Sunday, 21 January 2018

Menerokai Gua Tempurung Dengan Pelbagai Aktiviti Menarik

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,


Hai korang semua..apa khabar hari nii? Hari nii aku nak bawa korang pergi meneroka Gua Tempurung. Kalau korang melalui highway ke utara....pastinya korang akan melalui kawasan Gua Tempurung. Gua Tempurung ialah sebuah gua batu kapur yang terletak di Gopeng, Perak. Namanya diambil kerana bentuknya yang seperti tempurung kelapa. Panjang gua ini mencapai 1.9 km dan dipercayai telah wujud sejak 8000 SM lagi. Gua Tempurung merupakan salah satu gua batu kapur terbesar di Semenanjung Malaysia. 


Gua Tempurung merupakan sebuah gua yang menjadi tumpuan pelancong yang merentasi satu kilometer dari Sungai Siput sehingga Kuala Dipang, dan terdiri daripada lima siling kubah yang berbentuk tempurung. 
Setiap kubah mempunyai bentuk stalagmite  dan stalaktit yang berbeza. Selain itu juga, setiap kubah berbeza dari segi suhu, aras air, dan kandungan batu kapur dan marmar. 

Dipertengahan gua ini terdapat satu stalagmit yang berbentuk seperti gergasi. Memandangkan gua ini menjadi tumpuan pelancong, kerajaan negeri Perak telah memelihara dan memulihara kawasan gua ini supaya lebih menarik dan mesra pelancong. Gua gua kini dilengkapi lampu, tangga dan titi serta kemudahan awam lain turut disediakan. Bagi mereka yang suka aktiviti lasak, acara meredah sungai dalam gua turut diadakan.


Selain menyimpan khazanah alam, gua ini turut tertulis dalam sejarah Malaysia. Gua ini menjadi tempat persembunyian komunis pada masa dahulu daripada 1950 hingga 1960. Manakala semenjak daripada tahun 1970, Gua Tempurung telah dijadikan lombong bijih timah.
  
Sebelum korang masuk untuk aktiviti di dalam Gua Tempurung nii... korang kena beli tiket dulu mengikut pakej yang disediakan. Gua Tempurung ada menyediakan 4 jenis tour; dua dry tour dan dua wet tour. 

Pakej lawatan 1: Golden Flowstone
  • Lawatan di lorong pejalan kaki yang mengambil masa 40 minit.
  •  Bayaran RM6 (dewasa), RM2.50 (kanak-kanak), RM3 (warga emas).

Pakej lawatan 2: Top of The World
  •  Lawatan selama satu jam 45 minit menjelajah bahagian menarik di dalam gua.
  •  Perjalanan mulai pintu masuk gua sehingga ke stesen pelantar lima (Dewan Alam Gergasi).
  • Bayaran RM9 (dewasa), RM4.50 (kanak-kanak), RM3 (warga emas).
  • Perjalanan catwalk & menyusuri sungai bawah tanah (perjalanan kering).



 Pakej lawatan 3: Top of The World & Short River Adventure
  • Aktiviti berkumpulan yang mencabar dalam perjalanan sejauh dua jam 30 minit.
  • Perjalanan sejauh 2.4 kilometer menjelajah pelbagai laluan berliku, termasuk menyusuri anak sungai.
  • Bayaran RM11 (dewasa), RM6 (kanak-kanak), RM6 (warga emas).


Pakej lawatan 4: Grand Tour
Ekspedisi berkumpulan paling mencabar dengan perjalanan sejauh 3.8 km dengan berjalan kaki sehingga ke pelantar 10.
  •  Cabaran diteruskan dengan aktiviti menyusuri anak sungai.
  • Keseluruhan aktiviti mengambil masa selama tiga jam 30 minit.
  • Bayaran RM22 (dewasa), RM11 (kanak-kanak), RM6 (warga emas).
Grand Tour iaitu pakej 4 adalah laluan paling ekstrim yang ditawarkan kerana perjalanan yang bakal ditempuh adalah sepanjang 3.8 kilometer pergi dan balik. Bukan sahaja jarak yang menjadi ukuran, laluan tersebut juga memerlukan setiap orang membawa lampu picit kerana tiada cahaya yang akan menemani sepanjang perjalanan. Korang perlu melalui tiga gelungsur semulajadi setinggi tiga meter, empat meter dan sembilan meter, lubang kecil serta perlu merangkak di bawah batu kapur yang hanya berketinggian kurang satu meter.

