Monday, 20 February 2017

Masjid Paloh Merupakan Masjid Lama Di Ipoh

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Hai korang semua... Jom ikut aku pergi ke negeri Perak untuk melihat masjid lama atau masjid yang tertua kat sana. Antara masjid lama yang terkenal di Ipoh ialah Masjid Kampung Paloh. Mengikut catatan sejarah, Masjid Kampung Paloh dibina oleh Orang Kaya-Kaya Dato’ Seri Adika Raja Wan Mohamed Salleh Bin Wan Abu Bakar pada tahun 1912. Wan Mohamed Salleh merupakan seorang Ketua Penghulu dan Pembantu Pemungut Hasil Tanah semasa pentadbiran Frank Swettenham. Kampung Paloh adalah penempatan awal di bandar Ipoh.

Pembinaannya di biayai oleh dua orang kaya ketika itu. Salah seorang daripadanya ialah Long Kassim. Sebagai menghargai jasa beliau, pentadbiran masjid telah diserahkan kepada keturunan beliau sehingga sekarang. Tapi sayangnya masjid ini telah mengalami perubahan sejak 2 tahun yang lalu...masjid ini telah diubahsuai dan ditambahbaikkan tanpa mengikut prosedur pemuliharaan (konservasi). Warna cat masjid ini pun telah ditukar daripada warna biru ke warna coklat sekarang. Secara kasarnya memang tiada perubahan besar dilihat daripada segi struktur masjid ini.



Meskipun Masjid Kampung Paloh telah dibaik pulih namun rekabentuk asalnya masih dikekalkan. Seperti menara lima tingkat dan kawasan perkuburan yang mempunyai atap yang unik masih dikekalkan dalam rekabentuk asal. Tempat wuduk masih mengekalkan tradisi lama iaitu menggunakan kolah yang luas.  Walaupun masjid ini telah mencecah usia 100 tahun, namun keadaannya masih teratur dan dijaga dengan baik.



Terdapat mihrab yang kecil dilengkapi dengan mimbar daripada kayu yang berukir yang kelihatannya masih lagi kukuh. Di hadapan masjid ini terdapat sebuah bangunan yang menempatkan Madrasah Sharifah mengambil nama salah seorang penanungnya iaitu Toh Puan Hajjah Sharifah Rodiah. Bangunan lama Madrasah Sharifah. Walaubagaimanapun, bangunan tersebut telah dirobohkan dan telah dibina dua buah bangunan baru ditempat yang sama … 


Dua bangunan baru yang dibina menggantikan bangunan lama yang telah terlalu uzur ... gambar kiri.  Papan tanda Masjid Paloh yang telah rosak, mungkin gara-gara vandalism dan tidak diganti ... Masjid Kampung Paloh dikelilingi oleh tanah perkuburan. Di bahagian kiri masjid terdapat beranda yang menempatkan beberapa makam orang-orang kenamaan ...
Dibahagian hadapan masjid (kiblat masjid) terdapat sebuah bangunan kecil yang menempatkan 3 makam. Makam yang paling tinggi yang terletak ditengah-tengah adalah makam  Y.M. Orang Kaya-Kaya Dato’ Seri Adika Raja Wan Mohamed Salleh Bin Wan Abu Bakar.

Menurut sejarahnya, apabila Seri Adika Raja ke Sembilan iaitu Seri Adika Raja Busu Sega mati dibunuh oleh British semasa perang di Perak, Toh Muda Meor Abdul Raof yang sepatutnya menggantikan beliau menjadi Seri Adika Raja tidak dilantik ke jawatan tersebut. Untuk tempoh hampir sepuluh tahun, jawatan Seri Adika Raja tidak diisi. Hanya selepas tahun 1880an, Wan Muhammad Salleh Bin Wan Abu Bakar telah dilantik menjadi Seri Adika Raja yang ke sepuluh. Wan Muhammad Salleh adalah anak kepada Busu Atikah iaitu adik bungsu kepada Toh Muda Meor Abdul Raof.
 Sebagai Seri Adika Raja yang ke sepuluh, Wan Mohammad Salleh telah memainkan peranan yang penting dalam pentadbiran kerajaan Perak ketika itu sehingga beliau menjadi orang melayu pertama menerima anugerah Imperial Service Order (I.S.O.). Beliau juga merupakan ahli Majlis Kebangsaan (Federal Council) salepas penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1897. Beliau telah pergi ke United Kingdom mengiringi Sultan Idris Shah semasa pertabalan King Edward VII tahun 1902 dan King George V tahun 1911.


