Sunday, 21 January 2018

Menerokai Gua Tempurung Dengan Pelbagai Aktiviti Menarik

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,


Hai korang semua..apa khabar hari nii? Hari nii aku nak bawa korang pergi meneroka Gua Tempurung. Kalau korang melalui highway ke utara....pastinya korang akan melalui kawasan Gua Tempurung. Gua Tempurung ialah sebuah gua batu kapur yang terletak di Gopeng, Perak. Namanya diambil kerana bentuknya yang seperti tempurung kelapa. Panjang gua ini mencapai 1.9 km dan dipercayai telah wujud sejak 8000 SM lagi. Gua Tempurung merupakan salah satu gua batu kapur terbesar di Semenanjung Malaysia. 


Gua Tempurung merupakan sebuah gua yang menjadi tumpuan pelancong yang merentasi satu kilometer dari Sungai Siput sehingga Kuala Dipang, dan terdiri daripada lima siling kubah yang berbentuk tempurung. 
Setiap kubah mempunyai bentuk stalagmite  dan stalaktit yang berbeza. Selain itu juga, setiap kubah berbeza dari segi suhu, aras air, dan kandungan batu kapur dan marmar. 

Dipertengahan gua ini terdapat satu stalagmit yang berbentuk seperti gergasi. Memandangkan gua ini menjadi tumpuan pelancong, kerajaan negeri Perak telah memelihara dan memulihara kawasan gua ini supaya lebih menarik dan mesra pelancong. Gua gua kini dilengkapi lampu, tangga dan titi serta kemudahan awam lain turut disediakan. Bagi mereka yang suka aktiviti lasak, acara meredah sungai dalam gua turut diadakan.


Selain menyimpan khazanah alam, gua ini turut tertulis dalam sejarah Malaysia. Gua ini menjadi tempat persembunyian komunis pada masa dahulu daripada 1950 hingga 1960. Manakala semenjak daripada tahun 1970, Gua Tempurung telah dijadikan lombong bijih timah.
  
Sebelum korang masuk untuk aktiviti di dalam Gua Tempurung nii... korang kena beli tiket dulu mengikut pakej yang disediakan. Gua Tempurung ada menyediakan 4 jenis tour; dua dry tour dan dua wet tour. 

Pakej lawatan 1: Golden Flowstone
  • Lawatan di lorong pejalan kaki yang mengambil masa 40 minit.
  •  Bayaran RM6 (dewasa), RM2.50 (kanak-kanak), RM3 (warga emas).

Pakej lawatan 2: Top of The World
  •  Lawatan selama satu jam 45 minit menjelajah bahagian menarik di dalam gua.
  •  Perjalanan mulai pintu masuk gua sehingga ke stesen pelantar lima (Dewan Alam Gergasi).
  • Bayaran RM9 (dewasa), RM4.50 (kanak-kanak), RM3 (warga emas).
  • Perjalanan catwalk & menyusuri sungai bawah tanah (perjalanan kering).



 Pakej lawatan 3: Top of The World & Short River Adventure
  • Aktiviti berkumpulan yang mencabar dalam perjalanan sejauh dua jam 30 minit.
  • Perjalanan sejauh 2.4 kilometer menjelajah pelbagai laluan berliku, termasuk menyusuri anak sungai.
  • Bayaran RM11 (dewasa), RM6 (kanak-kanak), RM6 (warga emas).


Pakej lawatan 4: Grand Tour
Ekspedisi berkumpulan paling mencabar dengan perjalanan sejauh 3.8 km dengan berjalan kaki sehingga ke pelantar 10.
  •  Cabaran diteruskan dengan aktiviti menyusuri anak sungai.
  • Keseluruhan aktiviti mengambil masa selama tiga jam 30 minit.
  • Bayaran RM22 (dewasa), RM11 (kanak-kanak), RM6 (warga emas).
Grand Tour iaitu pakej 4 adalah laluan paling ekstrim yang ditawarkan kerana perjalanan yang bakal ditempuh adalah sepanjang 3.8 kilometer pergi dan balik. Bukan sahaja jarak yang menjadi ukuran, laluan tersebut juga memerlukan setiap orang membawa lampu picit kerana tiada cahaya yang akan menemani sepanjang perjalanan. Korang perlu melalui tiga gelungsur semulajadi setinggi tiga meter, empat meter dan sembilan meter, lubang kecil serta perlu merangkak di bawah batu kapur yang hanya berketinggian kurang satu meter.

Dalam Tour 4 ini juga, korang tidak digalakkan untuk membawa sebarang alatan elektronik kerana terdapat beberapa laluan yang akan memaksa korang untuk masuk ke dalam air yang mengakibatkan badan korang basah sepenuhnya. 


 Info mengenai Gua Tempurung:
  • Berusia lebih dari 400 juta tahun.
  • Gua Batu Kapur.
  • Panjang 1.9 km.
  • Ketinggian tertinggi pelantar pejalan kaki adalah 170 meter.
  • Terdapat beberapa ukiran menarik di dalam gua hasil hakisan air ke atas batu seperti wajah Osama bin Laden, perempuan sedang membasuh rambut, tengkorak, obor-obor, siput dan pelbagai lagi.


Pemilihan pakaian dan peralatan yang sesuai pemakaian baju, kasut dan seluar yang sesuai amat penting dan perlu dititik beratkan ketika memasuki gua kerana faktor tersebut boleh menjamin keselamatan dan mengelak kecederaan parah. Kebanyakan peserta meneroka gua mengalami kecederaan seperti tergelincir dan terjatuh akibat pemakaian kasut yang tidak sesuai, lebih-lebih lagi ketika memasuki laluan gua yang berair dan licin.


Sebelum memasuki gua, adalah penting untuk setiap individu atau kumpulan mengetahui keadaan gua yang ingin diteroka seperti situasi di dalam gua, panjang laluan yang ditempuh, dan risiko sewaktu berlaku kecemasan. Aktiviti gua  bukannya berjalan di dalam gua semata-mata. Ini kerana aktiviti itu lebih kepada penghayatan dan menghargai nilai keunikan alam semula jadi yang terdapat di dalam sesebuah gua itu.


Tidak mengapa jika tidak mahir atau pakar dalam aktiviti gua, asalkan anda mempunyai sedikit pengetahuan mengenai gua yang ingin diterokai. Kebanyakan peserta meneroka gua hanya bergantung kepada jurupandu gua semata-mata dan perkara itu disifatkan kurang bijak sekiranya berlaku apa-apa kecemasan, menyebabkan mereka tidak tahu nak buat apa. 


Skop keselamatan dalam gua dilakukan mengikut jumlah peserta dan siapa mereka bagi memastikan penerokaan gua  lancar dan selamat. Sebagai contoh, jika jumlah peserta dalam kumpulan yang besar, masa meneroka akan berlanjutan sehingga beberapa jam daripada masa jangkaan dan sebaliknya.


Peserta yang terdiri daripada lelaki dan perempuan juga memainkan peranan ketika melakukan aktiviti gua  kerana peserta lelaki bergerak lebih cepat berbanding dengan perempuan dan kesemua aspek itu perlu diteliti dan dilihat rapi untuk mengatur skop keselamatan yang efektif.


Apabila berlaku kecederaan di dalam gua, jurupandu gua akan melihat jenis kecederaan yang dialami, jika melibatkan dari aras pinggang hingga kaki, keadaan boleh dikawal, namun jika melibatkan cedera di kepala, keadaan itu adalah serius dan kritikal. 


Pemakaian peralatan keselamatan seperti ‘head lamp’ atau lampu suluh kepala dan topi keledar juga penting kerana keadaan gelap dan berbatu di dalam gua. Bagi mereka yang tidak biasa masuk ke gua, keadaan sedemikian adalah berbahaya dan berupaya mendatangkan kecederaan serius.


