Tuesday, 7 February 2017

"Teratak Sireh Pinang...." Rumah Tradisional Melaka...Memukau Mata Yang Memandang...

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,


Cantikkan rumah tradisional Melaka nii...first time aku tengok pun dah terpegun...dengan ukiran kerawangnya dan juga warna-warna terang yang terdapat padanya. Rumah ini diberi nama..."Teratak Sireh Pinang" kerana adat masyarakat Melayu dahulu yang akan menjamu tetamu yang datang ke rumah dengan sireh dan juga pinang. Selain itu, adat Melayu dahulu banyak menggunakan sireh dan juga pinang dalam majlis pertunangan mahu pun perkahwinan.


Ciri paling ketara pada Rumah Tradisional Melaka berbanding dengan rumah-rumah tradisional di negeri-negeri lain adalah tangganya yang diperbuat daripada simen beserta hiasan jubin yang mengindahkan lagi bentuk tangga tersebut. Biasanya ia dibina dalam bilangan 3, 5, 7, 9 atau 11 anak tangga dengan hiasan jubin yang di import dari China, Eropah seperti Holland dan Jepun. Tangga batu juga merupakan lambang status penghuninya suatu ketika dahulu serta menceriakan rekabentuk rumah pemilik tersebut.
 


Teratak ini terletak di Kampung Sri Pinang A,  kira-kira 15 kilometer dari Bandar Hilir Melaka. Berhampiran dengan Klebang Beach Resort....Dataran Pantai Klebang 1 Malaysia...Muzium Kapal Selam....Makam Hang Tuah...Pantai Kundur....Kuih Keria Antarabangsa dan juga Coconut Shake Pantai Klebang. Kedudukannya memang strategik kan...kan...kan..


Tetapi sayangnya korang memang takkan dapat lihat teratak ini melalui jalan raya utama kerana kedudukan rumah ini agak tersorok sedikit kerana terdapatnya rumah lain di hadapan teratak ini sebab itu tidak ramai yang tahu akan kewujudan teratak ini. 
 
  
Teratak Sireh Pinang ini pada asalnya terletak di Kampung Sri Pinang B dan telah dipindahkan secara bergotong-royong dengan mengangkatnya beramai-ramai ke Kampung Sri Pinang A. Kemudian sekali lagi dipindahkan ke tapak sekarang kerana telah dijual kepada pemilik sekarang.


Teratak Sireh Pinang ini kalau tak salah aku merupakan rumah jenis Berbandung Dua, iaitu terdiri daripada dua belas batang tiang utama yang terdiri daripada komponen rumah ibu dan rumah tengah.
 

Banyak perubahan telah dilakukan ke atas teratak ini untuk keperluan masa kini antaranya struktur tangganya yang telah ditukar dengan rekabentuk tangga rumah tradisional Melaka yang lebih menarik dengan jubin yang bermotifkan flora. Tangga yang asalnya adalah kosong dan tiada berjubin. Teratak Sireh Pinang ini mempunyai 11 anak tangga.



Pemilik asal teratak ini merupakan seorang guru tetapi telah meninggal dunia dan semua anak-anaknya pula telah berhijrah luar dari Melaka...so rumah ni dijualkan kepada pemilik sekarang yang juga merupakan seorang guru pendidikan khas. Sejarah pembinaan teratak ini tidak diketahui secara jelas kerana tiada rekod bertulis diperolehi tetapi gambar asalnya masih ada dalam simpanan generasi pemilik asal teratak ini.






Yang membuat aku kagum..... pemilik sekarang (Cikgu Hassan) sanggup mengeluarkan modal sendiri bagi kerja-kerja baikpulih teratak ini kerana cinta beliau ke atas seni warisan Negeri Melaka sangat tinggi. Beliau juga mengumpul sedikit demi sedikit hiasan lama untuk dijadikan hiasan ruang dalaman rumah ini.



Teratak Sireh Pinang ini menggunakan ciri Rumah Bumbung Panjang Melaka di mana tulang perabungnya lurus mendatar dan letaknya memanjang mengikut saiz rumah. Di muka tepi dindingnya dipasang tebar layar. Tutup bumbungnya adalah dari jenis lipat kajang dengan kecuraman antara 50 darjah hingga 60 darjah dan dinamakan tara. Di bawah tutup bumbung yang berlipat kajang tersembunyi ruang khas yang dinamakan loteng.


Lotengnya sangat luas untuk menyimpan barang dan juga dijadikan tempat tidur anak-anak dara pada zaman dahulunya.
 



