Tuesday, 3 January 2017

Masjid Hiliran Atau Masjid Haji Mat Kaya

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Hai korang semua. Semoga semuanya berada dalam keadaan sihat walafiat. Jom kita pergi ke Terengganu... gi tengok masjid lama dan bersejarah. Kali pertama aku melihat Masjid Hiliran ini...aku dah jatuh cinta dengan rekabentuk seni binanya yang sangat cantik tetapi bila kali keempat aku sampai di sini....aku rasa sangat kecewa kerana terdapat banyak penambahan yang dibuat di bahagian hadapan masjid ini yang telah melindungi kecantikkan rekabentuknya. Apa pun aku harap ianya terus kekal terpelihara.

Sebagai antara negeri terawal menerima pengaruh Islam seperti yang dibuktikan melalui penemuan Batu Bersurat, Terengganu mempunyai beberapa masjid yang kini sudah tua, berseni dan bersejarah. Salah sebuah masjid berkenaan ialah Masjid Hiliran yang terletak di Jalan Hiliran  kira-kira 3 km dari Bandar Kuala Terengganu merupakan salah satu masjid tertua di Negeri Terengganu. 

Selain pernah menjadi sekolah Arab yang pertama di negeri ini, Masjid Hiliran juga mempunyai keunikan tersendiri yang mungkin tidak diketahui masyarakat. Keunikan tersebut ialah kewujudan sebuah perigi yang dikenali sebagai Telaga Mandi Gajah Putih yang dipercayai dibina semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III (1881-1918).



Menurut cerita lisan penduduk setempat, telaga itu dibina menggunakan putih telur, madu lebah, pasir, kapur tohor dan batu-bata. Alkisah, pembinaan telaga itu bertujuan untuk memandikan gajah putih kepunyaan Sultan Zainal Abidin III yang dihadiahkan oleh Raja Siam, Raja Chulalongkorn sebagai tanda persahabatan sempena lawatan baginda dan para pembesar negeri ke Siam.


Telaga bersejarah itu kini dikelilingi benteng konkrit dan pada dindingnya diletakkan sebuah tempayan yang digunakan sebagai tempat gajah menyedut air untuk dijiruskan ke badannya. Berdasarkan catatan sejarah, Masjid Hiliran telah wujud di antara zaman Sultan Terengganu pertama dari salasilah Johor iaitu Sultan Zainal Abidin I (7108-1733), Sultan Mansur I (1733-1794) dan Sultan Zainal Abidin II (1794-1808).
Katanya, hasil kajian Kampung Hiliran yang menjadi tapak Masjid Hiliran pada zaman dahulu diberi nama tersebut kerana di kawasan itu terdapat satu aliran sungai yang bertemu dengan hilir Sungai Terengganu. Uniknya masjid ini kerana atapnya berbeza dengan reka bentuk utama masjid di rantau Nusantara yang berunsur potong bawah (kubah), sebaliknya ia berasaskan bentuk bumbung limas potong perak iaitu salah satu seni bina Melayu terkenal.


Masjid Hiliran ini dibina pada tahun 1925 di atas tanah seluas 0.6 Hektar pada zaman pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah (1920-1942).

Sejarah awal Sekolah Menengah Agama Khairiah juga bernula di masjid ini. Sekolah Menengah Agama Khairiah diasaskan pada 8hb. September 1942 di beranda Masjid Hiliran oleh Ustaz Hj. Ahmad Fuad dan Ustaz Ahmad Zaki Bin Salleh Al-Masri. Majlis perasmiannya telah dilakukan oleh DYMM Sultan Sulaiman pada hari Jumaaat 5hb. Mac 1943.
 

Kemudiannya, Madrasah Al-Khairiah dipindahkan ke kawasan dekat Masjid Hiliran yang telah dikhairatkan dua buah rumah oleh Dato' Andika DiRaja dan En. Mohd. Ali Awang Besar. Pada awal tahun 1953, Sekolah Menengah Agama Khairiah telah dikhaskan kepada pelajar-pelajar perempuan sahaja sehingga kini.Selepas sekian lama, memandangkan masjid itu sudah terlalu usang, seorang alim dan hartawan tempatan, Muhammad Abdul Rahman membiayai semua kos pembinaan masjid di tapak asal masjid lama.

 
Masjid ini juga dikenali dengan nama Masjid Haji Mat Kaya. Haji Mat Kaya yang mendalami ajaran agama Islam di Bunut Payung, Kelantan dikatakan telah membiayai pembiayaan pembinaan Masjid Hiliran ini.


Beliau merupakan pengasas wajah baru Masjid Hiliran dan untuk mengimarahkannya, beliau menjemput beberapa ulama tempatan dan dari luar untuk mengajar agama di masjid itu. Pada awal pembinaan, Masjid Hiliran ini ditadbir sendiri oleh Muhammad Abdul Rahman dan ahli keluarga, bahkan beliau sendiri melantik imam dan bilal.Muhammad adalah seorang hartawan yang mempunyai rangkaian perniagaan di Thailand, Singapura dan Indonesia.


Perniagaan beliau berasaskan barangan tekstil, kayu-kayan, rempah-ratus dan sebagainya. Harta wakaf yang berkaitan dengan Masjid Hiliran diurus dan ditadbirkan oleh Muhammad dan ahli keluarga dan antara yang memberi sumbangan ialah anak beliau Muhammad Salih @ Haji Su. Pada akhir tahun 1930an, disamping kuliah pihak masjid juga telah mengadakan kelas agama dan Bahasa Arab di ruang khas masjid yang dinamakan Balai Lintang.

Pada tahun 1942, Muhammad kembali ke rahmatullah dan anaknya Haji Su menggantikan tempatnya sebagai pentadbir Masjid Hiliran. Setelah kematian Haji Su pada tahun 1952, pentadbiran masjid telah diletakkan di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT).

Aku harap masjid ini akan terus kekal terpelihara sebagai masjid bersejarah dan tertua di Negeri Terengganu dan menjadi tatapan untuk generasi yang seterusnya.

Sekian.

2 comments:

  1. Blh tahu salasilah arwah hj mat kaya ni, sy ada hubung kait jugak dng arwah ni..

    ReplyDelete
  2. Maaf yea....saya tak de info mengenai salasiah keluarga ini.

    ReplyDelete