin yang memerintah Selangor, Daeng Kemboja dari Linggi, Raja Tua di Kelang dan Raja Adil Yamtuan Rembau telah membuat perjanjian damai dengan Belanda di Gedung Kota Belanda Kuala Linggi. Selepas perjanjian itu Sultan Salehuddin bersetuju mengizinkan kapal-kapal yang mempunyai surat kebenaran yang dikeluarkan oleh VOC (Syarikat Hindia Timur Belanda) sahaja yang boleh memasuki pelabuhan-pelabuhan di Selangor, sama ada bertujuan untuk berniaga dan membeli bijih timah dengan harga yang telah ditetapkan. 


Pada tahun 1778, Sultan Salehuddin mangkat dan dimakamkan di pinggir kota di atas Bukit Selangor. Putera almarhum yang bernama Raja Ibrahim telah dilantik menjadi Sultan Selangor, bergelar Sultan Ibrahim Syah. Sultan Ibrahim Syah telah memperkukuhkan lagi kota tersebut dengan membuat beberapa buah benteng di pinggir bukit tersebut. Sementara keadaan di dalam kota telah diubah suai oleh baginda bagi meletakan meriam –meriam besar dan meriam-meriam kecil buatan melayu dan salah satu meriam yang terbesar ialah dikenali sebagai meriam “Seri Rambai”. Asalnya meriam tersebut adalah kepunyaan Sultan Alauddin Riayat Syah III yang memerintah Johor (1597-1615). Meriam tersebut dihadiahkan Belanda ke pada Sultan Johor, namun pada tahun 1613 meriam tersebut diambil dan dibawa ke Aceh. Di Aceh meriam tersebut telah dipahat dengan nama Seorang panglima Aceh yang menawan Johor. Apabila Aceh berbaik-baik dengan Selangor semasa pemerintahan Sultan Ibrahim, maka meriam tersebut dihadiah kepada baginda sebagai tanda persahabatan.


Pada tahun 1784, Sultan Ibrahim telah menghantar angkatan perangnya membantu Raja Haji yang sedang berperang dengan Belanda di Melaka. Dalam perang yang berlaku di Teluk Ketapang itu, Belanda dapat menewaskan angkatan sekutu Raja Haji iaitu setelah Raja Hadi terbunuh. Oleh kerana Belanda terlalu marah dengan sikap Sultan Ibrahim yang membantu Raja Haji dalam perang tersebut, lalu pada bulan Julai 1784, sebuah angkatan VOC Belanda yang diketuai oleh Dirk Van Hogen datang menyerang Selangor dan kota di atas Bukit Selangor telah dibedil dengan hebatnya dari kapal-kapal mereka yang berlabuh di Sungai Selangor. Setelah berperang selama dua minggu, angkatan perang Belanda yang dibantu oleh angkatan perang Raja Muhammad Ali Siak dapat juga menawan kota pertahanan Sultan Ibrahim di atas Bukit Selangor. Manakala Sultan Ibrahim dan pengikut-pengikutnya terpaksa berundur ke Pahang. 


Dalam catatan Van Braam juga ada menyebut bahawa di pertengahan lereng Bukit Selangor terdapat sebuah kubu atau benteng yang diperbuat daripada tanah dan berhampiran dengan benteng itu pula terdiri sebuah rumah kepunyaan saudagar Inggeris yang bernama Kapten Scott. Orang Inggeris itu telah menetap di Kuala Selangor. Benteng tersebut ialah benteng yang telah dibina oleh Sultan Ibrahim untuk mengawal serangan musuh secara mengejut dan benteng tersebut dikawal oleh sepasukan pengawal dengan menggunakan meriam-meriam. Orang Belanda kemudiannya meruntuhkan benteng atau kubu serta rumah saudagar Inggeris itu dan mendirikan kubu yang lebih sesuai dengan kehendak mereka, kubu atau benteng tersebut mereka namakan “Vanbraam’s Batterij”


Dua buah kota yang ditawan oleh Belanda di Kuala Selangor telah diberi nama oleh Belanda.Kota yang terletak di atas Bukit Selangor dinamakan “Altingsburg”, mengambil sempena nama General Belanda dan kota di Bukit Tanjung Keramat dinamakan “Utrecht”, sempena nama kapal Jacob Pieter Van Braam. Sultan Ibrahim yang sekian lama berada di Pahang, tetap berikhtiar untuk mendapatkan kembali haknya ke atas Selangor yang ditawan oleh Belanda pada 2 Ogos 1784. 