Teratak ini mempunyai tebar layar bermotifkan bunga dan papan pemuka berkerawang yang ringkas tetapi tetap kelihatan cantik. Sayangnya kesan pengaruh luar yang datang menyebabkan bumbung teratak ini telah ditukar kepada jenis abesto. Setahu aku abesto adalah tidak sesuai digunakan dan ada sesetengah negara telah mengharamkan penggunaan abesto ini kerana tindakbalas kimia yang dikeluarkan memberikan kesan merbahaya kepada manusia.




Serambi teratak ini ada dua jenis iaitu serambi tertutup (berdinding) dan serambi terbuka (tidak berdinding) dimana kedudukannya agak rendah sedikit berbanding dengan serambi tertutup. Kekisi pula dipasang sebagai gantian pagaran selasar agar anak-anak tidak jatuh.

Serambi dan anjung yang tidak berdinding itulah yang membezakan Rumah Tradisional Melaka dengan rumah tradisional yang lain. Serambi adalah ruang untuk berehat dan melayan tetamu serta  meninjau aktiviti di hadapan rumah tersebut. Kayu jerejak di bahagian serambi juga mempunyai ukiran yang ringkas tetapi masih tetap menarik dipandangan mata.




Ruang utama dipanggil “Rumah Ibu” kerana bersempena menghormati peranan ibu sebagai pengelola rumah dan penyeri keluarga. Ibu juga dianggap mempunyai kedudukan yang mulia dan harus dihormati. Sesuai dengan namanya, fungsinya adalah sebagai tempat ahli-ahli keluarga beristirehat dan bersantai bersama. Ini jelas menunjukkan masyarakat Melayu amat mementingkan ikatan silaturahim antara ahli keluarga agar bahagia dan harmoni. Rumah Ibu mempunyai bumbung dan lantai yang tinggi. Ia juga menempatkan ruang terbuka dan juga sebuah bilik tidur.



Rumah dapur teratak ini telah dibina semula menggunakan batu-bata seperti kebanyakkan rumah tradisional Melayu sekarang. Perubahan dan penambahan ruang, direka bentuk supaya dapat menampung pelbagai aktiviti kehidupan harian tetapi susunatur ruang dalaman rumah masih mengekalkan heirarki ruang yang mempunyai kaitan dengan sosiobudaya dan kepercayaan orang Melayu.



Elemen hiasan/ kerawang di dalam pembinaan rumah-rumah tradisional, seni ukiran kayu bukanlah sekadar unsur hiasan semata-mata tetapi mempunyai fungsi yang lain yang disepadukan pada rumah-rumah tersebut. Hiasan seperti ukiran tebuk digunakan pada teratak ini bagi tujuan pengaliran udara dan juga sebagai unsur permukaan yang memisahkan antara ruang dalam dengan ruang luar.













Di samping itu, ukiran tersebut dapat melahirkan pola-pola yang menarik kalau korang lihat dari luar dan juga dari dalam teratak ini. Ukiran pola-pola tersebut juga terbahagi kepada beberapa jenis iaitu pola biasa, pola tebuk dan terukir. Motif yang selalu digunakan pada pola-pola tersebut mempunyai beberapa pengertian tertentu dan ada kaitan dengan aspek spiritual.




Di Tanah Melayu, motif ukiran lebih cenderung kepada penghayatan seni yang berteraskan prinsip keislaman dan ada juga yang berunsurkan tumbuh-tumbuhan, geometri dan kaligrafi. Hasil ukiran ini jelas menunjukkan kehalusan seni dan kemahiran pengukir kayu terdahulu yang masih kekal sehingga kini.



 


Teratak ini mempunyai beberapa buah pintu iaitu pintu hadapan rumah, pintu di pelantar (selang) dan pintu di belakang rumah. Pintu dan tingkap menjadi sebahagian daripada dinding. Tingkapnya pula memanjang ke lantai dan di bahagian bawahnya dipasang dengan kisi-kisi yang juga merupakan sebahagian dinding yang boleh dibuka katup dan berfungsi untuk pengedaran udara serta pencahayaan.






Yang membuatkan aku tertawan dan jatuh hati kat teratak ini.... selain rekabentuknya yang menarik... warna teratak ini jugak sangat istimewa bagi aku. Warnanya menyerlahkan lagi rekabentuk dan ukiran-ukiran yang terdapat pada dindingnya. Cuma aku kurang pasti kenapa warna biru muda dan kuning ini dijadikan pilihan. Mesti ada sebab-sebab yang tertentu. Bila aku ajukan pada Cikgu Hassan...beliau pun tiada jawapannya. Apa pun warna ini memang sangat menarik dan mempersonakan mata untuk memandangnya buat kali ke dua.  


