Monday, 5 March 2018

Perkampungan Orang Asli Di Sungai Ruil, Cameron Highlands Pahang

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,


Hai korang semua…apa khabar hari nii. Semoga sihat-sihat jer yea. Hari nii aku nak bawa korang meneroka ke Cameron Highlands, Pahang....tapi bukan untuk meneroka tempat pelancongan tau.. Aku nak bawa korang ke Perkampungan Orang Asli di Sungai Ruil, Tanah Rata. Tak jauh pun dari pekan Tanah Rata dan boleh menaiki kenderaan untuk ke perkampungan ini. 

**maklumat yang aku tulis ini adalah berdasarkan kajian aku pada tahun 2002 - Kerja-Kerja Penyelidikan Awal, Rumah-Rumah Tradisional Suku Kaum Orang Asli Dari Rumpun Bangsa Semai (Suku Kaum Senoi), Di Kampung Sungai Ruil, Mukim Tanah Rata, Cameron Highlands, Pahang. Supaya boleh dijadikan rujukan untuk sesiapa sahaja.


Untuk pengetahuan korang jugak...kat perkampungan ini juga ada tersedia chalet yang diperbuat daripada buluh. Sejuk giler bermalam kat sini. Aku ke sini kerana ingin membuat inventori rumah. First time datang kat sini aku dah teruja kerana dapat lihat rumah-rumah buluh yang asli. Penduduk kat perkampungan ini adalah terdiri daripada suku kaum Semai dan mereka juga boleh berbahasa Melayu.


Suku kaum Semai tinggal bertaburan di kawasan Banjaran Titiwangsa, meliputi  Perak Tengah, Perak Selatan dan Pahang Barat. Bancian pada tahun 1993 menunjukkan mereka telah meningkat lebih daripada 42,000 orang dan merupakan kaum Orang Asli yang terbesar jumlahnya. Mereka hidup bermasyarakat. Sebuah kampung biasanya terdapat di antara 60 hingga 300 penduduk yang diketuai oleh seorang Penghulu, atau “Batin” yang dilantik dari golongan berpengaruh seperti pawang, bomoh dan ketua adat.

Bah Zainal bin Dollah, Tok Batin Kampung Sungai Ruil

Pada suatu ketika dahulu kehidupan kaum Semai sama seperti Orang Asli yang lain di negara ini iaitu hidup secara nomad. Mereka berpindah dari satu tempat ke satu tempat lain di dalam hutan kerana mencari tempat baru untuk berladang atau pun berpindah atas sebab-sebab kematian, diganggu oleh orang luar, binatang buas dan wabak penyakit hawar. Secara tradisinya mereka hidup dalam kumpulan kecil yang terdiri daripada 10 hingga 50 kelamin.

Bagi Daerah Cameron Highlands, perkampungan Sungai Ruil ini adalah perkampungan orang Asli yang paling ramai penduduk, iatu berjumlah 956 orang penduduk. Bilangan keluarga yang menetap di sini adalah sebanyak 136 keluarga dan diketuai oleh Batin Bah Zainal Bin Dollah


Sebahagian penduduk di sini bekerja dengan Majlis Daerah, JKR, Tentera, Kementerian Kesihatan, Pekerja binaan, bekerja di hotel-hotel juga sebagai petani dan lain-lain. Perkampungan ini terletak hampir dengan kawasan bandar iatu berjarak 3.5 km dengan Bandar Tanah Rata dan 2.5 km dari Brinchang. Perkampungan ini juga boleh dihubungi dengan melalui jalan tar. 


Majoriti penduduk Kampung ini mempunyai fahaman Animisma juga seramai 42 orang berugama Islam, dan 80 orang menganut Kristian. Kemudahan asas banyak telah disediakan oleh pihak Jabatan Hal Ehwal Orang Asli dan Pentadbiran Pejabat Dareah di Kampung Sungai Ruil.


