Tuesday, 25 April 2017

Istana Lama Seri Menanti Didirikan Mengikut Pengaruh Masyarakat Minangkabau Dengan Mempunyai 99 Tiang Dan 4 Tiang Seri

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Hai korang semua apa khabar... Aku kat sini sihat-sihat ajer. Jom aku bawa korang semua melawat ke satu bangunan ikon di Negeri SembilanDah lama aku teringin sangat nak menjejakkan kaki ke Istana Lama Seri Menanti yang cantik senibinanya ini. Kebetulan plak bos aku ajak singgah jab untuk tengok kerja-kerja pemuliharaan ke atas istana lama ini. Macam pucuk dicita ulam mendatang...memang seronok giler aku. Tapi yang menyedihkan, aku dengar istana ini ditutup kepada pengunjung untuk sementara waktu...maknanya aku hanya dapat tengok dari luar jer laa...adusss sedihnya...mungkin bukan rezeki aku kali nii. InsyaAllah ada masanya nanti.


Pandangan sisi hadapan Istana Lama Seri Menanti
Aku memang kagum giler dengan reka bentuk istana ini...tak kelip mata aku memandang keindahannya. Jom kita kenali tentang istana ini....Istana Seri Menanti di Kuala Pilah, Negeri Sembilan ialah istana yang diperbuat daripada kayu yang menjadi kediaman rasmi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan sekitar tahun 1900an. Memandangkan ia merupakan suatu warisan sejarah, istana ini telah ditukar fungsinya menjadi Muzium Diraja.

Istana ini didirikan mengikut pengaruh masyarakat Minangkabau yang sangat unik dan juga pengaruh Siak. Nama Istana Lama Seri Menanti  ini diilhamkan dari sebuah nama daerah di tengah Bukit Tempurung di mana Istana Lama Seri Menanti ini ditempatkan. Nama ‘seri menanti’ berasal dari sebuah kisah kedatangan orang Minang dari daerah Paya Kumbuh ke Negeri Sembilan yang dipimpin oleh Datuk Putih.


Kononnya Datuk Putih memiliki ilmu alam ghaib tingkat tertinggi. Suatu ketika, dia mendapati jejak seekor naga yang diyakini akan memberikan keuntungan. Dia mengikut dan menelusuri jejak naga itu. Beberapa saat kemudian dia bertemu tiga pohon padi dengan posisi seperti orang duduk menanti datangnya sesuatu. Maka kemudian Datuk Putih menamakan daerah ini dengan nama ‘Padi Menanti’. Akan tetapi, pemimpin rombongan kemudiannya menggantikan nama 'padi' kepada 'seri', sesuai dengan nama isterinya. Maka nama daerah ini berubah menjadi Seri Menanti.
Pandangan sisi kiri Istana Lama Seri Menanti

Sejarah bagi mendirikan Istana Lama Seri Menanti ini berkait rapat dengan hubungan antara kerajaan Negeri Sembilan dengan penjajah Inggeris. Pada tahun 1875, dalam peperangan yang dikenali dengan Perang Sungai Ujong, pasukan Inggeris telah membakar habis Istana Pulih iaitu istana Negeri Sembilan yang pertama.

Pandangan sisi belakang Istana Lama Seri Menanti

27 tahun kemudian iaitu pada tahun 1902, Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhammad Shah ibni Almarhum Tuanku Antah (Sultan ke VII yang memerintah pada 1888-1933) mengemukan dua orang arkitek, Kahar dan Taib bagi memimpin pembinaan istana baru ini di atas tapak yang sama. Tapak yang dipilih adalah di kawasan Tanah Datar Seri Menanti iaitu Ampang Rambai. Pemilihan tapak yang sesuai telah dibuat semasa pemerintahan Raja Melewar.

Ukiran yang terdapat pada tiang dan lambai-lambai

Pelan asalnya telah direka oleh Kadar dan Taib. Tukang Kahar telah dianugerahkan dengan gelaran Dato’ Panglima Sultan oleh Tuanku Muhammad kerana khidmat beliau. Pelan istana ini kemudiannya telah diperincikan semula oleh Ketua Pelukis Pelan, Mr. Woodford dari Jabatan Kerja Raya Seremban dan telah diluluskan pada November 1902 oleh Jurutera Negeri dan Residen British.

Pameran terbuka yang disediakan di bahagian bawah Istana Lama Seri Menanti ini.

