Monday, 11 September 2017

Keretapi Negeri Muar (Muar State Railway) Kini Hanya Tinggal Sejarah...

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera....... 



Hai korang....Semoga semuanya sihat-sihat yea dengan keadaan cuaca yang tidak menentu nii. Hari nii aku nak cerita tentang sebuah tinggalan sejarah yang masih ada kat Muar kerana kebetulan aku baru jer balik dari sana. Ini adalah merupakan kali pertama aku sampai kat Muar...memang teruja habis sebab ramai yang kata...Mee Bandung yang paling sedap adalah kat Muar ni. Dulu aku adalah peminat setia mee bandung.


Ok lah lain kali jer laa aku cerita kat korang pasal mee bandung sebab hari nii aku nak cerita tentang sejarah yang ada kat Muar nii...jommmm...




 
Sekitar abad ke-19, sebagai jajahan terbesar dan terpenting, Muar merupakan daerah pertama yang dimajukan di negeri Johor. Aktiviti ekonomi utama penduduknya adalah mengusahakan tanaman gambir, kelapa dan pinang yang bertumpu di kawasan dulunya dikenali sebagai Padang dan berpusat di Parit Jawa.


Kesukaran untuk membawa keluar ke Bandar Muar pada waktu itu menjadi satu cabaran besar dan sedikit sebanyak melambatkan perkembangan aktiviti ekonomi yang menjadi sumber utama pendapatan penduduk di kawasan ini. Keadaan laluan darat yang begitu buruk dan ancaman lanun di sekitar perairan Selat Melaka jika hasil komoditi ini dibawa melalui laut menyebabkan satu inisiatif baru diperkenalkan.





Pada 13 November 1887, Kerajaan Johor cuba menyelesaikan masalah ini. Satu rundingan diadakan diantara Residen Ungku Sulaiman dengan Dato' Bentara Luar Mohd Salleh Perang yang pada masa itu berjawatan sebagai ketua Jabatan Tanah dan Hal Ehwal Pertanian Daerah Muar.



Dalam rundingan ini satu persetujuan telah dicapai dimana pembinaan keretapi akan dimulakan pada awal tahun 1889 dengan tujuan memberi kemudahan kepada penduduk di Selatan Bandar Muar dan memudahkan kepada para pelajar sekolah berulang-alik ke sekolah Inggeris di bandar Muar secara percuma.





Pekerja yang terlibat dalam pembinaan jalan keretapi ini kebanyakannya terdiri dari orang Jawa yang berhijrah beramai-ramai ke Tanah Melayu. Ini adalah kerana orang Jawa ini tidak mempunyai sebarang kerja tetap semasa berada di sini dan hasil tenaga mereka juga murah.



Dalam tahun 1889 kerja pembinaan jalan keretapi Muar dari bandar Maharani telah dimulakan tetapi sehingga Julai kerajaan tidak berpuashati dengan kerja-kerja pembinaan yang dikontrakkan kepada Pemborong Ernest Garland menyebabkan kerja borongan itu terpaksa dihentikan. Tahun 1889 hingga 1890 merupakan fasa bagi pembinaan jalan keretapi dan pemasangan rel dan enjin keretapi yang didatangkan dari Eropah (England).



Keretapi ringan Muar mula mengadakan perkhidmatannya dari Jalan Sulaiman Bandar Maharani ke Parit Jawa mulai tahun 1890. Dari tahun itu hingga 1915 terdapat tiga enjin lokomotif yang kekuatannya 10 kuasa kuda dengan pelepasan kuasa ‘steam’ nya 160lbs dan kemudian diturunkan kepada 80lbs sahaja. Menjelang bulan Ogos 1915 ketiga-tiga enjin lokomotif  itu disifatkan sudah uzur dan terpaksa dibaiki dan dijaga. Dalam tahun 1912, keretapi Muar telah menerima satu lagi enjin baru buatan Hunslet Engine Works Limited London.




Rekabentuk keretapi ini adalah seperti kebanyakan keretapi yang terdapat pada masa itu. Hanya terdapat sedikit perbezaan. Enjinnya menggunakan kayu arang dan tempat duduknya pula disusun berhadap-hadapan. Terdapat 8 buah gerabak. Lima daripadanya untuk penumpang dan tiga gerabak di belakang untuk pengangkutan barang. Bahagian penumpang terdapat kelas pertama, ke dua dan ke tiga yang sentiasa penuh dan sesak. 


Setiap penumpang dikenakan bayaran sebanyak lima sen sebatu.



Keretapi ini mula mengadakan perkhidmatannya dari Jalan Sulaiman di Bandar Muar ke Parit Jawa pada tahun 1890. Pada tahun 1894 jalan keretapi ini disambungkan sejauh 3 batu lagi hingga ke Sungai Pulai. Keretapi ini menjalankan perkhidmatannya sebanyak lima kali dalam sehari.




Terdapat lima buah stesyen tetap dan lapan buah stesyen sementara di sepanjang perjalanan ini.


Stesyen Tetap


  1. Bandar Maharani
  2. Parit Bakar
  3. Parit Jawa
  4. Parit Pecah
  5. Sungai Pulai


Stesyen Sementara


  1. Parit Peropok
  2. Parit Keroma
  3. Parit Raja
  4. Parit Unas
  5. Parit Samsu
  6. Parit Jamil
  7. Parit Bulat
  8. Parit Sri Menanti


Landasan Keretapi Muar melalui Parit Samsu. Kelihatan DYM Almarhun Sultan Ibrahim (Sultan Johor) memburu harimau di Kg. Parit Samsu pada tahun 1915.


 


Perkhidmatan ini pada awalnya sangat menguntungkan. Terdapat beberapa faktor penting yang memajukannya umpamanya terdapat dua trem perkhidmatan dan kerana terhentinya jalan laut. Pada tahun 1915 pendapatan keretapi Muar ini mencapai sejumlah RM 86,701.92 berbanding dengan anggaran perbelanjaan sejumlah RM 63,216.77.





Memandangkan kepada kemajuan ini DYM Sultan Johor bercadang untuk menyambung lagi sehingga ke Sungai Batu Pahat. Namun rancangan ini gagal kerana beberapa faktor kewangan dan faktor alam. Contohnya rel-rel yang terletak di kawasan tanah lembut (gambut) proses penambakan terpaksa dijalankan setiap kali trem melaluinya. Ini adalah merugikan.




Keuntungan dari perkhidmatan ini mulai merosot disebabkan kelemahan enjin dan juga proses membaikpulih stesen dan rel-rel yang menelan belanja yang besar.


Pembukaan jalan raya "Jalan Abd. Rahman" yang menghubungkan Bandar Maharani Muar dengan Parit Jawa pada tahun 1918 telah menghentikan terus perkhidmatan keretapi ini pada 1925. Kesan landasan telah hilang apabila tapaknya digantikan dengan pembinaan Jalan Temenggung Ahmad. Lokomotif MSR yang dipamerkan di Taman Tanjung Emas adalah satu-satunya tinggalan warisan yang membuktikan kewujudan MSR di masa silam. Dipercayai juga lokomotif tersebut adalah yang tertua di negara ini yang masih berkeadaan baik memandangkan lokomotif wap yang dipamerkan di Muzium Negara Kuala Lumpur adalah dari model yang lebih baru.

Kalau korang datang ke Muar nii jangan lupa untuk melihat lokomotif nii...selain mencuba makanan yang femes kat sana korang juga boleh mengenai Bandar Muar yang sangat menarik ini...

Sekian.

**jangan lupa tau follow blog aku nii

No comments:

Post a comment