Monday, 7 November 2016

Rumah 'Tele' Tradisi Bangunan Melayu Terengganu

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Hai semua.. Apa khabar korang hari nii ? Jom aku nak bawa korang ke negeri Darul Iman untuk melawat ke sebuah rumah tradisional. Senibina yang paling aku suka tengok adalah senibina rumah-rumah tradisional yang masih kekal sehingga ke hari ini. Perasaan yang sangat berbunga-bunga dan kagum sentiasa lahir di lubuk hati aku tatkala memandang rumah-rumah tradisional ini. salah satu yang aku minat ialah Rumah Tradisional Terengganu....

Kesempatan yang aku dapat ketika berkunjung ke Muzium Negeri Terengganu di Losong ini tidak aku sia-siakan. Walaupun aku telah mengunjunginya empat kali tapi perasaan teruja tetap ada. Aku tak kisah sekiranya menghabiskan seharian masa aku kat sini kerana kat sini banyak terdapat banyak binaan Rumah Tradisional Terengganu antaranya Rumah 'Tele'...

Pemandangan dari sisi kanan - Rumah Tele ini berbumbung Panjang dengan kecuraman 45 darjah.

Perkataan 'Tele' bererti dewan. Rumah Tele ini telah dibina kira-kira awal tahun 1888 oleh Al-Marhum Sultan Zainal Abidin III dalam kawasan Istana Maziah atau pun Istana Hijau (telah terbakar). Sultan Zainal Abidin kemudiannya membina sebuah lagi istana dihadapan rumah 'Tele' ini dan berpindah ke sana.


Rumah Ibu mempunyai tangga yang boleh dinaiki dari dua hala

Penghuni utama rumah ini ialah Cik Khalthum Binti Haji Daud salah seorang isteri Baginda Al-Marhum Sultan Zainal Abidin III dan kemudiannya menjadi tempat kediaman dua puteri baginda iaitu Tengku Nik Hajjah dan Tengku Ngah Hajjah.

Raja Rama V Chulalongkorn, Raja Thailand dengan pengiring-pengiringnya juga pernah beristirehat dalam rumah ini semasa lawatannya ke Negeri Terengganu pada bulan September 1888.

Dua unit rumah ini bercantum antara ruang tetamu dan dapur

Rumah 'Tele' yang dibina dalam bentuk tradisi bangunan Melayu Terengganu ini mengandungi 80 keping dinding kayu berkembung, 24 keping bersobek, 24 keping dinding diukir dengan ayat Al-Quran dan 4 keping dinding di atas pintu besar berukir dengan Syair Burdah.

Kain merah digunakan dalam upacara menaikkan tiang seri bagi pembinaan rumah ini

Ia merupakan sebuah rumah yang dibina tanpa sebarang paku dan juga lakaran pelan. Rumah ini diilhamkan oleh tukang-tukang yang diketuai oleh Haji Derahim bin Haji Endut.

Rumah ini didirikan semula di atas tapak di Jalan Negara, Kuala Ibai, Kuala Terengganu pada 19hb. Mac 1970 (12hb. Muharram 1390 H) dalam satu upacara ringkas. Ini dapat dijayakan dengan usaha Tan Sri Datuk Mubin Sheppard Al Haj dan sumbangan Eastern Mining & Metals. Co. Ltd.

Bilik tidur di unit ke dua rumah Tele yang berhampiran dengan dapur

Rumah 'Tele' ini asalnya terdiri daripada tiga bahagian rumah yang disambung dengan selang dan mempunyai talang kayu. Satu daripada unit tersebut telah dipindahkan dan masih tinggal sekarang hanya dua unit berkembang mengandungi dua ruang yang luas untuk tetamu dan satu ruang lagi untuk dapur. Pada dasarnya ruang-ruang ini adalah bercantum.

Papan penerangan yang terletak berhampiran dengan tangga

Rumah ibu mempunyai tangga yang boleh dinaiki melalui dua hala yang menuju ke ruang utama. Ruang dapurnya mempunyai lantai yang lebih rendah daripada ruang utama. Hampir keseluruhan rumah ini dibina menggunakan kayu cengal. Papan lantai menggunakan sambungan tanggam lidah dan lurah untuk mendapatkan permukaan yang lebih rata. 

Bumbung panjang telah menutupi ruang tengah rumah. Penggunaan pemeleh pada bahagian hujung tutup kasau menlindang menjadikan bumbungnya kelihatan lebih kemas dan menarik. Kecuraman bumbung utama ialah 45 darjah.

Ukiran tebuk bermotifkan flora dan tulisan khat jawi

Rekabentuk ukiran asas yang biasa digunakan ialah ukiran awan larat. Ukiran ini kadang kalanya berbentuk daun budi menjalar atau bunga terung, sulur paku yang melengkung pada hujungnya. Ukiran sangat penting pada  zaman dahulu kerana ukiran  pada rumah akan menentukan darjat penghuni tersebut.

Pelantar tangga di Rumah Ibu

Pada 6hb. Julai 1987, rumah ini telah didirikan semula di atas tapak yang ada sekarang dalam kawasan Kompleks Muzium Negeri Terengganu di Kampung Bukit Losong, Kuala Terengganu. Rumah ini diletakkan di bawah kawalan Lembaga Muzium Negeri Terengganu dan menjadi satu bahan warisan sejarah bagi Negeri Terengganu khasnya dan Malaysia amnya.

Ruang dalaman di Rumah Ibu yang luas sebagai dewan perbincangan atau berkumpul

Aku memang rasa bertuah kerana dapat menjejak kaki ke sini dan menerokai ke dalam rumah 'Tele' ini. Di dalam rumah ini tidak ada perabot hiasan kecuali meja solek dan juga katil. Kadang-kadang aku berangan..."seronoknya kalau ada rumah macam nii"...bestnyer. Apakan daya...aku ni insan biasa...

Rumah Tele ini menggunakan banyak tiang bagi mengukuhkan struktur binaannya

Inisiatif yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Terengganu dan juga Muzium Terengganu sangat bagus bagi mengekalkan senibina tradisional ini untuk tatapan generasi akan datang dan juga pelancong luar. Kepuasan dah cukup terasa bila aku dapat menerokai kawasan muzium ini yang banyak terdapat rumah tradisional Terengganu... tak perlulah aku mencarinya ditempat lain... memandangkan aku ni orang luar dan tidak mahir dengan persekitaran Negeri Terengganu.


Sekian.

1 comment: