Monday, 6 February 2017

Cara Pembuatannya Wau Dan Jenis-jenis Wau di Malaysia

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Hai korang semua. Di harap semuanya berada dalam keadaan yang sihat hendaknya. Hari nii aku nak bawa korang lihat satu lagi kesenian yang terdapat di negeri Kedah. Aku nak bercerita tentang pembuatan wau dan jenis-jenis wau yang ada kat Malaysia nii. Ini pun secara kebetulan...ketika aku mengikut rakan untuk buat inventori kat Kedah tak lama dulu. Kat sesetengah negeri memang mudah melihat wau setiap hari tapi kat negeri aku...Perak agak susah nak tengok wau nii.


Kalau dapat tengok cara pembuatan wau nii...memang best giler laa. Wau nii tak laa susah sangat nak buatnya tetapi prosesnya sedikit rumit dan perlukan kesabaran yang tinggi. Masa sekolah rendah dulu...aku memang rajin laa buat layang-layang dengan surat khabar dan lidi...bersama kengkawan sekolah. Layang-layang lebih mudah pembuatannya berbanding dengan wau.


Pembuatan sesebuah wau agak rumit dan memakan masa, dari kerja-kerja meraut buluh untuk dijadikan rangka, mengimbangkan kepak sehingga melekatkan kertas pada rangka wau tersebut mengambil masa dua minggu untuk siap. Rangka buluh tulang belakang wau lebih besar daripada kepaknya, kemudian diikat dengan menggunakan benang mengikut bentuk serta jenisnya.





Rangka yang telah disiapkan akan ditampal dengan tiga lapis kertas nipis dan lutsinar dengan berlainan warna. Lapisan pertama menggunakan kertas berkilat, lapisan kedua menggunakan warna yang berbeza dan bercorak awan larat iaitu bercorak pucuk rebung atau bunga cengkih yang telah ditebuk. Pada lapisan ketiga pula corak berlainan yang telah ditebuk ditampalkan.
Di bahagian kepala atau muncungnya serta dihujung kiri dan kanan kepak, akan dihiasi dengan rambu-rambu halus yang berwarna warni menambah cantik lagi rupanya. Busul akan diregangkan di bahagian belakang tengkuk wau, agar ianya mengeluarkan bunyi dengung apabila diterbangkan diudara. Busul diperbuat dari daun rembia atau mengkuang yang telah direndam dan dilurut lalu dibiarkan kering. Ia berbentuk seperti alat memanah. Tali teraju diikatkan di antara bahu kepak dan tulang belakang sebelah bawah wau bagi mengimbangi wau -Teraju Tiga.


 


Perincian wau

Terdapat lima komponen asas bagi sebuah wau tradisional iaitu terdiri daripada kepala wau, busur atau dengung, sayap wau, torek atau bahagian pinggang dan ekor wau.

Teknik pembuatan wau tradisional

Antara bahan-bahan mentah yang diperlukan untuk membuat wau ialah buluh, kulit rotan, gam daripada pokok kayu dan lain-lain keperluan yang bersesuaian untuk menghasilkan sebuah wau.

Selain daripada itu, kepakaran dan kemahiran juga merupakan aspek utama untuk menghasilkan sebuah wau yang bermutu seperti kepakaran dalam pemilihan bahan mentah, kemahiran kraftangan serta pengetahuan di dalam bidang aerodinamik. Bagi memastikan wau yang akan dihasilkan mempunyai kualiti, bahan mentah seperti buluh terutamanya perlu dipilih dengan lebih teliti.

Oleh itu terdapat beberapa petua serta pantang-larang yang terlibat semasa ingin menebang dan menyimpan buluh tersebut.
 

Petua dan pantang larang pemilihan buluh

  • Rumpun buluh mestilah di kawasan yang tinggi dan lapang, bukan di dalam semak atau dusun.
  • Pilih buluh yang kelihatan kering, seelok-eloknya di tengah rumpun.

