Sunday, 11 December 2016

Masjid Tinggi Bagan Serai Bercirikan Senibina Dari Banjarmasin, Indonesia.

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Hai korang semua. Bagaimana dengan hari korang...semoga ceria-ceria sahaja yea. Aku nak bawa korang pergi melihat sebuah masjid lama di negeri Perak. Aku dah banyak kali jugak menjejakkan kaki kat Masjid Tinggi Bagan Serai, Perak ini...Memang susah nak cari masyarakat tempatan yang masih berminat untuk mengekalkan bangunan sejarah di tempat mereka sendiri.



Masjid ini terletak di tepi jalan jerr....kalau korang ikut jalan lama korang akan mudah jumpa dengan masjid ini. Keistimewaan masjid ini kerana ia menggunakan bahan kayu dan tidak menggunakan sebarang paku pada masa dahulunya.






Kisahnya bermula.... Di awal pemerintahan British di Tanah Melayu... di mana British telah memulakan skim tanaman padi kerana bahan makanan tidak mencukupi pada waktu itu. Makanan terpaksa diimport dari luar negara seperti Thailand dan Burma

Maka bermulalah penghijrahan beramai-ramai penduduk dari Banjarmasin, Indonesia ke Tanah Melayu. Mereka ini dibawa masuk oleh pihak British bagi menyempurnakan Skim Rancangan Padi yang pertama di Daerah Kerian, Perak.






Sejarah pembinaan masjid ini bermula... dengan kedatangan penduduk dari Banjarmasin, Indonesia yang diketuai oleh Haji Din. Haji Din bukan sahaja mewakafkan tanahnya bagi pembinaan masjid tersebut, malah beliau juga mengepalai gotong-royong. Masjid ini dibina pada tahun 1897 mengikut reka bentuk seni bina dari Banjarmasin



Pembinaan masjid ini dibuat pada zaman pemerintahan Tuanku Sultan Idris Mursyidul Shah (1887-1916) dan pada penghujung tahun 1928, masjid ini dirasmikan oleh Almarhum Sultan Iskandar, Paduka  Sultan Perak yang ke 30, sebagai pengikhtirafan rasmi dari pemerintah terhadap rumah ibadah bagi umat Islam. 


Hampir keseluruhan struktur dan dinding masjid ini dibina daripada kayu manakala bumbungnya pula menggunakan zing. 

Di aras satu... pernah dijadikan ruang solat wanita melalui tangga di bahagian hadapan (tangga ini agak curam jugak). Di bahagian kiri masjid ini terdapat kolah untuk mengambil wuduk dan dibahagian belakangnya pula terdapat kubur-kubur lama.


Pada tahun 1929, menara azan empat tingkat dengan ketinggian kira-kira 50 kaki telah dibina dan kemungkinan itulah masjid ini dikenali sebagai Masjid Tinggi. Bumbung masjid ini yang dibina 3 lapis serta kubah yang tegak meninggi juga melihatkannya kelihatan tinggi.

Aku suka masjid ini kerana terdapat koridor dibahagian hadapan, kiri serta kanannya yang dihias dengan rekabentuk seakan-akan gerbang dengan pagar kekisi....seakan bercirikan senibina rumah Melayu lama.


Satu lagi yang menarik tentang masjid ini ialah tingkapnya menggunakan cermin kaca berwarna (stained glass) yang popular pada tahun 60an dan 70an....memberikan kesan 'lama' dan unik. Masjid ini mempunyai banyak tingkap di sekelilingnya yang memberikan pengudaraan baik dan nyaman untuk keselesaan para jemaah.


Disebabkan masjid ini dibina dengan menggunakan kayu...maka peruntukan bagi penyelenggaraannya adalah agak tinggi sekiranya tidak dijaga dengan betul. Penjagaan masjid ini adalah tanggungjawab bersama.... supaya ianya boleh diguna bersama-sama hingga ke beberapa generasi akan datang.


Cuma agak sayang sedikit kerana masjid ini tidak lagi digunakan kerana terdapatnya masjid baru bersebelahannya iaitu Masjid Al Athar yang dibina pada tahun 1966.  Terdapat juga sebuah Maahad Tahfiz Al- Akhlak Al- Islamiah Masjid Tinggi dibina berdekatan dengan masjid lama ini.


Disebabkan masjid ini jarang digunakan.... tanda-tanda keuzuran semakin ketara kelihatan dimakan usia. Masalah keretakkan juga mudah berlaku disebabkan masjid ini terletak berhampiran dengan jalan utama...faktor gegaran dari kenderaan menjadi penyumbang utama kepada keretakkan selain daripada pergerakkan tanah. 




Jabatan Warisan Negara pernah menjalankan kerja-kerja pemuliharaan pada keseluruhan masjid ini pada tahun 2006. Antara kerja-kerja yang dilakukan ialah menggantikan dinding yang reput, membaiki simen yang retak, membaiki longkang yang pecah, membaikpulih kolah tempat mengambil air wuduk, mengecat semula masjid ini dan lain-lain kerosakan yang ada.


Aku difahamkan...masjid ini kini dijadi sebuah galeri berkaitan masyarakat Banjar di Bagan SeraiPembinaan galeri nii bagi memastikan generasi akan datang dapat mengenali kebudayaan dan adat Banjar yang terdapat di Bagan Serai ini selain di Sungai Manik, Teluk Intan.


Pembinaan galeri ini... dimasukkan dalam Rancangan Tempatan Daerah pada 2035 untuk dibina di pekan Bagan Serai kerana di kawasan Masjid Tinggi ini merupakan penempatan terbanyak golongan Banjar





Galeri ini nanti akan menarik pelancong untuk berkunjung ke Daerah Kerian bagi melihat budaya dan adat yang diamalkan oleh masyarakat Banjar. Pelancong juga boleh melihat kawasan pelancongan lain di sini seperti di Kuala Gula dan Ban Pecah yang menjadi antara tarikan utama pelancong di Daerah Kerian. Semoga masjid ini kekal berfungsi tanpa dibiarkan kosong sehingga merosakkan struktur asal masjid dan merugikan generasi akan datang dan juga masyarakat setempat jika tidak dipelihara.

Sekian.

No comments:

Post a comment