Saturday, 25 March 2017

Bekas Pejabat Daerah Dan Jabatan Ukur Seremban Bercirikan Senibina Kolonial

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,


Hai korang... Apa khabar semuanya hari nii? Ceria tak hari nii? jangan moody-moody...nanti cepat tua...haa...haa..haa... Jom ikut aku ke Negeri Sembilan tengok bangunan sejarah. Salah satu bangunan kolonial yang menarik di Seremban ialah....Bangunan Bekas Pejabat Daerah Dan Jabatan Ukur ini dibina pada tahun 1912 semasa Negeri Sembilan dibawah pemerintahan British. Pada masa itu, Kapten Murray merupakan Residen British dan bangunan ini dijadikan kediaman pegawai British yang bertugas di sini.


Bangunan ini bersebelahan dengan Bangunan Setiausaha Kerajaan serta berhampiran dengan Taman Bunga dan Istana Hinggap. Bangunan ini mempunyai ciri-ciri senibina kolonial dengan dua aras ketinggian yang menggunakan batu-bata merah dan lantai di aras duanya menggunakan kekemasan kayu.


Senibinanya dipengaruhi rekabentuk Victorian neo-renaissance dengan menonjolkan hiasan Greek dan Roman pada tiangnya. Bangunan ini kemudiannya digunakan sebagai Pejabat Daerah Dan Tanah Seremban.


Pada tahun 2007, bangunan ini diduduki oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Negeri Sembilan apabila Pejabat Daerah Dan Tanah Seremban berpindah ke Seremban 2. Bangunan ini dikenali sebagai Kompleks Kraf Negeri Sembilan. Majlis perasmiannya telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim menteri Penerangan, Komunikasi Dan Kebudayaan (KPKK) pada 22 Mac 2007.


Bangunan ini pernah dipulihara di bawah peruntukan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan. Pihak kerajaan negeri menyerahkan bangunan ini kepada Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Negeri Sembilan adalah bertujuan untuk membantu para usahawan kraf memasar dan menjual produk-produk kraf keluaran mereka.


Disamping itu, pelbagai aktiviti serta program pernah dijalankan di Kompleks Kraf Negeri Sembilan ini seperti pameran, jualan, demostrasi, interaktif kraf dan promosi-promosi bagi menarik minat ramai pengunjung dan pelancong tempatan serta antarabangsa berkunjung ke sini dengan tidak langsung mereka dapat melihat sendiri hasil buatan usahawan tempatan.


Kompleks Kraf Negeri Sembilan yang terletak di Jalan Dato’ Abdul Kadir, Seremban, Negeri Sembilan dengan rasminya ditutup mulai 1 September 2013 dan berpindah ke K.M. 1.6 Jalan Seremban, Kuala Pilah. Bangunan ini kemudiannya diserahkan semula kepada Kerajaan Negeri dan telah setahun kosong tanpa penghuni. Ada beberapa jabatan yang memohon untuk menduduki bangunan ini tetapi mungkin disebabkan faktor kewangan menyebabkan bangunan ini terbiar kosong.



Bangunan Bekas Pejabat Daerah Dan Jabatan Ukur ini telah diwartakan dibawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) apabila Akta Bendapurba dimansuhkan. Jabatan Warisan Negara telah mengiktirafkan bangunan ini sebagai Bangunan Warisan dengan no. Warta P.U. (B) 357 dan pemasangan plak telah dilakukan semperna pengiktirafan ini pada tahun 2013.

Sekian.

No comments:

Post a comment