Saturday, 3 December 2016

Anyaman Mengkuang Tradisi Zaman Berzaman

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Hai korang. Apa khabar semuanya hari nii. Aku sentiasa doakan korang semua berada dalam keadaan yang sihat walafiat. Hari nii aku nak citer pasal seni kraftangan. Pertama kali aku ke rumah makcik nii kat Kedah...aku kagum dengan kreativiti beliau menghasilkan produk kraftangan daripada mengkuang. Aku dapat tahu rumah mak cik nii pun daripada pegawai di Pejabat Kraftangan Kedah. Disebabkan dah lewat petang jadi aku tak dapat untuk berborak panjang dengan beliau kerana ada tugasan yang lain menanti... Jom kita lihat bagaimana produk daripada mengkuang ini dibuat.... 


Menganyam pandan dan mengkuang tumbuh subur di tepi-tepi alur, paya, sungai dan kawasan-kawasan yang menggenangi air tawar di seluruh nusantara. Tidak hairanlah seni menganyam pandan dan mengkuang tersebar luas. Dengan itu, pelbagai barangan dapat dihasilkan daripada anyaman pandan dan mengkuang. Pandan dan mengkuang adalah tumbuhan daripada spesis yang sama. Daun mengkuang lebih lebar, tebal dan panjang daripada daun pandan.


Oleh yang demikian, biasanya mengkuang digunakan untuk menganyam benda-benda yang lebih besar dan kukuh berbanding dengan benda-benda yang diperbuat daripada pandan. Namun begitu, bilah anyaman mengkuang tidak semestinya lebih lebar daripada bilah anyaman pandan. Kelebaran bilah anyaman dikaitkan dengan kehalusan hasil kerja, lebih kecil bilah, lebih halus hasil kerjanya.
Hasil kraf yang halus pembuatannya mempunyai nilai hiasan yang tinggi. Sebaliknya, hasil kraf yang kasar lebih menekankan ciri fungsional. Tikar mengkuang yang lebar anyamannya biasanya digunakan untuk menjemur padi, mengalas lantai dapur atau jemuran dan sebagainya. Tikar yang dianyam untuk kegunaan demikian tidak dicelupkan warna, berlainan daripada tikar yang dikhaskan untuk tetamu. Tetamu dibentangkan tikar yang bukan sahaja halus anyamannya malah bercorak dan berwarna-warni.


 
Terdapat dua proses pewarnaan dalam pembuatan anyaman mengkuang, iaitu :


Mewarna Mengkuang Cara Tradisional
  • Bahan seperti kunyit, buah kesumba India, dan daun mengkudu digunakan sebagai pewarna asli pada zaman dahulu.
  • Kunyit ditumbuk halus dan dimasukkan ke dalam air mendidih untuk mendapatkan warna kuning.
  • Buah kesumba diguna untuk menghasilkan warna jingga dan merah.
  • Buah pokok arang diguna untuk mendapatkan warna hitam
  • Untuk  mendapatkan warna yang lebih cerah, menggunakan kapur. Contohnya, warna kuning pinang masak di campur dengan kapur sirih.
  • Warna hijau diperolehi dari daun pohon bemban.

Mewarna Mengkuang Cara Moden
  • Pewarnaan cara modern menggunakan bahan pencelup dyestuff dan campuran bahan kimia lain.
  • bahan pewarna biasanya berbentuk hablur atau serbuk.


 Teknik Mewarna Mengkuang
  • Air bersih dipanaskan sehinga mendidih didalam sebuah periuk.
  • Bahan pewarna kemudian dimasukan ke dalam air tersebut dan di aduk sampek tercampur.
  • Masukkan daun mengkuang dan ikatlah,ke dalam periuk yang berisi air pewarna tadi dan rendamlah.
  • Keluarkan rendaman daun mengkuang tersebut setelah kira-kira setengah jam.
  • Daun mengkuang dicuci dengan air bersih.
  • Ikatan daun mengkuang dibuka dan dijemur sehigga kering.


Memproses Bahan

Daun-daun yang cukup tua ditetak (memotong) di pangkalnya sehelai demi sehelai, bermula di bahagian umbi pokok. Tujuh atau lapan helai daun muda di keliling umbut pokok tidak ditetak tetapi ditinggalkan untuk tuaian seterusnya serta untuk memastikan pokok itu terus hidup dan mengeluarkan daun-daun baru.