Istana Lama Seri Menanti merupakan istana yang unik dan terbesar di dunia yang pernah dibina oleh manusia dengan menggunakan bahan kayu. Ia dibina pada 1902 dan siap pada 1908. Istana ini dirasmikan oleh DYMM Yang di-Pertuan Muhammad Ibni Almarhum Yamtuan Antah. Baginda telah bersemayam di istana ini sehingga tahun 1931 dan kemudiannya baginda berpindah pula ke istana baru yang dibina berhampiran dengan istana ini.


Istana ini didirikan setinggi empat tingkat serta dihiasi dengan ukiran yang terdapat pada tiang-tiang dan lambai-lambai. Prinsip rekabentuknya adalah simetri yang mementingkan keseimbangan di peringkat pelan, tampak, ukiran dan butiran lukisan, struktur dan perancangan tapak. Penyusunan ruang juga seimbang dimana ruang yang terdapat di sebelah kanan istana juga ada terdapat di sebelah kiri.


Ia mempunyai empat tingkat yang mempunyai fungsi tersendiri mengikut falsafah adat Minangkabau “adat bersendikan syarak, syarak bersendikan Kitabullah, syarak mengata, adat memakai”. Tingkat pertama merupakan pusat pemerintahan Yang Dipertuan Besar yang dilengkapi dengan singgahsana dan balai menghadap. Tingkat kedua adalah ruang keluarga diraja termasuk tempat bersemayam untuk kerabat diraja. Tingkat ketiga dikhaskan untuk bilik beradu Yang Dipertuan Besar dan seterusnya tingkat keempat ialah ruang khas baginda beribadah dan menelaah. Tingkat keempat merupakan bahagian bangunan yang paling tinggi dan ia juga dikatakan sebagai tempat Yang Dipertuan Besar meninjau kawasan pemerintahan baginda di sekitar istana.




Istana ini mempunyai 99 batang tiang termasuk empat batang tiang seri yang panjangnya 67 kaki. Jumlah tersebut adalah berdasarkan jumlah 90 orang pegawai dan hulubalang istana, manakala empat tiang seri adalah sempena tiga Orang Besar Istana dan isteri Raja Melewar. Keempat-empat tiang ini telah diambil dari Bukit Pergai, Jelebu. Kayu-kayu lain diambil dari Bukit Tinggi iaitu jenis kayu penak.



Keunikan istana ini ialah ia tidak menggunakan sebarang paku besi tetapi pakunya diperbuat daripada kayu yang dipanggil pasak. Pasak kayu keras digunakan bagi menyambungkan papan. Atap istana ini mewakili tanduk kerbau. Tanduk kerbau dianggap sebagai lambang keamanan.

Ukiran yang diterapkan pada istana ini mempunyai maksud yang tersendiri, antaranya membawa maksud 'seia sekata' dalam masyarakat Minangkabau. Secara keseluruhannya pola ukiran pada tiang, tingkap dan pintu besar menggunakan motif alam semulajadi seperti bunga, daun, akar dan buah yang biasanya dikenali sebagai 'awan larat'. Bentuk garisan berlingkar dan bersegi merupakan asas kepada ukiran Minangkabau seperti ukiran 'bunga kelok paku' dan 'kayu tampuk manggis'. Sebanyak 48 tiang dan lambai-lambai juga yang diukir dengan ukiran 'tebuk timbul sederhana'.

Papan penerangan yang dibina oleh Kementerian Pelancongan
Istana ini telah digunakan untuk upacara mengadap yang diadakan tiga tahun sekali. Pada tahun 1926, Pesuruhjaya Tinggi, Sir Lawrence Gullmard telah turut hadir dalam upacara tersebut. Istana ini juga pernah digunakan oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan untuk dijadikan Sekolah Menengah Agama Tinggi pada tahun 1959 sehingga tahun 1964.
Bangunan tambahan yang terdapat di bahagian belakang Istana Lama Seri Menanti

Kemudian istana ini dibiarkan kosong tanpa penghuni sehingga pada tahun 1992, atas kesedaran DYMM Tuanku Jaafar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman, Istana ini dengan rasminya diwartakan sebagai 'Muzium Diraja'. Perasmiannya telah dilakukan pada 14 Julai 1992 bersamaan 14 Muharram 1413 Hijrah.

Ukiran timbul pada tiang yang dicat dengan warna emas
Pengurusan Muzium Diraja adalah di bawah pentadbiran Muzium Negeri, Negeri Sembilan. Mulai saat inilah Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti telah bertukar wajah dengan mempamerkan koleksi-koleksi keluarga Diraja. Setiap ruang telah diisi tanpa mengubah bentuk asal istana bagi menerangkan fungsi ruang-ruang tersebut. Penambahan bahan koleksi Muzium akan dilakukan dari semasa ke semasa dengan kerjasama pihak istana.




