Friday, 23 November 2018

Gedung Raja Abdullah Sebagai Tempat Penyimpanan Bijih Timah

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Hai.... Alhamdulillah dapat lagi kita berjumpa pada hari nii. Masih lagi dengan kisah bangunan warisan dan lokasinya di Klang Selangor. Bangunan yang penuh dengan cerita sejarahnya iaitu Gedung Raja Abdullah....


Bangunan ini dibina pada 1856 di Pekan Klang sebagai tempat penyimpanan bijih timah dan bahagian atasnya sebagai tempat kediaman. 


Pada 1853, Raja Abdullah bin Raja Jaafar iaitu adinda kepada Raja Jumaat, Lukut telah dikurniakan pangkat “Orang Besar Klang” oleh Baginda Sultan Muhammad Shah dan dengan itu beliau berjaya membuka beberapa buah lombong bijih timah di Ulu Sungai Klang, sekarang dikenali sebagai Kuala Lumpur. Raja Abdullah merupakan wakil Sultan yang diperintahkan mengutip hasil dan memperdagangkan bijih timah yang dihasilkan di Lembah Klang. 


Semasa berlaku Perang Saudara di Selangor pada tahun 1866 di kawasan ini, gudang ini telah dijadikan sebagai kubu pertahanan oleh pengikut Raja Mahadi yang berkubu di Kota Raja Mahadi tidak jauh dari kawasan ini (di perkarangan Pejabat Majlis Perbandaran Klang sekarang). 

"Residen Inggeris Pertama J.G Davidson menjadikan Gedung ini sebagai Pusat Pentadbiran Daerah yang kemudiannya dijadikan Balai Polis Daerah hingga tahun 1970. "



Selepas terbiar kosong, gedung ini kemudian dibaik pulih oleh Badan Warisan Malaysia pada tahun 1984 sebelum dijadikan Muzium Tin setahun kemudian di bawah seliaan Lembaga Muzium Selangor.


Apa yang menarik mengenai bangunan ini ialah ia bercirikan seni bina Anglo-Indian abad ke-19 dengan gabungan seni bina tempatan. Bangunan kayu bertiang konkrit ini dibina secara memanjang dan tinggi dengan tingkat bawah berlantaikan simen manakala tingkat atas berlantai kayu.
 

Sesuai dengan fungsinya sebagai gedung simpanan bijih timah, bangunan ini dibina mudah tanpa elemen-elemen hiasan seperti rumah-rumah tradisi lain. Terdapat beberapa ruang berbilik di tingkat bawah namun tingkat atasnya dewan besar dibiarkan terbuka dengan serambi di sekeliling.
 

Kerosakan utama bangunan ini adalah pada lepaan dinding di tingkat bawah yang telah poros disebabkan faktor kelembapan (bangunan ini terletak di tapak yang paling rendah berbanding bangunan-bangunan baru di sekeliling yang dibina kemudian). Sebahagian dinding juga telah retak dipercayai disebabkan oleh gegaran kenderaan di jalan bersebelahan. 

















Kerja-kerja konservasi yang utama selain melibatkan penggantian struktur kayu dan lepaan dinding yang rosak termasuk penggantian lantai konkrit kepada lantai kayu di tingkat atas bagi mengembalikan keaslian bangunan. 


Kerja-kerja konservasi oleh Jabatan Warisan Negara yang bermula pada bulan Disember 2008 akhirnya siap sepenuhnya pada Julai 2009 dan rawatan kelembapan dijalankan oleh PADAT pada 2014.



Bangunan ini mengalami kerosakan yang teruk disebabkan serangan anai-anai jenis Coptotermes SP. Struktur kerangka dan pintu berada di dalam keadaan yang tidak sempurna. Rawatan anai-anai akan dilakukan. 



Buat masa ini kerja-kerja pemuliharaan bangunan ini sedang berjalan bermula 6 Ogos 2018 sehingga 5 Februari 2019 dan orang luar tidak dibenarkan masuk atau melawat.

Sekian.

Friday, 16 November 2018

Kota Tanjung Keramat Merupakan Kubu Pertahanan Belanda Di Selangor

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Hai semua... hari nii entri aku berkenaan dengan sebuah kota yang agak popular tetapi telah terbiar tanpa penjagaan disebabkan kos penyelenggaraannya yang tinggi kerana kawasan ini sangat luas.

Untuk meneroka kawasan ini jugak agak sukar kerana kawasannya dipenuhi dengan semak-samun yang agak tinggi. Memang tidak sesuai untuk dikunjungi. Info yang aku dapat mengenai kota ini jugak tidak banyak. Apa pun korang boleh rujuk dengan Muzium Sejarah  Negeri Selangor berkaitan dengan kota ini.


Kota Tanjung Keramat terletak di atas sebuah bukit berhampiran Bukit Malawati, Kuala Selangor dan telah dibina bersama dengan Kota Malawati semasa pemerintahan Sultan Selangor yang kedua iaitu Sultan Ibahim Syah (1778–1826). Kota ini terletak di bahagian utara Bukit Selangor di sebelah Sekolah Menengah Sri Tanjung merupakan kubu pertahanan Belanda di Selangor. 



Di kota ini juga terdapat sebatang pokok besar yang menjadi menara meninjau pihak musuh. Kedudukannya yang tinggi dan berhampiran pula dengan Kuala Sungai Selangor dengan mudah dapat mengawasi angkatan perang musuh yang lalu lintas. 