  • Jangan tebang buluh yang mempunyai pucuk muda kerana buluh tersebut mempunyai banyak kanji dan mudah diserang serangga perosak.
  • Buluh yang condong ke arah matahari naik adalah lebih baik kerana mempunyai semangat yang kuat menurut kepercayaan orang tua-tua. 
  • Keadaan cuaca kering dan panas adalah sangat sesuai untuk menebang buluh seperti di waktu tengahari.
  • Jika menebang buluh pada waktu pagi, pastikan penebang menindih bayangnya.
  • Sebelum menebang buluh, digalakkan membaca doa dan selawat terlebih dahulu
  • Adalah lebih baik buluh yang sudah ditebang dipotong di situ juga. 



  
Penyimpanan buluh
Buluh akan disimpan dahulu sekurang-kurangnya setahun sebelum diraut menjadi rangka wau. Biasanya tempat penyimpanan mestilah tinggi untuk mengelakkan buluh daripada dilangkah manusia.
Antara petua-petua yang digunapakai untuk memastikan buluh tersebut tahan dan kuat ialah :-
  • Buluh disimpan di dalam paya atau direndam di dalam selut.
  • Buluh ditanam di dalam pasir dan dinyalakan unggun api di atasnya selama satu jam.
  • Menyalai kepingan buluh pada bara api.



 

Meraut buluh
Buluh perlu diraut untuk membuang bahagian-bahagian yang tidak diperlukan seperti ruas dan kulit. Selain itu tujuannya adalah untuk memberi keseimbangan pada bentuk dan berat bahagian sayap wau. Pisau khas digunakan untuk meraut dan mestilah benar-benar tajam bagi memastikan kerja-kerja tersebut dapat dijalankan dengan mudah dan mengelakkan daripada kesilapan.
Antara bahagian buluh yang perlu diraut adalah seperti :-


  • Bahagian tulang belakang diraut sehingga 1.0 sentimeter dengan kadar lembut dan sederhana keras.
  • Bahagian bilah sayap di kedua-dua bahagian diraut sehingga 1.5 sentimeter dan semakin halus di hujung bilah tersebut iaitu sebesar lidi kelapa.
  • Bahagian ekor yang mempunyai dua bahagian juga perlu diraut sehingga 0.5 sentimeter.
  • Raut bilah-bilah buluh untuk bahagian pinggang dan bulatan berbentuk bulan. Rautan di bahagian tersebut adalah lebih nipis dan bersaiz kecil 0.5 sentimeter untuk memudahkan ia dibentuk.
  • Selepas semua buluh diraut, proses seterusnya ialah semua bilah tersebut akan digosok pula dengan kertas pasir. 


  

Membuat bingkai

Bingkai wau terdiri daripada beberapa bahagian utama iaitu tulang belakang, tulang rentas sayap, rangka sayap dan rangka ekor. Buluh yang sudah diraut akan dipotong mengikut ukuran wau yang dikehendaki iaitu dua keping buluh untuk sayap, satu keping untuk tulang belakang dan dua keping lagi untuk rangka ekor. Kepingan buluh yang hendak dibuat sayap perlulah diseimbangkan dengan menandakan di tengah-tengah kepingan buluh. 





Rangka bingkai wau kemudian akan diikat:

  • Tulang belakang wau diukur kepada 3 bahagian dan kemudiannya ditanda 3 bahagian tersebut.
  • Bahagian sayap wau akan diikat terlebih dahulu.
  • Sayap yang sudah diikat akan diikat pula pada tulang belakang.
  • Ikat di bahagian atas dan bawah ekor pada tulang belakang. Pastikan bahagian tersebut seimbang di kedua-kedua belah.
  • Cantumkan hujung bahagian ekor kemudian tautkan pada hujung bahagian sayap.
  • Untuk bahagian pinggang terutamanya jenis wau bulan, kepingan buluh ditaut membentuk separa bulatan pada bahagian sayap dan ekor wau. Seterunya kepingan buluh yang diraut lebih nipis dibentuk menjadi bulatan untuk diikat di tengah pinggang wau. Saiznya ditentukan dengan mengikut nisbah iaitu bersamaan dengan keluasan kepala wau.
  • Langkah terakhir ialah membuat kepala wau iaitu dengan mengikat separuh daripada kepala wau dengan sayap dengan jarak 2 inci dari tulang belakang.
  • Setelah bingkai wau siap, satu lapisan asas yang dipanggil ‘tanah’ akan dipasang pada wau. Tujuannya supaya wau tersebut tahan lasak kerana sifat utama kertas tersebut lebih kenyal dan tidak ditembusi angin.

