Tuesday, 9 May 2017

Makam Pahlawan Dikhaskan Untuk Pemimpin Dan Wira Yang Banyak Berjasa Kepada Negara.

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,


Hai kengkawan semua. Aku harap korang berada dalam keadaan sihat waafiat hendaknya. Hai ni aku nak citer pasal makam pahlawan. Dah lama aku simpan keinginan untuk melawat tempat ini... Walaupun kedudukannya tak laa jauh sangat dari ofis aku...lebih kurang 15 minit kalau berjalan kaki.... dekat jer kan!...kan!...Disebabkan kurangnya kelapangan masa....niat tuu terpendam laa sajer...

Aku sering tertanya-tanya...bagaimana rupernya Makam Pahlawan ini... kenapa dinamakan "pahlawan".... akhirnya keinginan aku itu termakbul jua....


Makam Pahlawan adalah sebuah perkuburan khas yang terletak di perkarangan Masjid Negara. Makam ini dibina serentak dengan Masjid Negara, khas untuk pemimpin dan wira yang banyak berjasa kepada negara semasa hayatnya.



Kawasan makam yang ini dibahagikan kepada dua bahagian iaitu bahagian dalam dan bahagian luar. Bahagian dalam, yang dipayungi dengan kubah konkrit yang dibentuk berbintang pecah tujuh menempatkan 4 buah makam. 




Setiap penjuru kubah bintang ini mencecah tanah dan dikelilingi dengan kolam bagi memisahkan kawasan luar. Di keliling dataran dalam kawasan makam ini hias dengan lembing negara dan ukiran bunga-bunga daripada batu marmar dari Pulau Langkawi. Bahagian tengah bumbung kubah dihiasi dengan hiasan lampu chandelier berwarna kuning.  


  
Pada tahun 1973, Tun Dr. Ismail Abdul Rahman merupakan orang yang pertama di kebumikan di sini. Kemudian diikuti dengan Tun Abdul Razak bin Datuk Hussein...seterusnya Tun Hussein bin Onn dan akhir sekali...Tun Ghafar bin Baba. Di sini juga terdapat 3 makam yang masih lagi kosong.


Di tengah-tengah dataran makam ini ada rekabentuk bintang besar...pecah tujuh yang bersamaan 7 buah makam yang disediakan dalam kawasan kubah ini. pengunjung yang datang ke sini diwajibkan memakai jubah yang disediakan berwarna ungu sekiranya tidak menutupi aurat.


Kawasan makam ini sangat bersih dan dijaga dengan baik oleh pihak JKR dan jawatankuasa masjid. Kerja-kerja menaiktaraf juga sedang dilakukan. Terdapat dua laluan untuk ke makam ini iaitu korang boleh melalui dari dalam Masjid Negara dan juga dari luar masjid dengan mendaki anak tangga.


Setiap makam yang ada di sini.... dibina dengan rekabentuk yang sama menggunakan batu marmar putih dengan tulisan berwarna emas. Kawasan Masjid Negara dan Makam Pahlawan direka oleh arkitek Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) iaitu Howard Ashley, Hisham Al-Bakri dan Baharudddin Kassim. Kawasan ini mula dibina pada tahun 1963 dan siap pada tahun 1965.



Berikut ialah senarai pahlawan negara yang dikebumikan di Makam Pahlawan antaranya:-

Dalam kubah
  1. Tun Dr. Ismail - Timbalan Perdana Menteri Malaysia (meninggal dunia pada tahun 1973)
  2. Tun Abdul Razak - Perdana Menteri Malaysia (meninggal dunia pada tahun 1976)
  3. Tun Hussein Onn - Perdana Menteri Malaysia (meninggal dunia pada tahun 1990)
  4. Tun Ghafar Baba - Timbalan Perdana Menteri Malaysia (meninggal dunia pada tahun 2006)



Luar kubah
  1. Tan Sri Syed Jaafar Albar - Setiausaha Agung UMNO dan Menteri Pembangunan Luar Bandar (meninggal dunia pada tahun 1977)
  2. Tan Sri Syed Nasir Syed Ismail - Speaker Dewan Rakyat (meninggal dunia pada tahun 1982)
  3. Tun Sardon Jubir - Menteri Perhubungan dan Kerja Raya dan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang (meninggal dunia pada tahun 1985)
  4. Tan Sri Noah Omar - Menteri Dalam Negeri dan Speaker Dewan Rakyat (meninggal dunia pada tahun 1991)
  5. Tan Sri Abdul Kadir Yusuf - Menteri Undang-undang, Peguam Negara dan Ketua Hakim Negara (meninggal dunia pada tahun 1992)
  6. Tan Sri Mohd Khir Johari - Menteri Pendidikan (meninggal dunia pada tahun 2006)
  7. Tun (Dr) Fatimah Hashim - Menteri Kebajikan Masyarakat (meninggal dunia pada tahun 2010)
  8. Tun Ghazali Shafie - Menteri Luar (meninggal dunia pada tahun 2010)
  9. Tun Omar Ong Yoke Lin - Yang di-Pertua Dewan Negara (meninggal dunia pada tahun 2010)
  10. Jeneral (B) Tun Ibrahim bin Ismail - Bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (meninggal dunia pada 23 Disember 2010)
  11. Tun Suhaila binti Tan Sri Mohammad Noah - Bekas Wanita Pertama Malaysia ke-3 (meninggal dunia pada 5 Oktober 2014)

 
Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj...orang yang mengilhamkan pembinaan Masjid Negara telah meninggal dunia pada 6 Disember 1990 diusia 87 tahun tidak dimakamkan di sini...tetapi disemadikan di Makam Diraja Langgar, Alor Setar, Kedah.



Kawasan Makam Pahlawan dan Masjid Negara telah diwartakan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 [Akta 645] sebagai tapak Warisan Kebangsaan oleh Jabatan Warisan Negara pada 6 Julai 2007.
  


Makam ini sentiasa menerima kunjungan dari pelancong luar dan dalam setiap hari. Makam Pahlawan ini dalam proses kerja-kerja menaiktaraf untuk keselesaan pengunjung kerana makam ini merupakan makam yang asal dan masih kekal terpelihara rekabentuknya.


Sekian.

No comments:

Post a comment