Monday, 2 October 2017

Adik Wan Jamila Seorang Yang Berbakat Luar Biasa Walaupun Pengidap Autisme

Assalammualaikum dan  Salam Sejahtera.......

Hai... lama jugak aku tak on entri aku nii. Sorilah yea sebab kengkangan kerja yang terlampau banyak tak sempat aku nak mencuri masa untuk menulis. Aku harap korang semua berada dalam keadaan yang sihat walafiat dan gembira hendaknya. Hari nii aku nak cerita tentang seorang insan yang sangat aku kagumi bakatnya iaitu adik Wan Jamila....


Adik Wan Jamila nii berusia 15 tahun dan mula melukis di usia 4 tahun. Dia menggunakan medium lukisan sebagai komunikasi untuk berhubung dengan ahli keluarga pada awalnya. Kini,  adik Wan Jamila sudah pun boleh  membaca, menulis, mengira dan juga bercakap, tetapi dia masih gemar untuk melukis. Dia lebih cenderung untuk melukis gambar persekitaran berdasarkan permerhatian dan juga ingatanya terhadap situasi yang berlaku di sekeliling. 


Pada usia 10 tahun, adik Wan Jamila telah dilatih untuk melukis secara konsisten dan juga professional oleh ibunya setelah ibunya, Noorhashimah Mohamed Noordin, 56, yang merupakan seorang bekas pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) mula menyedari bakat yang dimilikinya.


Adik Wan Jamila Wan Shaiful Bahri ini sebenarnya penginap autisme. Seperti mana penghidap autisme yang lain, adik Wan Jamila kelihatan tebal dengan sifat pemalu. Pun begitu, di sebalik raut wajahnya yang mulus, Jamila sentiasa menguntum senyuman.



"Saya memang sukakan lukisan. Saya akan lukis apa sahaja yang saya suka", kata adik Wan Jamila ringkas sambil sepasang matanya tertumpu pada hasil seni terbaharunya manakala tangan kanannya terus ligat mewarnakannya.


Dia mempunyai sebuah studio mini yang diwujudkan khas untuknya. Bagaikan empayar seni, remaja itu juga memiliki galeri di dalam rumahnya yang dipenuhi ratusan lukisannya.


"Jamila memang sedikit pemalu dengan orang, lebih-lebih lagi mereka yang baru dikenalinya. Tetapi, dia sebenarnya sangat seronok apabila ada pihak yang ingin mengenali dirinya terutama mereka yang ingin melihat hasil seninya", kata ibunya


Menurut Noorhashimah, Jamila yang merupakan anak keempat daripada lima beradik dikesan menghidap autisme ketika berusia empat tahun selepas menjalani diagnosis di sebuah hospital swasta. Noorhashimah sebelum itu menyedari anaknya itu mengalami kesukaran dalam berkomunikasi dan hubungan sosial dengan orang di sekelilingnya.



Walaupun adik Wan Jamila mempunyai perwatakan yang berbeza dengan anak-anaknya yang lain, namun remaja itu mempunyai keistimewaan tersendiri apabila mula memperlihatkan bakatnya dalam bidang seni lukis. Dari awal penglibatan Jamila dalam bidang seni, dia dilihat kerap melukis watak manusia dengan interpretasi perasaan gembira, sedih atau marah. Kesemua lukisan yang dihasilkan menggambarkan keadaan sebenar yang dilalui oleh seorang manusia berdasarkan pengalaman dan pemerhatiannya sendiri.



Sewaktu mengikuti persekolahan peringkat rendah di Sekolah Rendah Sri Acmar, Klang, adik Wan Jamila dimasukkan ke dalam kelas pendidikan khas. Bermula dari situ, minatnya terhadap lukisan makin terserlah apabila dia banyak melukis perkara yang berlaku di dalam kelas atau di persekitaran sekolahnya di dalam buku tulis. Malah, sewaktu terlibat dalam persembahan tarian, dia turut melukis semula pergerakan yang perlu dilakukan oleh setiap peserta melalui lukisan.



Ketika adik Wan  Jamila berusia 10 tahun, remaja itu mula meneroka kaedah melukis menggunakan teknik digital apabila memuat naik sendiri sebuah perisian di dalam gajet miliknya. Lebih memeranjatkan adik Wan Jamila mampu menghasilkan lukisan yang baik dan kemas menyerupai bentuk lukisan yang kerap dilukis di atas kertas walaupun tidak pernah mendapat tunjuk ajar tentang kaedah menggunakan perisian tersebut.

"Disebabkan ingin memberi sepenuh tumpuan bagi membimbing Jamilah", kata Noorhashimah, dia mengambil keputusan untuk bersara daripada menjadi pensyarah UiTM pada Disember 2015.


Bermula Januari lalu.... ibunya telah mendapatkan bantuan daripada seorang pelukis tempatan, Khalid Mohd. Sapari untuk membimbing adik Wan Jamila selama dua jam seminggu. Kini, hasil lukisannya menjadi semakin kemas dan cantik. Malah, minatnya terhadap lukisan semakin meningkat apabila melihat kekemasan hasil seninya sendiri, kata wanita itu.


Corak lukisan yang diminati adik Wan Jamila ialah bertemakan wanita berambut panjang menyerupai watak animasi Repunzel. Adik Wan Jamila juga kerap menghasilkan lukisan berinspirasi watak pramugari syarikat penerbangan Malaysia Airlines, bentuk periuk dan cawan, penari dan model peragaan selain fesyen, bunga-bungaan dan ikan.




Kebanyakan lukisan adik Wan Jamila menggunakan kertas dan pen berwarna serta menggambar tiga wanita berambut panjang. Ia mungkin kerana pada kebanyakan masa, dia ditemani oleh ibu dan adiknya, Wan Jemima terutama ketika melancong dan bersiar-siar mengenai lukisan tema 3 ladies atau Triple Erato.