Beliau meninggal dunia semasa mengiringi Sultan Abdul Jalil menziarahi makam Sultan Tajul Arifin di Pulau Semat sempena pemashuran sultan dalam tahun 1917. Jenazahnya telah di kebumikan di dalam kawasan Masjid Paloh, Jalan Dato’, Ipoh. Wan Muhammad Salleh telah digantikan oleh Meor Yeop Mohd Jawi sebagai Seri Adika Raja ke 11. Semasa hidupnya, Wan Muhammad Salleh mempunyai tiga orang isteri iaitu Toh Puan Sharifah, Wan Teh Rafeah Binti Wan Abbas dan Teh Sariah.
Masjid Paloh Ipoh di bina semula pada tahun 1912 selepas Haji Long Mohd Kassim meninggal dunia.. Nama Asal Masjid Paloh ialah Mohamedan.. Ada tiga orang penyumbang untuk membina Masjid Paloh iaitu yang pertama Toh Puan Saripah Binti Duakap.. Yang kedua Datok Panglima Bukit Gantang Mahmud Bin Mohd Taib dan yang terakhir sekali ialah  Hj Long Mohd Kassim Bin Ngah Banja Jugra Bin Pandak Maon Bin Panglima Kinta Ngah Sudin . Geran Tanah Masjid Paloh Ipoh Hak Milik Toh Puan Saripah Binti Duakap dan beliau tidak mempunyai anak.
Catatan sejarah membuktikan bahawa Bandar Raya Ipoh telah dibuka oleh masyarakat Melayu yang diketuai oleh Datuk Panglima Kinta pada abad ke-19. Ia bermula dengan sebuah perkampungan Melayu bernama Paloh yang kemudian berubah kepada Epu (Ipoh) sempena nama pokok Ipoh. Atas daya usaha Datuk Panglima Kinta Mohammad Yussof telah berjaya membangunkan Ipoh bersama-sama orang Cina yang bermigrasi ke sini sehingga berkembang pesat seperti sekarang ini.


Namun begitu hari ini tidak banyak warisan sejarah masyarakat Melayu yang masih terdapat di sini. Hanya beberapa bangunan warisan orang Melayu yang utuh berdiri di sekitar Kampung Paloh dan Kampung Kuchai seperti Masjid Paloh, Masjid Panglima Kinta, Madrasah Sharifah, Madrasah Kamaliah dan Sekolah Melayu Kg. Kuchai. Sedangkan pada masa dahulu, kawasan sekitar ini merupakan pusat kegiatan utama masyarakat Melayu di Ipoh terutama politik yang mana menyaksikan penubuhan UMNO Perak.
Apa yang menyedihkan lagi adalah keadaan bangunan-bangunan tersebut yang begitu uzur serta terbiar. Malahan ada juga bangunan warisan Melayu ini telah dibeli oleh orang Cina dan dijadikan bengkel kereta seperti Rumah Datuk Seri Adika Diraja dan beberapa rumah besar di Kampung Kuchai. Tidak kurang juga beberapa bangunan warisan tersebut telah rebah menyembah bumi seperti rumah Penghulu Sg. Raia dan bangunan kedai yang dahulunya menempatkan pejabat Persatuan Melayu Perak.
Jika warisan yang ada ini tidak dipuliharakan maka dikhuatiri akan lenyaplah bukti-bukti sejarah masyarakat Melayu di Ipoh seperti apa yang terjadi di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Singapura. Ia tidak mustahil kerana hari ini pun, tidak ramai yang mengetahui sejarah dan peranan yang pernah dimainkan oleh Datuk Panglima Kinta suatu ketika dahulu.


