Tuesday, 4 April 2017

Rumah Dato Maharaja Lela Hanyalah Rumah Replika Yang Dibina Semula

Assalammualaikum dan  Salam Sejahtera,


Hai korang semua...hari ini aku nak story mory tentang satu rumah yang selalu menjadi isu hangat diperkatakan oleh penduduk tempatan dan media. Tuduhan demi tuduhan sering dilemparkan kepada agensi kerajaan kerana tidak menjaga rumah ini. Rumah ini terbiar dalam keadaan yang usang dan mungkin akan menyembah ke bumi. Rumah yang aku maksudkan adalah rumah Dato' Maharaja Lela...seorang pejuang  yang terlibat dalam pembunuhan JWW Birch di Pasir Salak ini.


Rumah Dato’ Maharaja Lela mempunyai ciri rekabentuk rumah Melayu Perak iaitu Rumah Kutai. Mengikut laporan, rumah Dato’ Maharaja Lela adalah rumah yang tercantik di Pasir Salak (pada masa dulu) dengan ukiran yang unik dan menarik. Rumah ini dilengkapi dengan anjung, ibu rumah, anak rumah, bilik tidur, dapur dan disambung dengan balai. Ia didiami oleh Dato’ Maharaja Lela, isterinya Toh Puan dan anak perempuannya Rasiah. 


Rekabentuk rumah ini berasaskan fakta dan rekabentuk rumah Kutai yang biasa terdapat di Pasir Salak. Bahan-bahan yang dipamerkan di rumah ini merupakan hasil dari carigali di kawasan rumah dan kubu Dato’ Maharaja Lela itu sendiri yang dilakukan pada tahun 1992.



Rumah ini menjadi Pusat Gerakan Menentang Penjajah British yang dipimpin oleh Dato’ Maharaja Lela dan orang-orang Pasir Salak. Pada masa ini, rumah Dato’ Maharaja Lela telah dibina semula oleh Muzium Negara Malaysia dan dijadikan tempat pameran senjata serta peralatan Melayu
 

Dato’ Maharaja Lela sangat berkuasa di sekitar Pasir Salak dalam tahun 1860an sebagai Orang Besar DeLapan yang diberikan kuasa mentadbir Daerah Pasir Salak oleh Sultan Perak. Sebagai orang yang paling kaya, Dato’ Maharaja Lela mampu mendirikan sebuah kediaman yang besar, cantik dan siap dengan pengawal keselamatannya sekali.


Sewaktu pakatan untuk membunuh Residen British JWW Birch sedang memuncak, kediaman Dato’ Maharaja Lela selalu dijadikan sebagai tempat untuk bermesyuarat. Sultan Abdullah sendiri pernah beberapa kali datang dari Batak Rabit untuk menetapkan rancangan membunuh JWW Birch.


Bagaimanapun apabila askar-askar British berjaya menewaskan orang-orang Melayu yang dipimpin oleh Dato’ Maharaja Lela pada awal 1876, mereka telah membakar Pasir Salak termasuklah rumah kediaman Dato’ Maharaja Lela. Tapak rumah Dato’ Maharaja Lela yang menjadi abu itu terbiar begitu sahaja. Kerajaan British di Perak tidak membenarkan sesiapa pun membangunkan sebarang bangunan di atas tapak tersebut.


Hampir 114 tahun kemudian, iaitu dalam tahun 1990, Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ramli Ngah Talib mengarahkan Rumah Besar Orang Perak ini dibina semula mengikut bentuk asalnya. Jabatan Muzium dan Antikuiti telah membina semula rumah Dato’ Maharaja Lela di tapak asalnya serta jumpaan artifak semasa kerja-kerja ekskavasi dilaksanakan pada tahun 1992 dan dijadikan sebahagian daripada koleksi pameran di rumah replika ini.


Majlis Pelancaran Projek Pembinaan Replika Rumah Dato’ Maharaja Lela telah disempurnakan oleh YAB Tan Sri Dato’ Seri (Dr) Ramli bin Ngah Talib, Orang Kaya-kaya Seri Agar Di Raja, Menteri Besar Perak pada jam 10 pagi 3 Februari 1999 di Pasir Salak.


Selama ini Rumah Dato’ Maharaja Lela serta kubu beliau dijaga oleh Jabatan Muzium dan Antikuiti tetapi apabila Jabatan Warisan Negara ditubuhkan pada tahun 2006, kontrak pembersihan persekitaran kawasan kubu ini telah dilakukan oleh Jabatan Warisan Negara bermula pada 1 April 2007 hingga 31 Disember 2010 mengikut skop kerja yang ada.
Kerja-kerja pembersihan dilakukan 2 kali setiap bulan dan pemantauan sentiasa dilakukan oleh pegawai dan kakitangan Jabatan Warisan Negara Zon Tengah beserta dengan laporan bulanan.


Pada pertengahan tahun 2010, Jabatan Muzium Perak telah mengambil semula semua artifak yang dipamerkan di dalam rumah replika Dato’ Maharaja Lela ini memandangkan tiada penjagaan yang sempurna.


Sebahagian koleksi artifak ini ada yang disimpan di Muzium Perak dan sebahagian lagi telah dibawa ke Jabatan Muzium Malaysia di Kuala Lumpur. Adalah tidak benar apa yang disiarkan di dalam akhbar Harian Metro tersebut yang mengatakan artifak yang dipamerkan telah hilang.


Perbincangan yang dilakukan oleh pihak Ibupejabat Jabatan Warisan Negara di Kuala Lumpur dengan SUK Negeri Perak  pada penghujung tahun 2010, Jabatan Warisan Negara akan  menyerahkan tapak ini kepada Kerajaan Negeri Perak untuk dijaga dan dipelihara setelah kontrak tamat iaitu bermula pada 1 Januari 2011.


Kubu dan juga rumah Dato’ Maharaja Lela ini juga tidak terdapat dalam senarai warisan dan juga warisan kebangsaan kerana ia merupakan sebuah replika dan bukannya rumah yang asal.

Sekian.

4 comments: