Sunday, 2 April 2017

Tokong Kuan Yin Gopeng Dikenali Dengan Nama ‘Sooi Yue Hong Kuan Yin’ (Moon Under Water Of The Palace).

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Hai korang. Hari nii aku nak bawa korang melawat ke sebuah tokong di negeri Perak yang cantik dengan seni ukirnya. Tokong yang menarik dan cantik serta boleh dilihat melalui jalan utama Pekan Gopeng ialah Tokong Kuan Yin. Tokong ini terletak bersebelahan dengan Balai Bomba Gopeng. Pada asalnya Tokong Kuan Yin ini dibina di Sungai Durian, Tanjung Tualang Perak pada tahun 1870 dan kemudiannya dipindahkan ke tapak sekarang (Gopeng) pada tahun 1889 setelah berlakunya kebakaran yang memusnahkan keseluruhan tokong ini.



Pihak jawatankuasa Tokong Kuan Yin telah memohon kepada Kerajaan British untuk mendapatkan tanah bagi pembinaan semula tokong ini di Gopeng.

Tokong Kuan Yin (Kwan Yin/Guan Yin) Gopeng dibina pada tahun 1889 dan dianggarkan berusia 124 tahun. Ianya siap pada tahun 1892 dan dikenali dengan nama Tokong Kuan Yin tetapi pada tahun 2001 tokong ini telah dinamakan semula dengan nama ‘Sooi Yue Hong Kuan Yin’ (Moon Under Water Of The Palace).


Tokong ini memiliki rekabentuk ciri-ciri golongan bangsawan dengan keadaan pintunya yang besar serta berat yang mempunyai ketebalan 2 ½ inci. Pembinaan tokong ini tanpa menggunakan sebarang paku tetapi secara tanggam.


Di dalam tokong ini terdapat beberapa barangan lama antaranya; loceng besar (genta) yang dibuat pada tahun 1894, lembing, dua ekor patung naga berwarna emas, plet kayu berukiran penuh dengan dewa-dewi dan lain-lain.



Tokong ini sangat terkenal untuk memohon hajat bagi mendapatkan anak terutama anak lelaki pada sambutan yang dibuat  19 Jun setiap tahun selama 10 hari dengan beberapa acara yang berlangsung antaranya; karaoke, opera kantonis, makanan, minuman dan lain-lain.



Tokong ini telah mengalami beberapa perubahan rekabentuknya bagi menampung kapasiti pengguna dan demi keselesaan mereka untuk beribadat. Kerja-kerja pembinaan semula struktur yang rosak telah dilakukan pada tahun 2007 oleh Jabatan Warisan Negara.

Sekian.

No comments:

Post a comment