Monday, 22 May 2017

Masjid Lama Machap Mempunyai Mural Yang Sangat Cantik Dengan Gaya Cina

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera, 

Hai korang semua... apa khabar hari nii? Baru-baru nii aku ada pergi ke sebuah masjid yang membuat aku terpegun. Masjid yang cantik bagi pandangan aku antaranya ialah Masjid Lama Machap ini... yang terletak di Alor Gajah Melaka nii. Masjid ini banyak menyimpan kisah sejarah dari segi penceritaannya mahu pun senibinanya. Pemiliknya sekarang merupakan waris ke 9...kalau tak salah aku. 
 

Ketika pertama kali aku melihat masjid nii aku dah terpegun...bukan sahaja kepada rekabentuknya tetapi juga pemandangan landskap di sekitarnya juga. Masjid ini walaupun kecil sahaja saiznya tetapi menarik.



Mengikut kajian...masjid ini dibina sekitar tahun 1865 yang mana binaan asalnya adalah daripada kayu. Namun masjid ini telah dinaiktaraf oleh seorang mubaligh Cina Islam dengan hasil kutipan derma yang dibuat oleh masyarakat Cina sebagai tanda penghargaan jasa Datuk Machap yang mempertahankan orang-orang Cina daripada askar Jepun pada masa Perang Dunia ke-2. Masjid yang ada sekarang dibina pada tahun 1940 an menggunakan bahan daripada batu.
Tapaknya mula didirikan Masjid pada tahun 1511 setelah serangan kedua Portugis menjajah Melaka. Tok Machap telah terlepas daripada serangan menyusuri Sungai Anak Air Pasir ketika ribut banjir berlaku. Perahunya telah tersadai di atas sebuah bukit lalu Tok Machap telah mendirikan Solat dan merasakan tapak di atas bukit sesuai dijadikan Mercu Tanda pembukaan Kg Machap.


Kalau korang tengok...masjid ini mempunyai rekabentuk simetri dengan bumbung dua tingkat dan sebuah kubah kecil di atasnya. Bumbung masjid ini menggunakan jubin genting tanah liat. Masjid ini mempunyai 8 buah tingkap, 2 buah pintu dan 27 panel lukisan dinding (mural) yang bermotifkan tumbuh-tumbuhan, bunga, pasu dan bentuk geometri.


Hasil kajian yang dilakukan mendapati.... lapisan mortar pada dinding ini ada 2 lapisan iaitu arricio dan intonaco. Arricio adalah merujuk kepada lapisan mortar pertama yang agak kasar serta poros tetapi cat tidak dikenakan untuk lapisan ini. Intonaco pula merupakan lapisan kedua yang halus dan merupakan lapisan terakhir. 
 

Namun dalam sesetengah penghasilan catan (lukisan dengan cat) dinding, lapisan ketiga akan dikenakan dan ianya dikenali dengan intonacino iaitu lapisan paling halus. Walau bagaimanapun, kaedah ini tidak digunakan pada catan dinding di masjid ini.


Selain itu, yang menariknya sesetengahnya dihasilkan dengan teknik fresco, iaitu lukisan dikenakan pada lapisan mortar yang masih lembap dengan menggunakan benda tajam dan ianya dikenali dengan "incision drawing"
Penggunaa motif pada masjid ini mempunyai pengaruh kuat dari Negeri China... penggunaan warnanya pun sama.

Semasa kerja-kerja pemuliharaan catan ini dilakukan...pihak kontraktor telah berlebihan mewarnakannya...menjadikan ianya lebih terang umpama baru. Cara sebegini tidak menepati kaedah pemuliharaan yang sebenar dan aku difahamkan....catan ini akan dipulihara semula. 

Kerja-kerja pendokumentasian bangunan sejarah perlu diambil berat kerana sejarah merupakan sesuatu yang berkaitan dengan masa lepas dan diperolehi melalui bukti-bukti fizikal yang masih kekal. Sejarah dan pengaruh ke atas senibina bangunan di Malaysia akan mengimbas kembali perkembangan sejarah negara melalui peristiwa dan tinggalan monumen sejarah yang masih kekal pada hari ini.


Bangunan-bangunan ini amat bermakna dan memberi kesan yang nyata dari segi fizikal bandar dan kesan emosi kepada masyarakat. Ia merupakan bukti yang tertera atas kemahiran, kemajuan, budaya dan tamadun sesuatu bangsa. Bangunan-bangunan bersejarah yang masih kekal ini bukan sahaja penting untuk generasi kini malahan sebagai rujukan untuk generasi akan datang.


Masjid Lama Machap ini telah mendapat pengiktirafan dan didaftarkan sebagai harta warisan negara pada tahun 2008 oleh Jabatan Warisan Negara.


Dimaklumkan oleh Mi Majeed AL Fatani : Semua makam yang ada di kawasan masjid adalah daripada  kerabat  Dato Machap dan pengikutnya termasuk yang di bahagian belakang masjid.

Laksamana Cheng Ho dan pengikut puteri Hang Li Po pernah  berkampung di situ ketika Portugis menyerang melaka pada ketika itu.



Masjid ini telah menjadi tapak Warisan - Kementerian Perpaduan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 [Akta 645] dan tertakluk kepada Garis Panduan Pemuliharaan Bangunan Warisan.

Makam Datuk Machap @ Jalini Mendik Masap.
Anak Raja Bugis dan Ulama daripada Makassar Indonesia datang ke Melaka pada tahun 1500-an.
  

Anak tangga daripada tepi masjid ke dasar Empangan tasik Durian Tunggal... Aku difahamkan di dalam tasik ini adalah merupakan perkampungan asal yang telah musnah akibat daripada pembinaan Tadahan Air Empangan. Apabila musim kemarau melanda.... tiang-tiang rumah tersebut dan gerbang boleh kelihatan daripada tasik ini.



Semoga masjid ini terus terpelihara dan dijaga dengan baik walaupun tiada aktiviti sembahyang dijalankan tetapi boleh dijadikan sebagai tempat untuk aktiviti kecil-kecilan. Sangatlah merugikan sekiranya masjid yang telah dipulihara ini  tidak digunakan dengan sebaik-baiknya.



Kalau korang sampai kat Alor Gajah nii dan sedang mencuba cucur Alor Gajah yang femes tuu...ambillah peluang untuk singgah di Masjid Lama Machap ini...dan hayati keindahan senibinanya...pasti akan memikat hati korang...


Sekian.

7 comments:

  1. ASSALAM, SAYA NAK TANYA, ADA ENCIK TEMURAMAH DENGAN PEMILIK MASJID INI

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikummussalam. Saya tidak ada melakukan temuramah dengan waris masjid ini kerana saya datang ke sini untuk lawatan pemeriksaan tapak.

      Delete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. Saya ade datang kt masjid lame ni kalau saya nk tgok dlm masjid ni boleh x

    ReplyDelete
  4. Saya rasa tak de masalah untuk sesiapa melihat dalam masjid ini kerana masjid ini dibuka kepada umum. Kalau nak buat pengambaran memang memerlukan kebenaran

    ReplyDelete
  5. Assalam
    Nak tanya apa maksud tulisan mandarin pada btu dinding masjid tu .

    ReplyDelete
  6. Saya tak pasti maksud tulisan tersebut...tetapi kalau tak salah saya...nama bagi setiap penderma yang terlibat dalam pembinaan masjid ini. Lebih baik rujuk pada yang lebih arif.Terima kasih

    ReplyDelete