Sewaktu di Pahang baginda mendapat sokongan dan bantuan penuh daripada Bendahara Abdul Majid. Pada pertengahan tahun 1785, Sultan Ibrahim yang terkenal dengan gagah berani, berserta bantuan kira-kira seramai dua ribu orang Pahang telah melancarkan serangan balas pada 28 Januari 1785 terhadap kedudukan angkatan perang Belanda di kota atas Bukit Selangor dan kota di atas Bukit Tanjung Keramat. Serangan yang dibuat pada malam hari itu rupa-rupanya telah memberi kemenangan yang sangat cemerlang di pihak angkatan perang Sultan Ibrahim, sementara orang Belanda terpaksa melarikan diri ke kapal dengan meninggalkan meriam-meriam di kota tersebut.




Selepas Kota Selangor dirampas semula oleh Sultan Ibrahim dengan bantuan angkatan perang Pahang, terdapat juga ura-ura pihak Belanda hendak menyerang dan mengambil semula kota tersebut tetapi rancangan tersebut tidak dilaksanakan apabila kedua-dua pihak mengadakan satu penyelesaian melalui satu perjanjian persahabatan. Pada tahun 1826, Sultan Ibrahim telah mangkat dan dimakamkan di pinggir Kota Bukit Selangor. Putera baginda bergelar Sultan Muhammad Shah mengambil alih untuk memerintah Selangor dan baginda bersemayam di Kota Bukit Selangor juga. Sultan Muhammad Shah tidaklah bijak memerintah Selangor sepertimana paduka almarhum ayahandanya, oleh kerana pemerintahan tidak stabil, maka negeri Selangor terpisah dengan beberapa daerah yang dikuasai oleh orang besar daerah. 


Sultan Selangor mangkat pada tahun 1857, dua tahun selepas kemangkatan baginda barulah menantu baginda iaitu Raja Abdul Samad dilantik, menjadi Sultan Selangor, bergelar Sultan Abdul Samad. Sultan Abdul Samad tidak tinggal di kota atas Bukit Selangor, kerana baginda lebih suka tinggal di Kuala Langat dan kota di Bukit Selangor diserahkan kepada putera baginda iaitu Raja Musa. 


Pada tahun 1866, tercetus perang saudara si Kelang yang berlarutan menjadi perang Selangor hingga tahun 1874. Kota di Bukit Selangor pernah diduduki beberapa kali oleh penentang Sultan Abdul Samad dan menantu baginda Tengku Kudin yang dilantik sebagai wakil raja. Pada suatu ketika Kota Kuala Selangor diduduki oleh Raja Mahadi dan Syed Masyhur dapat ditawan oleh sekutu Tengku Kudin dan Inggeris. Pada masa itulah meriam Sri Rambai yang besar, hadiah daripada sultan Aceh kepada Sultan Ibrahim telah dapat dirampas dan kemudiannya dibawa ke Pulau Pinang dan diletakkan di Kota Cornwallis dekat Padang Kota. 


Kota ini memainkan peranan penting dalam pergolakan politik yang berlaku di Selangor dan tidak lagi menjadi penting apabila penjajah Inggeris mula bertapak di Selangor selepas berakhir perang saudara di Selangor serta terbiar beberapa lama, akhirnya beberapa bangunan mula didirikan seperti bangunan rumah api, rumah kediaman pegawai daerah, rumah rehat, stesen pancaran radio dan kompleks makam diraja Selangor juga telah diperbaiki. 
"Selepas kemerdekaan kota bersejarah yang dikenali sebagai Kota Althingsburg di Bukit Selangor telah ditukar dengan nama baru iaitu sebagai ‘Kota Malawati’."
 


Di atas Bukit Selangor ini juga terdapat :

Kompleks Makam Diraja Sultan Selangor

Terdiri daripada sebuah bangunan kira-kira 40 x 30 kaki persegi. Kompleks Makam Sultan Selangor yang terdiri daripada Makam Sultan Salehuddin, Sultan Selangor yang pertama  (1756 – 1778), Sultan Ibrahim Syah, Sultan Selangor yang ke dua (1778 – 1826) dan Sultan Muhammad Syah, Sultan Selangor yang ketiga (1826–1857).



Batu Hampar
Terletak dihalaman istana Sultan di suatu kawasan tanah lapang sambil menuruni tiga mata anak tangga menghala ke matahari terbit terdapat seketul batu pejal empat persegi 5x5x11 kaki padu. Batu ini beralaskan longgokan tanah pasir sebagai kakinya. Menurut lagenda, batu tersebut digunakan sebagai tempat memancung penderhaka-penderhaka semasa kota tersebut masih berfungsi sebagai pusat pertahanan dan tempat bersemayam raja-raja yang memerintah. Ada yang mengaitkan batu tersebut pernah digunakan untuk memancung leher seorang gadis istana kerana melakukan perkara sumbang. 


