Thursday, 4 May 2017

Pustaka Peringatan P.Ramlee Adalah Rumah Hadiah Tanda Penghargaan Shaw Brothers Kepada P.Ramlee

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Hai korang semua... Apa khabar hari nii? Jam dah agak lewat untuk aku menulis...tetapi disebabkan mata tak boleh nak tido..so aku teruskanlah jugak. "..Di mana kan ku cari ganti... mungkinkah di syurga...." Ramai yang mengenai seniman agung P.Ramlee....nyanyiannya...lakonannya...memang menambat hati semua kaum di Malaysia ini. Beliau juga merupakan seorang pengarah filem yang sangat hebat. Tan Sri P.Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria binti Teuku Nyak Puteh dilahirkan pada 22 Mac 1929 di Kampung Jawa, Pulau Pinang. Ibunya bernama Che Mah binti Hussin.

Rumah asal Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang kini menjadi Pustaka Peringatan P. Ramlee

Aku berpeluang untuk melihat lebih dekat rumah asal Allahyarham Tan Sri P.Ramlee yang kini dijadikan Pustaka Peringatan P.Ramlee. Keterujaannya memang tak dapat aku gambarkan. Yea laa..nak sangat tengok rumah Allahyarham Tan Sri P.Ramlee nii...macamana yea rupanya.

Papantanda waktu melawat

Rumahnya comel jer...tapi pada waktu itu, rumah atau pun banglo nii dikatakan cukup besar dan hebat apatah lagi kedudukannya di corner lot. Kagum jugak aku melihat bahan pameran yang ada dipamerkan dalam pustaka ini...secara kasarnya cukup menarik...

Pameran di bahagian luar...filem Sargent Hassan


Tetapi sayangnya...rekabentuk asal dalaman rumah ini agak sukar dibayangkan kerana hampir separuh daripada dinding dalamannya telah pun dirobohkan untuk dijadikan Pustaka Peringatan P.Ramlee...Aku lebih suka lihat susun atur perabot yang asal rumah ini daripada pameran tentang diri P.Ramlee. Walau pun rumah asal ini nampak comel tetapi mempunyai 5 bilik. Ruang yang masih kekal ialah ruang makan.

Pameran luar bahagian pintu masuk


Penglibatan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dalm filem bermula apabila diberi peluang oleh B.H. Rajhans, seorang pengarah filem dari Syarikat Shaw Brothers. Bermula sebagai penyanyi latar dan pelakon tambahan filem 'Chinta', beliau diberi peluang berlakon watak utama filem 'Bakti' dalam tahun 1950.

Kereta terakhir Allahyarham Tan Sri P. Ramlee

Pustaka Peringatan P. Ramlee atau juga dikenali dengan nama Memorial P.Ramlee merupakan satu tarikan di Kuala Lumpur. Pustaka ini terletak di Jalan Dedap, Taman P. Ramlee (juga dikenali sebagai Taman Forlong) di Setapak. Ia dibina pada 11 Julai 1986, bagi memperingati sumbangan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dalam bidang seni.
Bangku untuk kemudahan pengunjung yang tertulis senarai filem-filem P. Ramlee

Allahyarham Tan Sri P.Ramlee mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Jawa dan seterusnya menyambungkan pelajaran di peringkat menengah di Penang Free School. Beliau juga pernah memasuki Sekolah Tentera Jepun (Kaigun)...sebab tuu beliau pandai menyanyi lagu Jepun.

Papantanda penerangan yang dibina oleh Kementerian Pelancongan

Minat Allahyarham Tan Sri P.Ramlee terhadap muzik mulai menyerlah semasa usia remaja. Beliau pernah menyertai kumpulan pancaragam Teruna Sekampung, Kumpulan Orkestra Mutiara dan Pancaragam Keroncong Pemuda Indonesia. Beliau juga telah mencipta lebih 250 buah lagu.Oleh kerana bakat dan kebolehan semulajadinya, Syarikat Shaw Brothers memberi beliau peluang untuk mengarah filem pertamanya iaitu 'Penarek Becha' yang mendapat sambutan hangat. Beliau juga telah berlakon lebih 66 buah filem dan mengarah 37 buah filem sepanjang hayat hidupnya.


Radio kepunyaan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang dipamerkan di ruang makan

Pustaka ini mempuyai beberapa bahagian untuk mempamerkan kejayaan dan sumbangan beliau dalam industri perfileman negara kita. Tokoh seni yang bukan calang-calang orangnya ini banyak berjasa demi perkembangan dunia filem tanah air.


