Friday, 16 February 2018

Di Kampung Panggen, Mukim Ulu Telom, Cameron Highlands, Pahang - Rumpun Bangsa Semai (Suku Kaum Senoi)

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Hai korang semua…. Semoga sihat-sihat hendaknya yea... Hari nii aku nak bawa korang meneroka ke Cameron Highlands, Pahang....pada tahun 2002, di sebuah perkampungan orang asli yang masih kekal dengan rumah tradisionalnya iaitu di Kampung Panggen.
  
**maklumat yang aku tulis ini adalah berdasarkan kajian aku pada tahun 2002 - Kerja-Kerja Penyelidikan Awal, Rumah-Rumah Tradisional Suku Kaum Orang Asli Dari Rumpun Bangsa Semai (Suku Kaum Senoi), Di Kampung Panggen, Mukim Ulu Telom, Cameron Highlands, Pahang. Supaya boleh dijadikan rujukan untuk sesiapa sahaja.




Oleh kerana pada peringkat awal kami tidak merancang untuk menjalan kajiaan Kampung Panggen ini, maka kami hanya menjalankan kajian awal secara ringkas sahaja. Kami sebenarnya telah dicadangkan oleh pihak JHEOA Daerah Cameron Highlands untuk membuat kajian disini kerana menurut mereka hampir keseluruhan rumah kediaman disini adalah masih tradisional dan belum diubah suai kecuali rumah Tok Batin, iatu rumah PPRT, tetapi, bahagian dapurnya masih lagi yang asal.


Kami telah bertolak ke Kampung ini yang lebih kurang 20 km dari Tanah Rata dengan menaiki kenderaan sendiri dan separuh perjalanan adalah melalui Ladang Teh Boh. Kami juga terpaksa berjalan kaki sejauh hampir 2 km untuk sampai ke Kampung ini kerana kenderaan biasa tidak berupaya untuk melalui jalan masuk ke Kampung ini. Sepanjang 2 kilometer untuk sampai ke Kampung ini jalannya adalah tanah merah dan berlubang serta berlopak  di sana sini dan hanya kenderaan pacuan empat roda sahaja yang sesuai untuk menggunakan lalulan ini.


Kami telah dipandu oleh En. Mohd Jafri Bin Abdullah  - Pembantu Pembangunan Masyarakat JHEOA dan beliau telah memperkenalkan kami kepada Tok Batin Kampung Panggen ini iatu  En Bah Ait A/L Bah Lade. Tok Batin ini agak kurang fasih dan memahami bahasa melayu dan terpaksalah En Mohd Jafri membantu kami dalam menanyakan soalan dan menjawab soalan bagi pihak Tok Batin dalam bahasa Melayu.


Profil Tapak Kajian, Kg. Panggen, Ulu Telom , Cameron Highlands
Nama Kampung                 :           Kampung Panggen
Mukim                                :           Ulu Telom
                                              
Keluasan Tanah                  :           150 ekar

Nama Batin                         :           Bah Ait A/L Bah Lade

Suku Bangsa                       :           Semai

Projek JHEOA                      :           Jalan Tanah Merah

                                                      Bekalan Air bersih
                                                           
                                                      Rumah PPRT untuk Tok Batin.

Bilangan  Keluarga             :          48

Bilangan Penduduk             :           308 orang.

Projek Persendirian penduduk    : Dusun buah buahan (durian, cempedak,  rambutan) -  2 ekar
                                                           
                                                Jagung, keledek, ubi kayu dan pisang – 6 ekar
                                                           
                                                Ternakan ayam Kampung

Jarak perjalanan      : 10 Km jaraknya dari jalan raya utama Tapah - Ringlet          

Pekerjaan penduduk         : 60 peratus bekeraja diladang ladang Teh Boh Estate dan Farlie

15 peratus bekerja sendiri – menanam sayur dan tanaman kontan

Kedudukan Kampung        : berhampiran dengan Ladang Farlie dan Boh Estet



Bah Ait A/L Bah Lade, Tok Batin Kampung Panggen

Menurut kata Tok Batin, terdapat 13 buah rumah kediaman disini dan semuanya masih belum diubahsuai samaada dari segi bentuk atau bahan binaannya. Bahan- bahan yang digunakan pada rumah kediaman ini masih lagi menggunakan kayu bertam dan atap nipah. Kecuali pada rumah tok batin, kerajaan telah membina rumah PPRT untuk beliau tetapi Tok Batin masih mengekalkan bahagian dapurnya.