Sejak Mac hingga Julai lalu, adik Wan Jamila telah menyertai enam pameran lukisan anjuran pelbagai pihak di sekitar Kuala Lumpur.


Pameran pertama yang disertai oleh adik Wan Jamila ialah pada program Independant Arts, Converge and Connect anjuran Telekom Malaysia di ibu negara pada 18 dan 19 Mac lalu.


Malah, adik Wan Jamila juga pernah dijemput menjadi tetamu bagi program Nasi Lemak Kopi O yang disiarkan oleh TV9 selain terlibat dalam seminar memperkasa golongan penghidap autisme di Klang, Selangor.



Baru-baru ini, sebuah syarikat perbankan telah membeli 12 hasil karya adik Wan Jamila untuk dijadikan koleksi seni mereka. Alhamdulillah, dengan bakat luar biasanya, Jamila kini sudah mampu menjana pendapatan sendiri yang sudah mencecah puluhan ribu ringgit menerusi penjualan hasil karyanya kepada beberapa pihak. Walaupun jumlah pendapatan yang diraih oleh adik Wan Jamila itu dianggap agak tinggi,... dan ianya akan disimpan serta digunakan khusus untuk tujuan pendidikan adik Wan Jamila sehingga dia dewasa dan ibunya ingin melihat dia memiliki diploma dalam bidang seni halus.


Khalid Md Sapari memberitahu, "ketika pertama kali dihubungi ibu adik Wan Jamila, dia mulanya agak keberatan untuk menerima tawaran berkenaan memandangkan dia tidak mengetahui cara mengajar seorang kanak-kanak autisme teknik lukisan". Namun katanya, "pandangannya terhadap penghidap autisme berubah selepas dia melihat sendiri lukisan adik Wan Jamila di studio peribadi remaja itu". Malah, saya sangat terkejut apabila ibu adik Wan Jamila menunjukkan koleksi ratusan lukisan yang dihasilkannya sejak kecil.


"Dari situlah saya berpendapat adik Wan Jamila mempunyai potensi yang sangat besar dalam bidang seni. Dia juga mempunyai daya ingatan dan imaginasi yang sangat luar biasa dan dengan teknik melukis yang betul, adik Wan Jamila mampu menghasilkan lukisan yang sangat unik", katanya. Khalid juga percaya suatu hari nanti adik Wan Jamila mampu menjadi pelukis terkenal tanah air walaupun ditakdirkan menghidap autisme.



Autisme merupakan gangguan neurologi yang memberikan impak negatif kepada kanak-kanak dari segi kemahiran interaksi sosial dan imaginasi. Ini bermakna kanak-kanak yang mengalami autisme mungkin mempunyai masalah pertuturan, masalah untuk berinteraksi dengan orang lain dan minat serta kemahiran bermain yang terhad.


Penyelidikan yang dijalankan menunjukkan bahawa 40 hingga 70 peratus daripada kanak-kanak autisme boleh mempunyai keupayaan intelektual, yang mana 30 hingga 60 peratus mungkin mempunyai IQ yang biasa, manakala kurang daripada 10 peratus mungkin mempunyai kecenderungan genius dengan IQ melebihi 110.


Oleh kerana kanak-kanak autisme mengalami kesukaran untuk memahami persekitaran fizikal dan sosial yang ada disekeliling mereka, sesetengahkanak-kanak autisme mempamerkan tingkah laku yang mencabar seperti tantrum. Perihal ini boleh diselesaikan dengan menyokong tingkah laku positif.


Sesetengah kanak-kanak autisme juga menghadapi kesukaran dalam pembelajaran. Walau bagaimanapun, dengan strategi pengajaranyang berkesan, ia boleh membantu kanak-kanak autisme untuk belajar. Antara strategi pengajaran yang berkesan kepada kanak-kanak autisme adalah dengan mengkategorikan apa yang perlu dipelajari kepada unit-unit kecil dan pengajaran perlu dilaksanakan secara jelas dan konkrit. Strategi pengajaran di atas boleh digunakan untuk mengajar kanak-kanak autisme dari segi kemahiran akademik dan juga kemahiran urus diri.


Oleh yang demikian,intervensi awal merupakan satu perkara yang sangat penting bagi membantu kanak-kanak autisme berkembang secara optimum dan mengatasi setiap cabaran yang mendatang kepada mereka. Tambahan pula, intervensi awal dapat menjamin masa depan yang lebih cerah untuk anak-anak ini.



Autism Spectrum Disorder atau ASD merupakan istilah yang kurang dikenali oleh kebanyakan masyarakat, apatah lagi difahami. Ia juga tidak pernah didengari oleh sesetengah masyarakat. Kurangnya kesedaran tentang ASD telah membawa kepada tanggapan yang salah tentang persepsi sebenar berkenaan autisme dan kurangnya toleransi di antara masyarakat dengan mereka yang mengalami autisme. Ini merupakan satu perkara yang kurang menyenangkan kerana autisme bukanlah satu tragedi tetapi dari sudut pandangan yang lain, pengabaian pemahaman tentang ASD merupakan satu stragedi yang amat menyedihkan bagi mereka yang mengalami autisme.


Sebab itulah aku katakan aku sangat kagum dengan adik Wan Jamila ini... Adik Wan Jamila ini juga menjadi satu inspirasi buat aku untuk melukis semula kerana aku sangat suka melukis walau pun tidaklah sehebat adik Wan Jamila ini... Apabila aku melukis aku rasa sangat tenang dan memberikan aku satu kepuasan. Semoga cerita ini memberi inspirasi kepada korang juga... TAHNIAH Adik Wan Jamila...

Sekian.

No comments:

Post a Comment