Saturday, 29 April 2017

Line Clear Kampung Jawa Sabarlah Menunggu Sebab Line Selalu Tak Clear

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,


Hai korang...Apa khabar hari nii? Semoga sihat-sihat hendaknya. Hari nii aku nak cerita tentang kedai makan yang menarik di Melaka. Hubby aku yang beria-ria nak bawa aku makan kat sini...dia pun secara kebetulan terjumpa kedai ini apabila mencari pakaian di kawasan sekitar ini. Sampai jer aku kat Melaka dari Kuala Lumpur...hubby aku terus bawa aku ke kedai ini seperti yang dijanjikan dulu. Kedai nii terletak di Kampung Jawa...kawasan paling popular membeli keperluan barangan sekolah.

Kedai ini beroperasi di tapak asal

Kedainya agak tersorok bagi pandangan aku...walaupun tak sebesar mana tapi pelanggannya punya lah ramai...penuh meja dan tak de tempat duduk. Aku kena tunggu lebih kurang 5 minit untuk dapatkan meja.

Pelangan ramai sedia menunggu dengan penuh sabar



Setelah order diambil...kami kena tunggu lagi 45 minit untuk makanan kami sampai. Tapi hubby aku dah bagitau dan suruh bersabar sebab memang lambat tiba makanannya tetapi berbaloi kata hubby aku sebab sedap. Aku kurang nak percaya sangat cakap hubby aku tuu..sebab taste kami berbeza. Kalau dia cakap sedap belum tentu tekak aku rasa sedap.
Pemandangan dalam kedai Line Clear Kampung Jawa

Disebabkan nak sangat merasa makanan nii...aku pun dengan rela hati menunggu dengan sabar walau pun perut dah berkeroncong buat lagu Dondang Sayang. Banyak jugak yang hubby aku order...macam 5 orang yang nak makan. Tapi dia nak aku rasa semuanya. Kalau tak habis boleh bungkus katanya.
Cendol
Cendol aku sampai dulu...mangkuknya kecil sangat...macam tak cukup jerr. Bila aku try...rasanya lain sikit macam cendol yang pernah aku rasa. Cendol yang paling sedap aku pernah rasa adalah kat Ipoh...depan KAMDAR. Dulu boleh dikatakan setiap hari aku pergi setelah balik dari kerja. Tapi cendol Line Clear nii tak menepati citarasa aku...aku rasa tawar jer..mungkin dia terkurang bubuh air gula Melaka kot!
Satay ayam dan daging
Pas tuu...tiba plak makanan. Memang nampak menarik dan banyak. Puas laa makan. Aku punya Mee Rebus. Bagi aku okey laa boleh makan cuma kurang pedas sikit sebab aku suka pedas. Tapi aku suka pasembor rojak yang hubby aku order tuu...memang sedap.
Mee Rebus Biasa

Lagi satu yang aku rasa sedap ialah satenya...lembut dan isinya banyak. Berbaloi-baloi makan. Aku pernah makan sate yang lagi sedap dari sate nii tapi harganya boleh dikatakan mahal jugak. Tetapi sate Line Clear nii harganya memang ok...dan dalam kategori sedap lagi sebab ada rasa. Satenya pula ada berbagai bagai jenis...ayam, daging, perut, kerang dan hati. Hubby aku order ayam dan daging jer 15 cucuk sebab yang lain aku tak makan.
Malacca River Cruise

Yang membuat aku jatuh hati kat tempat nii ialah kawasannya yang bersebelahan dengan Sungai Melaka...so korang boleh tengok river cruise lalu lalang...macam rasa ada kat Vanice dan Belanda jer...damai serta mempesonakan.
Rojak Pasembor
Oh ya kedai nii dibuka setiap hari kecuali hari Jumaat...dibuka dari jam 9 pagi hingga 5 petang. Parking pula memang susah sedikit tetapi ada parking berbayar kat kawasan ini...ada yang RM 2 dan ada yang RM 4 sekali masuk. Aku nak cerita detail untuk ke kedai nii memang aku tak tahu tapi korang boleh jer google map. Yang aku tahu kedai ini berhampiran dengan Jambatan Kampung Jawa dan ada Syarikat Menang area situ.

Peta Lokasi Kedai Line Clear Kampung Jawa

Dulu kedai ini dikenali dengan nama Satay Kampung Jawa kerana kesedapan satenya dari dahulu lagi tapi kini kedai ini lebih dikenali dengan nama Line Clear Kampung Jawa. Aku ingatkan kedai Line Clear nii...kat Penang jer yang ada atau kedai-kedai mamak jer yang guna. Rupanya di Melaka pun ada jugak...kedai orang Melayu.
Kalau aku balik Melaka...mesti suami aku ajak aku datang ke sini...dah 3 kali aku ke sini. Sebab aku lebih suka makan kat kedai Melayu daripada kedai mamak. Kedai ini mengekalkan citarasa Melayu...walaupun menunya macam kedai mamak. Selalunya aku makan dengan hubby....harga dalam RM 20 hingga RM 40...bergantung pada order. Tapi bagi aku murah dan sangat berbaloi.

Kat kawasan ini ada tempat menjual barangan sekolah yang murah dan menjadi tumpuan. Selain itu ada juga barangan pinggan mangkuk, perabot, tikar getah, terompah dan sebagainya yang dijual di sini.


Dekat kawasan ini juga banyak disediakan hotel-hotel, homestay dan guest house. Lagi pun kawasan nii boleh dikatakan centre Melaka...sebab korang boleh jer jalan kaki untuk meronda  ke tempat-tempat menarik yang ada di sekitar kawasan ini.
Jangan lupa untuk mencuba makanan di kedai Line Clear Kampung Jawa ini...aku pasti ianya takkan menghampakan korang. Walau pun tak sesedap mana pun tapi masih boleh dikategorikan okey dan best untuk dicuba.

Sekian.

Friday, 28 April 2017

Korean Drama Review : Scholar Who Walk The Night

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,


Hai..hai..hai...semoga semuanya ceria yea hari nii. Kebelakangan ini aku banyak buat review pasal drama Korea...tengah giler tengok citer Korea sekarang nii. Scholar Who Walk At Night atau juga dikenali dengan Night Strolling Scholar adalah drama Korean yang terbaru aje aku tengok...Tajuknya agak menarik tapi jalan ceritanya kurang menarik minat aku sebab aku tak suka sangat cerita pasal vampire nii kecuali twilight. Walau apa pun aku cuba jugak tengok untuk mengetahui penghabisannya... pelakonnya pulak memang best dan tip top. Drama yang berunsurkan sejarah..percintaan dan khayalan.





Scholar Who Walk At Night ini ditayangkan pada 8 Julai hingga 10 September 2015 di Korea sebanyak 20 episod. Ianya adaptasi dari komik dengan tajuk yang sama ditulis  oleh Jo Joo-hee dan Han Seung-hee. Pada permulaannya aku tak berapa nak faham sangat jalan ceritanya dan aku rasa slow sangat. Bila dah masuk episode 7 dan 8 baru laa excited sikit nak tengok.


Ceritanya berkisahkan di Dinasti Joseon…kisah Jo Yang sun (Lee Yu-bi) seorang anak bangsawan yang kehilangan keluarganya apabila ayahnya dituduh pemberontak kerana mempertahankan sebuah buku bagi menyelamatkan negaranya. Jo Yang Sun terpaksa menyamar jadi lelaki dengan menjual buku-buku demi keselamatannya kerana diburu oleh pengkhianat negara.


Dalam menjual-buku-buku...Jo Yang Sun terjumpa dengan Kim Sung yeol (Lee Joon-gi) seorang pegawai penasihat bagi meminta bantuan Jo Yang Sun untuk mendapatkan beberapa buku penting.
  
Kim Sung yeol adalah seorang vampire yang telah hidup 150 tahun bagi memburu vampire Gwi dan hidup dalam kedukaan di atas kematian kekasihnya Lee Myung-hee (Kim So-eun). Raja Dinasti Joseon pula terpaksa bergantung hidup kepada vampire Gwi (Lee Soo-hyuk)untuk mempertahankan tahta dan kedudukannya. Vampire Gwi mengambil peluang ini untuk menguasai penduduk Joseon.


Sebenarnya yang jahat dalam drama ini ialah perdana menteri Choi Cheol-Joong (Son Jong-Hak)...yang ingin menaiki tahta merampas kedudukan  Raja Joseon. Pelbagai idea dilakukan bagi mencapai cita-citanya itu sehingga sanggup menggadaikan anaknya sendiri kepada Vampire Gwi. Anak perdana menteri juga mempunyai teknik tersendiri bagi meninggikan lagi tarafnya daripada bapanya itu. Akhirnya vampire Gwi mendapat tahu dan beliau sendiri mengangkat dirinya menjadi Raja Joseon.


Korang rasa berjaya tak Kim Sung yeol membunuh vampire Gwi nii dan dapat tak dia menjumpai manuskrip penting cara untuk menghapuskan vampire Gwi nii... Ada kalanya memang mendebarkan drama nii...sebab ada unsur suspen.

Semasa pengambaran ini dilakukan terjadi sedikit kecederaan kepada pelakon Lee Joon-gi dan Lee Yu-bi yang menyebabkan mereka dirawat di hospital. Walau pun drama ini kurang menarik minat aku tetapi tiga orang pelakonnya Berjaya memenangi anugerah.


Pengarah bagi drama Scholar Walk At Night ini ialah Lee Sung-joon dan penulis skripnya pula Jang Hyun-joo. Yang aku suka pada drama ini ialah lagu-lagu yang dimainkan memang terasa romantik dan mendamaikan jiwa. Aku bagi 2.5/5 bintang untuk drama Korean ini.

Sekian.

Wednesday, 26 April 2017

Istana Ampang Tinggi Mempunyai Bumbung Melentik Yang Melambangkan Keuntungan Dan Keutuhan Masyarakat Negeri Sembilan

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Istana kayu yang menarik minat aku selain Istana Seri Menanti ialah Istana Amapang Tinggi. Kebetulan semasa aku membuat tugasan pemeriksaan ke atas istana ini...aku dapat melihat dengan lebih dekat akan senibinanya. Walaupun kecik dan tidak padan dengan title istana...tetapi cukup cantik bangi aku. Kadang-kadang terfikir oleh aku...masih adakah lagi insan yang berseni dan pandai bertukang di zaman ini.

Istana Ampang Tinggi ini terletak di Taman Seni Budaya, Seremban dan ianya dipamerkan sebagai khazanah negara. Istana ini dibina kira-kira pada tahun 1861 oleh Yamtuan Imam di Kampung Ampang Tinggi Seberang, Tanjung Ipoh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.



Istana ini dibina untuk dihadiahkan kepada puterinya Tengku Chindai. Istana ini digunakan sebagai pusat pentadbiran dan kediaman diraja. Kerja-kerja pembinaan istana ini memakan masa beberapa tahun. Sehingga kemangkatan baginda pada tahun 1869, istana ini masih belum dapat disiapkan sepenuhnya. Kemudiannya kerja pembinaan istana ini disambung sehingga selesai oleh menantu baginda, Tengku Muda Chik pada tahun 1870.



Istana ini didiami oleh pasangan tengku Muda Chik dan Tengku Chindai sehingga Tengku Chindai mangkat pada tahun 1910. Setelah itu, istana ini didiami oleh saudara terdekat iaitu Wan Isam sehingga tahun 1930. Bagaimana pun istana ini terbiar setelah Wan Isam berpindah dan pada tahun 1953 istana ini telah usang dan tidak beratap.



Dalam tahun 1953, satu penyelesaian telah dibuat utnuk melakukan kerja-kerja pemuliharaan ke atas istana ini untuk dijadikan sebuah Muzium Negeri di tapak baharu di Taman seni Budaya, Seremban. Muzium ini selain mempamerkan keindahan dan keunikan senibinanya, khazanah-khazanah negeri seperti tombak, keris, pedang, barang-barang tembaga dan perak juga turut dipamerkan.



Rekabentuk Istana Ampang Tinggi ini tidak banyak bezanya dengan bentuk rumah tradisional Melayu di Negeri Sembilan. Istana ini juga diperbuat daripada kayu cengal tanpa menggunakan sebarang paku. Secara kasarnya, istana ini bertiang, berlantai tinggi dari tanah, berbumbung panjang, bertebar layar dan lain-lain serta boleh dipasang rembak iaitu dirombak semula dan dipasang kembali di tapak lain tanpa merosakan mana-mana bahagian.



Ukiran yang diterapkan pada bangunan ini mempunyai maksud yang tersendiri antaranya membawa maksud ‘seia sekata’ dalam Bahasa Minangkabau. Bingkai pula membawa motif yang tersendiri antaranya ‘itik pulang petang’ dan ‘si tampuk manggis’. Fungsinya adalah untuk membataskan antara dua motif pola induk dan pengisi ruang kosong. Dinding dihiasi dengan ukiran seperti ukiran tebuk tembus.



Sambungan pada panel ukiran dan bingkai ukiran menggunakan sistem tanggam dan dikukuhkan dengan pasak. Istana ini mempunyai keunikkannya yang tersendiri antaranya ialah asas tiangnya yang dibina daripada batu sungai yang ditanam separuh di dalam tanah.



Selain itu, terdapat juga rumah dapur yang di kelilingi oleh pelantar yang tidak mempunyai dinding. Pada rumah ibu pula terdapat bilik peraduan yang diasingkan dari rumah ibu yang ditinggikan hampir sama dengan bumbung. Lantai dan dinding diperbuat daripada kayu cengal.



Pintu gelangsar digunakan untuk tujuan pertahanan daripada serangan musuh dan supaya ianya senang ditutup. Pintu dan elemen bukaan lain yang terdapat pada istana ini selain membolehkan angin keluar masuk tanpa halangan ia juga berfungsi sebagai hiasan. Bumbung istana ini hampir sama dengan bumbung rumah Minangkabau iaitu berbentuk melentik, yang melambangkan keuntungan dan keutuhan masyarakat Negeri Sembilan.


Istana Ampang Tinggi dan Rumah Contoh Negeri Sembilan yang terletak di Muzium Negeri, Seremban telah diangkat sebagai bangunan warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 [Akta 645]. Bersempena dengan pengiktirafan kedua-dua istana dan rumah bersejarah ini juga telah diadakan satu majlis simbolik penyerahan plak Warisan tersebut di mana Encik Aziz bin Haji Mohd Gorip, Kurator Bahagian Pengurusan Muzium Lembaga Muzium Negeri Sembilan mewakili Y.Bhg Drs. Shamsuddin bin Ahmad, Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan manakala Encik Nik Redzuan bin Salleh mewakili Jabatan Warisan Negara.



Menurut Y.Bhg Drs. Shamsuddin bin Ahmad kriteria pemilihan Istana Ampang Tinggi dan Rumah Contoh Negeri Sembilan sebagai bangunan warisan oleh Jabatan Warisan Negara adalah berdasarkan kepada usianya yang mencecah 100 tahun dan keunikan ciri-ciri senibina yang dimiliki oleh kedua-dua istana dan rumah ini. Sebelum ini katanya lagi Istana Lama Seri Menanti dan Sekolah Menengah King George V juga telah diangkat sebagai bangunan warisan.



Rasa macam tak puas jer menatap keindahan seni pertukangan pada Istana Ampang Tinggi ini. Ada kemungkinan aku akan datang melawatnya untuk kali ke dua sebab aku pun tidak pernah lagi untuk melihat pameran yang ada di dalam Muzium Seremban ini.

Sekian.

Tuesday, 25 April 2017

Homemade Aiskrim.....Mudah Jerr....Jom Buat Sendiri...

Assalammualaikum dan  Salam Sejahtera,


Hai korang... entri hari nii aku nak ajar korang cara-cara untuk buat aiskrim.. mudah jer tau. Rasanya pun memang sedap. Lepas nii korang tak payah beli dah aiskrim kat luar tuu...buat jer sendiri kat rumah dengan adik-beradik, hubby, anak-anak atau pun kengkawan. Yang paling bestnya..memang confirm jadi punya...so korang jangan laa risau.



Aiskrim yang telah siap dihias dengan biskut oreo


First sekali... korang kena beli dessert topping nii...(korang boleh tengok gambar kat bawah tuu). Aku beli tuu kotak kecik...harga dalam RM 8...boleh buat 2 jenis perisa kalau ikut resepi yang aku bagi tuu....untuk seorang ke 2 orang makan jer.




Kalau kotak besar...harga lebih kurang RM 14...boleh buat 4 jenis perisa dan sesuai untuk family yang besar.


Bahan-bahan untuk membuat aiskrim coklat oreo



Kemudian beli jer 1 kotak susu dutch lady...ikut pada perisa apa yang korang suka. Kalau korang nak vanilla...korang guna perisa susu jer. Aku nak perisa coklat sebab tu aku beli dutch lady yang berperisa coklat.



Secara asasnya...guna dua bahan nii ajer..iaitu dessert topping dan juga susu dutch lady kotak. Oh yaa lupa pulak aku nak bagi tahu....dessert topping nii ada banyak jenis...korang jangan plak main beli jerr...pastikan korang beli yang untuk dessert atau kek jer. Jangan plak beli yang digunakan untuk salad dan sebagainya. Karang tak jadi pulak aiskrim korang...


Biskut oreo yang telah dihancur kasar

Hari nii aku nak buat yang perisa coklat oreo...so kena laa guna oreo lebih kurang 8 keping. Aku hancurkannya kasar-kasar supaya bila makan terasa laa oreonya tuu...macam aiskrim yang mahal-mahal tuu...ceewaah.

Speedy Chef jenama Tupperware

Cara nak buatnya mudah jerr......mula-mula korang putarkan dessert topping tuu hingga kembang....pastu korang masukkan 200ml susu coklat dutch lady bersamaan dengan 1 kotak. Kemudian putarkan sehingga sebati. Kalau korang nak manis...korang boleh tambah sedikit gula tapi aku tak suka manis. Resepi nii just nice jer sebab dah ada manis oreo dan juga susu coklat. Aku guna speedy chef jenama Tupperware...korang boleh laa guna mixer atau pun blander.


Dessert Topping yang telah diputar kembang

Bila dah siap korang masukkan dalam bekas yang sesuai atau tupperware... Kemudian taburkan kepingan oreo yang dah hancur tu...aku juga lapiskan dengan kepingan oreo sebab aku nak oreonya lebih terasa...aku suka macam tuu. Lagi satu aku suka masukkan dalam bekas yang kecil-kecil supaya mudah aku nak makan sedikit-sedikit....dengan bahasa mudahnya...untuk sekali makan.


Last sekali aku taburkan chip koko. Korang boleh juga taburkan coklat rice yang warna warni kat atasnya untuk lebih menarik...ikut laa pada kreativiti korang. Kemudian bolehlah korang simpannya di tempat freezer peti sejuk....aku simpan satu hari...tapi member aku kata dalam 2 jam dah boleh makan aiskrim tuu.

Dessert Topping dan susu perisa coklat yang telah diputar sehingga sebati

Resepinya secara ringkas
Bahan-bahannya
250ml dessert topping
200ml susu kotak dutch lady perisa coklat (1 kotak - perisa ikut suka)
sedikit gula kalau korang nak manis (aku tak suka manis)
8 keping biskut oreo - dihancur kasar
chip koko - hiasan

Cara-cara membuatnya
  • Putarkan dessert topping sehingga kembang
  • kemudian masukkan susu coklat dan putar sehingga sebati
  • apabila dah siap, masukkan bancuhan tadi kedalam bekas dan ditaburkan dengan biskut oreo yang telah hancur dan chip koko
  • simpan di freezer peti sejuk sehingga beku atau setengahari.

Bahan-bahan untuk hiasan

Betul tak aku cakap!! Mudah jer kan nak buat aiskrim nii...tak perlu pakai telur pun. Aku buat 1st time pun dah jadi.. seronok betul. Member rumah pun seronok. Lepas nii nak buat perisa strawberry pulak! Selamat mencuba yea...


Sekian.

Istana Lama Seri Menanti Didirikan Mengikut Pengaruh Masyarakat Minangkabau Dengan Mempunyai 99 Tiang Dan 4 Tiang Seri

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Hai korang semua apa khabar... Aku kat sini sihat-sihat ajer. Jom aku bawa korang semua melawat ke satu bangunan ikon di Negeri SembilanDah lama aku teringin sangat nak menjejakkan kaki ke Istana Lama Seri Menanti yang cantik senibinanya ini. Kebetulan plak bos aku ajak singgah jab untuk tengok kerja-kerja pemuliharaan ke atas istana lama ini. Macam pucuk dicita ulam mendatang...memang seronok giler aku. Tapi yang menyedihkan, aku dengar istana ini ditutup kepada pengunjung untuk sementara waktu...maknanya aku hanya dapat tengok dari luar jer laa...adusss sedihnya...mungkin bukan rezeki aku kali nii. InsyaAllah ada masanya nanti.


