Monday, 10 April 2017

Pembinaan Semula Kubu Pertahanan Ke Sembilan Kota Melaka Iaitu Bastion Middleburg

Assalammualaikum dan  Salam Sejahtera,


Hai semua... Ok...hari nii aku nak tulis tentang sebuah kota yang penuh bersejarah di sebuah Bandar bersejarah iaitu Kota Melaka dan Kubu Pertahanan Bastion Middleburg. Kubu ini terletak berhampiran dengan  Pejabat Jabatan Warisan Negara Zon Selatan, Muzium Sejarah dan Etnologi, Gereja Christ dan Balai Seni Lukis (kawasan bangunan merah yang popular tuu....penuh dengan beca Melaka dan ada I Love Melaka)




Kota Melaka Purba telah wujud sejak abad ke-15 masihi lagi di bawah institusi kesultanan Melayu Melaka yang diasaskan oleh Parameswara. Percaturan politik, ekonomi, sosial dan keagamaan menjadikan kota ini semakin maju malah berkembang sebagai sebuah pelabuhan 'entrepot' tersohor ketika itu. Implikasinya ialah berlaku konflik bersenjata secara besar-besaran antara kuasa timur dan Eropah.



Peta Lokasi Bastion Middleburg


Serangan dan penaklukan oleh armada Portugis yang dipimpin oleh Alfonso d' Albuquerque dalam tahun 1511 membuka lembaran baru era penjajahan asing di Melaka. Penaklukan ke atas laluan pedagangan utama ini kemudiannya saling berganti diikuti Belanda dan Inggeris. Portugis dan Belanda telah meninggalkan arkitek tembok Kota Melaka tetapi Inggeris telah memusnahkannya.


Kota Melaka menjadi mercu tanda keagungan pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka dibina pada abad ke 15, menempatkan kompleks pentadbiran dan pemerintahan Kerajaan Melayu Melaka, istana, menara tinjau, rumah pembesar dan bangsawan serta dikawal rapi oleh tentera bersenjata. Batu merah atau laterik digunakan sebagai bahan utama bagi pembinaan kota ini yang banyak diperolehi di kawasan berhampiran Bandar pelabuhan Melaka seperti Pulau Upeh, Pulau Melaka, Tanjung Kling, Sebatu dan Bukit Piatu.





Kompleks ini mengalami perubahan mengikut sejarah pemerintahan kuasa asing di Melaka. Pada 1511, Portugis menakluk Melaka dan telah merobohkan kota Melaka dan membinanya semula pada 1512 yang diberi nama Fortaleza de Malaca dengan mengikut rekabentuk kota Portugis yang banyak terdapat di kebanyakan penempatan utamanya di Asia dan Afrika.






Kota Melaka yang dibina oleh Portugis siap sepenuhnya pada 1588 dengan keluasan 1.4 kilometer bagi menempatkan pusat pemenrintahan Portugis iaitu bangunan pemerintah, rumah gabenor, hospital, kuarters kakitangan, gereja dan juga kuarters tentera. Kota ini dilengkapi dengan lapan buah kubu pertahanan.





Selepas Belanda menawan Melaka pada 1641, lapan buah kubu pertahanan tersebut telah ditukar nama kepada nama Belanda antaranya....Victoria (St Domingo), Emelia (Madre de Deus), Henrietta Louyse (Onze Mille Virgines), Wilhesmus (Santiago), Mauritius (Hospital dos Pobres), Frederik Hendrik (Courassa), Ernst Casinir (Mora), dan Amsterdam (Hospital Del Rey). Pada tahun 1660 dan 1678, tembok kompleks Kota Melaka  ini telah diperkukuhkan oleh Belanda dengan membina sebuah kubu baru yang diberi nama Middleburg dan menjadikan Kubu Kota Melaka sebanyak sembilan buah keseluruhannya.




Kota Melaka mengalami zaman kemusnahannya apabila Melaka diperintah oleh British dari tahun 1795 hingga 1818. Oleh sebab Melaka memiliki kuasa tarikan dan ikatan jaringan perdagangan yang kuat, yang jauh lebih mantap daripada Pulau Pinang, maka Inggeris meruntuh dan memusnahkan Kota Melaka pada 1807 supaya semua penduduk dan pedagang di Melaka berpindah ke Pulau Pinang. Walau Bagaimanapun, harapan Inggeris itu tidak berjaya dan kota ini runtuh juga bersama-sama sejarah keagungannya.... yang tinggal hanyalah Kota Porta de Santiago.