Pameran Pameran Muzium Diraja Seri Menanti


BALAI RONG SERI


Ruangan ini merupakan tempat takhta kerajaan. Di ruangan ini terdapat dua batang seludang dari Minangkabau yang dipegang oleh pengawal. Ianya juga terdapat 7 anak tangga. Di anak pertama dari atas adalah tempat duduk bagi Dato' Seri Amar Diraja, dihadapannya pula tempat duduk Dato' Raja DiWangsa. Anak tangga yang kedua pula adalah tempat Dato' Dagang dan dihadapannya Dato' Akhir. Di anak ketiga hingga keenam adalah tempat duduk Pegawai Penghulu Luak.


Di tangga yang ketujuh ianya dikosongkan. Dibahagian bawah sekali adalah tempat orang-orang mengadap seperti Penghulu Luak yang Empat iaitu Muar, Jempol, Terachi dan Gunung Pasir juga ahli-ahli Lembaga, ahli mengadap yang lain ialah lapan belas orang disebelah kiri dan dan dibahagian kanan seramai lapan belas orang. Pengapit bagi Tuanku adalah Dato' Gajah manakala Dato' Mangku adalah pengapit bagi Tuanku Ampuan. Di ruangan ini perhiasan dinding pula terdapat gambar-gambar berkaitan kerabat Istana.



BALAI RAJA MUDA


Di bahagian ini tempat Raja Muda dan isteri duduk melihat ayahanda dan bonda menjalankan upacara. Mereka diapit oleh dua orang pengawal. Ia juga dihadiri oleh kerabat diraja dan juga para undangan. di bahagian dinding terdapar gambar-gambar berkaitan.


BILIK BERADU


Bilik ini adalah bilik beradu Tuanku bersama Tuanku Ampuan. Dibilik ini terdapat sebuah katil, almari pakaian, almari perhiasan (solek) juga terdapat sebuah meja kecil dan dua buah kerusi. Kesemua pakaian dan perhiasan diri disimpan di dalam bilik ini. Dibahagian dinding terdapat gambar-gambar berkaitan.


RUANG SANTAPAN


Terdapat satu unit meja yang mempunyai 20 unit kerusi. Di kiri dan kanan ruangan ini terdapat dua buah almari di mana di sini (almari) disimpan beberapa buku rujukan untuk para tetamu. Ruangan ini merupakan tempat para tetamu berbincang juga tempat mereka bersantapan. Di bahagian belakang ruangan ini terdapat jalan untuk pergi kebelakang dapur. Di sebelah kanan terdapat satu rak setinggi tiga tingkat. Di bahagian atas rak yang bertutup tempat untuk meletak gulai atau segala jenis lauk pauk. Ruangan ini juga mempunyai hiasan dinding seperti gambar-gambar dan sebagainya.


Papan penerangan bagi kerja-kerja pemuliharaan yang sedang dijalankan


Menurut Pemangku Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Aziz Mohd Gorip, Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti ditutup untuk tempoh tiga tahun berikutan kerja-kerja baik pulih dan naik taraf dilakukan. Kerja-kerja baik pulih fasa pertama yang melibatkan penggantian empat tiang seri telah bermula 1 Disember 2016 dan dijangka siap pada Mei 2018.


Apabila fasa pertama siap, kerja-kerja fasa kedua yang melibatkan tiga komponen akan dilaksanakan selepas itu iaitu baik pulih keseluruhan bangunan, kerja-kerja pengisian pameran serta menaik taraf landskap dan kemudahan persekitaran. Kerja-kerja fasa kedua ini juga jangkakan akan mengambil masa setahun ke setahun enam bulan untuk disiapkan. Kerja-kerja konservasi (baik pulih dan naik taraf) ini mengambil masa lama kerana ia tidak boleh dibuat tergesa-gesa, apatah lagi bangunan ini merupakan bangunan yang telah mendapat pengiktirafan sebagai bangunan Warisan Kebangsaan. (sumber: buku seni bina warisan & laman web Muzium Diraja Istana Seri Menanti)

Semoga istana ini kekal terpelihara untuk tatapan generasi akan datang sebagai lambang kepada kesultanan Melayu. Aku juga berharap aku dapat menjejakkan kaki lagi ke sini untuk menerokai hiasan dalamannya pula...

Sekian.

No comments:

Post a comment