Pemasangan melibatkan beberapa langkah:


  1. Ukur kertas dengan saiz bingkai.
  2. Kemudian kertas ditanda dengan pensil dan perlu dilebihkan dua sentimeter dari rangka bingkai.
  3. Potong kertas wau tersebut dan lebihan tadi dipotong dalam bentuk ‘V’.
  4. Lekatkan kertas pada bingkai dengan menggunakan gam kanji.
  5. Mengukur, melukis dan menyobek corak
  6. Ukiran lukisan pada badan wau adalah antara elemen utama yang menjadikan wau tersebut unik dan istimewa. Antara langkah-langkah yang terlibat
  7. Lipat empat kertas warna untuk bahagian sayap, dan lipat dua untuk bahagian ekor.
  8. Mulakan melukis dari bahagian dada sehingga ke hujung sayap dengan mengosongkan satu ruang kosong untuk ruang tapak kijang, bagi bahagian ekor pula, corak yang hendak dilukis mestilah sama dengan corak di bahagian sayap.
  9. Corak perlu dipotong menggunakan pisau tajam khas dan corak ini menjadi corak asas bagi wau.
  10. Corak akan ditampal pada kertas warna lain, biasanya warna emas dengan menyapu gam di belakang kertas corak. Gam perlu dicampur dengan air terlebih dahulu untuk elakkan daripada berkedut. Kertas bercorak akan diletakkan di atas kain lembap.
  11. Kertas berwarna diletakkan perlahan-lahan ke atas kertas corak dan kemudiannya diratakan dengan menggunakan seterika panas di atas kain lembap tadi.
  12. Potong semula corak yang hendak disobek dan tampal sekali lagi dengan kertas berlainan warna sehingga siap sepenuhnya.
  13. Tampal ukiran sobek tadi pada tanah wau dengan hanya menyapu gam kanji pada bahagian tepinya sahaja.
  14. Bahagian yang tidak lekat dikemaskan dengan menyapu gam menggunakan berus lukisan. Bagi wau hiasan akan ditampal kertas hiasan di belakang wau untuk menutup kecacatan iaitu kerangka buluh dan tulang rentas sayap wau.
  15. Berlainan pula dengan wau yang hendak diterbangkan mestilah menggunakan kertas yang tidak menyerap air. Selain itu, belakang wau tersebut tidak ditampal kertas hiasan dan ukiran sobek hanya mempunyai tiga atau empat lapis sahaja berbanding dengan wau hiasan yang mempunyai sehingga lapan warna.


Memasang jambul atau rambu.
  • Jambul atau rambu dipasang dengan dililitkan pada rangka ekor atau sayap wau.
  • Jambu biasanya diperbuat daripada kertas ‘crepe’ yang dipotong dengan gunting secara memanjang untuk membentuk rambu.
  • Memasang belalai
  • Belalai menggunakan bahan yang sama dengan jambul tetapi dipasang pada kepala wau.
  • Memasang busur

Fungsi utama busur ialah untuk mengeluarkan bunyi semasa wau diterbangkan. Terdiri daripada empat komponen iaitu ‘bok’, daun ibus, inas dan buluh penyepit.

Potong kepingan buluh dengan ukuran separuh daripada panjang sayap wau. Raut kepingan tersebut, belah daun ibus yang sudah dikeringkan ikut kesesuaian bunyi yang dikehendaki.

Untuk membuat inas, buluh cina sesuai digunakan dan dipotong sepanjang dua sentimeter dan ditebuk di bahagian tengahnya sebesar saiz busur.

Setelah ketiga-tiga komponen dicantumkan, lekatkan busur tersebut pada kepala wau dengan menggunakan buluh penyepit dan kemudiannya diikat menggunakan benang nilon.

Jenis-jenis wau yang terdapat di Malaysia
a. Wau Bulan
Wau bulan merupakan antara jenis wau yang paling popular di Malaysia. Kepopularannya didominasi oleh rakyat pantai timur diSemenanjung Malaysia. Bentuk jenis wau ini menyerupai bulan sabit pada bahagian hadapan dan separa bulatan pada bahagian ekornya. Justeru, wau tersebut kelihatan seperti bulan yang terbit di angkasa apabila diterbangkan Dari segi saiznya, wau bulan dibentuk dengan saiz yang lebih besar berbanding wau lain. Bidang biasa adalah sepanjang 2.5 meter dengan tinggi 3.5 meter.

