Sunday, 19 March 2017

Kompleks Sejarah Matang Penuh Dengan Bahan Sejarah

Assalammualaikum dan  Salam Sejahtera,

 
Hai korang semua. Apa khabar hari nii? Jom ke Tepeng. Tempat bersejarah yang boleh korang kunjungi sekiranya korang ke Taiping ialah sebuah kawasan yang bernama Matang. Kat Matang nii banyak tempat yang boleh korang pergi...salah satunya adalah Kompleks Sejarah Matang. Terletak tidak jauh dari simpang empat Taiping....kira-kira tak sampai 10 minit perjalanan dengan menaiki kereta untuk ke komplek ini.

Kompleks ini merupakan sebuah kota yang dibina daripada batu-bata yang diangkut dari Gunung Hijau, Taiping. Di dalamnya terdapat rumah, pejabat pentadbiran, makam Ngah Ibrahim dan kubu pertahanan.  Kota ini lebih dikenali sebagai Kota Ngah Ibrahim  iaitu menteri Larut pada ketika itu.



Kompleks ini telah dibina oleh Ngah Ibrahim yang bergelar Orang Kaya Menteri Paduka Tuan yang merupakan anak kepada Cek Long Jaffar iaitu orang Melayu pertama tahun 1840 membuka perusahaan lombong bijih timah di kawasan Larut, Matang dan Selama. Dahulu Matang dikenali dengan nama Permatang.


Kini Kompleks ini telah dijadikan Muzium Matang  di kawasan seluas 0.8094 hektar. Muzium ini merupakan bangunan dua tingkat daripada bahan batu bata di tingkat bawah dan kayu di bahagian atas.




Kota ini dijadikan muzium bermula pada tahun 1985, setelah ianya diserahkan kepada Jabatan Muzium Malaysia yang dahulunya dikenali sebagai Jabatan Muzium dan Antikuiti.

Koleksi muzium ini terdiri daripada semua jenis artifak berhubung kait dengan kronologi penubuhan muzium ini sendiri. Pameran tetap muzium memperagakan artifak berhubungkait dengan kronologi penubuhan bangunan dan penggunaan bangunan itu sendiri bermula daripada keluarga Cek Long Jaffar, Ngah Ibrahim, Pemerintahan Inggeris, Pendudukan Jepun, Maktab Latihan Perguruan Melayu Matang dan Sekolah Melayu.


Kota ini asalnya merupakan sebuah pusat pentadbiran bagi Daerah Larut yang pada ketika itu menjadi jajahan takluk di bawah kuasa Ngah Ibrahim. Kota ini dibina dalam tahun 1854. Kota ini mempunyai tembok batu sepanjang 131 meter dan lebar 110 meter.  Di dalam kawasan kota ini.... Ngah Ibrahim telah membina sebuah rumah besar yang menjadi kediaman rasmi beliau. Sebuah bangunan setor pula digunakan sebagai tempat bagi menyimpan bijih timah.


 
Selepas Ngah Ibrahim dihukum dan buang negeri, Kota Ngah Ibrahim diambil alih oleh pihak British. Ia digunakan sebagai kediaman rasmi Kapten Tristam Speedy iaitu Penolong Residen disamping digunakan sebagai bangunan mahkamah untuk perbicaraan Datuk Maharajalela dan Datuk Sagor atas tuduhan membunuh Residen British pertama di Perak iaitu J.W.W. Birch . Mereka didapati bersalah dan menjalani hukuman gantung di hadapan Kota Ngah Ibrahim ini pada 21 Januari 1877.


 
Long Jaafar pula adalah bapa kepada Ngah Ibrahim dan pada tahun 1840, Long Jaafar merupakan orang yang pertama menjumpai bijih timah di Malaysia iaitu di Larut, Perak. Kerja-kerja melombong menggunakan teknik melampan daripada mangkuk sebesar kuali yang dibuat daripada bahan kayu. Sesetengah tempat pula memanggilnya teknik mendulang.


Kekayaan Long Jaafar melimpah kepada Ngah Ibrahim yang dilantik sebagai Menteri Jajahan Larut oleh Sultan Abdullah selaku Sultan Perak. Setiap tahun Ngah Ibrahim dimestikan untuk membayar sejumlah wang bayaran kepada Sultan Perak.

Pada tahun 1874, Perjanjian Pangkor ditandatangani di atas kapal HMS Pluto bagi mendamaikan sengketa pelombong bijih timah yang tidak terkawal oleh Ngah Ibrahim. Perjanjian ini memberi kesan yang besar kepada Menteri Ngah Ibrahim kerana beliau tidak lagi mempunyai kuasa bagi mengutip cukai daripada setiap tauke dan pelombong bijih timah.


Perancangan untuk membunuh JWW Birch di Pasir Salak menyebabkan Ngah Ibrahim dibuang ke Pulau Seycheles di benua Afrika. Beliau merayu untuk pulang semula ke Larut tetapi rayuannya telah ditolak. setelah berkali-kali merayu..... akhirnya rayuannya diterima dan dihadkan di Singapura.


Setelah Ngah Ibrahim meninggal dunia di Singapura pada 4 Februari 1895, Kota ini diletak dibawah pengawasan pentadbiran Inggeris sehingga ianya dijadikan sebagai Maktab Perguruan Melayu Matang (1913-1922). Selepas itu dijadikan pula sebagai Sekolah Melayu (1913-1941).
Semasa zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu (1941-1945) ianya berperanan sebagai Markas Tentera Jepun. Selepas Jepun menyerah kalah dan berakhirnya Perang Dunia Kedua tahun 1946, ianya dijadikan semula sebagai Sekolah Melayu (1945-1984) dan akhirnya dijadikan sebagai Muzium Matang sehingga kini.

Sekian.

No comments:

Post a comment