Oleh itu diharapkan pihak-pihak berkenaan seperti Kerajaan Negeri dan Jabatan Warisan mengambil perhatian terhadap masalah ini. Keprihatinan terhadap warisan ini dapat dilakukan dengan kerja-kerja pemuliharaan atau mewujudkan sebuah galeri sejarah orang Melayu di Ipoh. Contohnya seperti baru-baru ini Rumah Teh di Pulau Pinang yang berjaya diselamatkan oleh kerajaan dan kini berfungsi sebagai Galeri Warisan Melayu. Tanpa sejarah, hilanglah jati diri dan asal usul sesuatu bangsa itu.
Terletak di Jalan Datoh, Masjid Kampung Paloh dibina pada tahun 1912 ketika pemerintahan Sultan Idris Mursyidul Al-Azam Shah. Pembinaan itu diusahakan oleh Orang Kaya-kaya Datuk Seri Andika Diraja, Wan Muhammad Salleh dan isteri, Toh Puan Sharifah Rodiah, Mahmud Mohd Taib dan Muhammad Kassin Banjar Jagra.
Ia menampilkan bumbung tiga lapis dengan dua tingkap rendah dan menara setinggi empat tingkat, manakala bersebelahannya, didirikan Madrasah Sharifah bersempena nama penaungnya.
Berhampiran kolam mengambil wudhuk dan masih bernaung di bawah bumbung masjid, dihimpunkan makam golongan masyhur dan banyak berjasa antaranya, Datuk Andika sendiri yang meninggal dunia pada tahun 1917 selain Menteri Besar Perak pertama yang juga seorang peguam, Panglima Bukit Gantang, Datuk Abdul Wahab Abdul Aziz.

 Masjid ini turut disenaraikan warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2015.
Kompleks makam ini terletak di bahagian belakang Masjid Kampung Paloh. Saya dibawa oleh siak masjid ke bahagian belakang untuk melihat lebih dekat bahagian dalam makam. Ketiga-tiga nesan  ini berada di dalam kompleks makam. Nesan yang paling tinggi (bahagian tengah) adalah makam Y.M. Orang Kaya-Kaya Dato’ Seri Adika Di Raja Wan Mohamed Salleh.


Jejak Masjid Perak bakal jadi tarikan
IPOH 13 Ogos – Kerajaan negeri hari ini melancarkan Jejak Masjid Perak yang menjadi program pelancongan Islam pertama ne­geri dalam usaha meningkatkan jumlah pelancong domestik.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, lapan buah masjid di sekitar negeri ini telah dikenal pasti untuk program pelancongan Islam sulung itu. Katanya, pemilihan lapan masjid tersebut adalah berdasarkan pada nilai sejarah dan warisan, rekabentuk unik serta sumba­ngan kepada komuniti setempat semenjak dibina.
Sejak sekian lama Perak men­jadi tumpuan pelancongan berikutan kepelbagaian jenis makanannya yang enak serta istimewa, kini, tiba masanya kerajaan negeri memperkenalkan pula tarikan pelancongan baharu menerusi warisan masjid."
“Ini merupakan program rasmi pertama yang mempromosikan pelancongan Islam di Perak. Pada peringkat awal, kerajaan negeri memfokuskan kepada pelancong domestik menerusi penganjuran program ini, dan sudah tentu kami akan meluaskannya kepada pelancong luar negara pula,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan bangunan pejabat dan logo baharu Tourism Perak, di sini hari ini. Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kese­nian, Kebudayaan, Multimedia dan Komunikasi negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohd. Radzi.
Lapan masjid terpilih ialah Masjid Ubudiah di Kuala Kangsar yang dibina pada 1917; Masjid Ihsaniah Iskandariah, Kampung Dal, Padang Rengas (1938); Masjid Dato' Panglima Kinta (1898); Masjid India Muslim (1908); Masjid Kampung Paloh (1912); Masjid Pakistani (1930); Masjid Sultan Idris Shah II (1968) dan Masjid Muhammadiah Tasek Jaya atau Masjid Cina (2013) yang terletak di Ipoh.
Mengulas lanjut, Zambry mem­beritahu, kerajaan negeri me­nerusi Tourism Perak akan melaksanakan beberapa pende­katan baharu dalam usaha me­ningkatkan jumlah pelancong domestik ke negeri ini. Katanya, Perak telah mencatatkan kehadiran jumlan pelancong domestik tertinggi bagi dua tahun berturut-turut iaitu 6.02 juta pada tahun 2013 dan tujuh juta untuk tahun 2014.
“Ini memberi makna besar kepada Perak, khususnya kepada perkembangan ekonomi dan per­tumbuhan negeri. Menerusi be­berapa langkah dan strategi baharu yang sedang dilaksanakan, kami menjangkakan jumlah pelancong domestik akan bertambah pada tahun ini,” jelas beliau.

Sekian.

No comments:

Post a comment