Ini untuk memastikan corak yang terdapat pada wau tersebut kelihatan jelas dan menyerlah. Bagi menyerlahkan daya tarikan jenis wau ini, pemilihan warna yang terang dan corak yang lebih besar menjadi pilihan. Wau Bulan dikatakan telah bermula pada zaman kerajaan Srivijaya, yang mengikut legenda, mula digunakan oleh seorang putera bernama Dewa Muda. Corak bunga dan daun pada wau Dewa Muda dikatakan merupakan peta daerah yang telah dikuasainya.

b. Wau Kucing
Wau Kucing merupakan sejenis jenis layang-layang yang popular. Ia merupakan wau tradisional yang telah dimainkan secara turun-temurun di Malaysia.

Wau Kucing dikatakan mendapat nama daripada bentuknya yang menyerupai seekor kucing yang sedang duduk dari sudut belakang, bermula dari bahagian kepala, badan dan seterusnya ekor kucing. Pada kebiasaannya, wau Kucing akan dipasang dengan degung atau busur pada bahagian atasnya.

Ini bertujuan bagi menghasilkan bungi berdengung yang terhasil apabila angin melalui tali busur yang direntang. Ketika diterbangkan ke udara, Busur wau Kucing dikatakan akan mengeluarkan bunyi yang nyaring seperti kucing. Ia dipercayai berfungsi untuk menakutkan roh jahat dan meramalkan keadaan cuaca pada keesokan harinya. Motif ukiran sobek yang digunakan pada wau ini ialah motif bunga dan tumbuh-tumbuhan dan cara hiasannya adalah sama seperti wau bulan.

c. Wau Jala Budi
Wau Jala Budi merupakan sejenis jenis layang-layang yang popular di negeri Kedah. Ia merupakan wau tradisional yang telah dimainkan secara turun-temurun di Malaysia.

Wau Jala Budi dikatakan mendapat nama daripada bentuknya yang menyerupai daun budi manakala perkataan jala pula wujud dari kerangka ekor Wau Jala Budi. Pada kebiasaannya, wau jala budi akan dipasang dengan degung atau busur pada bahagian atasnya.

Ini bertujuan bagi menghasilkan bungi berdengung yang terhasil apabila angin melalui tali busur yang direntang. Ketika diterbangkan ke udara, Wau Jala Budi dikatakan akan mengeluarkan bunyi berdengung yang agak sederhana garau yang terbit dari busur yang terdapat di bahagian kepala.

Wau Jala Budi ini juga dikatakan memiliki persamaan dengan 'layang-layang Chula' yang berasal dari negara Thailand.

d. Wau Merak
Wau Merak merupakan sejenis jenis layang-layang yang popular dikalangan keturunan Bugis di Malaysia. Ia juga dikenali sebagai Layang-Layang Kipas dan dipercayai berasal dari Sulawesi, Indonesia. Ia memiliki rekabentuk bercirikan burung Merak dan tidak terikat kepada saiz yang tertentu. Wau merak biasanya mempunyai ekor yang panjang yang membezakannya dengan wau helang.

Pada kebiasaannya, wau Merak akan dipasang dengan degung atau busur pada bahagian atasnya. Ini bertujuan bagi menghasilkan bunyi berdengung yang terhasil apabila angin melalui tali busur yang direntang. Ketika diterbangkan ke udara, busur wau Merak dikatakan akan mengeluarkan bunyi yang nyaring seperti Merak. Keistimewaan Wau Merak ialah pada busurnya yang boleh memainkan tujuh jenis irama atau bunyi bunyian. Pada asalnya, ia dimainkan pada waktu malam kerana ia dapat menghasilkan bunyi yang baik. Jenis hiasan yang menjadi pilihan untuk menghiasi dada Wau Merak pula adalah motif tumbuhan menjalar iaitu lada hitam dan gambir.

e. Wau Dodo Helang
Wau Dodo Helang merupakan sejenis jenis layang-layang yang popular di Terengganu, Malaysia. Ia tergolong dalam kategori wau burung. Ia mempunyai rupa yang sama dengan wau helang, kecuali hiasan pada dada layang-layang yang berbeza.