Setiap peserta meneroka gua juga disarankan untuk mendengar dengan teliti setiap penerangan yang diberikan oleh jurupandu arah bagi memastikan mereka tidak terkeluar dari laluan asal ketika di dalam gua, selain jangan terlalu berani untuk bertindak sendiri. Selain berdepan dengan kecederaan fizikal, peserta juga berisiko terkena gangguan makhluk halus sekiranya lemah semangat dan untuk itu, jurupandu arah sentiasa perlu peka dengan keadaan sekeliling, selain mempunyai pengetahuan dalam ilmu agama untuk mencegahnya daripada berlaku.


Aku datang ke sini hanya untuk melakukan survei awal terlebih dahulu untuk mencari aktiviti yang boleh aku lakukan pada setiap hujung minggu. Gua Tempurung nii pun tak berapa jauh dari rumah aku...lebih kurang 1 jam lebih sikit perjalanan dengan menaiki kereta. InshaAllah bila berkelapangan aku akan ajak kawan-kawan aku untuk join buat aktiviti meredah Gua Tempurung nii....

Sekian.

Wednesday, 10 January 2018

Perahu Lepa...Sejarah Dan Warisan Suku Kaum Bajau Laut

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,


Hai korang semua...apa khabar hari nii.. Aku sentiasa doakan kalian berada dalam keadaan sihat walafiat hendaknya. Semoga ceria-ceria selalu yea.... Hari nii aku nak story berkaitan dengan sebuah perahu yang sangat menarik lagi unik kat Negeri Sabah. Perahu nii bukan sahaja kegunaannya untuk menangkap ikan tetapi juga sebagai rumah kediaman oleh suku kaum Bajau Laut...menarikkan!! Perahu ini pula hanya boleh didapati di SempornaPerjalanan dari Kota Kinabalu ke Semporna mengambil masa hampir 2 jam dengan menaiki teksi.... Sebelum aku meneruskan cerita tentang perahu nii...aku bagi pengenalan dulu kat korang....

**maklumat yang aku tulis ini adalah berdasarkan kajian aku pada tahun 2004 - Kerja Kerja Penyelidikan, Perahu Lepa  Bajau Laut, Pulau Omadal, Semporna Dan Sekitar Dareah Semporna, Sabah.  Supaya boleh dijadikan rujukan untuk sesiapa sahaja.


Clifford Sather, seorang ahli antropologi dalam bukunya The Bajau Laut : Adaption, History And Fate In A Maritime Fishing Society of South-Eastern Sabah, menjelaskan bahawa suku kaum Bajau  Laut adalah rumpun peribumi yang mendiamai beberapa kawasan di Asia Tenggara. Mereka juga dikenali sebagai kaum Bajau Asli yang sebahagian besar mendiami daerah Semporna, terutama di Kampung Bangau-bangau dan di Pulau Omadal, Denawan, Bohean, Maiga, Kulapuan, Siamil dan Ligitan



Sebahagian besar kehidupan mereka berorientasikan kegiatan menangkap ikan secara tradisional dan memungut lain-lain hasil laut sebagai sumber ekonomi berbentuk sara diri. Dari segi sejarah, mereka berada di perairan pantai timur negeri Sabah khususnya di daerah Semporna, lama sebelum Sabah Borneo Utara mencapai kemerdekaan melalui Malaysia pada tahun 1963.


Majoriti suku kaum Bajau Laut masih tidak memiliki dokumen kerakyatan Malaysia. Perkara ini berkemungkinan berlaku kerana masyarakat Bajau Laut ini dirasakan seolah-olah takut berjumpa dengan pihak berkuasa samada polis, pejabat pendaftaran, imegresen dan sebagainya bagi menjelaskan permasalahan mereka, dan ini juga  berpunca daripada situasi sosial dan ekonomi mereka yang dianggap daif dan tidak sanggup berurusan dengan pihak-pihak berkenaan.



Tambahan pula kegiatan mereka banyak berkisar di kawasan maritime menyebabkan mereka sangat jarang berkomunikasi dengan masyarakat yang menjadi pentadbir di daerah Semporna. Kalaupun mereka bergerak ke darat dengan menggunakan perahu yang dikenali sebagai ‘lepa’ tujuan mereka hanyalah untuk membeli keperluan asas buat dijadikan bekalan  ke laut. Begitulah kehidupan mereka dari dahulu sehingga kini.