Menetak daun dilakukan dengan berhati-hati kerana pandan dan mengkuang berduri-duri, sedangkan tanah dikeliling perdunya lazimnya berair dan licin atau mudah perlus. Daun-daun yang sudah ditetak kemudian dipangkas hujungnya untuk membuang bahagian yang tirus dan tidak dapat dibelah, serta supaya semua daun itu hampir sama panjang.




Seterusnya, daun-daun tersebut dilayur di atas bara unggun api kecil hingga layu. Kadangkala daun-daun itu tidak dilayur tetapi dijemur hingga benar-benar kering dan layu. Tujuannya ialah mematikan sel daun dan menyingkirkan air yang terdapat di dalamnya.

Setelah daun-daun itu layu, duri yang terdapat pada tulang belakang dan sayap mengkuang dibuang dengan sautas serat sabut yang diregangkan ibu jari dan jari telunjuk. Apabila duri belakang daun dibuang, dengan sendirinya daun terbelah menjadi dua. Belahan itu kemudian dibelah lagi mengikut kelebaran yang dikehendaki dengan alat yang dipanggil jangka. Belahan-belahan yang siap dijangka dikumpulkan dan diikat sebesar betis dengan jarak kira-kira satu kaki dari satu ikatan ke satu ikatan lain. Belahan yang berikat itu dititik atau dipukul dengan alu supaya lembut dan mudah dilurut.

 

Melurut melembutkan belah dan melicinkan permukaannya. Belah yang sudah dilurut dilipat tetapi tidak sampai patah lalu diikat dan direndam di dalam air selama dua atau tiga hari. Dalam tempoh itu, air rendaman digantikan sekurang-kurangnya dua kali supaya bilah-bilah itu tidak lebam dan berbau busuk.

Pada hari ketiga atau keempat, bilah-bilah itu dikeluarkan dan dibasuh dan dibilas hingga bersih sebelum dijemur. Bilah yang cukup kering akan bertukar menjadi putih. Seterusnya, bilah itu bolehlah diwarnakan jika mahu. Bilah-bilah mengkuang atau pandan diwarnak
an dengan cara mencelup, iaitu merebusnya bersama bahan celup pewarna selama beberapa minit. Dahulu, cuma tiga warna yang popular iaitu merah, hijau dan kuning kerana bahan celup warna-warna tersebut mudah diperolehi. Warna merah daripada pokok kesumba, hijau daripada daun bemban, dan kuning daripada daun kunyit. Tetapi, sekarang bahan celup pelbagai warna dijual dengan meluas.


Apabila sudah dicelup dan dijemur hingga kering, bilah-bilah dilurut bagi kali terakhir supaya lebih licin dan lembut. Cara anyaman dimulakan bergantung pada jenis benda yang ingin dihasilkan serta corak hiasan yang dipilih. Anyaman tikar misalnya, boleh dimulakan di tengah-tengah ataupun di bucu. Tetapi, bagi tudung saji, anyaman mesti dimulakan di puncaknya yang berbentuk kon. Kon puncak itu boleh digantungkan atau diketengahkan untuk meneruskan anyaman tudung saji.

Anyaman tikar berkait rapat dengan kehidupan masyarakat Melayu pada zaman dahulu. Pengunaannya begitu meluas terutamanya golongan pesawah padi pada ketika itu. Antara kegunaannya ialah sebagai tikar pengalas, tempat duduk, bahan pembungkusan, alas dinding, layar membanting padi, tikar menjemur padi dan lain-lain kegunaan lagi. 




Corak anyaman umumnya disebut kelarai. Bagaimanapun, khususnya untuk tikar mengkuang, kelarainya dirujuk sebagai ragi. Kelarai dibuat dalam pelbagai motif dan peranannya sama seperti corak bunga dalam tenunan, iaitu sebagai suatu ciri perhiasan. Anyaman kelarai disusun secara tunggal dan lepas (menyeluruh) atau disusun di dalam ruang tertentu. Susunan menegak disebut kelarai berdiri dan susunan sendeng, kelarai serong. Untuk hiasan pinggir atau birai pula terdapat satu kelarai khusus iaitu kelarai pucuk rebung.


