Friday, 23 November 2018

Gedung Raja Abdullah Sebagai Tempat Penyimpanan Bijih Timah

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Hai.... Alhamdulillah dapat lagi kita berjumpa pada hari nii. Masih lagi dengan kisah bangunan warisan dan lokasinya di Klang Selangor. Bangunan yang penuh dengan cerita sejarahnya iaitu Gedung Raja Abdullah....


Bangunan ini dibina pada 1856 di Pekan Klang sebagai tempat penyimpanan bijih timah dan bahagian atasnya sebagai tempat kediaman. 


Pada 1853, Raja Abdullah bin Raja Jaafar iaitu adinda kepada Raja Jumaat, Lukut telah dikurniakan pangkat “Orang Besar Klang” oleh Baginda Sultan Muhammad Shah dan dengan itu beliau berjaya membuka beberapa buah lombong bijih timah di Ulu Sungai Klang, sekarang dikenali sebagai Kuala Lumpur. Raja Abdullah merupakan wakil Sultan yang diperintahkan mengutip hasil dan memperdagangkan bijih timah yang dihasilkan di Lembah Klang. 


Semasa berlaku Perang Saudara di Selangor pada tahun 1866 di kawasan ini, gudang ini telah dijadikan sebagai kubu pertahanan oleh pengikut Raja Mahadi yang berkubu di Kota Raja Mahadi tidak jauh dari kawasan ini (di perkarangan Pejabat Majlis Perbandaran Klang sekarang). 

"Residen Inggeris Pertama J.G Davidson menjadikan Gedung ini sebagai Pusat Pentadbiran Daerah yang kemudiannya dijadikan Balai Polis Daerah hingga tahun 1970. "



Selepas terbiar kosong, gedung ini kemudian dibaik pulih oleh Badan Warisan Malaysia pada tahun 1984 sebelum dijadikan Muzium Tin setahun kemudian di bawah seliaan Lembaga Muzium Selangor.


Apa yang menarik mengenai bangunan ini ialah ia bercirikan seni bina Anglo-Indian abad ke-19 dengan gabungan seni bina tempatan. Bangunan kayu bertiang konkrit ini dibina secara memanjang dan tinggi dengan tingkat bawah berlantaikan simen manakala tingkat atas berlantai kayu.
 

Sesuai dengan fungsinya sebagai gedung simpanan bijih timah, bangunan ini dibina mudah tanpa elemen-elemen hiasan seperti rumah-rumah tradisi lain. Terdapat beberapa ruang berbilik di tingkat bawah namun tingkat atasnya dewan besar dibiarkan terbuka dengan serambi di sekeliling.
 

Kerosakan utama bangunan ini adalah pada lepaan dinding di tingkat bawah yang telah poros disebabkan faktor kelembapan (bangunan ini terletak di tapak yang paling rendah berbanding bangunan-bangunan baru di sekeliling yang dibina kemudian). Sebahagian dinding juga telah retak dipercayai disebabkan oleh gegaran kenderaan di jalan bersebelahan. 

















Kerja-kerja konservasi yang utama selain melibatkan penggantian struktur kayu dan lepaan dinding yang rosak termasuk penggantian lantai konkrit kepada lantai kayu di tingkat atas bagi mengembalikan keaslian bangunan. 


Kerja-kerja konservasi oleh Jabatan Warisan Negara yang bermula pada bulan Disember 2008 akhirnya siap sepenuhnya pada Julai 2009 dan rawatan kelembapan dijalankan oleh PADAT pada 2014.



Bangunan ini mengalami kerosakan yang teruk disebabkan serangan anai-anai jenis Coptotermes SP. Struktur kerangka dan pintu berada di dalam keadaan yang tidak sempurna. Rawatan anai-anai akan dilakukan. 



Buat masa ini kerja-kerja pemuliharaan bangunan ini sedang berjalan bermula 6 Ogos 2018 sehingga 5 Februari 2019 dan orang luar tidak dibenarkan masuk atau melawat.

Sekian.

4 comments:

  1. Assalamualaikum tuan/puan. Saya dapat assignment subject Mixed reality untuk membuat model bangunan bersejarah konservasi dan telah memilih Gedung ini. Saya ingin tahu adakah tempat ini masih boleh dilawat dn masuk?

    ReplyDelete
  2. Waalaikummussalam..Maaf sb lambat reply kerana kengkangan kerja. Bangunan ini dalam proses kerja-kerja pemuliharaan. Boleh mohon kebenaran dengan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) untuk permohonan masuk ke dalam bangunan ini.

    ReplyDelete
  3. Hi, tuan/puan. Wanna to ask about other room function at previous years.

    ReplyDelete
  4. Hai Tia...you boleh rujuk dengan Lembaga Muzium Selangor atau Jabatan Warisan Negara di Bangunan Sultan Abdul Samad, KL

    ReplyDelete