Dalam Tour 4 ini juga, korang tidak digalakkan untuk membawa sebarang alatan elektronik kerana terdapat beberapa laluan yang akan memaksa korang untuk masuk ke dalam air yang mengakibatkan badan korang basah sepenuhnya. 


 Info mengenai Gua Tempurung:
  • Berusia lebih dari 400 juta tahun.
  • Gua Batu Kapur.
  • Panjang 1.9 km.
  • Ketinggian tertinggi pelantar pejalan kaki adalah 170 meter.
  • Terdapat beberapa ukiran menarik di dalam gua hasil hakisan air ke atas batu seperti wajah Osama bin Laden, perempuan sedang membasuh rambut, tengkorak, obor-obor, siput dan pelbagai lagi.


Pemilihan pakaian dan peralatan yang sesuai pemakaian baju, kasut dan seluar yang sesuai amat penting dan perlu dititik beratkan ketika memasuki gua kerana faktor tersebut boleh menjamin keselamatan dan mengelak kecederaan parah. Kebanyakan peserta meneroka gua mengalami kecederaan seperti tergelincir dan terjatuh akibat pemakaian kasut yang tidak sesuai, lebih-lebih lagi ketika memasuki laluan gua yang berair dan licin.


Sebelum memasuki gua, adalah penting untuk setiap individu atau kumpulan mengetahui keadaan gua yang ingin diteroka seperti situasi di dalam gua, panjang laluan yang ditempuh, dan risiko sewaktu berlaku kecemasan. Aktiviti gua  bukannya berjalan di dalam gua semata-mata. Ini kerana aktiviti itu lebih kepada penghayatan dan menghargai nilai keunikan alam semula jadi yang terdapat di dalam sesebuah gua itu.


Tidak mengapa jika tidak mahir atau pakar dalam aktiviti gua, asalkan anda mempunyai sedikit pengetahuan mengenai gua yang ingin diterokai. Kebanyakan peserta meneroka gua hanya bergantung kepada jurupandu gua semata-mata dan perkara itu disifatkan kurang bijak sekiranya berlaku apa-apa kecemasan, menyebabkan mereka tidak tahu nak buat apa. 


Skop keselamatan dalam gua dilakukan mengikut jumlah peserta dan siapa mereka bagi memastikan penerokaan gua  lancar dan selamat. Sebagai contoh, jika jumlah peserta dalam kumpulan yang besar, masa meneroka akan berlanjutan sehingga beberapa jam daripada masa jangkaan dan sebaliknya.


Peserta yang terdiri daripada lelaki dan perempuan juga memainkan peranan ketika melakukan aktiviti gua  kerana peserta lelaki bergerak lebih cepat berbanding dengan perempuan dan kesemua aspek itu perlu diteliti dan dilihat rapi untuk mengatur skop keselamatan yang efektif.


Apabila berlaku kecederaan di dalam gua, jurupandu gua akan melihat jenis kecederaan yang dialami, jika melibatkan dari aras pinggang hingga kaki, keadaan boleh dikawal, namun jika melibatkan cedera di kepala, keadaan itu adalah serius dan kritikal. 


Pemakaian peralatan keselamatan seperti ‘head lamp’ atau lampu suluh kepala dan topi keledar juga penting kerana keadaan gelap dan berbatu di dalam gua. Bagi mereka yang tidak biasa masuk ke gua, keadaan sedemikian adalah berbahaya dan berupaya mendatangkan kecederaan serius.


Setiap peserta meneroka gua juga disarankan untuk mendengar dengan teliti setiap penerangan yang diberikan oleh jurupandu arah bagi memastikan mereka tidak terkeluar dari laluan asal ketika di dalam gua, selain jangan terlalu berani untuk bertindak sendiri. Selain berdepan dengan kecederaan fizikal, peserta juga berisiko terkena gangguan makhluk halus sekiranya lemah semangat dan untuk itu, jurupandu arah sentiasa perlu peka dengan keadaan sekeliling, selain mempunyai pengetahuan dalam ilmu agama untuk mencegahnya daripada berlaku.


Aku datang ke sini hanya untuk melakukan survei awal terlebih dahulu untuk mencari aktiviti yang boleh aku lakukan pada setiap hujung minggu. Gua Tempurung nii pun tak berapa jauh dari rumah aku...lebih kurang 1 jam lebih sikit perjalanan dengan menaiki kereta. InshaAllah bila berkelapangan aku akan ajak kawan-kawan aku untuk join buat aktiviti meredah Gua Tempurung nii....

Sekian.

No comments:

Post a comment