Pandangan sisi hadapan Istana Lama Seri Menanti
Aku memang kagum giler dengan reka bentuk istana ini...tak kelip mata aku memandang keindahannya. Jom kita kenali tentang istana ini....Istana Seri Menanti di Kuala Pilah, Negeri Sembilan ialah istana yang diperbuat daripada kayu yang menjadi kediaman rasmi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan sekitar tahun 1900an. Memandangkan ia merupakan suatu warisan sejarah, istana ini telah ditukar fungsinya menjadi Muzium Diraja.

Istana ini didirikan mengikut pengaruh masyarakat Minangkabau yang sangat unik dan juga pengaruh Siak. Nama Istana Lama Seri Menanti  ini diilhamkan dari sebuah nama daerah di tengah Bukit Tempurung di mana Istana Lama Seri Menanti ini ditempatkan. Nama ‘seri menanti’ berasal dari sebuah kisah kedatangan orang Minang dari daerah Paya Kumbuh ke Negeri Sembilan yang dipimpin oleh Datuk Putih.


Kononnya Datuk Putih memiliki ilmu alam ghaib tingkat tertinggi. Suatu ketika, dia mendapati jejak seekor naga yang diyakini akan memberikan keuntungan. Dia mengikut dan menelusuri jejak naga itu. Beberapa saat kemudian dia bertemu tiga pohon padi dengan posisi seperti orang duduk menanti datangnya sesuatu. Maka kemudian Datuk Putih menamakan daerah ini dengan nama ‘Padi Menanti’. Akan tetapi, pemimpin rombongan kemudiannya menggantikan nama 'padi' kepada 'seri', sesuai dengan nama isterinya. Maka nama daerah ini berubah menjadi Seri Menanti.
Pandangan sisi kiri Istana Lama Seri Menanti

Sejarah bagi mendirikan Istana Lama Seri Menanti ini berkait rapat dengan hubungan antara kerajaan Negeri Sembilan dengan penjajah Inggeris. Pada tahun 1875, dalam peperangan yang dikenali dengan Perang Sungai Ujong, pasukan Inggeris telah membakar habis Istana Pulih iaitu istana Negeri Sembilan yang pertama.

Pandangan sisi belakang Istana Lama Seri Menanti

27 tahun kemudian iaitu pada tahun 1902, Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhammad Shah ibni Almarhum Tuanku Antah (Sultan ke VII yang memerintah pada 1888-1933) mengemukan dua orang arkitek, Kahar dan Taib bagi memimpin pembinaan istana baru ini di atas tapak yang sama. Tapak yang dipilih adalah di kawasan Tanah Datar Seri Menanti iaitu Ampang Rambai. Pemilihan tapak yang sesuai telah dibuat semasa pemerintahan Raja Melewar.

Ukiran yang terdapat pada tiang dan lambai-lambai

Pelan asalnya telah direka oleh Kadar dan Taib. Tukang Kahar telah dianugerahkan dengan gelaran Dato’ Panglima Sultan oleh Tuanku Muhammad kerana khidmat beliau. Pelan istana ini kemudiannya telah diperincikan semula oleh Ketua Pelukis Pelan, Mr. Woodford dari Jabatan Kerja Raya Seremban dan telah diluluskan pada November 1902 oleh Jurutera Negeri dan Residen British.

Pameran terbuka yang disediakan di bahagian bawah Istana Lama Seri Menanti ini.

Istana Lama Seri Menanti merupakan istana yang unik dan terbesar di dunia yang pernah dibina oleh manusia dengan menggunakan bahan kayu. Ia dibina pada 1902 dan siap pada 1908. Istana ini dirasmikan oleh DYMM Yang di-Pertuan Muhammad Ibni Almarhum Yamtuan Antah. Baginda telah bersemayam di istana ini sehingga tahun 1931 dan kemudiannya baginda berpindah pula ke istana baru yang dibina berhampiran dengan istana ini.


