Friday, 3 February 2017

Keistimewaan Tarian Singa Di Tahun Baru Cina.....

Assalammualaikum dan  Salam Sejahtera,



Hai korang semua... Semoga sihat-sihat ajer hendaknya. Tahun Baru Cina baru saja berlalu...seronokkan bercuti. Aku balik ke rumah mak mertuaku di Melaka....dan kebetulan pulak aku berpeluang untuk melihat dengan lebih dekat tarian Singa ini. Teruja sangat aku!! yea laa selalunya dapat tengok dari jauh jer sebab orang yang menonton terlalu ramai. Walau pun bunyi gendangnya yang membingitkan telinga sebab aku dok kat sebelahnya jer...tapi tuu semua sedikit pun tidak mematikan keterujaan aku...


Korang tahu tak? Harga untuk satu set kostum termasuk badan singa adalah antara RM2,000 hingga RM3,000 dan terdapat 10 peringkat proses pembuatan kepala singa. Sepuluh peringkat itu, dimulai dengan membuat rangka kepala diikuti memasang lapisan kertas pada rangka, menampal pelekat, melukis corak, menyapu syelek kalis air, melekatkan bulu atau rambu, memasang mata dan aksesori, meletak tali, menjahit sarung badan dan akhir sekali mencantum badan dengan kepala.



Korang tahu.... siapakah master atau sifu yang terror buat kepala singa nii...?? Namanya Encik Siow Ho Phiew atau lebih dikenali dengan nama Master Siow dan Kraf Negeri Selangor telah memberikan beliau Anugerah Adiguru pada 2012 atas peralatan boneka tarian singa. Jom kita mengenali tentang sejarah tarian singa ini...


Tarian Singa (bahasa Cina: 舞獅; pinyin: wǔshī) adalah sebahagian daripada tarian tradisional dalam adat warisan masyarakat Cina, yang mana penari akan meniru pergerakan singa dengan menggunakan kostum singa. Kostum singa itu dimainkan oleh dua penari iaitu seorang memainkan di bahagian hadapan dengan menggerakan kepala kostum, manakala pasangan penari akan memainkan bahagian belakang kostum singa tersebut. Kedua-dua penari itu akan bergerak seakan-akan singa di atas pentas yang disediakan. Tarian singa ini akan diiringi oleh gong, dram, dan dentuman mercun yang dikatakan akan membawa tuah.



Sejarah singa dianggap sebagai pelindung dalam kebanyakan adat orang Asia, terutamanya bagi mereka yang berketurunan orang Cina. Tarian singa menjadi adat di negara China, Taiwan, Jepun, Korea, Thailand,Malaysia dan Vietnam. Setiap negara tersebut mempunyai corak dan bentuk tarian yang berbeza. Namun tarian ini lebih terkenal sebagai warisan orang Cina, kerana dikatakan sejarahnya bermula lebih 1,000 tahun lalu. Dua tarian singa yang amat popular ialah "Tarian Singa Utara" dan "Tarian Singa Selatan".
 

Tarian singa Utara adalah berasal dari bahagian utara China yang menggunakan tarian ini sebagai hiburan diraja. Kostum singa tersebut menggunakan warna merah, jingga, hijau dan kuning bagi kostum singa betina. Tarian Singa Utara ini mempunyai lebih banyak pergerakan akrobatik dan bertujuan sebagai hiburan.



Tarian Singa Selatan menjadi lambang yang mempunyai ciri-ciri yang berkaitan dengan alam sekitar. Tarian ini selalu dipersembahkan sebagai istiadat ataupun upacara untuk membuang semangat jahat dan dipersembahkan sebagai upacara meminta tuah. Tarian Singa Selatan menggunakan pelbagai warna.

Kepala kostum mempunyai mata yang lebih besar daripada Singa Utara, dan mempunyai cermin serta sebatang tanduk di hadapan kepalanya. Mata singa itu pula berwarna hitam bersama-sama warna putih atau merah bersama-sama warna putih. Hal ini bertujuan untuk menunjukkan sifat singa yang garang.




Menurut cerita dongeng dahulu kala pula, di sebuah kampung di negara China, tarian singa ini dimainkan untuk menakutkan raksasa yang dipercayai keluar untuk merosakkan dan memudaratkan manusia serta tanaman. Akhirnya, raksasa itu berlari pergi dari kawasan yang diganggunya kerana takutkan singa yang bertopengkan kostum tersebut. Oleh sebab itu, masyarakat di sana percaya bahawa singa mempunyai kuasa ajaib dan boleh mendatangkan tuah.
 


