Wednesday, 15 February 2017

Batu Bersurat Belanda Di Pulau Pangkor...

Assalammualaikum dan  Salam Sejahtera,

Hai korang. Aku harap korang semua berada dalam keadaan sihat walafiat hendaknya. Hari nii aku nak bawa korang pergi melawat ke tempat bersejarah di negeri Perak. Jangan ingat kat Terengganu jer ada batu bersurat yea... kat Perak pun ada jugak! Batu bersurat atau Prasasti merupakan batu yang terpahat dengan huruf-huruf tulisan kuno. Ia merupakan bukti sejarah. Batu Bersurat Belanda ini terletak tidak jauh dari Kota Belanda dan korang boleh berjalan kaki jer.


Lebih kurang dalam tahun 1743, iaitu semasa pemerintahan Sultan Mudzaffar Shah 3, orang-orang Belanda dipercayai telah berada semula di Pulau Pangkor dan cuba memperbaiki kota mereka yang ditinggalkan dalam tahun 1693 setelah dibinasakan oleh orang-orang Melayu yang diketuai oleh Panglima Kulub dalam tahun 1690. Peristiwa ini terbukti dengan adanya tulisan dan lukisan orang-orang Belanda pada sebuah batu besar berukuran 35 kaki panjang dan 15 kaki lebar serta tingginya 14 kaki yang terletak di Teluk Gedong. 



Dengan adanya bukti yang menunjukan bahawa batu besar itu dipahat dan bertarikh pada tahun 1743 maka sudah jelaslah orang-orang Belanda telah menduduki semula gedung atau kota mereka di Pulau Pangkor itu lebih awal lagi dari tahun 1743.


Dua bulatan berbentuk daun dan juga perkataan-perkataan Belanda serta Inggeris yang berbunyi “If Carlo 1743”. Tahun yang tercatat dikatakan sebgai tahun pendudukan semula Belanda di Pulau Pangkor selepas diusir oleh penduduk yang diketuai oleh Panglima Kulup sekitar 1690-an. Lain-lain pahatan mungkin merupakan nama-nama pemahat yang dinyatakan secara huruf ringkas seperti ‘IK’, ‘R.O’, ‘BVH’, ‘PVL’, ‘VM’, ‘PP’, VOC (Vereenigde Oost-Indische Companie).


Versi pertama: Menurut sumber penduduk tempatan, gambar ini dipahat oleh orang Belanda sebagai tanda peringatan pada anak seorang pembesar Belanda yang hilang ketika sedang bermain-main berhampiran dengan batu tersebut pada tahun 1743 iaitu semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Syah III (1728-1756). Orang Belanda percaya bahawa budak tersebut telah dimakan oleh binatang buas.

Versi kedua: Orang Bugis dan orang Melayu telah menculik dan membunuh anak pembesar Belanda untuk membalas dendam di atas kekejaman Belanda melayan penduduk tempatan. Apabila askar Belanda mencari budak tersebut, penduduk tempatan mereka cerita dengan menyatakan mereka nampak harimau telah melarikan budak itu. Namun, penduduk Pulau Pangkor yang lain percaya bukan harimau yang melarikan budak tersebut tetapi pembesar Melayu yang tidak puas hati dan ingin membebaskan Pangkor dari Belanda. Oleh sebab itulah askar Belanda ini melukis gambar harimau yang melambangkan ‘orang Melayu’. Batu ini juga dikenali sebagai ‘Tiger Rock’ kerana adanya gambar harimau tersebut.

Versi ketiga: Orang Belanda mengatakan anak kepada pembesar Belanda hilang dan dipercayai dibaham harimau. Walau bagaimanapun mengikut sumber penduduk tempatan, kisah ini merupakan rekaan semata-mata oleh Belanda untuk menutup malu sebenarnya anak pembesar Belanda dilarikan oleh lanun.

Sekian.

No comments:

Post a comment