Barangan kepunyaan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee

Bangunan ini menjadi sumber rujukan kepada pencinta seni tanah air sebagai sumber ilham. Sudut pameran yang tersergam indah dengan ruang koleksi filem P. Ramlee, kejayaan serta anugerah beliau dan barangan peribadi menjadi tarikan sehingga ke hari ini. Realitinya, Pustaka Peringatan P. Ramlee menjadi mercu tanda bagi perkembangan industri filem Tanah Melayu.

Hasil kerjatangan Allahyarhamah Puan Sri Saloma

Pada era 70-an, bangunan yang dibina ini merupakan tempat kediaman penduduk yang dikatakan sebagai Taman Furlong. Rumah banglo yang terletak di alamat No 22, Jalan Dedap, Taman Furlong, Setapak, 53000 Kuala Lumpur merupakan bekas rumah P.Ramlee sehingga hayat beliau yang terakhir.


 TV kepunyaan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee

Rumah ini adalah sebagai hadiah serta tanda penghargaan Shaw Brothers kepada P.Ramlee. Bangunan ini merupaka lambang kegemilangan kegiatan seni industri perfileman pada masa itu. Setelah pemergian P. Ramlee, bangunan ini dibiarkan buat sementara waktu. Kemudian, banguan bersejarah ini dihidupkan dan diberikan rupa baharu.



Bangunan ini merupakan sebuah banglo setingkat yang pernah menjadi rumah kediaman Allayarham Tan Sri P.Ramlee sehingga beliau meninggal dunia pada 27 Mei 1973. Pada 22 Mac 1986, bangunan tersebut diubah suai dan dijadikan sebagai Pustaka Peringatan P.Ramlee. Bangunan ini dirasmikan oleh YB Anwar Ibrahim iaitu Menteri Kesenian Belia dan Sukan pada masa itu.


Pustaka ini dikelolakan oleh Kementerian Kesenian Belia dan Sukan manakala diuruskan oleh Arkib Negara Malaysia. Anggaran kos pembinaan bangunan ini sebanyak RM 15000. Namun begitu, sumbangan sebanyak RM 50000 telah diberikan oleh kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri Sarawak, negeri Selangor, Kementerian Penerangan Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Petronas dan Lembaga Totalistator untuk pengubahsuaian dan penyelenggaran bangunan ini.


Pustaka ini berkeluasan 7,200 kaki persegi. Bahagian luar banguan ini dibina dengan batu-bata dan simen. Bahagian dalaman bangunan ini pula berlapikkan dengan lantai bahan kayu. Hal ini adalah untuk mencantikkan ruang pameran dan menarik minat para pelancong untuk datang ke sini.



Sebenarnya, Shaw Brothers yang merupakan penerbit filem yang terkemuka di Tanah Melayu pada masa itu yang memberikan rumah ini kepada P. Ramlee sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan sumbangan beliau. Bangunan ini mempunyai seni bina mengikut cara moden dan berpengaruh Inggeris kerana bumbungnya berbentuk segi tiga.



Tapi sayangnya ciri-ciri asal rekabentuk rumah ini telah tiada terutama bahagian dalamannya. Penambahan juga telah dibuat di sisi kirinya untuk dijadikan sebuah pejabat bagi menampung bilangan staf Arkib  di sini. Lampu yang digunakan juga suram...jadi mood untuk membaca bahan pameran yang ada jadi hilang...terutama yang ada masalah penglihatan seperti rabun jauh dan rabun dekat....macam aku.

 

Konsep pameran yang ada di sini sangat bagus...ada pameran dalam dan pameran ruang. Cuma ruangnya yang agak terhad...menyebabkan koleksi yang dipamerkan juga terhad tetapi cukup padat bagi aku. Aku paling suka dapat lihat hasil kerja tangan Allahyarhamah Puan Sri Saloma yang terletak di atas piano. Sangat berseni dan halus....dan itu laa satu-satunya pun yang ada.
Pustaka Peringatan P. Ramlee ini dibahagikan kepada 10 ruang pameran...iaitu
  • Biografi
  • Kenali P.Ramlee
  • Anugerah
  • Secebis Kisah
  • Dunia Filem
  • Irama Dan Lagu
  • P. Ramlee Yang Ku Kenali
  • Bikin Filem
  • Sepanjang Riwayatku
  • Al Fatihah


Oh ya...koleksi baju yang dipamerkan kat sini pun kurang menarik minat aku...lagi menarik kalau dipamerkan baju yang digunakan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Allahyarhamah Puan Sri Saloma semasa berlakon filem atau nyanyian... Aku difahamkan baju songket hitam yang selalu dipakai oleh Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dan beliau juga ada memakainya ketika menerima darjah kebesaran....merupakan satu-satunya baju songket yang beliau ada....sedih rasanya...



