Thursday, 11 May 2017

Masjid Negara Lambang Semangat Perpaduan Dan Tolenrasi Rakyat Malaysia

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Salah satu tempat yang wajid korang pergi adalah Masjid Negara. Tak jauh pun... dipusat Bandar Kuala Lumpur... Masjid ini terletak dalam kawasan strategik seluas 13 ekar di Kuala Lumpur yang berdekatan dengan Stesen Keretapi tanah Melayu Berhad, Bangunan Daya Bumi, Pejabat Pos Besar Malaysia, Muzium Kesenian Islam, Taman Burung Kuala Lumpur dan berdekatan dengan Taman Tasik Perdana.. Aku pun kiranya 1 st time datang ke sini... lalu kat depan masjid nii memang laa setiap hari tapi tak ada keperluan masa tuu nak singgah.



Masjid Negara nii....dibina sebagai tanda kesyukuran pemimpin dan rakyat atas kemerdekaan Tanah Melayu yang telah dicapai tanpa melalui peperangan. Pembinaan masjid ini adalah atas cadangan Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia yang pertama. Ia menjadi lambang semangat perpaduan dan toleransi rakyat kerana melibatkan semua kaum pada ketika itu. Ini kerana selain daripada peruntukan wang kerajaan, kos pembiayaan membina Masjid Negara disumbangkan oleh rakyat jelata tanpa mengira kaum, agama dan bangsa.
 


Nama masjid ini telah diberikan nama sebagai YTM Tunku Abdul Rahman tetapi beliau tidak bersetuju masjid ini dinamakan dengan nama beliau seperti yang telah dicadangkan oleh banyak pihak.



Keseluruhan reka bentuk seni bina Masjid Negara ini bercirikan reka bentuk tempatan dan moden. 
Pereka bentuknya cuba mengalih kelaziman reka bentuk masjid dari konsep seni bina Arab dan Moghul yang berkubah separuh bulat dan berbentuk bawang seperti kebanyakan masjid terdahulu. Ciri Masjid Negara turut mengaplikasikan seni bina Melayu tradisi yang mementingkan reka bentuk yang disesuaikan dengan keadaan cuaca dan sosio budaya masyarakat tempatan. Ia boleh menampung seramai 15,000 orang Jemaah dalam satu masa.



Kawasan Masjid Negara dan Makam Pahlawan di reka oleh arkitek Jabatan Kerja Raya iaitu Howard Ashley, Hishan Al-Bakri dan Baharuddin Kassim. Buat Baharuddin, projek ini amat dekat di hatinya. Sejak di bangku sekolah beliau amat berminat dengan rekabentuk masjid-masjid di seluruh negara. Sewaktu belajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), beliau amat gemar memerhati dan mengkaji rekabentuk Masjid Ubudiah di Bukit Chandan dan terlibat aktif dalam pembinaan masjid di sekolahnya itu.



Justeru dalam pembinaan masjid yang kemudiannya dikenali sebagai Masjid Negara ini, Baharuddin melakukan kajian mendalam terhadap masjid-masjid di India, Pakistan, Turki dan Arab Saudi sebelum merancang dan merekabentuk masjid ini. Antara elemen yang menjadi perhatian umum berkenaan Masjid Negara adalah bentuk bumbungnya yang tidak berbentuk kubah seperti kebanyakan masjid baik di negara ini mahupun di negara-negara lain di seluruh dunia.



Sekilas pandang, generasi hari ini mungkin tidak dapat meneka bahawa rekabentuk bumbung masjid ini diadaptasi daripada bentuk payung kertas yang terbuka, melambangkan kedaulatan sesebuah negara beraja di bawah pimpinan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong.




‘Payung’ ini bergaris pusat 144 kaki (43.9 meter) dan disokong 16 tiang konkrit tetulang. Struktur ini kekal sebagai antara rupa kubah masjid paling unik dalam senibina moden hingga ke hari ini. Puncak menara masjid pula mengadaptasi rupa payung kertas yang tertutup, melambangkan kekuatan dan perpaduan rakyat yang bersatu. Menara setinggi 245 kaki (74.7 meter) ini dilengkapi lif khas ke paras 140 kaki (42.7 meter) tempat letaknya platform bilal melaungkan azan.



Simbol-simbol ini memberi erti yang amat mendalam di waktu rekaan masjid dibuat kerana memandangkan usia negara yang masih muda selepas pengisytiharan kemerdekaan, ia memberi mesej jelas kesatuan masyarakat negara ini di bawah panji kepimpinan yang teguh. Buku ‘Masjid Negara’ terbitan Massa Monographs mencatatkan bahawa penggunaan elemen payung dalam rekaan telah memberi sentuhan imej yang lebih neutral kerana ia tidak melambangkan atau memihak kepada bangsa tertentu.





Bahagian bumbung yang menjadi identiti utamanya berkonsepkan payung terbuka. Konsep payung yang menjadi kubah kepada Masjid Negara ini melambangkan semangat dan kedaulatan raja yang memayungi negara dan berpegang kepada prinsip Islam sebagai agama rasmi Persekutuan. Keunikan reka bentuk bumbung masjid ini telah menjadi ikutan dalam pembinaan masjid-masjid lain, antaranya Masjid Ahmad Ibrahim dan Masjid Kampung Raja di Terengganu.




Keistimewaan Masjid Negara ini ialah pada binaan menaranya yang seperti sebuah roket. 


Yang sebenarnya menara setinggi 245 kaki ini menggambarkan sekaki payung, manakala kubahnya pula berkonsepkan payung yang telah kembang yang melambangkan institusi beraja. Kompleks masjid ini yang berharga RM 10 juta ini menempatkan sebuah dewan solat seluas 2090 meter persegi, dewan persidangan, permakanan, perpustakaan, pejabat, menara, bilik diraja, halaman dan sebuah bilik imam. Pemakaman pula terletak di bahagian barat yang menempatkan tujuh orang tokoh negara.



Di kawasan ini juga terdapat beberapa bilik radio dan televisyen yang terletak di dalam ruang dewan solat. Disepanjang tiga bahagian tembok itu pula ada sembilan pintu tolak aluminium (sliding door). Beberapa potong ayat Al-Quran melintangi tembok di atas pintu tersebut. Tulisan yang setinggi dua kaki itu diadun dengan mozek keemasan dan biru berkilat. Daripada permaidaninya pula terserlah warna biru yang lembut sementara bumbungnya yang beropol itu menaburkan cahaya mewar mawar. Warna-warna tersebut disulam pula di tengah-tengahnya oleh terawang kekisi terrazzo di sepanjang galeri.


Bahagian dalam galeri itu dihiasi oleh kekisi yang awan laratnya jelas menunjukkan kebudayaan Islam dan menyerupai pula awan larat yang terdapat di Masjid Taj Mahal dan Patehphur Sikri di India. Bahagian luarnya diturap dengan kekisi terrazzo. Kesembilan-sembilan buah pintu dan kekisi galeri membawa cahaya matahari ke dalam dewan sembahyang itu di samping lampu-lampu berhias, lampu-lampu tersembunyi di roset aluminium di bumbung serta 16 buah tepak lampu (chandelier) kurniaan raja-raja, gabenor-gabenor dan bekas Gabenor Singapura.



Dewan sembahyang itu dapat memuatkan 3,000 jemaah dan berupaya menampung 5,000 orang lagi di beranda yang terdapat di ketiga-tiga rusuk bahagian dewan itu. Beranda itu terlindung dari luar oleh tirai kekisi dari aluminium dengan terawangnya berawan larat Islam asli. Lantainya dibina daripada kepingan terrazo manakala bumbungnya pula dibina daripada konkrit serta mempunyai beberapa kubah kubah kecil yang dibina daripada mozek biru.



Di sebelah barat kompleks ini terdapat dewan persidangan. Perkara yang menarik ialah bumbung konkritnya yang berombak-ombak. Bumbung konkritnya berbentuk payung kembang dan dihiasi dengan mozek kaca dan emas putih. Bumbung yang berukuran 84 kaki tinggi itu mempunyai garis pusat sepanjang 200 kaki dan disokong oleh 16 buah batang tiang yang ukuran garis pusatnya sepanjang 3 kaki. Tiang-tiang itu diturap dengan terrazzo. Di tengah-tengah bumbung itu terdapat sebuah aluminium yang diukir dengan ayat al-Quran – seperti replika kubah Masjid Biru di Istanbul,Turki.



Dahulu bentuk mihrabnya berbentuk bersegi seperti pintu tetapi telah diubah suai melengkung seperti gerbang. Mihrab ini bertatahkan ayat-ayat al-Quran dalam seni khat Morocco. Muka tembok yang mengelilingi mihrab ini diubah suai mengikut seni bina Morocco. Mimbar, tempat imam berkhutbah pula terletak di sebelah kanan mihrab. Mimbar yang berbentuk seperti beranda ini dibina daripada kayu. Mihrab tempat imam bersegi seperti pintu. Ia bertahtakan ayat-ayat Al-Quran. Muka dinding yang mengelilingi mihrab ini pula berwarna biru dan berkilat-kilat.



Di sebelah kanan mihrab itu pula terdapat sebuah mimbar yang menganjur, dibina dengan marmar putih. Belakang mimbar itu dihiasi dengan ukiran daripada kayu jati. Kerusi imam berukiran perak dihadiahkan oleh kerajaan India. Menganjur dari keempat-empat bahagian dinding itu pula terdapat sebuah ruang solat wanita. Ia dipisahkan dengan kekisi awan larat bermotifkan ciri-ciri seni ukir Islam.




Majlis pemasangan plak daripada Jabatan Warisan Malaysia tersebut dihadiri oleh Imam Besar Masjid Negara, YBhg. Tan Sri Syaikh Haji Ismail bin Haji Muhammad serta Pengarah Bahagian Pendaftaran dan Penguatkuasaan, Jabatan Warisan Malaysia, Encik Kamarul Baharin bin A. Kassim yang diadakan di hadapan Dewan Syarahan Utama, Masjid Negara.


Majlis ini diadakan berikutan daripada pengiktirafan Masjid Negara dan Makam Pahlawan sebagai Tapak Warisan Kebangsaan pada Majlis Pelancaran Pengisian Pengisytiharan Warisan Kebangsaan, Sistem Warisan dan Jejak Warisan yang telah berlangsung pada 6 Julai 2007 oleh Jabatan Warisan Malaysia yang pada ketika itu di bawah Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.


Senibina Masjid Negara ini memang sangat gah dan memukau mata yang memandang. Kehadiran pelancong sentiasa sahaja ramai di sini. Terdapat juga hiasan air pancutan di sekitar masjid ini... Jam manual juga ada dibina berhampiran dengan dewan masjid ini yang berfungsi menggunakan cahaya matahari... Tempat mengambil wuduk juga sangat bersih dan teratur serta kemas.


Masjid ini dibuka setiap hari... dibahagian bawahnya terdapat perpustakaan untuk rujukan semua dan juga galeri yang terdapat di aras satu berhampiran dengan ruang solat...tetapi semasa aku datang..galeri ini ditutup. Masjid yang dibina pada tahun 1965 ini masih gah berdiri sehingga ke hari ini dan menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.

 Sekian.

No comments:

Post a comment