Istana ini didirikan setinggi empat tingkat serta dihiasi dengan ukiran yang terdapat pada tiang-tiang dan lambai-lambai. Prinsip rekabentuknya adalah simetri yang mementingkan keseimbangan di peringkat pelan, tampak, ukiran dan butiran lukisan, struktur dan perancangan tapak. Penyusunan ruang juga seimbang dimana ruang yang terdapat di sebelah kanan istana juga ada terdapat di sebelah kiri.


Ia mempunyai empat tingkat yang mempunyai fungsi tersendiri mengikut falsafah adat Minangkabau “adat bersendikan syarak, syarak bersendikan Kitabullah, syarak mengata, adat memakai”. Tingkat pertama merupakan pusat pemerintahan Yang Dipertuan Besar yang dilengkapi dengan singgahsana dan balai menghadap. Tingkat kedua adalah ruang keluarga diraja termasuk tempat bersemayam untuk kerabat diraja. Tingkat ketiga dikhaskan untuk bilik beradu Yang Dipertuan Besar dan seterusnya tingkat keempat ialah ruang khas baginda beribadah dan menelaah. Tingkat keempat merupakan bahagian bangunan yang paling tinggi dan ia juga dikatakan sebagai tempat Yang Dipertuan Besar meninjau kawasan pemerintahan baginda di sekitar istana.




Istana ini mempunyai 99 batang tiang termasuk empat batang tiang seri yang panjangnya 67 kaki. Jumlah tersebut adalah berdasarkan jumlah 90 orang pegawai dan hulubalang istana, manakala empat tiang seri adalah sempena tiga Orang Besar Istana dan isteri Raja Melewar. Keempat-empat tiang ini telah diambil dari Bukit Pergai, Jelebu. Kayu-kayu lain diambil dari Bukit Tinggi iaitu jenis kayu penak.



Keunikan istana ini ialah ia tidak menggunakan sebarang paku besi tetapi pakunya diperbuat daripada kayu yang dipanggil pasak. Pasak kayu keras digunakan bagi menyambungkan papan. Atap istana ini mewakili tanduk kerbau. Tanduk kerbau dianggap sebagai lambang keamanan.

Ukiran yang diterapkan pada istana ini mempunyai maksud yang tersendiri, antaranya membawa maksud 'seia sekata' dalam masyarakat Minangkabau. Secara keseluruhannya pola ukiran pada tiang, tingkap dan pintu besar menggunakan motif alam semulajadi seperti bunga, daun, akar dan buah yang biasanya dikenali sebagai 'awan larat'. Bentuk garisan berlingkar dan bersegi merupakan asas kepada ukiran Minangkabau seperti ukiran 'bunga kelok paku' dan 'kayu tampuk manggis'. Sebanyak 48 tiang dan lambai-lambai juga yang diukir dengan ukiran 'tebuk timbul sederhana'.

Papan penerangan yang dibina oleh Kementerian Pelancongan
Istana ini telah digunakan untuk upacara mengadap yang diadakan tiga tahun sekali. Pada tahun 1926, Pesuruhjaya Tinggi, Sir Lawrence Gullmard telah turut hadir dalam upacara tersebut. Istana ini juga pernah digunakan oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan untuk dijadikan Sekolah Menengah Agama Tinggi pada tahun 1959 sehingga tahun 1964.
Bangunan tambahan yang terdapat di bahagian belakang Istana Lama Seri Menanti

Kemudian istana ini dibiarkan kosong tanpa penghuni sehingga pada tahun 1992, atas kesedaran DYMM Tuanku Jaafar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman, Istana ini dengan rasminya diwartakan sebagai 'Muzium Diraja'. Perasmiannya telah dilakukan pada 14 Julai 1992 bersamaan 14 Muharram 1413 Hijrah.

Ukiran timbul pada tiang yang dicat dengan warna emas
Pengurusan Muzium Diraja adalah di bawah pentadbiran Muzium Negeri, Negeri Sembilan. Mulai saat inilah Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti telah bertukar wajah dengan mempamerkan koleksi-koleksi keluarga Diraja. Setiap ruang telah diisi tanpa mengubah bentuk asal istana bagi menerangkan fungsi ruang-ruang tersebut. Penambahan bahan koleksi Muzium akan dilakukan dari semasa ke semasa dengan kerjasama pihak istana.