Kalau korang nak melawat pustaka ini...masuk adalah PERCUMA. Dibuka pada setiap hari KECUALI hari Isnin (tutup). Waktu operasi adalah pada jam 9:00 pagi hingga 5:00 petang. Korang juga boleh menonton citer lakonan Allahyarham Tan Sri  P.Ramlee kat sini kerana ada disediakan ruangan untuk menonton.




Di pameran luar korang boleh melihat kereta terakhir yang digunakan oleh Allahyarham Tan Sri P.Ramlee...BAD 3608. Di sini juga ada disediakan kerusi rehat (marble) untuk pengunjung yang tercetak nama-nama filem serta lagu-lagu beliau... Mungkin pameran luar nii  perlu ditambah lagi untuk menarikkan lagi kawasan ini.
Kedai Cenderahati yang terdapat di pintu masuk utama


Allahyarham Tan Sri P.Ramlee buat pertama kalinya mendirikan rumah tangga dengan anak salah seorang seniman ketika itu. Isterinya yang dimaksudkan ialah Junaidah Daeng Haris. Melangsungkan perkahwinan mereka pada tahun 1953. Kemudian mereka dikurniakan 2 orang cahaya mata. Iaitu, Mohd Nasir dan Arfan. Setelah bercerai pada tahun 1954, beliau berkahwin dengan Norizan pada 6 Februari 1955. Namun begitu perkahwinan mereka tidak dapat bertahan lama. Mereka bercerai pada tahun 1961.

Peta Lokasi ke Pustaka Peringatan P. Ramlee

Pada tahun yang sama, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee bertemu dengan Salmah Ismail atau pun lebih dikenali dengan nama Saloma. Kemudiannya mereka telah diijab kabulkan pada 21 November 1961. Saloma telah menemani P.Ramlee dalam suka mahupun duka sehingga ke akhir hayat P.Ramlee. Sepanjang perkahwinan, P.Ramlee cuma mempunyai 2 orang anak. Iaitu Nasir dan Arfan. Oleh kerana itu, P.Ramlee telah pun mengambil beberapa orang anak angkat. Diantaranya ialah Betty, Zakiah @ Zazaloma, Sabaruddin @ Badin dan akhir sekali Dian.
Cenderahati yang dijual

P.Ramlee juga telah memenangi beberapa buah anugerah di Festival Filem Asia di Hang Kong, Jakarta, Kuala Lumpur, Manila, Singapura, Taipe dan Tokyo. Tidak ketinggalan juga, Festival Filem Antarabangsa di Berlin.


Hayat P.Ramlee tidak lama. Beliau meninggal ketika berusia 44 tahun pada pagi Selasa 29 Mei 1973 kerana diserang sakit jantung. Jenazahnya telah disembahyangkan di Masjid Kampung Baru dan dikebumikan di Tanah Perkuburan orang-orang Islam di Jalan Ampang. Semoga pemergian beliau dirahmati Allah swt.
Anugerah Darjah yang diterima

Bagi mengenang jasa dan sumbangannya tidak ternilai, Allahyarham telah dianugerahkan Bintang Kebesaran Darjah Panglima Setia Mahkota oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung pada tahun 1990 yang membawa gelaran Tan Sri. 
Kat pustaka ini juga ada kedai menjual cenderamata yang boleh korang jadikan koleksi peribadi seperti T-shirt, keychain, fridge magnet, mug, buku-buku dan sebagainya. Harganya pun tak mahal...berpatutan. Aku beli cawan beserta piring (besar) harga dalam RM 25. Keychain RM 6 dan fridge  magnet RM 7.


Cenderahati yang dah menjadi koleksi peribadi aku

Semoga karya beliau terus terpelihara untuk tatapan generasi akan datang sebagai bahan penyelidikan dan mentor untuk terus berkarya untuk menjadi seorang yang hebat. Sehingga kini karyanya sentiasa menjadi hiburan dan bualan kita semua.

Sekian.

No comments:

Post a comment