Menurut kata Tok Batin dan En Mohd Jafri, pihak kerajaan ada berura-ura untuk memindahkan mereka seKampung ke tempat lain kerana kawasan perkampungan ini dianggap kawasan yang berisiko tinggi untuk mengalami tanah runtuh, memandangkan kawasan perkampungan ini terletak dilereng bukit yang agak tinggi. Tetapi menurut Tok batin yang telah berusia 70 tahun lebih dan dilahirkan diKampung ini, tidak pernah terjadi kejadian tanah runtuh samaada di kampung ini ataupun kawasan berhampiran dengannya.


Semasa kami melakukan kajian di Kampung ini, keadaan kampung ini sunyi sepi kerana hampir keseluruhan penduduk Kampung pergi bekerja di ladang – ladang teh berhampiran dan kanak-kanak pula pergi bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil berhampiran ladang teh di situ dan oleh ini kami tidak dapat mengumpul maklumat dengan lebih lanjut mengenai kampung ini melalui penduduk kampung ini sendiri melalui temuramah dan sebagainya.


Menurut kata Tok Batin lagi penduduk kampung ini hanya boleh ditemui pada waktu petang, malam ataupun hari cuti. Oleh yang demikian kami bercadang untuk bertemu dengan penduduk Kampung ini pada waktu waktu yang disebutkan pada masa- masa yang akan datang.

Rumah kaum Semai ini mempunyai berbagai-bagai bentuk terpulang kepada kreativiti seseorang individu tetapi kebiasaanya rumah dibina dalam bentuk segi empat dan ditambah sedikit anjung untuk dapur. Bentuk ini hampir sama dengan rumah tradisi orang Melayu di Malaysia. 


Tiang rumah diperbuat daripada kayu bulat. Atap dan dindingnya daripada daun bertam dan serdang. Rotan digunakan untuk mengikatManakala lantainya pula daripada pokok bertam buluh kayu yang telah dibelah (papan). Kehidupan masa silam dipengaruhi oleh keadaan persekitaran di mana rumah atau tempat kediaman hanya digunakan sebagai tempat untuk berehat atau tidur sahaja dan tidak timbul persaingan untuk membina rumah yang cantik dan selesa. Ini disebabkan hanya bahan-bahan tersebut sahaja yang ada dan cara hidup mereka yang sering berpindah randah. 


Walau bagaimanapun rumah kaum Semai telah banyak berubah mengikut peredaran masa dan telah menukar corak budaya mereka. Kaum Semai sekarang telah menetap di satu tempat, mempunyai perkampungan, tanah bergazet, bercucuk tanam dan mempunyai rumah yang agak cantik dan selesa bergantung kepada kewangan masing.


Pemilihan Tapak Rumah
Ada beberapa ciri penting dalam pemilihan tapak rumah dikalangan orang Asli, iatu,

  • Ianya mestilah sesuai denagn berpandukan mimpi atau telekan Tok Pawang atau Tok Halaq, atau pun dikalangan ahli keluarga yang tertua sekali.
  • Tiada terdapat sebarang ganguan atau bahaya, misalnya terdapat binatang buas atau pun tanah yang tinggi dan mempunyai risiko untuk runtuh dan sebagainya.
  • Kawasan baru yang dipilih harus dibaca mentera oleh Tok Pawang atau pun Tok Halaq



Ciri di atas hanyalah diamalkan di sekitar tahun 60an dan 70an sahaja dan sekarang pula hanya dipakai guna di kawasan yang jauh dipendalaman sahaja. Pemilihan tapak rumah baru pada waktu ini adalah tertakluk pada Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEO), iaitu,

  • Kawasan yang dipilih hendaklah selamat dan bukan dilereng bukit yang merbahayakan.
  • Tidak terkeluar dari Tanah Rizab Orang Asli seprti yang telah diperuntukan.
  • Perlu merujuk kepada JHEO untuk membina sesebuah rumah kekal, keran pihak JHEO telah terikat pada program Penyusunan Semula Kampong (PSK)
  • Selain dari tu mereka boleh mengamalkan amalan tradisi mereka seperti membaca mentera dan sebagainya.




Aku rasa sangat bertuah kerana diberi peluang untuk membuat kajian ini...bos lama aku, Encik Nasarudin bin Sulaiman banyak memberi bimbingan bagi menjayakan kajian ini. Kajian ini kami lakukan sebagai satu team....yang terdiri daripada Encik Nasarudin yang akan menemuramah pegawai dan juga penduduk setempat, aku sendiri ditugaskan sebagai pelukis pelan, Encik Muhammad Fazlin ditugaskan sebagai juru fotografi dan Puan Nurhanis membantu dalam kerja pengukuran. Team kami memang kecil jer tetapi saling lengkap melengkapi...


** Hasil kajian yang lengkap ada disimpan di Perpustakaan Jabatan Muzium Malaysia.


Sekian.         

No comments:

Post a comment