Penduduk kampung ini ada juga sebagai petani. Seluas lebih kurang 4 hektar tanah yang diusahakan oleh kira kira 20 oarang peserta Projek In Situ tanaman sayur, yang telah diperuntukan, oleh JHEOA. Selain dari itu mereka juga digalakan menternak ayam kampung.

Kampung ini mempunyai sejumlah 956 orang penduduk, bilangan kelaminnya seramai 136. Majoriti penduduk adalah Orang Asli suku kaum Semai.


Secara amnya penggunaan tanah di perkampungan ini sangat sesuai untuk projek pertanian/ kebun sayur dan kebun bunga. Kawasan tempat tinggal penduduk kampung ini adalah di sekitar lereng-lereng bukit dan juga dikawasan lembah. Sebahagian daripada tanah tanah yang terdapat di sini masih mempunyai hutan belukar dan masih belum diusahakan. Kawasan yang terdapat dipersekitaran perkampungan ini tidak dibenarkan diterokai ataupun didiami oleh penduduk Kampung kerana dikhuatiri mendatangkan masaalah di kemudian hari.


Aktiviti sampingan penduduk Kampung
  • sukan
  • kebudayaan
  • kelas jahitan dan masakan
  • kelas penggalak pembaca


Bangunan, kemudahan asas dan infrastruktur yang terdapat dikampung ini;


  • Jalan Tar ¾ km dari jalan utama Tanah Rata – Brinchang
  • 1 buah Surau
  • 1 buah Rumah Penggerak Masyarakat
  • 1 buah Balai Astaka Budaya
  • 1 Buah Pondok Telefon Awam
  • 1 Buah Balai Raya
  • 1 Buah Rumah Kraftangan
  • 1 Unit Gelanggang Sepaktakraw
  • 1 Buah Rumah Guru Pemaju Masyarakat TBK
  • 1 buah kelas TBK
  • 1 buah kelas Taska
  • 1 buah asrama Pendidikan
  • 1 buah Rumah Rehat
  • 8 buah Rumah kakitangan,
  • 1 buah Pejabat JHEOA
  • 1 buah rumah Transits JHEOA
  • Jambatan
  • Rumah Shirley yang dibina oleh UPEN
  • Tandas Awam yang dibina oleh Kementerian Kesihatan


Kebanyakkan penduduk di sini mendiami rumah asal iaitu rumah yang diperbuat daripada buluh yang diperolehi di hutan persekitaran. Mereka lebih selesa mendiami rumah ini kerana bagi mereka lebih sejuk berbanding dengan rumah batu.

Kehidupan masyarakat kaum asli samaada di pinggir pantai ataupun di kawasan pendalaman terletak jauh dari bandar atau pekan. Untuk menuju ke kawasan perKampungan ini, terpaksa melalui sungai atau lorong kecil yang tidak berturap.


Dengan demikian susun atur rumah mereka agak bertaburan yang mempunyai kelompok-kelompok kecil yang terdapat disepanjang jalan atau sungai. Setiap kelompok pula terdiri daripada sesebuah keluarga.

Rumah masyarakat kaum asli tidak mempunyai orientasi yang tetap. Orientasi susun atur rumah mereka bergantung kepada keadaan persekitaran Kampung, misalnya suku kaum yang tinggal di tepi sungai, orientasi rumah mereka menghadap ke arah sungai. Aspek kepercayaan dan pantang larang juga mempengaruhi aspek perletakan dan orientasi susun atur rumah mereka.


Walaupun kajian ini sudah lebih 17 tahun berlalu….banyak kenangan manis dan pengalaman baru yang aku terima. Mungkin perkampungan ini telah banyak perubahan yang berlaku akibat dari peredaran masa kini. Semoga kajian ini dan gambar-gambar ini dapat dijadikan rujukan untuk generasi akan datang.

** Hasil kajian yang lengkap ada disimpan di Perpustakaan Jabatan Muzium Malaysia

Sekian.

No comments:

Post a comment