Biasanya tarian singa ini diadakan untuk meraikan Tahun Baharu Cina. Ia dimainkan semata-mata sebagai hiburan tradisi turun-temurun dan tidak lagi dikaitkan dengan raksasa yang tidak pernah wujud itu.


Tiada upacara jampi dan mantera untuk memohon pertolongan jin atau makhluk halus. Penari tarian singa ini juga tidak “menurun” atau menyeru jin hingga menjadi separa sedar ketika menggerakkan kostum singa ini. Tiada kemenyan yang dibakar dan diasapkan. Tiada ritual atau unsur-unsur khurafat sebagaimana tarian kuda kepang di Johor atau main puteri (main teri) di Kelantan suatu ketika dahulu.




Seni tarian singa ini lebih kepada senaman berbentuk fizikal yang baik untuk kesihatan. Pergerakan yang pantas ketika mempersembahkan tarian singa ini membuatkan anggota badan sentiasa berpeluh, sekali gus mempertingkatkan kecerdasan dari segi fizikal dan mental.


Setakat ini, belum pernah lagi saya dengar masyarakat Islam tergugat akidah apabila atau setelah melihat tarian singa. Apatah lagi masyarakat Cina Muslim, yang dikurniakan hidayah seharusnya tahu yang mana hak dan yang mana batil.


Tarian singa ini tidak melibatkan unsur-unsur syirik atau khurafat sebagaimana yang dimaksudkan dengan firman ALLAH SWT dalam surah Yunus ayat 106: “Dan janganlah Engkau (Wahai Muhammad) menyembah atau memuja yang lain dari ALLAH, yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepadamu. Oleh itu, sekiranya Engkau mengerjakan yang demikian, maka pada saat itu menjadilah Engkau dari orang-orang yang berlaku zalim (terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu).”


Walaupun secara asasnya tarian singa ini tidak melibatkan unsur-unsur khurafat dan sekadar tradisi semata-mata, sememangnya terdapat masyarakat Cina yang bukan Islam mempercayai bahawa tarian singa ini mampu membawa tuah kepada mereka.



Justeru, tarian singa turut diadakan bagi meraikan majlis perkahwinan, ulang tahun kelahiran, pembukaan perniagaan dan banyak lagi sambutan lain. Ada juga yang guna untuk acara keagamaan mereka atau menghalau semangat jahat.


Namun, ini bukanlah satu alasan untuk mengatakan bahawa tarian singa ini tidak dibenarkan dalam Islam. Umpama sebilah pisau yang boleh digunakan untuk memotong sayur oleh tukang masak, ia juga boleh digunakan untuk membunuh jika berada di tangan si pembunuh. Ia bergantung kepada bagaimana pisau itu digunakan.

Contoh yang lain adalah penggunaan keris bagi orang Melayu. Pada zaman feudal Melayu, keris diasap dengan kemenyan serta dipuja. Tetapi jika ritual itu tidak diamalkan dan keris dianggap sebagai senjata untuk mempertahankan diri seperti pistol dan senapang, maka penggunaannya tidak bercanggah dengan syarak.



Kini, keris juga dianggap sebagai lambang kebudayaan orang Melayu dan sering digunakan dalam majlis berkaitan adat-istiadat atau perkahwinan. 
Begitu juga halnya dengan tarian singa. Ia sebenarnya merupakan lambang kebudayaan dan tradisi turun-temurun masyarakat Cina dan tiada kaitan dengan agama atau kepercayaan. Malah, ia juga boleh dijadikan sebagai medium dakwah jika kena pada gayanya.


Contohnya, tokoh ulama yang dikenali sebagai Wali Songo (Sembilan Wali) menyebarkan dakwah Islamiah menggunakan wayang kulit di Pulau Jawa pada abad ke-17. Pada ketika itu, ramai masyarakat Jawa beragama Hindu-Buddha. 
Salah seorang Wali Songo yang bernama Sunan Kalijaga telah memasukkan unsur-unsur keIslaman dalam persembahan wayang kulit untuk menggantikan cerita Hanuman dan Ramayana.


Apabila masuk waktu solat, para hadirin yang menonton pertunjukan wayang kulit ini diajak solat berjemaah yang dipimpin oleh Wali Songo sendiri. 
Walaupun tarian singa ini sinonim dengan masyarakat Cina, sudah ramai yang bukan Cina menjadi penari tarian singa ini termasuklah orang Melayu, India dan Siam. Penyertaan pelbagai kaum ini turut merapatkan hubungan antara etnik dan seterusnya mengukuhkan perpaduan nasional.(sumber: sinar online)

Semoga tarian singa ini terus kekal terpelihara untuk generasi akan datang....dan menjadi kebanggaan serta mengeratkan semua kaum di Malaysia ini.

Sekian.

No comments:

Post a comment