Pada kebiasaannya, wau dodo helang akan dipasang dengan degung atau busur pada bahagian atasnya. Ini bertujuan bagi menghasilkan bunyi berdengung yang terhasil apabila angin melalui tali busur yang direntang. Jenis hiasan yang menjadi pilihan untuk menghiasi dada wau dodo helang adalah motif bunga dan kelarai yang menggunakan teknik sobek.

f. Wau Kangkang
Wau Kangkang merupakan sejenis jenis layang-layang yang popular di Kelantan, Malaysia. Ia merupakan wau tradisional yang telah dimainkan secara turun-temurun di Malaysia.

Wau kangkang menyerupai bentuk wau jala budi tetapi memiliki corak ekor yang mencapah.

Pada kebiasaannya wau akan dimainkan oleh dua orang, iaitu seorang akan memegang wau dan seorang lagi dipanggil juru anjung yang memegang tali. Apabila angin bertiup maka tali akan ditarik melawan arus angin dengan cara menghulur dan menarik talinya sehinggalah wau tersebut tinggi di udara. Kilauan cahaya matahari akan menambah cantik lagi wau yang dihias berwarna-warni.

g. Wau Seri Bulan
Wau seri bulan merupakan sejenis jenis layang-layang yang popular. Ia merupakan wau tradisional yang telah dimainkan secara turun-temurun di Perak, Malaysia. Ia mempunyai sedikit persamaan dengan Wau bulan yang dimainkan di Kelantan. 

Pada kebiasaannya wau akan dimainkan oleh dua orang, iaitu seorang akan memegang wau dan seorang lagi dipanggil juru anjung yang memegang tali. Apabila angin bertiup maka tali akan ditarik melawan arus angin dengan cara menghulur dan menarik talinya sehinggalah wau tersebut tinggi di udara. Kilauan cahaya matahari akan menambah cantik lagi wau yang dihias berwarna-warni.

h. Wau Seri Negeri



Wau Seri Negeri merupakan sejenis jenis layang-layang yang popular di Negeri Sembilan, Malaysia.

Pada kebiasaannya, wau seri negeri akan dipasang dengan degung atau busur pada bahagian atasnya. Ini bertujuan bagi menghasilkan bunyi berdengung yang terhasil apabila angin melalui tali busur yang direntang.

Ketika diterbangkan ke udara, busur wau seri negeri dikatakan akan mengeluarkan bunyi yang nyaring. Jenis hiasan yang menjadi pilihan untuk menghiasi dada wau seri negeri pula adalah motif tumbuhan menjalar iaitu lada hitam dan gambir.

i. Wau Puyuh
Wau Puyuh merupakan sejenis jenis layang-layang yang popular di Kelantan, Malaysia. Ia merupakan wau tradisional yang telah dimainkan secara turun-temurun di Malaysia.

Wau Puyuh menyerupai bentuk wau bulan tetapi memiliki corak ekor yang lebih melengkung.



(sumber : utusan online)
Shafie Bin Jusoh Adiguru Aneka Kraf (2006) 
Negeri : Kelantan 
Tarikh Lahir : 06 Sep 1947 
Merupakan seorang adiguru Kraf dalam bidang pembuatan wau.

Adiguru Kraf ialah seseorang yang diberi penghormatan dan pengiktirafan oleh Kerajaan Malaysia sebagai seorang tokoh / master craftsmen setelah mereka menepati kriteria-kriteria seperti berikut:-

  • Mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang tinggi dalam bidang kraf kepakarannya atau ahli di dalam seni kemahiran ketukangan, penciptaan, penggubahan produk dan pengeluaran barangan kraf warisan bangsa Malaysia.
  • Memainkan peranan penting dalam usaha memulih dan memelihara seni kraf warisan.
  • Bersungguh-sungguh menurunkan kemahiran kepada kumpulan pelapis agar seni kraf warisan berkenaan mempunyai kesinambungan.
  • Kreatif dan inovatif dalam usaha memaju dan meningkatkan kualiti produk kraf yang dihasilkan.

