Sunday, 23 April 2017

Bangunan Stadthuys Kini Dijadikan Muzium Sejarah Dan Ethnologi

Assalammualaikum dan  Salam Sejahtera,

Hai...korang apa khabar hari nii...semoga sihat selalu yea. Entri aku hari ini masih lagi mengenai Negeri Melaka. Bila aku datang ke Melaka...tempat yang aku cuba untuk isi masa lapang aku adalah muzium. Kat Melaka nii memang banyak sangat muzium yang boleh dilawati. Ada pepatah mengatakan...kalau nak mengenali sesebuah negeri atau Negara itu...pergilah melawat ke muziumnya terlebih dahulu...dari situ korang lebih memahaminya.
Salah satu bangunan yang paling popular di Melaka ialah bangunan Stadthuys atau juga dikenali dengan gelaran bangunan merah. Bangunan ini dibina pada tahun 1650 sebagai penempatan rasmi Gabenor Belanda dan Timbalan Gabenor.

Bangunan Stadthuys ini terletak di Jalan Laksamana Melaka...bersebelahan dengan Gereja Christ. Di hadapan bangunan ini ada sebuah dataran yang dikenali sebagai 'Dataran Belanda' dimana terdapatnya binaan Pancutan Air Queen Victoria dan Menara Jam Tan Beng Seng yang dibina pada tahun 1886.
Struktur bangunan ini melambangkan seni reka bentuk Belanda yang halus. Bangunan ini juga mempunyai catatan sejarahnya di bidang pendidikan. Pada abad ke 19, ketika pemerintahan Inggeris, sebuah sekolah yang dikendalikan oleh golongan paderi dikenali sebagai Malacca Free School dibina di perkarangan bangunan Stadthuys ini.
Ketika itu pendidikan sekolah diberikan percuma oleh pihak Inggeris. Bagaimanapun, kebanyakan pelajar di sekolah itu terdiri daripada anak-anak golongan Cina yang kaya. Catatan sejarah juga menunjukkan sepucuk surat yang bertarikh 19 April 1825, menyatakan betapa perlunya diwujudkan sebuah sekolah Inggeris di Melaka. Surat itu dikirimkan kepada majlis perbandaran dan telah ditandatangani oleh wakil gereja, J. Humprey, J. W. Overee dan A.W Baumgarten.
Akhirnya sekolah itu dibuka pada 7 Disember 1826 dengan hanya 18 orang pelajar. Pengetua Malacca Free School yang pertama adalah T.H.Moore. Tidak lama kemudian bilangan pelajar di sekolah itu meningkat sehingga 200 orang. Waktu belajar bermula ari jam 9 pagi hingga 12 tengahari dan disambung dari jam 2 petang hingga jam 4 petang.
Bilangan pelajar Melayu pada masa itu tidak ramai kerana kebanyakkan ibubapa menghantar anak-anak mereka ke Sekolah Melayu atau sekolah Agama. Walau pun bahasa pengantarnya ialah Bahasa Inggeris, bahasa lain seperti Bahasa Melayu, Portugis dan Cina juga diajar.
Pada Ogos 1878, kerajaan British mengambil alih pentadbiran sekolah tersebut daripada golongan paderi dan menamakannya Malacca High School atau Sekolah Tinggi Melaka. Pengetuanya yang baru ialah A.Armstrong. Pada tahun 1931, Sekolah Tinggi Melaka telah dipindahkan ke tapak yang baru di Jalan Chan Koon Cheng hingga sekarang.
Bangunan Stadthuys kini berfungsi sebagai sebuah Muzium Sejarah dan Etnografi. Muzium Sejarah terletak di aras 2 dan Muzium Ethnografi terletak di aras 1. Muzium Ethnografi memberikan penekanan khusus kepada corak hidup masyarakat tempatan yang terdiri dari pelbagai bangsa iaitu Melayu, Cina, India, Baba Nyonya, Chetti dan Portugis.
Gambaran berhubung adat istiadat perkahwinan, cara hidup seharian, peralatan yang digunakan, alat muzik yang menjadi pilihan dan bentuk pertanian yang diusahakan adalah fokus utama muzium ini.Turut dipamerkan adalah koleksi porselin zaman berzaman, pelbagai jenis senjata, matawang dari dalam dan luar negara serta pelbagai lagi koleksi semasa pendudukan Belanda di Melaka.
Muzium Sejarah bertempat di tingkat satu pula memperagakan sejarah Melaka yang menjadi tonggak kepada sejarah Malaysia hari ini bermula dari pembukaan Melaka ke era penjajahan Portugis Belanda, Inggeris, Jepun sehingga negara mencapai kemerdekaan. Berdasarkan lukisan dan artifak sejarah yang ada, maka para pengunjung akan dapat menghayati keunggulan Melaka dari awal penubuhan, kecemerlangan dinikmati, perjuangan menuntut kemerdekaan dan erti kemodenan yang ada.
Bayaran masuk untuk ke muzium ini ialah RM 5 untuk orang dewasa dan RM 2 untuk kanak-kanak atau pelajar. Waktu Operasinya adalah pada 9:00 pagi hingga 6:00 petang dan di buka setiap hari.
Terus terang aku katakan... memang banyak info berguna yang boleh korang perolehi di sini dan pamerannya juga tidak membosankan. Penat laa jugak untuk mengelilingi bangunan ini bagi melihat pameran yang disediakan. Aku suka tentang adat perkahwinan masyarakat Melaka yang dipamerkan...cuba tak berpeluang nak tengok on live lagi. Setiap kali aku datang ke sini...memang aku tak dapat nak pusing habis muzium nii...InsyaAllah aku akan datang lagi ke sini...mungkin untuk kali yang ke 5...kalau tak salah aku...

Sekian.

No comments:

Post a comment