Tangga Seratus

Nama  yang diambil daripada bilangan anak tangganya yang berjumlah seratus. Tangga yang diperbuat daripada batu granit ini merupakan laluan utama untuk ke pintu kota istana. Pada zaman dahulu, terdapat Pengkalan Batu Buruk di bawah tangga ini yang menjadi tempat sampan, perahu dan kapal berlabuh.


Busut Malawati

Terletak kira-kira 120 meter dari batu hampar. Di bina dari tanah seluas 20X20 kaki persegi dan tingginya melebihi 15 kaki. Pembinaannya sezaman dengan pemerintahan Sultan Ibrahim. Ada 2 tujuan dibina iaitu sebagai tempat sultan berrehat-rehat dengan raja-raja dari negeri lain yang datang melawat ke Kuala Selangor sambil menyaksikan perlagaan ayam dan sebagai gedung menyimpan harta-harta kerajaan pada masa itu.


Telaga Tujuh

Pada Asalnya dikatakan terdapat tujuh telaga kesemuanya dengan mengeluarkan tujuh mata air yang tak pernah kering walau pun pada musim kemarau tetapi kini hanya tinggal 4 buah kerana sudah tertimbus. 
 


Telaga Beracun
Air telaga ini dikatakan berisi racun, iaitu hasil ramuan beberapa jenis getah dan miang rebung. Airnya diisi hingga ke paras dagu penderhaka sahaja. Telaga ini dijadikan sebagai tempat penyeksaan kepada penderhaka. 
 


Meriam

Berdasarkan sejarah, terdapat 102 meriam milik Kerajaan Selangor ketika itu tetapi sebanyak 68 buah dirampas oleh Belanda. Kemudian, sebahagian daripada meriam itu sempat dibawa lari oleh Sultan Ibrahim ke Bukit Raja, Permatang. Atas sebab itu, hanya tinggal beberapa bauah meriam sahaja di atas Bukit Malawati ini. Meriam ini dikatakan adalah meriam buatan tangan orang Melayu, malah rekabentuknya ada persamaan dengan meriam ‘Tok Bedil’ yang terdapat di Sungai Kelantan dan Kampung Sungai Pinang, Kelantan.

Terdapat juga laporan-laporan yang dibuat oleh Belanda tentang meriam-meriam yang dijumpai dalam kota Sultan Ibrahim di Bukit Selangor iaitu berdasarkan catatan-catatan keluarga Vam Braam yang didapati di dalam Arkib “Dirk Van Hogendrop” di Belanda ada menyebut sebanyak enam puluh lapan pucuk meriam yang dijumpai di dalam kota tersebut. Sehelai bendera dijumpai di kota tersebut dan bendera itu kemudiannya dihantar ke Belanda oleh Van Braam dan dihadiahkan kepada Stadholder William V. dan tersimpan di istana diraja Amsterdam.



Api     

Rumah Api Kota Malawati dibina pada tahun 1907 oleh penjajah British. Tingginya 83 kaki dari dasar laut dan 27 kaki dari darat Rumah api ini mempunyai tiga bahagian iaitu bawah, tengah dan atas.

 


Muzium Sejarah Kuala Selangor
Muzium Sejarah Daerah Kuala Selangor terletak 53 km dari Bandaraya Shah Alam dan lebih kurang 40km dari Bandar Diraja, Klang.  Menyedari pentingnya sejarah Kuala Selangor untuk dikongsi bersama masyarakat, Lembaga Muzium Selangor mengambil inisiatif bersama kerajaan negeri untuk menubuhkan Muzium Sejarah Daerah Kuala Selangor di Bukit Malawati kepada umum. Muzium ini menghimpunkan segala pensejarahan berhubung Kuala Selangor sebagai pusat pentadbiran Negeri Selangor terawal selain meyaksikan bermulanya Institusi Kesultanan Selangor yang diasaskan oleh Raja Lumu (Sultan Salehuddin) pada tahun 1766.


"Bangunan muzium ini merupakan sebuah bangunan lama yang asalnya merupakan kediaman Rasmi Pegawai Daerah Kuala Selangor."





Pameran di muzium ini yang berkonsepkan ‘mesra pengguna’ menyediakan tujuh seksyen yang menerangkan secara kronologi Sejarah Daerah Kuala Selangor. Teknik pameran yang interaktif dengan penggunaan info kiosk, diorama dan audio visual akan membantu para pengunjung memahami pameran dengan lebih mudah dan berkesan.

Pada setiap hujung minggu dan cuti sekolah, Kota Malawati ini menerima kunjungan yang ramai. Memang sangat berbaloi untuk berkunjung ke sini bagi yang meminati sejarah dan alam semulajadi.

Sekian.

No comments:

Post a comment