Semua jenis kelarai berunsurkan alam semula jadi. Di kalangan masyarakat Melayu, motif tumbuhan menjadi pilihan utama. Daripada bentuk bunga, terdapat kelarai bunga atur, berembang, cengkih dan cengkih beranak, bunga cina, bunga durian, bunga kundur, bunga pecah lapan, bunga tanjung, bunga telur, dan bunga rumput. Unsur-unsur tumbuhan yang lain termasuk akar, pucuk (rebung) dan tampuk (jantung pisang, manggis, pinang). Unsur fauna pula, terdapat motif haiwan dan serangga, seperti siput, kepala gajah, mata berkait, tapak anjing, tapak harimau, anak ikan, belalang cucuk, jari kedidi, mata ketitir, pusat belanak, siku keluang, sisik kelah dan tulang ikan.

Akhir sekali, terdapat bentuk bebas, seperti kelarai belah ketupat, kelarai kisar mengiri, kelarai beras patah dan kelarai madu manis. Dalam membuat kelarai, perkara utama yang diperhatikan ialah jumlah mata atau langkah daripada bilah daun yang digunakan. Jumlah mata menentukan saiz satu-satu corak. Untuk menyerlahkan kelarai, bilah-bilah digunakan warna yang berlainan atau kontras. Misalnya, kuning dan hijau, merah dan ungu, atau putih dan perang. Kadangkala warna ketiga digunakan sebagai tanah atau latar corak. Bilah-bilah berwarna yang dianyam tindih-menindih dan berselang-seli ini akan menyerikan hasil anyaman mengkuang dan pandan. 

Corak Anyaman Tikar


Corak lebih menekankan kepada penggunaan susunan warna pada sesuatu anyaman biasa atau ghadas. Warna-warna penting dalam menentukan corak. Corak dijalin secara selang-seli hingga meninggalkan kesan geometri asli. Namanya akan berbeza jikan dianyam dalam bentuk, ukuran dan susunan yang berlainan.



Terdapat 11 corak yang dianyam iaitu:
1. Corak Tapak Catur – seringkali dianyam dalam dua atau tiga warna. Hasil cantuman warna cerah dan gelap



2. Corak Mata Bilis – menggunakan warna teang dan gelap. Warna gelap dianyam satu mata sahaja dengan warna cerah. Kedua-dua warna ini timbul seakan-akan beras patah.



3. Corak Beras Patah – menyerupai corak mata bilis tetapi warna cerah dianyam tiga mata diselangi dengan satu mata gelap. Hasil cantuman ini member gambaran seakan-akan beras patah.

4. Corak Palembang – berasal dari Palembang. Petak empat segi atau biji kundang dianyam dengan warna hijau dan dikelilingi jalur-jalur dua warna iaitu merah dan putih.

5. Corak Bugis – berasal dari Bugis dan penggunaan dua warna yang berdekatan hijau dan putih. Petak-petaknya lebih kecil dari corak Muar serta dianyam dalam bentuk berdiri dan serong.

6. Corak Muar – berasal dari Muar dan bermotif empat segi. Anyaman dua warna merah dan biru serta dikelilingi dengan jalur-jalur putih, hijau dan kuning. Antara petak-petak digunakan adalah campuran merah dan biru.

7. Corak Selang-seli – penggunaan warna gelap dan cerah. Kedua-dua bahagian dianyam mata sama banyak dan selari.
8. Corak Berdiri – kurang mendapat sambutan dari pengusaha. Penggunaan dua warna tetapi untuk mendapatkan corak yang betul-betul lurus amat sukar.
9. Corak Serong – corak yang mudah. Bermacam kelarai boleh dianyam melalui contoh ini serta amat digemari oleh para penganyam.
10. Corak Ketapang Gilir Kacang – seakan-akan corak selang-seli dan susunan yang rapat. Dianyam dengan dua warna iaitu cerah dan gelap.
11. Corak Malaysia – corak selang-seli, di kelilingi dengan warna merah, putih, hijau dan biru.



Seronok tengok hasil kraf tradisional ini terus mendapat perhatian ramai terutama pelancong dari luar Malaysia. Selain itu...kagum aku melihat kecantikan hasil seni kraftangan nii yang memerlukan kreativiti serta kesabaran yang tinggi untuk menghasilkannya. Kalau diberikan peluang...aku juga ingin turut mempelajari seni ini. Semoga ada generasi yang ingin mewarisi dan minat memperjuangkan seni kraftangan ini.

Sekian.

No comments:

Post a comment