Seperti Kota Malawati, Kota ini juga dibina mengikut rekabentuk barat yang dilengkapi dengan senjata meriam. Dinding kota ini dibina dari tanah dan batu-batu pejal. Semasa Belanda menawan Kuala Selangor pada tahun 1784, kota ini dinamakan sebagai “Kota Utrecht” sempena nama kapal Belanda yang berjaya mengalahkan Raja Haji di Teluk Ketapang.


Berhampiran dengan Kota Tanjung Keramat ini terdapat Makam Keramat Anak Dara atau Keramat Rubiah. Ia berada di atas bukit keramat setinggi 100 kaki dari aras laut di pinggir Tasik Shina, kira-kira sebatu dari Bandar Kuala Selangor.


Maaf sebab aku tak dapat info yang banyak tentang kota ini. 

Sekian.

Friday, 2 November 2018

Mahkamah Batu Gajah (Court House) Antara Bangunan Kolonial Yang Tercantik Di Perak

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Hai korang....hari nii ok tak? Harap-harap ok laa yea. Yang tak berapa nak sihat tuu... semoga cepat sembuh yea.. Hari nii aku nak bercerita sedikit tentang sebuah bangunan yang teguh berdiri dan antara yang tercantik di Batu Gajah, Perak. Bangunan ini juga mempunyai sejarahnya yang tersendiri...  Diberi nama Mahkamah Batu Gajah.

Selepas Perjanjian Pangkor (1874), Kerajaan British membuat cubaan dengan kejayaan yang agak perlahan untuk menubuhkan sistem perundangan Inggeris di Perak.    
                                     




Lima tahun kemudian mereka berjaya membentuk kuasa mereka dan membina balai-balai polis (pondok-pondok) diikuti dengan mahkamah-mahkamah dan penjara-penjara. Pegawai Daerah Kinta bukan sahaja bertindak sebagai Majistret Kanan Daerah malah juga sebagai Pemungut Hasil Tanah yang lebih diberi keutamaan. 


Dr. H.W.C. Leech, Majistret Daerah Kinta memindahkan pejabatnya ke bahagian hulu sungai dengan membina bangunan-bangunan yang besar untuk dirinya dan kakitangannya di satu tempat yang berada di tengah-tengah Kota Bharu (Gopeng) di mana seseorang boleh sampai dengan menggunakan kapal wap melalui sungai dalam masa sehari dari Durian Sebatang (Teluk Anson).


Beliau juga membina balai-balai polis di Gopeng dan Epoh (Ipoh), yang merupakan kampung utama di daerah tersebut dalam tahun yang sama sehingga 1879.


Keperluan untuk pergi ke Kinta telah bermula dalam tahun 1884. Dalam tahun 1882 terdapat 4000 orang pelombong-pelombong Cina di daerah tersebut. Menjelang 1884 ia telah bertambah ke lebih 5000 orang dan dalam tahun-tahun berikutnya bertambah kepada 9000 (1885), 18,000 (1886), 25,000 (1887) dan 38,000 (1888).

"Ibu pejabat Majistret Kinta telah dipindahkan ke Batu Gajah pada tahun 1884 memandangkan kawasan Kota Bharu tidak lagi bersesuaian."


Sebuah penjara dan sebuah balai polis telah dibina di Papan (Batu Gajah) pada tahun 1884. Majistret Batu Gajah berulang-alik seminggu sekali ke Papan dan mendengar kes-kes mahkamah di balai polis.


Pada 29 November 1887, rusuhan-rusuhan telah berlaku di Papan dan pengadilan segera diselenggarakan selepas beberapa hari berikutnya perbicaraan di hadapan Yang Amat Mulia Sultan Perak, Residen British dan Dato’ Panglima Kinta.

"Mahkamah-Mahkamah dan penjara di Papan berhenti berfungsi selepas Perang Dunia Pertama."

Bangunan dan perumahan (quarters) Mahkamah yang pertama bagi Majistret di Ipoh disiapkan dalam tahun 1888. Pada bulan Oktober 1888, En. E.J. Brewster memulakan Mahkamah Polis di Ipoh. Beliau mengatakan ini adalah untuk memberi kemudahan kepada orang awam dan polis.


Dalam bulan November 1888, En. E.J.C. Tranchell menjawat jawatan Penolong Majistret Pertama mendengar kes-kes kecil di Batu Gajah dan Gopeng tiga kali seminggu.


Sehingga 1889, terdapat tiga Mahkamah Rendah dan satu Mahkamah Rayuan di Kinta. Sehingga 1895 Ipoh telah bertukar menjadi bandar apabila pejabat-pejabat guru mula dibina dan disiapkan setahun kemudian. Pada 14 November 1898 buat pertama kalinya Pesuruhjaya Kehakiman membuka mahkamah untuk persidangan jenayah di Ipoh.

Dalam tahun 1903 Dato Panglima Kinta Mohammed Yusof seorang pelombong bijih timah Melayu yang sangat kaya di Negeri Perak membina rumah untuk dirinya sendiri. Setelah beliau meninggal dunia rumah tersebut telah dibeli oleh Kerajaan British dan dijadikan Bangunan Mahkamah di Ipoh. 


Sekian.