Pada tahun 2006, tapak Kota Melaka telah ditemui semula hasil usaha yang dijalankan oleh Jabatan Warisan Negara  yang melakukan kerja-kerja ekskavasi arkeologi. Struktur Kota Melaka ini didedahkan kepada umum pada tahun 2008 dan Kubu Bastion Middleburg didirikan semula hasil daripada kajian ekskavasi arkeologi, dokumen, laporan dan perbincangan dengan pelbagai bidang kepakaran dari dalam dan luar Negara.




Penyelidikan ekskavasi arkeologi penyelamatan tembok Kota Melaka Sektor I yang telah dilaksanakan pada November 2006 hingga September 2007 telah berjaya membongkarkan dan mendedahkan struktur tembok. Pembinaan semula Bastion Middelburg telah dimulai pada penghujung 2007 dan telah siap pada akhir tahun 2008. Kegemilangan Kota Melaka sebagai elemen pertahanan perlu dibuktikan secara fizikal untuk tatapan generasi kini dan masa hadapan.




Objektif utama penyelidikan adalah untuk mendedahkan struktur dan jajaran tembok Kota Melaka dan seterusnya mendokumenkan sejarah kegemilangan Kota Melaka. Oleh yang demikian penyelidikan ini boleh dijustifikasikan sebagai satu usaha yang berkesinambungan dalam rangka kerja mengembalikan kegemilangan sejarah Negara kepada zaman Melaka sewaktu ia dikenali sebagai pelabuhan antara tersibuk di dunia melalui penyelidikan ekskavasi arkeologi.






Dengan cara ini kita dapat menyelamat warisan negara melalui penyelidikan ekskavasi bagi mendedah, memulihara dan memelihara tembok Kota Melaka sekaligus menggumpulkan bukti-bukti penting warisan tersebut.




Ekskavasi arkeologi penyelamatan yang dijalankan dalam tempoh 6 bulan telah berjaya mengumpulkan ribuan artifak. Keseluruhan artifak yang dijumpai terdiri daripada pecahan pinggan mangkuk dan barangan kegunaan harian antaranya tembikar tanah, poselin, celadon, peluru senapang, kaca botol minuman keras, paip candu, peluru meriam dan sebagainya.




Kerja-kerja pemuliharaan Bastion Middleburg telah dilaksanakan berdasarkan pada struktur asal yang dijumpai pada jajaran Portugis dan Belanda semasa kerja-kerja ekskavasi arkeologi yang dilakukan pada peringkat awal. Dengan berpandukan struktur asal yang ada di tapak dan juga kajian dari sumber-sumber seperti lukisan, manuskrip dan juga gambar-gambar lama.





Kerja-kerja memasang batu laterit di jajaran Portugis adalah lebih mudah memandangkan jajaran yang ditemui adalah hampir lengkap berbandaing dengan jajaran Belanda yang memerlukan pembetulan lapisan aras. Kerja-kerja pembinaan turret didirikan setelah mengambil kira kajian yang dibuat dibeberapa kota lama semasa penjajahan Belanda.




Batu laterit digunakan sebagai lantai Bastion Middleburg kerana kajian mendapti tida fungsi pada bahagian bawah lantai Bastion tersebut. Oleh itu, bahagian dalam tembok telah ditambak dengan tanah sebelum kerja-kerja memasang lantai dilakukan. (sumber: buku Bastion Middleburg, Jabatan Warisan Negara).

Alang-alang kalau korang ke kawasan bangunan merah tuu...korang singgah la sekejap di Kubu Pertahanan Ke Sembilan Kota Melaka ini....memang menarik dan korang boleh jejakkan kaki di atasnya. Kat atas kubu nii ada beberapa biji meriam dipamerkan. Korang juga boleh bergambar dengan membelakangkan tulisan "Selamat Datang Ke Melaka" dan Sungai Melaka.  Permandangannya memang cantik laa...

Sekian.

No comments:

Post a comment