Di Kampung Bangau-bangau yang merupakan perkampungan Bajau Laut terbesar di daerah Semporna, (perkampungan setinggan) sejak 40 tahun lepas hanya 2 orang daripada kira-kira 5,000 penduduk berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti.


Kesemua  perahu ini selalunya ditempah oleh suku kaum Bajau di sekitar Pulau Bum Bum dan juga di Pulau Omadal sendiri. Suku Kaum Bajau Laut ini tida kemahiran didalam membuat perahu ini. Kami sempat berkunjung ke tempat membuat perahu ini di Pulau Bum Bum dan menemui pengusahanya Encik Al Fakah Bin hj Hamaah. Tetapi menurut En Al Fakah, tiada lagi tempahan yang diterima kerana kayu-kayu yang digunakan sebagai bahan binaaan perahu ini amat sukar didapati dan semakin berkurangan.



Jenis kayu yang digunakan untuk membuat Lepa ini adalah kayu dari jenis Kayu Ubal Suluk atau kayu Kiat dalam bahasa Bajau dan juga  kayu serai merah, selain itu kayu Gagil dan kayu kapur juga sering digunakan. Selalunya perahu ini mengambil masa hampir setahun untuk disiapkan.



Namun demikian kayu jenis seraya merah adalah jenis kayu yang popular dan sering digunakan untuk membuat lepa ini. Setiap perahu yang ditempah biasanya boleh digunakan sehinga 4 atau 5 tahun jika cermat menggunakannya  atau menjaganya dengan baik seperti membakar atau melayur lankai kelapa keseluruh badan perahu tersebut untuk mematikan tiram, lumut dan tembiluk yang melekat pada badan perahu yang boleh merosakkan perahu. Selalunya keraja kerja ini dilakukan di tepi tepi pantai ketika air laut surut atau waktu tidak ke laut.



Jenis jenis Lepa
Terdapat 3 jenis  lepa yang diketahui dan dijelaskan oleh pemberi pemberi  maklumat yang ditemui, iaitu:
  • Lepa
  • Boggo
  • Lepa moden (yang digunakan  pada masa kini)
Lepa
Lepa pula adalah  terbahagi kepada 3 jenis, iaitu:
  • Lipah
  • Lepa Pasil 
  • Lepa Sapit

Lepa ini juga dikenali sebagai sampan nelayan, kerana ia digunakan untuk menangkap ikan dilaut selain untuk mengangkut barang  Tidak banyak perbezaan antara lepa ini dari segi rupa bentuk, senibinanya, saiz dan motif atau pola hiasnya. Fungsi juga adalah sama antara satu sama lain.

Pada tahun 1964-1965, kaum Bajau Laut  menggunakan dua jenis sampan, iaitu lepa ataupun  sampan nelayan dan boggo iaitu sampan yang lebih kecil. Kedua-duanya mempunyai fungsi yang berbeza. Penggunaan Boggo terhad untuk perikanan air cetek manakala lepa berfungsi bukan hanya sebagai kapal nelayan laut dalam tetapi juga untuk pelayaran dan tempat tinggal nelayan.



Lepa yang lebih besar daripada boggo, berukuran 7 – 12 meter panjang (lazimnya 8.5 meter) dan 1.5 – 1.9 meter lebar. Lepa dibina dengan teddas yang kuat, tuja, jungal, tuja buli, sengkol, dinding yang kukuh. Kesemua ini dirangkaikan dengan pasok  (hook) yang diperbuat daripada kayu.



Bahagian tengahnya, dibina lantai mudah alih, untuk kegunaan penyimpanan tangkapan hasil laut. Selain itu, pembinaan bahagian tengahnya yang cukup teliti, membolehkan wujudnya ruang tamu dan tempat tidur yang selasa, yang luasnya lebih kurang separuh daripada keluasan lepa itu sendiri. Sebaliknya, panansa’an (bow and stem) lepa ini adalah rendah dan terbuka di permukaan air. Ianya bagi memudahkan kerja-kerja pengendalian jala dan pengunaan kayu pendayung.



Sa’am (Cross-beam) yang besar dijadikan pemisah antara panansa’an   (bow dan stem)  daripada ruang tamu. Ia berkelok ke atas daripada bahagian deck lepa dan dibina melepasi sedikit Patarukan. Sa’am juga dibina dikedua dua hujung Lepa.   Dihujung sa’am ini dikemasi tangkai-tangkai berbentuk rak dikenali sebagai panga. Disinilah di gantungkan fish-spears dan tiang-tiang buluh. Biasanya bahagian hulu sa’am dihiasi dengan ukiran.



Boggo 
Berukuran antara 3 – 5 meter panjang Boggo adalah kolek yang diperbuat dari sebatang pokok yang dibakar dan dilubangkan dengan menggunakan patuk. Kolek yang mempunyai sisi dan muncung yang berkelok ini memerlukan seseorang yang pakar untuk mengemudinya, lebih-lebih lagi dengan keadaannya yang agak sempit. Didalam sesebuah kampung, boggo selalunya digunakan oleh penduduk yang lebih muda, wanita  dan juga kanak-kanak, dan ianya menjadi pengangkutan utama untuk mereka berulang-alik ke rumah-rumah yang tidak dihubungi dengan pelantar/jambatan (catwalk).



Ia digerakkan dengan menggunakan kayu pengkayuh (poling) atau pendayung. Bagaimanapun terdapat juga boggo yang dibuat lengkap dengan kemudahan memasang layar. Tidak seperti lepa, boggo cuma boleh memuatkan seoarang atau dua orang dan kebiasaannya digunakan untuk aktiviti perikanan inshore. Boggo juga ada kalanya ditarik bersama oleh lepa dan digunakan di laut untuk memasang atau menarik jala/pukat di kawasan laut cetek.


Bonggo

Perahu moden (Lepa moden)
Perahu moden ini mempunyai saiz yang bebeza beza dan saiz nya adalah lebih kurang sama dengan saiz Lepa sapit dan Pasil. Senibina Lepa moden ini amat mudah dan tidak terdapat sebarang pola hias yang terdapat pada badan perahu ini. Fungsi perahu ini masih sama dengan Lepa, iaitu untuk menangkap ikan dilaut,  mengangkut barang  dan juga sebagi tempat kediaman.


Perahu moden

Begitu juga ruang dalaman juga masih sama dengan Lepa yang terdahulu. Perbezaan yang amat ketara pada Lepa moden ini ialah penggunaan enjin untuk Lepa ini bergerak, berbeza dengan Lepa yang terdahulu hanya menggunakan dayung. Lepa moden ini ditempah oleh suku kaum Bajau laut di daratan samada disekitar Daerah Semporna, Pulau Bum Bum dan Pulau Omadal.



Lepa  tradisional yang pernah digunakan oleh nenek moyang mereka dahulu hanya dapat kami temui di perkarangan Muzium Sabah iatu sebanyak 2 buah,  Lepa Pasil dan Lepa Sapit, manakala satu di Pulau Bum Bum, iaitu Lipah. Lipah  ini hanya digunakan jika ada perayaaan Rageta Lepa di Semporna atau pesta air dan sebagainya.


Ini bolehlah dianggap Lepa tradisonal ini sudah pun pupus dan ini mungkin kerana pembuatannya yang agak rumit dan bahan bahan binaan nya juga agak sukar didapati lagi  berbanding dengan pembuatan perahu moden yang bahan binaannya yang mudah didapati dan boleh  dibeli di mana sahaja di daratan.

Semoga kajian ini dan gambar-gambar ini dapat dijadikan rujukan untuk generasi akan datang.

** Hasil kajian yang lengkap ada disimpan di Perpustakaan Jabatan Muzium Malaysia.

Sekian.
**jangan lupa tau follow blog aku nii