Monday, 19 December 2016

Jambatan Victoria Merupakan Jambatan Tercantik Di Asia Tenggara

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,
Hai korang...semoga sihat sentiasa hendaknya yea. Hari nii aku nak bawa korang pergi melawat ke sebuah monumen bersejarah di negeri Perak....iaitu sebuah jambatan lama. Jambatan kereta api yang paling cantik aku tengok adalah Jambatan Victoria yang terletak di Kampung Enggor. Kampung Enggor di Karai, Kuala Kangsar dipercayai telah dibuka semenjak zaman British lagi di mana pada zaman itu, pihak British telah membina sebuah jambatan kereta api untuk bergerak dengan lancar dari Taiping ke Beruas.


Jambatan ini sempena nama Ratu Victoria yang memerintah United Kingdom ketika itu. Jambatan disifatkan tercantik di Asia Tenggara yang dibina pada 1897 ini adalah peninggalan sejarah tertua di Negeri Perak dengan peruntukan sebanyak  325,000 ringgit.


Jambatan kereta api ini juga disebut Jambatan Enggor kerana letaknya di Enggor. Jambatan yang merentangi Sungai Perak ini mula dibina pada tahun 1897 dan dirasmikan pembukaannya oleh Sultan Idris Mursyidul Azam Syah pada tahun 21 Mac 1900. Jurutera yang bertanggungjawab membina jambatan ini ialah G.W.Fryer, Divisional Engineer dan C.R.Hanson.


 Walau bagaimanapun jambatan itu tidak dapat disiapkan tepat pada masanya kerana berlaku banjir besar ketika itu. Banjir yang melanda telah menyebabkan air Sungai Perak naik mendadak dan melimpahi sehingga ke tebing. Kemudian, jurutera yang bertanggungjawab telah mengarahkan supaya kerja-kerja pembinaan ditunda buat sementara.



 Pembinaan jambatan ini melengkapkan perjalanan kereta api dari Enggor ke  Kuala Kangsar. Pada tahun 1910, kereta api mula digunakan untuk melalui jambatan ini dari Perai ke Johor Bahru iaitu melalui Bandar-bandar dari Perai, Taiping, Tapah Road, Batu Caves, Kuala Lumpur, Seremban, Tampin, Melaka, Kluang dan Johor Bahru.


Dengan pembukaan rasmi jambatan ini dalam tahun 1900, keseluruhan kawasan Semenanjung Malaya dari Perai ke Johor Bahru boleh dihubungkan dengan perkhidmatan keretapi. Pembukaan jambatan ini telah membawa banyak faedah kepada perkembangan ekonomi dan juga membuka laluan bagi pembangunan pesat serta pertumbuhan bandar-bandar timah di Semenanjung Tanah Melayu. 




Jambatan Kereta Api Victoria ini juga menjadi penyebab kepada kawasan di Pekan Karai pesat membangun kerana terdapat beberapa kesan tinggalan bangunan kuarters yang telah dibina pada zaman tersebut.

Apa yang pasti jambatan ini menjadi titik tolak perkembangan Kampung Enggor, Karai. Kini, jambatan ini telah diganti dengan jambatan konkrit yang tahan lebih lama bersebelahannya. Walaupun begitu, keutuhan Jambatan Victoria ini diakui sehingga ke hari ini dan merupakan jambatan tertua di Malaysia berusia melebihi 120 tahun.
Semasa serangan tentera Jepun di Perak pada tahun 1941, tentera British telah meletupkan jambatan ini untuk melambatkan kemaraan tentera Jepun. Di sekitar Jambatan Victoria ini, masih terdapat beberapa kubu asal yang dibina oleh tentera British untuk mengawal jambatan ini.  
 
 
Pada tahun 2008, Pos Malaysia Berhad ada mengeluarkan siri setem dan juga sampul surat pertama yang bertemakan Jambatan - jambatan di Malaysia termasuklah Jambatan Victoria ini.

Jambatan Victoria sudah tidak digunakan sejak 2002 berikutan pembinaan Jambatan Iskandar yang jaraknya kira-kira dua meter bagi laluan kereta api yang menghubungkan negeri di sebelah utara. Bagaimanapun, ia masih gagah dan indah.

Sekian.

No comments:

Post a comment