Wednesday, 26 April 2017

Istana Ampang Tinggi Mempunyai Bumbung Melentik Yang Melambangkan Keuntungan Dan Keutuhan Masyarakat Negeri Sembilan

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Istana kayu yang menarik minat aku selain Istana Seri Menanti ialah Istana Amapang Tinggi. Kebetulan semasa aku membuat tugasan pemeriksaan ke atas istana ini...aku dapat melihat dengan lebih dekat akan senibinanya. Walaupun kecik dan tidak padan dengan title istana...tetapi cukup cantik bangi aku. Kadang-kadang terfikir oleh aku...masih adakah lagi insan yang berseni dan pandai bertukang di zaman ini.

Istana Ampang Tinggi ini terletak di Taman Seni Budaya, Seremban dan ianya dipamerkan sebagai khazanah negara. Istana ini dibina kira-kira pada tahun 1861 oleh Yamtuan Imam di Kampung Ampang Tinggi Seberang, Tanjung Ipoh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.



Istana ini dibina untuk dihadiahkan kepada puterinya Tengku Chindai. Istana ini digunakan sebagai pusat pentadbiran dan kediaman diraja. Kerja-kerja pembinaan istana ini memakan masa beberapa tahun. Sehingga kemangkatan baginda pada tahun 1869, istana ini masih belum dapat disiapkan sepenuhnya. Kemudiannya kerja pembinaan istana ini disambung sehingga selesai oleh menantu baginda, Tengku Muda Chik pada tahun 1870.



Istana ini didiami oleh pasangan tengku Muda Chik dan Tengku Chindai sehingga Tengku Chindai mangkat pada tahun 1910. Setelah itu, istana ini didiami oleh saudara terdekat iaitu Wan Isam sehingga tahun 1930. Bagaimana pun istana ini terbiar setelah Wan Isam berpindah dan pada tahun 1953 istana ini telah usang dan tidak beratap.



Dalam tahun 1953, satu penyelesaian telah dibuat utnuk melakukan kerja-kerja pemuliharaan ke atas istana ini untuk dijadikan sebuah Muzium Negeri di tapak baharu di Taman seni Budaya, Seremban. Muzium ini selain mempamerkan keindahan dan keunikan senibinanya, khazanah-khazanah negeri seperti tombak, keris, pedang, barang-barang tembaga dan perak juga turut dipamerkan.



Rekabentuk Istana Ampang Tinggi ini tidak banyak bezanya dengan bentuk rumah tradisional Melayu di Negeri Sembilan. Istana ini juga diperbuat daripada kayu cengal tanpa menggunakan sebarang paku. Secara kasarnya, istana ini bertiang, berlantai tinggi dari tanah, berbumbung panjang, bertebar layar dan lain-lain serta boleh dipasang rembak iaitu dirombak semula dan dipasang kembali di tapak lain tanpa merosakan mana-mana bahagian.



Ukiran yang diterapkan pada bangunan ini mempunyai maksud yang tersendiri antaranya membawa maksud ‘seia sekata’ dalam Bahasa Minangkabau. Bingkai pula membawa motif yang tersendiri antaranya ‘itik pulang petang’ dan ‘si tampuk manggis’. Fungsinya adalah untuk membataskan antara dua motif pola induk dan pengisi ruang kosong. Dinding dihiasi dengan ukiran seperti ukiran tebuk tembus.



Sambungan pada panel ukiran dan bingkai ukiran menggunakan sistem tanggam dan dikukuhkan dengan pasak. Istana ini mempunyai keunikkannya yang tersendiri antaranya ialah asas tiangnya yang dibina daripada batu sungai yang ditanam separuh di dalam tanah.



Selain itu, terdapat juga rumah dapur yang di kelilingi oleh pelantar yang tidak mempunyai dinding. Pada rumah ibu pula terdapat bilik peraduan yang diasingkan dari rumah ibu yang ditinggikan hampir sama dengan bumbung. Lantai dan dinding diperbuat daripada kayu cengal.



Pintu gelangsar digunakan untuk tujuan pertahanan daripada serangan musuh dan supaya ianya senang ditutup. Pintu dan elemen bukaan lain yang terdapat pada istana ini selain membolehkan angin keluar masuk tanpa halangan ia juga berfungsi sebagai hiasan. Bumbung istana ini hampir sama dengan bumbung rumah Minangkabau iaitu berbentuk melentik, yang melambangkan keuntungan dan keutuhan masyarakat Negeri Sembilan.


Istana Ampang Tinggi dan Rumah Contoh Negeri Sembilan yang terletak di Muzium Negeri, Seremban telah diangkat sebagai bangunan warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 [Akta 645]. Bersempena dengan pengiktirafan kedua-dua istana dan rumah bersejarah ini juga telah diadakan satu majlis simbolik penyerahan plak Warisan tersebut di mana Encik Aziz bin Haji Mohd Gorip, Kurator Bahagian Pengurusan Muzium Lembaga Muzium Negeri Sembilan mewakili Y.Bhg Drs. Shamsuddin bin Ahmad, Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan manakala Encik Nik Redzuan bin Salleh mewakili Jabatan Warisan Negara.



Menurut Y.Bhg Drs. Shamsuddin bin Ahmad kriteria pemilihan Istana Ampang Tinggi dan Rumah Contoh Negeri Sembilan sebagai bangunan warisan oleh Jabatan Warisan Negara adalah berdasarkan kepada usianya yang mencecah 100 tahun dan keunikan ciri-ciri senibina yang dimiliki oleh kedua-dua istana dan rumah ini. Sebelum ini katanya lagi Istana Lama Seri Menanti dan Sekolah Menengah King George V juga telah diangkat sebagai bangunan warisan.



Rasa macam tak puas jer menatap keindahan seni pertukangan pada Istana Ampang Tinggi ini. Ada kemungkinan aku akan datang melawatnya untuk kali ke dua sebab aku pun tidak pernah lagi untuk melihat pameran yang ada di dalam Muzium Seremban ini.

Sekian.

No comments:

Post a Comment