 


Ahli keluarga Cikgu Hassan, terutama sekali ibu beliau, mempunyai kemahiran bagi menghasilkan sendiri produk orang kampung seperti belacan dan juga cencaluk secara tradisional. Mereka juga mempunyai sebuah gerai jualan bagi memasarkan produk tempatan tersebut di gerai no 46, tepi jalan besar Kampung Sri Pinang A, berhampiran dengan Pantai Klebang dan berhadapan dengan Klebang Beach Resort Melaka.






Kalau korang nak lihat teratak nii...korang cari jer gerai no 46 ni. Mereka sangat berbesar hati untuk jemput korang ke teratak tersebut.. InshaAllah Cikgu Hassan bercadang untuk menjadikan Teratak Sireh Pinang ini sebagai rumah inap desa (homestay) pada suatu hari nanti dan korang dapatlah merasa pengalaman menginap di Teratak Sireh Pinang ini. Semoga usaha beliau ini berjaya dan dapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan.


Udang Geragau di jemur hingga kering di bawah matahari
  
Bagi pelancong luar yang melawat Bandaraya Warisan Dunia ini, rumah tradisional Melaka menjadi perhatian mereka. Mereka terpegun melihat rekabentuk rumah kayu yang berserambi dan berbumbung panjang serta landskap halaman rumah yang lazimnya dihiasi dengan pelbagai jenis pokok bunga dan herba yang melambangkan budaya masyarakat Melayu desa berbanding rumah moden yang terdapat di sekitar bandaraya Melaka ini.


Kemudian udang geragau itu ditumbuk hingga lumat dan diampur dengan sedikit garam

Namun dengan peredaran zaman, rumah yang senibinanya dianggap berseni ini semakin pupus dan hanya terdapat beberapa buah sahaja yang masih kekal tetapi telah diubahsuai mengikut cara moden  dan dijadikan homestay seperti di Kampung Morten, Kampung Pengkalan Batu dan Bukit Palah kerana masyarakat sekarang menginginkan kediaman yang lebih moden lagi selesa.

Kebanyakkan Rumah Melaka di negeri ini telah dilakukan kerja-kerja pemuliharaan dan penyelenggaraan bagi meningkatkan kedatangan pelancong ke sini. Pemuliharaan Rumah Melaka dapat mengekalkan bangunan tersebut daripada musnah dan juga pupus.


Udang Geragau yang telah lumat ditumbuk itu, dibentuk menjadi bulat



Kerja-kerja baikpulih semula rumah terpilih di Kampung Morten yang dilaksanakan oleh pihak Perbadanan Muzium Negeri Melaka (Perzim) melalui peruntukan Kerajaan Negeri Melaka adalah satu usaha terbaik untuk memelihara warisan senibina Melayu Melaka supaya terus terpelihara.

Setelah dibentuk dijemur hingga kering...maka terjadilah belacan


Sebenarnya bagi aku....aku lebih suka melihat keaslian sebenar rumah-rumah tradisional ini tanpa ada penambahan moden yang ketara kerana ia mengingatkan aku pada waktu aku kecil-kecil dahulu. Kenangan manis ala-ala sweet sour laa yang sukar diperolehi pada masa kini....gitu...cia...cia...cia...

Pada waktu aku kecil dahulu...aku masih berpeluang untuk melihat orang membanting padi tetapi kini semuanya telah dilakukan dengan jentera. Memori inilah yang ingin kita kembalikan kepada generasi sekarang dan akan datang supaya mereka tahu bagaimana rupanya pokok padi.


Kalau dah banyak sangat tambahan baru pada rumah tradisional ini.... hilanglah keasliannya yang sebenar... dan mungkin jugak akan pupus suatu hari nanti. Semoga dengan adanya usaha seperti Cikgu Hassan ini... rumah tradisional Melaka ini akan terus kekal terpelihara untuk tatapan dan kegunaan generasi seterusnya.

 
Sekian.

6 comments:

  1. Rumahku syurgaku....banyak kenangan tersimpan

    ReplyDelete
  2. Rumahku syurgaku....banyak kenangan tersimpan

    ReplyDelete
  3. Alhamdulillah..ternyata ayahanda saudara seorang yang berfikiran jauh dan sangat mencintai Rumah Tradisional Melaka ini. Rumah ini memang sangat cantik dengan kehalusan seni ukirnya serta warnanya yang menyerlah. InshaAllah semoga rumah ini terus kekal terpelihara walaupun penyelenggaraannya memerlukan kos yang sangat tinggi.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Assalamualaikum.. ada sesiapa mengetahui tukang membuat tangga batu rumah melaka nii...

      Delete
  4. terima kasih. sbg org melaka, saya sgt suka pos ni. Tahniah dan terima kasih

    ReplyDelete
  5. terima kasih juga kerana sudi membaca blog saya yang tak seberapa nii

    ReplyDelete