Pameran Pameran Muzium Diraja Seri Menanti


BALAI RONG SERI


Ruangan ini merupakan tempat takhta kerajaan. Di ruangan ini terdapat dua batang seludang dari Minangkabau yang dipegang oleh pengawal. Ianya juga terdapat 7 anak tangga. Di anak pertama dari atas adalah tempat duduk bagi Dato' Seri Amar Diraja, dihadapannya pula tempat duduk Dato' Raja DiWangsa. Anak tangga yang kedua pula adalah tempat Dato' Dagang dan dihadapannya Dato' Akhir. Di anak ketiga hingga keenam adalah tempat duduk Pegawai Penghulu Luak.


Di tangga yang ketujuh ianya dikosongkan. Dibahagian bawah sekali adalah tempat orang-orang mengadap seperti Penghulu Luak yang Empat iaitu Muar, Jempol, Terachi dan Gunung Pasir juga ahli-ahli Lembaga, ahli mengadap yang lain ialah lapan belas orang disebelah kiri dan dan dibahagian kanan seramai lapan belas orang. Pengapit bagi Tuanku adalah Dato' Gajah manakala Dato' Mangku adalah pengapit bagi Tuanku Ampuan. Di ruangan ini perhiasan dinding pula terdapat gambar-gambar berkaitan kerabat Istana.



BALAI RAJA MUDA


Di bahagian ini tempat Raja Muda dan isteri duduk melihat ayahanda dan bonda menjalankan upacara. Mereka diapit oleh dua orang pengawal. Ia juga dihadiri oleh kerabat diraja dan juga para undangan. di bahagian dinding terdapar gambar-gambar berkaitan.


BILIK BERADU


Bilik ini adalah bilik beradu Tuanku bersama Tuanku Ampuan. Dibilik ini terdapat sebuah katil, almari pakaian, almari perhiasan (solek) juga terdapat sebuah meja kecil dan dua buah kerusi. Kesemua pakaian dan perhiasan diri disimpan di dalam bilik ini. Dibahagian dinding terdapat gambar-gambar berkaitan.


RUANG SANTAPAN


Terdapat satu unit meja yang mempunyai 20 unit kerusi. Di kiri dan kanan ruangan ini terdapat dua buah almari di mana di sini (almari) disimpan beberapa buku rujukan untuk para tetamu. Ruangan ini merupakan tempat para tetamu berbincang juga tempat mereka bersantapan. Di bahagian belakang ruangan ini terdapat jalan untuk pergi kebelakang dapur. Di sebelah kanan terdapat satu rak setinggi tiga tingkat. Di bahagian atas rak yang bertutup tempat untuk meletak gulai atau segala jenis lauk pauk. Ruangan ini juga mempunyai hiasan dinding seperti gambar-gambar dan sebagainya.


Papan penerangan bagi kerja-kerja pemuliharaan yang sedang dijalankan


Menurut Pemangku Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Aziz Mohd Gorip, Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti ditutup untuk tempoh tiga tahun berikutan kerja-kerja baik pulih dan naik taraf dilakukan. Kerja-kerja baik pulih fasa pertama yang melibatkan penggantian empat tiang seri telah bermula 1 Disember 2016 dan dijangka siap pada Mei 2018.


Apabila fasa pertama siap, kerja-kerja fasa kedua yang melibatkan tiga komponen akan dilaksanakan selepas itu iaitu baik pulih keseluruhan bangunan, kerja-kerja pengisian pameran serta menaik taraf landskap dan kemudahan persekitaran. Kerja-kerja fasa kedua ini juga jangkakan akan mengambil masa setahun ke setahun enam bulan untuk disiapkan. Kerja-kerja konservasi (baik pulih dan naik taraf) ini mengambil masa lama kerana ia tidak boleh dibuat tergesa-gesa, apatah lagi bangunan ini merupakan bangunan yang telah mendapat pengiktirafan sebagai bangunan Warisan Kebangsaan. (sumber: buku seni bina warisan & laman web Muzium Diraja Istana Seri Menanti)

Semoga istana ini kekal terpelihara untuk tatapan generasi akan datang sebagai lambang kepada kesultanan Melayu. Aku juga berharap aku dapat menjejakkan kaki lagi ke sini untuk menerokai hiasan dalamannya pula...

Sekian.