Shafie b. Jusoh mula meminati bidang kraf wau sejak berada di sekolah rendah lagi. Ketika berusia 10 tahun, beliau sering mengikut rakan-rakannya bermain wau di bendang sehingga sanggup berhenti sekolah ketika berada di tahun tiga. Demi minat, beliau belajar membuat wau dari rakan-rakan dan cara-cara sobekan melalui pemerhatian sendiri. Shafie amat berbangga kerana minatnya tersebut mendapat dorongan daripada ibu bapanya dan sebagai tanda sokongan ayahnya telah memainkan wau besar yang telah dihadiahkannya. Dengan jualan secara kecil-kecilan, wau yang dihasilkan serba sedikit dapat membantu ekonomi keluarganya.

Ketika awal penglibatannya, belum ada lagi anak Kota Bharu yang mengusahakan pembuatan wau secara serius. Pada masa itu beliau hanya bertanding sambil bermain wau di Stadium Kota Bharu serta Kompleks KB. Bakat tokoh mula menyerlah ketika beliau berusia 22 tahun dengan kedatangan dua orang pelancong luar negara yang menyaksikan bakatnya memainkan wau di stadium. Berminat dengan keunikan permainan tersebut, kedua-dua pelancong tersebut menempah wau dari tokoh. Semenjak dari itu, tokoh mula yakin dengan produknya serta menerima tempahan wau naik untuk dijual. Shafie mula menerima tempahan secara eksklusif dari syarikat-syarikat besar serta jabatan kerajaan ketika berusia 30 tahun.

Beliau yang sangat mahir membuat wau perhiasan dan wau naik untuk pertandingan telah banyak memenangi pertandingan wau di peringkat kebangsaan mahupun di peringkat antarabangsa. Antara pertandingan yang pernah disertainya ialah pertandingan wau peringkat antarabangsa ialah Pasir Gudang Kite Festival International Guests anjuran Lembaga Pelabuhan Pasir Gudang dan peringkat negeri seperti Johan Wau Cantik dan Johan Wau Naik peringkat negeri Johor serta pertandingan-pertandingan anjuran Majlis Pelancongan Negeri Kelantan. Selain pertandingan, beliau juga ada menerima jemputan untuk membuat demonstrasi oleh Tourism Malaysia (TDC) dan aktiviti kebudayaan anjuran kerajaan negeri.

Salah satu keunikan wau bulan yang dihasilkan oleh tokoh ialah badan wau yang dihasilkan berbentuk bulat dan seimbang antara kiri dan kanan yang direka berkonsepkan wau pada permukaan syiling 50 sen. Tokoh juga tidak pernah meniru corak-corak wau daripada ciptaan orang lain walaupun atas permintaan pelanggan. Sekiranya diminta menghasilkan wau berdasarkan gambar yang diberi untuk tempahan, tokoh pasti mereka cipta corak lain berdasarkan konsep yang diberi. Ini adalah kerana tokoh amat menghormati rekacipta orang lain dan ingin menghasilkan rekaan identitinya sendiri.
Pengiktirafan
Apa yang paling menarik, wau yang telah dihasilkan oleh Shafie telah membawa beliau kepada pelantikan sebagai duta MAS. Pihak MAS sering menjembut beliau untuk membuat demonstrasi di luar negara seperti Australia, German, Maldives, Melbourne dan Jepun. Sehingga kini, pencapaian tokoh telah mendapat liputan daripada penerbitan majalah juga akhbar serta beberapa agensi media seperti RTM, TV3, TV7, TV8 dan juga Astro. Satu keistimewaan yang ada pada tokoh ialah beliau amat merendah diri meskipun namanya masyhur di kalangan penggiat seni wau. Beliau juga tidak pernah menetapkan sebarang kadar bayaran terhadap pihak media yang ingin membuat liputan tentang dirinya, perusahaan ataupun produknya.


Sekian.

1 comment:

  1. Assalamualaikum, saya pelajar dari uitm puncak perdana shah alam. Kami diberi satu tugasan iaitu untuk melakukan satu interview yg berkaitan dgn warisan dan kesenian di Malaysia. Jadi kami merancang untuk memilih Warisan wau puyuh sebagai tajuk kami. Kami nak adakan satu interview secara formal. Jadi, jika tidak keberatan boleh saya dapatkan details atau contact number encik shafie bin yusoh sebagai tokoh pilihan kami?

    ReplyDelete